Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Naikkan elaun Cola penjawat awam gred 41 ke atas

KUALA LUMPUR, 26 JULAI: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menaikkan kadar Bantuan Sara Hidup (Cola) sebanyak RM50 bagi kakitangan kerajaan gred 41 dan ke atas.

Presidennya Adnan Mat berkata tambahan jumlah yang sama juga harus diberikan kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak yang mendapat Elaun Wilayah.

“Tambahan Cola bagi gred 40 ke bawah telah dilaksanakan pada Januari lepas dan kongres berpandangan tambahan Cola itu harus dipanjangkan juga kepada gred 41 dan ke atas, kerana gred 41 gaji tidak banyak sebab baru saja bekerja,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersempena Mesyuarat Majlis Kongres Cuepacs dan Promosi Pelaksanaan Banci yang turut dihadiri Ketua Perangkawan Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, di sini.

Kenaikan Cola sebanyak RM50 bagi kumpulan pelaksana itu diumumkan kerajaan dalam Belanjawan 2020, membabitkan peruntukan tambahan RM350 juta setahun.

Sementara itu, Adnan meminta kerajaan melaksanakan segera keputusan yang dibuat sebelum ini, antaranya penebusan awal Gantian Cuti Rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk wang tunai bagi penjawat awam yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun.

Katanya kerajaan juga perlu menyegerakan pelaksanaan penambahan gaji guru gred 56 serta pemendekan tempoh kenaikan pangkat kali kedua daripada 13 tahun kepada 10 tahun.

“Kita harap kerajaan ambil perhatian agar kekal jaga kebajikan penjawat awam dan laksanakan apa yang mereka umum sebelum ini. Jika tidak boleh (laksana) semua, jangan meninggalkan semua,” tegasnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Cuepacs gesa kerajaan segera laksana ganti cuti rehat

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan menyegerakan pelaksanaan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020, tahun lepas.

Presidennya, Adnan Mat berkata pengumuman tersebut melibatkan penjawat awam yang berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dan pelaksanaan itu sepatutnya berkuat kuasa pada 1 Jan 2020.

Beliau berkata kerajaan perlu menyegerakan pindaan ke atas peraturan yang berkaitan dalam Peraturan-Peraturan Pencen 1980 bagi membolehkan pelaksanaan itu dilakukan.

“Cuepacs sebelum ini juga menyuarakan mengenai isu ini, bagaimanapun sehingga tempoh enam bulan pertama tahun ini keputusan mengenainya masih tiada khabar berita.

Cuepacs memahami kekangan dialami kerajaan disebabkan penularan wabak Covid-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan. Bagaimanapun ketika ini hampir 70 hingga 80 peratus penjawat awam di pelbagai jabatan dan kementerian diarahkan bertugas seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Adnan berharap perkara tersebut diselesaikan segera pada tahun ini dan tidak dibawa kepada tahun hadapan sebagai sebahagian daripada belanjawan baharu.

“Setiap janji atau perancangan yang telah dibuat dalam belanjawan sewajarnya diberi perhatian yang sepatutnya,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Cuepacs: Bayar elaun khas petugas barisan hadapan bersama gaji

KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mencadangkan agar elaun khas petugas barisan hadapan yang terlibat dengan pengurusan Covid-19 dibayar secara terus bersama gaji setiap bulan kepada petugas terbabit.

Presidennya Adnan Mat dalam kenyataan hari ini berkata ia bertujuan memudahkan cara pembayaran elaun kepada petugas berkenaan tanpa perlu mengisi borang yang sama setiap bulan, selain mengurangkan kerenah birokrasi.

“Cuepacs menerima banyak aduan dan rungutan mengenai kerenah birokrasi serta penetapan syarat yang dilihat merumitkan petugas barisan hadapan untuk membuat tuntutan elaun berkenaan.

“Elaun yang diberikan kerajaan adalah suntikan semangat kepada petugas barisan hadapan. Jangan kita lunturkan semangat dengan kerenah birokrasi,” katanya.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac lepas mengumumkan peningkatan elaun khas daripada RM400 kepada RM600 bagi petugas kesihatan seperti doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan serta membendung Covid-19.

Bagi anggota tentera, polis, kastam, imigresen, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, mereka akan menerima elaun khas RM200 sebulan.

Elaun ini juga akan dibayar mulai 1 April 2020 sehingga wabak Covid-19 berakhir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Adnan Mat dipilih presiden CUEPACS baharu

SHAH ALAM, 19 DIS: Bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat dipilih sebagai presiden baharu kongres itu bagi penggal 2019-2022.

Adnan memperoleh 676 undi untuk menewaskan pencabarnya, bekas Timbalan Presiden II Cuepacs, Zainal Ismail yang hanya mendapat 381 undi dalam sesi pemilihan sempena Konvensyen Kongres Tritahunan CUEPACS ke-28 di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) di sini, hari ini.

Keputusan itu diumumkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pengiraan Undi, Abdul Rashid Abdullah yang mana sebanyak 1,382 perwakilan mengundi pada sesi pemilihan berkenaan.

Selain Adnan dan Zainal, tiga lagi calon yang turut merebut jawatan presiden Cuepacs adalah setiausaha kewangan kongres itu, Mohd Razali Singah; Presiden Kesatuan Pegawai Hutan Melayu Semenanjung Malaysia (KPHMSM), Datuk Ahmad Shuffir Zakaria dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Abdul Malik Mohamed Zin.

Penyandang presiden CUEPACS sebelum ini, Datuk Azih Muda tidak mempertahankan jawatan berkenaan berikutan beliau akan bersara daripada perkhidmatan awam hujung bulan ini.

Jawatan nombor dua kongres itu iaitu Timbalan Presiden I diisi oleh Aminuddin Awang apabila memperolehi 766 undi manakala Timbalan Presiden II disandang Zulkifli Mohamed yang meraih 756 undi.

Dalam pada itu, Abdul Rahman Mohd Nordin yang sebelum ini memegang jawatan Timbalan Setiausaha Agung CUEPACS, menang tanpa bertanding bagi jawatan Setiausaha Agung.

Pemilihan CUEPACS kali ini turut menyaksikan kemunculan 50 peratus muka-muka baharu bagi mengisi jawatan yang dipertandingkan untuk penggal berkenaan.

Sementara itu, Adnan ketika ditemui pemberita berkata CUEPACS akan terus menggesa kerajaan untuk mempertimbangkan kenaikan kadar gaji minimum penjawat awam di seluruh negara bagi membantu meringankan kos sara hidup mereka.

Beliau berkata kadar gaji minimum sektor awam pada masa ini dilihat tidak memadai terutama bagi pekerja yang berada dalam golongan berpendapatan rendah (B40).

“Kita cadangkan gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,800 kerana kajian kita menunjukkan keperluan perbelanjaan seorang individu (yang hidup di bandar) memerlukan sekurang-kurangnya RM2,600 sebulan.

“Sebab itu kita cadangkan kepada kerajaan supaya gaji minimum ini dikaji semula dan ditetapkan pada RM1,800 dan apabila dicampur elaun termasuk Bantuan Sara Hidup (COLA) dan perumahan bolehlah sampai sasaran kepada kajian yang kami buat,” katanya.

Mengulas mengenai pemilihannya sebagai presiden baharu kongres tersebut, Adnan berkata beliau bertekad untuk terus memperjuangkan kebajikan 1.7 juta penjawat awam di negara ini.

Katanya, CUEPACS juga akan memastikan sektor awam terus relevan walaupun negara sedang menuju era Revolusi Perindustrian (IR) 4.0 yang menumpukan kepada produktiviti berteraskan teknologi dan inovasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

CUEPACS diingat henti bela korporat, utama kebajikan belia

SHAH ALAM, 22 JUL: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) ditempelak ekoran pendirian kesatuan itu menolak cadangan mewajibkan bayaran elaun kepada pelajar menjalani latihan praktikal di sektor kerajaan dan swasta.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sudah sampai masanya CUEPACS memikirkan kebajikan belia berbanding ketamakan dan keuntungan syarikat korporat.

“Hanya keluarga berkemampuan dapat akses untuk jalani latihan di syarikat besar, berhentilah hanya membela syarikat korporat tetapi fikirkan nasib anak muda.

“Jika anda hanya memikirkan keuntungan, ketamakan korporat dan lupakan kebajikan anak muda bermakna anda khianati belia Malaysia,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Memeterai Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Institut Sukan Negara di Dewan Anjung Sri Budiman, UiTM di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata, pada masa ini terdapat pelajar terpaksa menolak tawaran latihan praktikal di jabatan kerajaan dan syarikat besar di bandar utama kerana tidak mampu membiayai kos sara hidup.

Katanya, peluang menjalani latihan praktikal di organisasi terbabit adalah peluang terbaik untuk golongan terbabit menimba pengalaman sebelum memasuki dunia pekerjaan sebenar.

Syed Saddiq berkata, latihan praktikal juga menjadi syarat wajib untuk pelajar terbabit lulus dalam pengajian masing-masing.

Sebelum ini, CUEPACS menolak cadangan itu dengan melihat pemberian elaun kepada pelajar praktikal tidak wajar kerana ia proses pembelajaran mereka di institusi pengajian tinggi.

FOTO: FIKRI YUSOF (SELANGORKINI)

Categories
NASIONAL

Cuepacs rayu kekal rumah mampu milik untuk penjawat awam

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu supaya pembinaan rumah mampu milik untuk kakitangan awam menerusi Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) Negara dikekalkan.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, dasar itu perlu disusun semula dan keperluan penjawat awam perlu dipertimbangkan, kerana golongan itu tidak mampu bersaing dengan pekerja daripada sektor swasta yang gajinya jauh lebih tinggi.

“Kami amat berharap supaya kerajaan yang menjadi pemutus terakhir untuk membina rumah mampu milik untuk penjawat awam, dengan harga tidak melebihi gaji (kemampuan) mereka.

“Kadar harga rumah mampu milik RM300,000 adalah sangat tinggi dan di luar kemampuan penjawat awam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Dilaporkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin pada Sabtu lalu mengumumkan tiada lagi rumah khas kelompok penjawat awam, dalam pelaksanaan ketetapan baharu DRMM Negara dan Standard Perumahan Kebangsaan (SPK) tahun ini, bagi memastikan kelestarian perhubungan dalam suatu komuniti.

Azih berkata, pihaknya berharap kementerian berkenaan akan melibatkan pihak-pihak seperti Cuepacs dalam rundingan berkaitan dengan keperluan untuk penjawat awam, serta memberikan pandangan dan idea.

Katanya, Cuepacs akan mengutus surat kepada kementerian itu, bagi mendapatkan pencerahan mengenai perkara itu termasuk kriteria bagi memperolehi rumah mampu milik.

-BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Cuepacs cadang rangka sistem saraan lebih komprehensif

KOTA BHARU, 23 DIS: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bercadang mengemukakan sistem saraan baharu yang lebih bersifat komprehensif dan memberi lebih banyak faedah kepada penjawat awam bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata pihaknya ketika ini sedang mengumpul segala input berkaitan untuk dikemukakan kepada kerajaan bagi membantu proses merangka draf cadangan itu.

“Sejak SSM dilaksanakan pada 2002, sehingga kini sistem saraan yang sedia ada belum diubah dan oleh itu kami berharap dengan adanya sistem baharu ini ia dapat mengambil kira cabaran 2020 pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Majlis Makan Malam Cuepacs Peringkat Negeri Kelantan yang turut dihadiri Pengerusi Cuepacs Kelantan Aminuddin Awang di sini, malam semalam.

Azih berkata sistem saraan baharu itu dijangka dapat membantu penjawat awam menangani kos sara hidup berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan berbayar seperti elektrik dan kemudahan jalur lebar yang tidak terkawal.

Beliau berkata sistem saraan yang lebih komprehensif ini dilihat mampu untuk menyuntik semula semangat dan meningkatkan lagi produktiviti penjawat awam ke tahap yang lebih tinggi sekali gus menyahut cabaran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar Malaysia dapat kembali sebagai Harimau Asia.

Dalam perkembangan lain, Azih berkata pihaknya berharap kerajaan akan memberi pampasan yang setimpal kepada keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, anggota bomba yang meninggal dunia Isnin lepas selepas diserang sekumpulan lelaki dalam kekecohan sebuah kuil di Subang Jaya, Selangor, bulan lalu.

“Ia sebagai tanda galang ganti kepada keluarga kerana pengorbanan Allahyarham yang berkhidmat kepada negara yang akhirnya melibatkan kehilangan nyawa, sekurang-kurangnya dengan pampasan yang setimpal ia dapat mengubati hati keluarganya,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

CUEPACS mohon lanjut notis henti kakitangan kontrak

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 MEI: Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa kerajaan melanjutkan notis penamatan kontrak penjawat awam, sekurang-kurangnya enam bulan ekoran pengumuman beberapa agensi dibubarkan, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, cadangan itu bertujuan memberi ruang kepada mereka mendapatkan pekerjaan baharu, sekali gus merancang masa depan dengan lebih baik.

Beliau berkata, kebanyakan mereka yang bakal diberhentikan itu mempunyai bebanan hutang dan komitmen kewangan selain tanggungan anak yang ramai.

“Kita difahamkan bukan semua yang diberhentikan adalah lantikan politik daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, terdapat juga daripada kumpulan pelaksana 1 dan 2 juga golongan profesional serta pengurusan yang menerima notis penamatan perkhidmatan, pada 16 Jun.

“Mereka ini tidak langsung terlibat dengan pekerjaan membuat dasar, sekurang-kurangnya kalau boleh kita minta supaya beri notis berhenti enam bulan kepada mereka sebelum diberhentikan,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Selain itu, katanya, tarikh akhir notis perkhidmatan yang bersamaan dengan hari kedua Aidilfitri bakal mengundang pelbagai kesulitan dalam menyiapkan persiapan dan belanja seisi keluarga.

Categories
NASIONAL

Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis

SHAH ALAM, 30 APRIL: Lebih 49,000 penjawat awam berdepan risiko muflis ekoran kegagalan menguruskan hutang pinjaman, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, penjawat awam terbabit didapati melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan melebihi kemampuan gaji mereka.

Katanya, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman dilakukan penjawat awam juga adalah antara punca mereka melakukan pinjaman bertindih.

“Hal ini saya lihat semakin serius dan ia terjadi kerana ada penjawat awam bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman.

“Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain.

KUALA LUMPUR 15 DECEMBER 2016. Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (CUEPACS), Datuk Azih Muda. NSTP/AZHAR RAMLI

“Mereka (penjawat awam) boleh meminjam di mana-mana institusi pinjaman dengan hanya membawa slip gaji dan potongan dibuat setiap bulan. Terdapat penjawat awam yang pinjam dengan institusi A, kemudian pinjam pula dengan institusi B dan C,” katanya.

Justeru, beliau berkata, Cuepacs mencadangkan kerajaan melaksanakan sistem seperti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia iaitu Sistem Pelaporan Kredit (Spekar) yang mempunyai rekod penjawat awam.

“Sistem ini akan dapat mengawal pinjaman yang dilakukan penjawat awam kerana sistem itu dapat mengesan data potongan gaji dan maklumat pinjaman penjawat awam.

“Sekarang ini yang dudah diisytihar muflis lebih 3,000 orang, kalau tidak dibendung, jumlah itu akan bertambah,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

CUEPACS gesa keputusan tutup pejabat Tourism ditangguh

OLEH LIZAWTI MADFA

SHAH ALAM, 26 JAN: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut Kerajaan Persekutuan menangguhkan hasrat menutup pejabat Tourism Malaysia di seluruh negara.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, keputusan yang dibuat sebelum ini dilihat agak tergesa-gesa dan memberi kesan kepada moral dan kebajikan pekerja.

Katanya, keputusan tanpa pemberitahuan awal kepada kakitangan terbabit juga amat mengecewakan.

“Pengumuman itu dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada makluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat.

presiden cuepacs datuk azih“Sekarang, arahan penutupan serta-merta hanya diketahui menerusi laporan media dan pekerja bingung dengan status mereka,” katanya dalam sidang media di Wisma Ceupacs, semalam.

Beliau juga menuntut kajian terperinci berkenaan cadangan penutupan pejabat Tourism itu diadakan sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Ini kerana pejabat memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menggalakkan produk pelancongan Malaysia. Takkan sebab nak jimat RM6 juta, tak fikirkan kebajikan pekerja.

“Saya merayu perdana menteri beri ruang kepada pekerja ini gambaran jelas berkenaan penempatan baru mereka,” katanya.

Pada 23 Januari lalu, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Aziz mengumumkan penutupan semua pejabat Tourism Malaysia kerana didakwa terdapat pertindihan tugasan dengan pejabat pelancongan negeri.

Seramai 232 kakitangan pejabat Tourism Malaysia seluruh negara termasuk 39 berstatus kontrak dijangka terjejas dengan keputusan berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL

CUEPACS desak skim perkhidmatan Kastam ditambah baik

SHAH ALAM 1 FEB: Kerajaan Persekutuan diminta menambah baik Skim Perkhidmatan Kastam untuk kumpulan pelaksana jabatan itu sesuai dengan beban dan risiko tugas.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata permintaan itu dikemukakan Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia (KPKSM), Kesatuan Sekerja Kastam Sabah dan Kesatuan Pegawai Kastam Sarawak.

CUEPACSKatanya, menerusi permintaan itu, Kesatuan mencadangkan klasifikasi gred sedia ada iaitu W untuk kewangan ditukar ke gred KW – Penguatkuasa dan Kewangan – yang bersesuaian dengan bidang tugas anggota Kastam.

“Kertas cadangan juga memohon gred sedia ada W 17, W 22 dan W 26 dinaikkan ke gred KW 29 dengan mewujudkan laluan kerjaya sehingga ke gred KW 40,” katanya dipetik BERNAMA.

Katanya, beliau juga berharap agar semua anggota Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapat perlindungan insurans yang dibiayai kerajaan.

“Perlindungan insurans penting untuk semua pegawai khususnya pegawai penguatkuasa yang selalunya berhadapan dengan pelbagai cabaran,” katanya.

Sementara itu, Azih turut meminta Kerajaan Persekutuan mengekalkan khidmat Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dalam urusan pemotongan gaji kakitangan awam untuk bayaran balik pinjaman.

Untuk itu, katanya, CUEPACS bakal menghantar memorandum kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak minggu hadapan.

EZY

 

Categories
NASIONAL

Keterlaluan anggap penjawat awam sertai bantah GST pengkhianat

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 2 MEI: Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyifatkan dakwaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bahawa penjawat awam yang menyertai himpunan 1 Mei semalam sebagai pengkhianat adalah suatu tindakan melampau dan keterlaluan.

Pengerusinya, Yahya Sahri, berkata kakitangan awam tidak sepatutnya dihalang untuk menyertai perhimpunan membantah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) kerana mereka juga mempunyai hak untuk bersuara.

Katanya, kebebasan menyatakan pendirian masing-masing terhadap sesuatu perkara atau isu juga jelas termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Soal kakitangan bekerja dengan kerajaan itu urusan masing-masing kerana selagi mereka bekerja dan menjalankan tugas dengan amanah dan baik itu tidak menjadi masalah.

yahya-shari-01“Cuepacs sepatutnya menyatakan kakitangan awam atau pegawai tinggi yang terbabit dengan amalan rasuah itu adalah pengkhianat, tetapi mereka tidak pernah buat. Kita amat kecewa dengan kenyataan Cuepacs,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

Semalam, Pengerusi Cuepacs, Azih Muda, berkata penjawat awam yang terbabit dalam perhimpunan yang menentang kerajaan itu melanggar Aku Janji dan Ikrar Perkhidmatan yangdibuat.

Beliau turut menganggap mereka (penjawat awam) yang menyertai himpunan itu sebagai pengkhianat dan boleh keluar daripada menjadi penjawat awam.

Pada masa sama, Yahya berkata, pihaknya turut menyanjung tinggi keberanian penjawat awam yang turun ke jalanan bagi menyatakan hasrat dan pendirian mereka terhadap GST yang jelas menindas serta membebankan rakyat daripada sudut kos sara hidup.

Katanya, kerajaan perlu mempunyai alternatif lain untuk membantu rakyat menjana pendapatan tambahan jika mereka memang ikhlas memperjuangkan kepentingan rakyat.

“Kalau sekadar mendengar tetapi pihak kerajaan tidak sehaluan dengan pendapat rakyat, maka tiada gunalah. Tidak cukup sekadar mendengar, rakyat ingin tindakan yang dibuat kerajaan bukan sekadar mendengar sahaja,” katanya.

-NFN-