Categories
SELANGOR

Selangor kurangkan defisit belanjawan 17 peratus

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 NOV: Kerajaan Negeri mengurangkan defisit belanjawannya sebanyak 17 peratus daripada RM870 juta dalam Belanjawan Selangor 2018 kepada defisit RM360 juta bagi Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah ini diambil berdasarkan unjuran yang realistik di samping pelbagai faktor semasa yang mempengaruhi kewangan negeri.

“Kerajaan Negeri bukan dapat hasil daripada memetik bintang di langit tetapi daripada hasil daripada unjuran realistik tetapi kadang kala ada sedikit kelewatan atas faktor yang saya sebutkan tadi .

“Selain itu juga antaranya faktor pilihan raya pada 2018 yang menyebabkan beberapa keputusan tertangguh, dan selepas pilihan raya berlaku pertukaran jabatan, CEO dalam anak syarikat Kerajaan Negeri yang memerlukan proses tertentu sebelum pertukaran boleh dibuat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2019 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, semalam.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri juga mengambil langkah menilai semula program Kerajaan Negeri bagi memperkasakan golongan B40.

Katanya, Kerajaan Negeri sebelum ini kurang menggunakan rizab negeri ekoran dasar perbelanjaan berhemah yang diamalkan.

Categories
SELANGOR

Perkhidmatan Bas Smart Selangor diteruskan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri akan meneruskan perkhidmatan Bas Smart Selangor dengan cadangan peruntukkan RM30 juta bagi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan keprihatinan terhadap usaha mempertingkatkan taraf perhubungan pengangkutan awam yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Dengan jumlah penumpang mencecah 25 juta orang bagi tempoh sehingga 31 Ogos 2018, Kerajaan Negeri akan melakukan penambahbaikan seperti penjadualan dan kesesuaian bas yang lebih efisien bagi memastikan penggunaannya bermanfaat untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Langkah ini bagi memastikan kelangsungan pelaksanaan Bas Smart Selangor kekal relevan dengan perkhidmatan yang lebih moden, sistematik dan mesra pengguna.

“Capaian perkhidmatan pengangkutan yang cekap serta dipercayai membolehkan Kerajaan Negeri terus maju kehadapan dan mencerminkan kehidupan masyarakat yang sejahtera,” katanya.

Amirudin berkata, kejayaan Kerajaan Negeri menyediakan perkhidmatan bas percuma ini berjaya menjadikan Selangor sebagai ‘role model’ kepada negeri-negeri lain untuk menyediakan perkhidmatan seumpamanya.

Perkhidmatan Bas Smart Selangor yang dilaksanakan sejak tiga tahun lalu mempunyai 38 laluan perkhidmatan bas baru yang diperkenalkan dengan jumlah 123 buah bas di 11 pihak berkuasa tempatan (PBT).

Bas Smart Selangor yang pernah diiktiraf oleh The Malaysia Book Of Records, merupakan kerjasama Kerajaan Negeri dengan komitmen PBT dalam mempertingkatkan hubungan jaringan serta capaian kawasan bandar dan luar bandar ke arah lebih baik.

Selain Bas Smart Selangor, jaringan pengangkutan di Selangor turut merangkumi kepelbagaian sistem pengangkutan awam seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Mass Rapid Transit (MRT), Bus Rapid Transit (BRT) dan komuter.

Di samping itu, Kerajaan Negeri turut berpandangan penggunaan basikal sebagai mod pengangkutan alternatif bagi mencapai kesalinghubungan pengangkutan awam berkonsepkan Perbatuan Pertama dan Terakhir (First and Last Mile) serta perkongsian basikal (bike sharing) perlu diperluaskan sebagai pengangkutan alternatif baru.

Categories
SELANGOR

RM25 juta bangunkan industri tenaga kerja

 

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 NOV: Sejumlah RM25 juta diperuntukkan bagi membangunkan industri tenaga kerja sekali gus melahirkan tenaga manusia berkualiti dan berdaya saing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, inisiatif memperkasakan sumber tenaga manusia mesti dilakukan dengan komprehensif dan efisien bagi memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negeri.

Katanya, usaha mempersiapkan sumber tenaga manusia seiring keperluan industri dan dapat menarik pelabur ke Selangor harus dilakukan dengan terancang.

“Melalui Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS), ia dapat melatih keperluan industri seterusnya mengurangkan kebergantungan kepada buruh asing.

“Melalui program itu juga, ia dijangka meningkatkan kebolehpasaran dan secara langsung dapat menangani isu pengangguran dalam kalangan graduan dan golongan belia,” katanya.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri sedang menyediakan Pelan Tindakan Industri 4.0 Negeri Selangor.

“Mengikut pelan berkenaan, ia akan mengambil pandangan daripada industri, institusi pendidikan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lain-lain bagi memastikan satu kerangka yang holistik.

“Ia turut merangkumi bidang kemudahan pengangkutan termasuk ‘aerospace’, bioteknologi, elektrik dan elektronik, industri makanan, dan perindustrian dalam melatih sumber tenaga manusia yang seiring dengan keperluan industri,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM2 juta realisasi negeri pintar, rendah karbon

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 NOV: Demi memastikan Selangor menuju ke arah negeri pintar dan rendah karbon, Kerajaan Negeri mencadangkan peruntukan RM2 juta untuk melaksanakan pembangunan mampan secara holistik bagi 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, sepanjang 2016 hingga 2018, Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai agenda berkaitan teknologi hijau dengan berpandukan kepada Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018.

“Usaha ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat menitik beratkan agenda berkaitan teknologi hijau yang merupakan asas kepada fokus bagi pengurangan karbon.

“Seterusya, bagi meneruskan kesinambungan Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2016-2018, Kerajaan Negeri akan menyediakan Blueprint Pelan Tindakan Teknologi Hijau Negeri Selangor 2019-2023 yang akan menjadi sumber rujukan utama dalam melaksanakan agenda pembangunan teknologi hijau di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019, di Dewan Annex, hari ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri yakin akan menyumbang kepada pengurangan karbon bagi mencapai sasaran 40 peratus pengurangan seperti yang telah
ditetapkan Kerajaan Malaysia.

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Ekonomi Selangor kekal positif pada kadar 5.7%

OLEH AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 23 NOV: Ekonomi Selangor dijangka kekal positif, pada kadar 5.7 peratus, pada 2018 dengan semua sektor mencatatkan peningkatan, menurut Malaysian Insititute of Economic Research(MIER).

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian itu turut menyebut sektor perkhidmatan dan pembuatan kekal sebagai pemangkin utama kepada pertumbuhan ekonomi Selangor.

Katanya, sepanjang hampir 10 tahun, Selangor terus kekal sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 20 peratus.

“Ini membuktikan Kerajaan Negeri mempunyai keupayaan kewangan stabil melalui pengukuhan aspek tadbir urus yang menghasilkan perkhidmatan efisien dan polisi yang efektif.

“Peratus sumbangan KDNK Selangor kepada KDNK Malaysia, pada 2017 meningkat kepada 23% daripada 22.7%, pada tahun sebelumnya dan dijangka akan terus meningkat pada 2018, manakala kadar pertumbuhan KDNK Selangor, pada 2017 adalah 7.1% berbanding 4.8%, pada 2016,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 bertemakan ‘Merancakkan Ekonomi, Memberdayakan Rakyat dan Mensejahterakan Negeri’, di Dewan Annex, di sini.

Amirudin berkata, sektor perkhidmatan di Selangor merekodkan nilai ditambah berjumlah RM161.79 bilion, pada 2017 dengan sumbangan keseluruhan KDNK Selangor adalah 60%.

Katanya, sektor itu mencatatkan pertumbuhan 6.8%, pada 2017 berbanding 6.0%, pada tahun sebelumnya.

“Selangor adalah penyumbang utama kepada sektor pembuatan di Malaysia, iaitu 29.4% dengan nilai ditambah sektor ini, pada 2017 adalah RM79.2 bilion berbanding RM73.4 bilion, pada 2016.

“Peningkatan nilai sebanyak RM5.8 bilion ini merekodkan pertumbuhan 7.9% (2016: 4.3%) yang diterajui industri berorientasikan eksport dan domestik,” katanya.

Katanya, sub sektor produk elektrik, elektronik dan optikal mencatatkan pertumbuhan dua angka, iaitu 10.2% (2016: 7.4%) disokong pengeluaran tinggi bagi produk semikonduktor, litar elektronik bersepadu dan peralatan elektronik pengguna yang menerima permintaan global tinggi.

“Ini seiring dengan jumlah pelaburan diluluskan bagi industri elektrik dan elektronik yang meningkat kepada RM479.7 juta berbanding RM188.2 juta, pada tahun sebelumnya,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Belanjawan’19: Selangor peruntuk RM2.56 bilion

 

OLEH NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 23 NOV: Kerajaan Negeri mencadangkan anggaran perbelanjaan sejumlah RM 2.56 bilion bagi Belanjawan Selangor 2019.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, anggaran itu bersandarkan kepada kedudukan kewangan negeri yang kukuh dan terus berdaya tahan.

Katanya, daripada jumlah terbabit, RM1.28 bilion atau 50 peratus diperuntukkan bagi Belanja Mengurus dan RM 1.28 bilion atau 50 peratus untuk Belanja Pembangunan.

“Pada 2019, Kerajaan Negeri melaksanakan perbelanjaan seimbang di antara peratusan Belanja Pembangunan dengan peratusan Belanja Mengurus.

“Belanjawan 2019 dijangka mengalami defisit RM360 juta berpunca dari peruntukan pembangunan yang substantif untuk memenuhi keperluan pembangunan mampan,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2019 di Dewan Annex, hari ini.

Menyorot pengalaman empat belanjawan lalu, beliau berkata perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti serta menutup ruang pembaziran juga tirisan ternyata berjaya mengubah belanjawan defisit kepada belanjawan berimbang.

Katanya, ia sekali gus mampu mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang lebih munasabah.

“Seperti mana kita sedia maklum, Kerajaan Negeri memperkenalkan Dasar Penilaian Perolehan Secara Sistem Cut-off mulai dari 2015 bagi menilai semua tender dan sebut harga yang dipelawa secara terbuka.

“Sejak 2015, sejumlah 467 projek dengan anggaran kos sebanyak RM3.71 bilion telah dinilai.

“Hasil daripada pelaksanaan kaedah ini yang dibuat secara telus dan berintegriti, maka sehingga 15 November 2018, Kerajaan Negeri merekodkan penjimatan RM510.1 juta,” katanya.

Amirudin turut berkata, hasil pelaksanaan perbelanjaan berhemah, Kerajaan Negeri berjaya memulangkan semula hasil itu kepada rakyat melalui pelbagai program dan inisiatif.

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Rodziah sasar pemodenan usahawan

OLEH NADIAH ZAMLUS

MORIB, 18 NOV: Belanjawan Selangor 2019 yang bakal dibentangkan pada 23 November ini diharap dapat memodenkan kumpulan usahawan, di negeri ini.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, ia bagi memastikan golongan usahawan tidak berada pada tahap ‘biasa-biasa’ sahaja.

“Kerajaan Selangor terutama di bawah portfolio saya berharap supaya belanjawan ini membolehkan usahawan mempunyai modal untuk memiliki aset.

“Justeru, bagi menjayakannya, Kerajaan Negeri juga akan meningkatkan lagi pembangunan insan dalam kalangan peniaga ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Karnival Jelajah Usahawan Selangor 2018 peringkat daerah Kuala Langat, di Dataran Pantai Morib, malam tadi.

Mengulas lanjut, beliau turut menyatakan keterujaan untuk mendengar pengumuman belanjawan kali ini kerana ia pertama kali Kerajaan Negeri dan Persekutuan bergerak seiringan.

“Hampir 10 tahun lamanya Kerajaan Negeri cuba ‘survive’ sendiri tanpa mengharapkan Kerajaan Persekutuan sepenuhnya, tetapi kali ini kita sudah sama dan saya pasti akan ada elemen kejutan dalam belanjawan 2019.

“Jika sebelum ini kita banyak ketinggalan untuk mendapat manfaat daripada Kerajaan Persekutuan, sekarang sudah tidak lagi, saya pasti elemen sebegini akan membantu usahawan di Selangor,” katanya.

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019 perlu cakna nasib pekebun dan peladang

OLEH AFIX REDZUAN

SABAK BERNAM, 9 NOV: Belanjawan Selangor 2019 diharapkan dapat memberikan tumpuan kepada nasib pekebun dan peladang yang kian terhimpit ekoran penurunan harga sawit mutakhir ini.

Peladang, Yazid Sagiran, 48, berkata jika selama ini Kerajaan memberikan tumpuan kepada pesawah terjejas akibat kegagalan hasil tuaian, bantuan dan insentif sama juga perlu diberikan kepada kumpulan pekebun serta peladang.

“Kita harap nasib pekebun dan peladang diberikan perhatian. Jika selama ini petani dan nelayan diberikan bantuan jika menghadapi bencana, peladang juga sepatutnya diberikan bantuan sama.

“Penurunan harga pasaran sawit menjunam kepada RM300 satu tan sebenarnya memeritkan pengusaha dan diharapkan ia diberikan perhatian sewajarnya.

“Kita juga perlu sedar bahawa pekebun dan peladang juga antara penyumbang kepada ekonomi negara,” katanya kepada SelangorKini.

Pandangan sama turut dikemukakan Jaafar Mohmin, 50, yang sudah 10 tahun melalui pengalaman sebagai peladang.

Katanya, dengan kedudukan harga pasaran kini ia akan menyukarkan pengusaha untuk membeli keperluan seperti baja dan racun.

“Dahulunya harga satu tan sawit boleh mencecah RM500 tapi sekarang berbeza sekitar RM300 untuk kadar sama.

“Sebagai contoh, dua ekar tanah baru boleh kutip buah sawit satu tan. Paling maksima kutipan boleh dilakukan tiga kali dalam tempoh sebulan.

“Sebagai peladang, harga itu membebankan kami dan jika ia berlarutan ia boleh menjejaskan sumber pendapatan,” katanya.

Categories
SELANGOR

Wujud program khusus bantu bangun kaum India

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 NOV: Satu program khusus untuk membantu anak pekerja ladang terutama daripada aspek pendidikan perlu dirangka menerusi Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November ini.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli optimis Kerajaan Negeri tidak akan mengenepikan nasib kaum India, terutama di Selangor.

“Kerajaan Negeri wajar menyediakan sistem sokongan holistik bagi keperluan pembangunan masyarakat kaum ini supaya mereka dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, belia India juga harus diberikan peluang lebih besar dalam pendidikan tinggi, sekali gus dapat menyumbang kembali terhadap pembangunan kaum mereka.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan Kerajaan Negeri sentiasa pedulikan rakyat sejak dulu lagi dan saya optimis ia diteruskan, sekali gus banyak perkhabaran gembira buat rakyat pada pembentangan Belanjawan 2019 Selangor nanti,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari komited akan memberi tumpuan terhadap potensi pembangunan di semua peringkat, di samping menilai serta memperkasakan pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat, pada pembentangan Belanjawan 2019.

Categories
SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Tingkat kualiti kehidupan bandar

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 NOV: Projek komuniti bagi meningkatkan kualiti kehidupan bandar menjadi antara fokus utama Jawatankuasa Perumahan dan Kehidupan Bandar dalam Belanjawan Selangor 2019.

EXCOnya, Haniza Talha berkata, kekurangan kawasan rekreasi dan interaksi antara masyarakat terutama bagi penghuni pangsapuri mendorong peningkatan gejala sosial.

Katanya, kesan masalah sosial dalam masyarakat menyebabkan gejala vandalisme hingga mengakibatkan kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan membaiki kemudahan awam seperti lif.

“Kita akan melakukan kajian berdasarkan pengumuman peruntukan nanti dan memilih kawasan di Pihak Berkuasa Tempatan berlainan serta membuat perbandingan antara kawasan pangsapuri juga rumah teres.

“Hasil daripada kajian nanti kita akan rangka kawasan yang sesuai dengan kemudahan supaya mereka boleh bermasyarakat khususnya anak-anak.

“Saya mengambil contoh di Singapura, kawasan pangsapuri mereka mempunyai tapak awam khusus untuk berekreasi yang memberi kesan positif kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, antara perkara lain yang diharapkan dalam belanjawan adalah memastikan projek Rumah Selangorku disiapkan mengikut sasaran, di samping pemaju melakukan tugas pembinaan berdasarkan spesifikasi ditetapkan.

Katanya, langkah itu termasuk pengumuman skim pembiayaan pembelian rumah pertama bagi membolehkan rakyat memiliki aset sendiri, pada harga berpatutan serta memberikan keuntungan kepada pemaju.

“Saya turut berharap program yang dilaksanakan sebelum ini seperti Smart Sewa dan Skim Ceria dapat diteruskan seperti biasa bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Belanjawan Selangor 2019: Lagi inisiatif baharu bakal diumum

OLEH NAZLI IBRAHIM

KLANG, 5 NOV: Tradisi memperkasakan rakyat diteruskan lagi menerusi pengumuman beberapa inisiatif baharu dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, langkah itu selaras hasrat Kerajaan Negeri yang sentiasa menghargai rakyat.

“Pada 23 November ini, giliran Kerajaan Negeri membentangkan belanjawan negeri dan kita akan kemukakan beberapa inisiatif baharu yang bukan hanya ingin memberi penghargaan tetapi memperkasakan rakyat secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyembah ucapan di hadapan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah pada Majlis Sambutan Deepavali Peringkat Negeri, di Jalan Tengku Kelana, di sini, malam tadi.

Pada masa sama, beliau sekali lagi menegaskan Kerajaan Negeri sentiasa memastikan tiada golongan atau mana-mana kaum dipinggirkan dalam pembangunan dan kemajuan negeri.

Belanjawan Selangor sentiasa mencuri tumpuan masyarakat seluruh negara ekoran kemampuan Kerajaan Negeri menampilkan pelbagai inisiatif baharu untuk rakyat.

Selain pengumuman bonus, antara yang paling mencuri tumpuan adalah Inisiatif Peduli Rakyat.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Kekalkan minat pelabur bagi menjamin pertumbuhan ekonomi kekal sihat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 29 SEPT: Negeri Selangor disaran mencari jalan bagi memastikan minat pelabur tempatan dan asing dapat dikekalkan bagi menjamin pertumbuhan ekonomi dan kewangan negeri kekal sihat.

Bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia (BNM), Dr Rosli Yaakob berkata, antara langkah yang bokeh diambil Kerajaan Negeri pada pembentangan Belanjawan Negeri Selangor 2019 nanti adalah menawarkan inisiatif untuk pelabur di negeri itu.

“Selangor akan terus menerima aliran masuk pelaburan yang tinggi di mana ini merupakan sesuatu yang sihat untuk memastikan kadar pertumbuhan ekonomi Selangor berkembang dengan baik dan kewangannya kukuh.

“Ini perlu dikekalkan dan caranya tak lain sudah tentu dengan menggalakkan pelaburan di Selangor diteruskan supaya pertumbuhan ekonomi kekal tinggi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Rosli berkata, Selangor merupakan antara negeri yang mencatatkan jumlah pelaburan yang tinggi selain Pulau Pinang.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar terdahulu, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memperkukuhkan ekonomi negeri itu dengan membawa banyak pelabur asing yang terdiri daripada syarikat gergasi antarabangsa.

Langkah itu dijangka akan diteruskan pengganti beliau iaitu Dato’ Menteri Besar yang ada hari ini, Amirudin Shari dengan pelbagai pendekatan dan penambahbaikan strategi sedia ada.