TANJONG KARANG 28 APRIL: Bekas Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengajak pengundi di Tanjong Karang menolak Umno-BN dan memilah PAS sebagai wadah perjuangan yang baru.
Lebih dikenali sebagai Mat Taib, beliau berkata, PAS perjuangannya berlandaskan Islam dan Umno-BN sudah terbukti tidak mampu mentadbir negara.
“Dah sampai masa, saya sendiri dah menyeberang, apatah lagi yang lain-lain, Umno-Umno semua sudahlah, dulu hidup Melayu, hidup Melayu, sekarang takbir, hidup Melayu tak ada dalam Quran, sekarang Allahu Akbar,” ujarnya dihadapan lebih 800 penduduk.
Umno-BN sudah tidak berupaya lagi untuk mentadbir negara kerana dibelenggu dengan pelbagai permasalahan yang sehingga kini tiada penyelesaian.
Katanya, ini merupakan pilihan raya terbaik Pakatan Rakyat (PR) untuk menukar kerajaan setelah lebih 50 tahun Umno-BN memerintah negara ini.
“Tuan-tuan, tak ada siapa dalam dunia ini boleh ‘steady’ je sampai 60 tahun, dia (Umno-BN) sebenarnya dah tak boleh, tapi buat-buat boleh.
“Bila lama dah memerintah ni, jadi syok memerintah ni, tak mahu lepas, dengan apa cara sekalipun tak mahu lepas,” ujarnya dalam satu siri ceramah di Kampung Sungai Tengi Kanan, Tanjong Karang baru-baru ini.
Sebagai contoh katanya, Australia melaksanakan pertukaran kerajaan selama 10 tahun biarpun prestasi kerajaan adalah di tahap terbaik.
Tambahnya, PR mempunyai rekod cemerlang mentadbir empat buah negeri termasuk Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan ini diakui oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya tahun lalu.
Jelasnya, manifesto PR ingin memansuhkan PTPTN, tol, dan penurunan harga minyak boleh dilakukan kerana melaksanakan pentadbiran yang telus.