Categories
NASIONAL

Undi Bersurat Lantik Speaker Bukti PM Tidak Percaya Ahli Parlimen Sendiri

parliment

KUALA LUMPUR, 24 JUN : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) hari ini mempertikaikan proses pengundian Yang di-Pertua (Speaker) Dewan Rakyat yang menggunakan kaedah ‘undi bersurat’ yang didakwa tidak memberi kebebasan kepada anggota dewan untuk membuat pilihan.

Ia berikutan, setiap anggota Dewan Rakyat perlu menulis nama calon Speaker dan nama mereka sendiri serta menandatangani kertas undi sebelum diserahkan kepada Setiausaha Parlimen, Rosmee Hamzah.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar antara yang terawal mempertikaikan kaedah pengundian itu sebelum ia disokong oleh pimpinan PR lain antaranya, Tian Chuan (PKR-Batu) dan Gobind Singh Deo (DAP-Puchong).

“Kenapa perlu tandatangan? Perdana Menteri tidak percaya dengan ahli Parlimen BN sendiri ke?” sindir Mahfuz yang juga Naib Presiden PAS itu.

Terdahulu, Setiausaha Parlimen mengumumkan dua calon yang masing-masing dikemukakan oleh PR dan Barisan Nasonal (BN).

PR melalui Ahli Parlimen Bandar Tun RAzak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mencadangkan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman, sementara BN menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mencadangkan Tan Sri Pandikar Amin Mulia sebagai Speaker.

Bagaimanapun, keputusan undian memihak kepada Pandikar Amin dengan jumlah undi sebanyak 133 manakala Abdul Kadir mendapat 89 undi.

Keputusan itu sekaligus mengekalkan Pandikar Amin sebagai Speaker Dewan Rakyat buat penggal kedua selepas dilantik secara rasmi pada 28 April 2008.

Categories
SELANGOR

Anwar Nafi Bincang Kerajaan Perpaduan – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 2062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan penglibatan perbincangan kerajaan perpaduan semasa lawatan beliau ke Indonesia baru-baru ini.

2. Pakatan Rakyat sebulat suara untuk menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

3. Pakatan Rakyat kekal untuk menyertai Himpunan Blackout 505 Sabtu ini dan mengajak seluruh kepimpinan parti, aktivis, penyokong dan rakyat untuk turut serta dalam perhimpunan tersebut.

4. Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membidas sikap polis yang cuba menutup kes penderaan dan pembunuhan tahanan.

5. Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, akan melakukan tinjauan tapak projek pembinaan Hospital Shah Alam 28 Jun ini, jam tiga petang.

Categories
NASIONAL

PR Namakan Kamaruddin Jaafar Sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat

anwar dewan rakyat

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pakatan Rakyat (PR) menamakan Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Perkara ini dimaklumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sidang media di Ibu Pejabat PAS di Jalan Raja Laut di sini.

“Kita percaya bahawa langkah ini sejajar dengan peningkatan bilangan komposisi ahli parlimen daripada PR dan akan meningkatkan lagi kualiti amalan demokrasi di negara ini,” ujarnya lagi.
Jelas Anwar, Timbalan Yang Dipertua ini hendaklah dipilih daripada kalangan Ahli Parlimen BN dan seorang lagi daripada Pakatan Rakyat.

Dalam sidang media yang sama Anwar turut memaklumkan PR secara rasmi dan sebulat suara menamakan mantan Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Abdul Kadir Sulaiman sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat bagi Parlimen Ketiga Belas.

Menurut Anwar, PR bertegas pemilihan yang Dipertua Dewan Rakyat mesti dilantik daripada kalangan seorang yang bebas, berkecuali tanpa parti, berwibawa dan berkelayakan untuk berkhidmat.

“Ahli Parlimen Bandar Tun Razak merangkap Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai mewakili pendirian PR menghantar pencalonan tersebut kepada parlimen pada 10 Jun lalu,” katanya kepada media.

Beliau turut mengumumkan bahawa konsensus PR bersetuju mengekalkan beliau sebagai Ketua Ahli Parlimen Pakatan Rakyat.

Katanya lagi, semua Ahli Parlimen PR akan hadir pada pada Majlis Angkat Sumpah Ahli Parlimen pada Isnin, 24 Jun.

Secara keseluruhan, PR mempunyai 89 Ahli Parlimen yang dipilih rakyat pada PRU-13 lalu daripada jumlah keseluruhan 222 kerusi.