Categories
EXCO SELANGOR

Muzium, bangunan bersejarah bakal dinaik taraf

SHAH ALAM, 2 OKT: Muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf menerusi peruntukan Belanjawan Negeri 2020.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri memberi perhatian khusus terhadap nilai kesenian dan kebudayaan yang terdapat di Selangor.

“Kita menjangkakan aspek ini membabitkan muzium, bangunan dan kawasan bersejarah bakal dinaik taraf dari segi infrastruktur juga sebagainya.

“Ini akan difokuskan menerusi Belanjawan Negeri 2020, kita akan lakukan yang terbaik sempena Tahun Melawat Malaysia 2020,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Abdul Rashid berkata, industri pelancongan akan terus dipromosikan menerusi FAM Trip dan kerjasama negara luar.

Katanya, pihaknya akan membawa pemain industri tempatan dan luar negara ke Selangor khususnya tempat pelancongan terbaik di negeri ini.

Menerusi Belanjawan Negeri 2019, Kerajaan Negeri memperkasakan program seni kebudayaan berteraskan elemen tradisi dan warisan dengan memperuntukkan
sejumlah RM1.5 juta bagi melaksanakan Festival Alam Melayu Negeri Selangor dan ‘Rentak Selangor International Festival’.

Sejumlah RM2.5 juta turut diperuntukkan sebagai dana tunas untuk penubuhan galeri seni halus Shah Alam Modern Arts (SAMA) dalam jangka masa lima tahun sebagai usaha memposisikan Selangor sebuah pusat seni kontemporari utama di Asia Tenggara.

Categories
EXCO SELANGOR

Lebih 5,000 warga emas DUN Selat Klang terima Jom Shopping SMUE

KLANG, 30 SEPT: Seramai 5,800 warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selat Klang bakal menerima Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas (SMUE) secara berperingkat.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pemberian baucer RM100 itu akan mengikut bulan kelahiran golongan berkaitan bermula September ini.

“Jom Shopping SMUE ini adalah salah satu produk Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang dilaksanakan Kerajaan Negeri selepas dijenamakan semula pemberian khairat kematian.

“Ini membuktikan keprihatinan Selangor kepada warga emas yang memerlukan tanpa mengira kaum,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program pemberian Jom Shopping SMUE, di Pasaraya Econmart di sini, hari ini.

Penerima memilih barangan keperluan harian ketika Program Jom Shopping Skim Mesra Warga Emas DUN Selat Klang di Econmart Sungai Bertih Jalan Yadi pada 30 September 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Ahli Dewan Negeri (ADN) Selat Klang itu berkata, pemberian berkenaan juga bertepatan dengan hasrat Kerajaan Negeri yang menghargai warga emas dan mahu mereka menikmati hasil negeri.

Beliau turut berharap warga emas yang menerima manfaat itu dapat berbelanja dengan berhemah mengikut keperluan.

Pada program itu, seramai 128 warga emas menerima baucer pada peringkat pertama bagi DUN berkenaan.

Kerajaan Negeri memperuntukkan RM20 juta setahun untuk program terbabit dan semua warga emas berdaftar layak menerimanya bermula September ini.

Menerusi langkah ini, Kerajaan Negeri menjangkakan lebih 200,000 warga emas akan dapat menikmati manfaatnya di sepanjang hidup mereka.

Pelaksanaan program terbabit akan dibuat secara berperingkat mengikut bulan kelahiran masing-masing.

Categories
EXCO SELANGOR

Tourism Selangor akan terima Pengurus Besar baharu

SHAH ALAM, 19 OGOS: Tourism Selangor bakal menerima Pengurus Besar yang baharu tidak lama lagi bagi mengantikan Noorul Ashikin Mohd Din.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya sudah mencadangkan beberapa nama kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari untuk dipilih.

“Kita menerima beberapa permohonan dan sudah menyenarai pendek, saya juga sudah menghantar senarai itu kepada Dato’ Menteri Besar.

“Saya menjangkakan, lantikannya akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya kepada SelangorKini.

Abdul Rashid berkata, Tourism Selangor memerlukan calon yang berintegriti, berkredibiliti dan berpengalaman selain menonjolkan ciri-ciri seorang pemimpin.

“Hal ini bagi memastikan anak syarikat Kerajaan Negeri itu mempunyai pengurusan lebih cekap, mantap dan komited memajukan produk pelancongan negeri ini.

“Produk pelancongan Selangor terlalu banyak, ia akan rugi jika tidak dipromosikan.

“Oleh itu, sesiapa yang bakal dipilih diharap dapat membantu saya untuk menjadikan Tourism Selangor lebih maju dan hebat berbanding negeri lain dalam menarik pelancong,” katanya.

Ketika ini, Tourism Selangor dipimpin Pemangku Pengurus Besar, Mohammad Zaim Mohammad Nasir.

Categories
EXCO SELANGOR

Ekspresi Tari bawa kelainan Tarian Piring Selangor

SHAH ALAM, 29 JUL: Pertandingan Ekspresi Tari Selangor anjuran Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) membawa kelainan pada kali ini dengan menampilkan persembahan Tarian Piring Selangor yang diadakan di Teater Shah Alam di sini, semalam.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Tarian Piring Selangor adalah warisan kebudayaan masyarakat Minangkabau yang dibawa Sumatera ke Pantai Barat Tanah Melayu bermula sekitar Abad ke-12 Masihi.

Katanya, di Selangor tarian itu mula berkembang di Jenderam Hilir, Sepang sekitar 1885 oleh masyarakat Minang yang merantau dari Sumatera.

“Berdasarkan kajian perbandingan, PADAT dapat mengenal pasti 22 gerak tari Tarian Piring Selangor yang membezakannya antara Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Terengganu.

“Malah, antara gerak tari tarian itu termasuklah Helang Menyongsong Angin, Helang Berlegar ke Depan, Lompat Gagak dan Tupai Bergelut.

“Hasil kajian itu juga bakal diterjemahkan di dalam buku terbitan PADAT bertajuk Tarian Piring Selangor yang akan dilancarkan tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 di sini, yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif PADAT, Dato’ Paiman Keromo.

Sementara itu, katanya, Tarian Piring Selangor itu menampilkan gerakan seolah-olah petani sedang bercucuk tanam dan menuai padi.

“Ia juga dikatakan sebagai satu bentuk hiburan selepas petani penat membanting tulang selain melambangkan rasa kegembiraan dan syukur dengan hasil tanaman mereka,” katanya.

Terdahulu, pertandingan Ekspresi Tari Selangor 2019 itu menampilkan 40 kumpulan kebudayaan berentap bagi merebut gelaran juara membabitkan peserta kategori sekolah rendah, sekolah menengah dan institut pengajian tinggi/terbuka.

Penganjuran pertandingan ini adalah inisiatif dan usaha Kerajaan Negeri bagi merakyatkan kebudayaan serta warisan Selangor, sekali gus menghidupkan Shah Alam sebagai Kota Seni.

FOTO: REMY ARIFIN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

Anugerah bukti Selangor miliki pelancongan serba lengkap

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 8 JUL: Anugerah Destinasi Pelancongan Terbaik 2018 dimenangi Tourism Selangor membuktikan Selangor memiliki produk pelancongan serba lengkap meliputi semua segmen seperti eko pelancongan, membeli belah, rekreasi dan sukan.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Negeri Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, anugerah oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) itu disampaikan pada MTC Gold Award pada November tahun lalu berikutan kejayaan Tourism Selangor mempopularkan produk pelancongan terbaharu iaitu Sky Mirror dan Selangor Fruit Valley.

Beliau berkata, maka tidak hairan Selangor sering menjadi tumpuan operator pelancongan luar negara.

“Semasa saya di Jepun untuk mempromosi pelancongan negeri ini, kami mendapat sambutan sangat baik operator di sana.

“Mereka sedia membantu mempromosikan Selangor kepada pelancong yang ingin melancong ke Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Abdul Rashid berkata, operator pelancongan Jepun turut memasukkan Selangor dalam laman sesawang bahasa Jepun bagi tujuan mempromosikan destinasi pelancongan negeri ini.

Katanya, beliau yakin sasaran 10 juta pelancong datang ke Selangor tahun ini mampu dicapai berikutan usaha keras Tourism Selangor dan pengusaha produk pelancongan.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kepelbagaian budaya jadikan Selangor destinasi pelancongan unik

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 1 JUL: Kepelbagaian budaya yang wujud di Selangor menjadi nilai tambah terpenting sebagai sebuah destinasi pelancongan unik di mata pelancong luar.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pelancong luar kagum dengan Malaysia, khususnya Selangor yang menyatupadukan pelbagai kaum dan hidup dalam keadaan harmoni serta saling menghormati.

“Ia sarat dengan tempat pelancongan bercirikan keagamaan, alam sekitar, sukan, peninggalan sejarah dan syurga membeli belah.

“Malah, kita juga mengetengahkan aspek gastronomi atau aneka pilihan hidangan bercirikan keunikan pelbagai bangsa di Malaysia mahupun rasa antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Majlis Warna Warni Aidilfitri Negeri Selangor 2019, di Dataran Pangsapuri Sri Perantau, di sini malam tadi.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; EXCO Lembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Pada masa sama, Abdul Rashid yang juga Ahli Dewan Negeri Selat Klang memberitahu, Selangor menerima kunjungan 7.3 juta pelancong domestik dan antarabangsa sepanjang tahun lalu.

“Bagaimanapun, kita menyasarkan angka berkenaan akan meningkat kepada 7.7 juta pengunjung bagi tahun ini.

“Kita juga berharap Selangor akan terus memacu ke gerbang kemajuan terutama untuk sektor pelancongan,” katanya.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Warna Warni Aidilfitri Selangor 2019 rakam kenangan manis

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PELABUHAN KLANG, 1 JUL: Majlis Warna Warni Aidilfitri Negeri Selangor 2019 merakam kenangan manis tersendiri apabila lebih 10,000 pengunjung khususnya warga Klang membanjiri Dataran Pangsapuri Sri Perantau bagi meraikan kemeriahan sambutan itu, di sini malam tadi.

Jamuan raya terbabit adalah penganjuran sulung di bawah EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari.

Abdul Rashid berkata, sambutan berkenaan memberi ruang kepada seluruh masyarakat untuk berkumpul dalam suasana penuh harmoni sambil menikmati aneka hidangan yang sinonim dengan kedatangan Syawal.

Katanya, Syawal adalah masa untuk meluangkan bersama jiran taulan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama warga tanpa mengira bangsa dan agama.

“Kita memberi sokongan jitu kepada apa sahaja usaha dan penganjuran program berteraskan semangat tolong-menolong serta bantu-membantu dalam kalangan rakyat.

“Amalan mulia ini melambangkan identiti kita sebagai bangsa Malaysia yang penuh adab dan budaya kesopanan tinggi.

“Nilai sebegini perlu disemai dalam kalangan generasi baru supaya keharmonian negara dapat dikekalkan,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Hadir sama, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; EXCO Lembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa Dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail serta EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian.

Difahamkan, budaya ‘rewang’ atau penyediaan masakan secara bergotong-royong ditetapkan melalui penganjuran majlis jamuan raya berkenaan.

Penyediaan aneka juadah cukup sinonim dengan amalan rumah terbuka seperti lemang, rendang, sup tulang dan kari ayam yang menggamit selera dikendalikan sendiri Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Perantau yang bertungkus-lumus memasak seawal 9 pagi.

Dalam majlis sama, Abdul Rashid turut menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak yang dijemput khas dari tiga pusat kebajikan sekitar daerah terbabit.

Sumbangan berbentuk replika cek bernilai RM2,000 diserahkan kepada Persatuan Anak Yatim dan Miskin A-Munirah, Rumah Anak Yatim Opah Hasnah dan Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim dan Miskin Sungai Pinang.

Lebih mengujakan, pengunjung turut dihiburkan dengan persembahan penyanyi popular tanah air yang juga Juara Gegar Vaganza musim kedua, Siti Nordiana, bekas peserta Akademi Fantasia musim keempat, Haziq termasuk artis residen dari Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor.

Categories
SUKANKINI

Golf Terbuka Amatur angkat Selangor destinasi pelancongan sukan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

BANGI, 17 JUN: 160 peserta dari dalam dan luar negara bakal berentap dalam Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor kali ke 46 dengan kerjasama Tourism Selangor di Danau Golf Club, bermula pada 4 hingga 7 Julai.

EXCO Pelancongan dan Kebudayaan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, Kerajaan Negeri berazam untuk menghebahkan kepada komuniti golf hingga ke peringkat ASEAN untuk menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan berteraskan golf dengan membabitkan diri dalam kejohanan berkenaan.

“Kejohanan ini membuka peluang kepada Tourism Selangor untuk mempromosi Selangor sebagai destinasi pelancongan golf yang terunggul di Malaysia.

“Selangor bukan hanya mempunyai kemudahan golf bertaraf dunia, malah kaya dengan seni warisan dan peninggalan sejarah yang akan memberikan nilai tambah kepada pengalaman golf mereka.

“Ini adalah salah satu daripada Indeks Prestasi Utama (KPI) kami untuk meneroka pelancongan sukan dan golf, yang jelas mempunyai potensi besar untuk dibangunkan di dalam alam industri pelancongan negeri dan secara langsung menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Danau Golf Club di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Malaysia Golf Associations (MGA), Laksamana (B) Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor dan Pengurus Besar Pelancongan Selangor, Mohammad Zaim Mohd Nashir serta Pengurus Kelab Golf Danau, Johan Fariz Mohamed Salleh.

Pada masa sama, Mohd Anwar berkata, pihaknya sememangnya menantikan penganjuran kejohanan itu bagi menarik minat pemain golf dari serata negara.

“Kami berterima kasih kepada Tourism Selangor atas sokongan padu diberikan dan juga kepada Danau Golf Club atas usaha keras yang ditunjukkan bagi memastikan kejayaan kejohanan dirancang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, MGA percaya reputasi yang dipegang Kejohanan Golf Terbuka Amatur Selangor sebagai penganjur acara golf amatur akan lebih diperkukuh dengan kerjasama baik diterima dari Tourism Selangor.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor sasar 9 juta pelancong tahun ini

HULU LANGAT, 16 APRIL: Sektor pelancongan di Selangor dijangka menjana pendapatan lebih RM10 bilion pada tahun ini, dengan sasaran kedatangan kira-kira sembilan juta pelancong.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, jumlah itu meningkat apabila sektor pelancongan Selangor menjana RM8.9 bilion dengan kehadiran 7.5 juta pelancong dicatat, pada 2018.

“Kita begitu giat mengadakan program pelancongan dan lawatan ke luar negara untuk mempromosi Selangor sebagai negeri yang harus dilawati.

“Selangor mempunyai keunikan dengan pelbagai makanan dan produk pelancongan serta diiktiraf Majlis Pelancongan Malaysia sebagai destinasi pilihan pada tahun lalu,” katanya kepada pemberita semalam.

Abdul Rashid yakin jumlah sasaran pelancong ke Selangor pada tahun ini, dapat dicapai susulan negeri berkenaan mempunyai pelbagai destinasi pelancongan unik seperti Sky Mirror di Kuala Selangor dan aktiviti paragliding di Bukit Jugra.

Terdahulu, Abdul Rashid merasmikan jelajah media ‘Eat Travel Write-Selangor International Culinary Adventure 2019’ di Hulu Langat yang bermula pada 15 April dan berakhir pada 18 April.

Pada program itu, 31 peserta terdiri daripada media tempatan dan antarabangsa akan menikmati pengalaman dalam penyediaan keunikan juadah daripada etnik Minang dan Kerinchi di sekitar daerah Hulu Langat. -BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 April — Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Abdul Rashid Asari (dua, kiri) merasmikan Jelajah Media ‘Eat Travel Write Selangor International Culinary Adventure 2019’ di Taraa Pong malam tadi.
Turut serta Yang Di Pertua Majlis Kebudayaan Negeri Selangor Tengku Shamsul Bahri Tengku Azman Shah (dua, kanan), Penolong Pengarah Sub Sekyen Kebudayaan dan Pelancongan Negeri Selangor Ahmad Nazmi Razali (kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Gaya Travel Magazine Nuar Md Diah (kiri).
–fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA
Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RGG’19 cipta rekod baharu dalam MBOR

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

BANTING, 14 APR: Retromania Grand Gathering (RGG’19) berjaya mencatat rekod baharu dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menghimpunkan seramai 343 pemilik motosikal scrambler dari seluruh negara.

Lebih istimewa, dua daripada motosikal berkenaan pernah digunakan dalam filem Gila-Gila Remaja yang pernah menyinari industri filem tempatan sekitar era 90-an.

Edisi ketujuh perhimpunan motosikal terbesar yang berlangsung di Dataran Pantai Morib itu turut menyaksikan kehadiran hampir 30,000 pengunjung, khususnya penggemar jentera dua roda.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, acara selama dua hari itu bukan sahaja mengumpulkan motosikal retro, malah menjadi medan terbaik buat pemilik motosikal lama berkongsi idea dan pendapat berhubung penyelenggaraan, selain sumber mendapatkan alat gantian.

“Sejak ia mula diadakan pada 2014, kehadiran peminat yang datang ke sini meningkat saban tahun dan mungkin akan lebih meningkat pada tahun seterusnya.

“Walaupun cuaca panas, tetapi sambutan begitu hebat pada tahun ini. Kita harap program ini berterusan bagi menguatkan ukhwah silaturahim antara peminat dan pengguna yang aktif bermotosikal.

“Kita akan cuba memecah rekod pada tahun akan datang dan mengubah sedikit konsep kepada motosikal besar,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup RGG’19, di sini, hari ini.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohammad Zain A Hamid dan Ahli Dewan Negeri Morib, Hasnul Baharudin.

Sementara itu, Mohammad Zain berkata, pihaknya komited menjadikan Pantai Morib sebagai lokasi penganjuran acara gah seumpama itu, sekali gus mampu menaikkan imej kawasan rekreasi berkenaan.

“Penganjuran ini memberi impak positif terhadap masyarakat, selain membantu merancakkan sosioekonomi penduduk di sekitar daerah ini,” katanya.

FOTO: HAFIZ OTHMAN (SELANGORKINI)

Categories
SELANGOR

PADAT bakal laksana Simfoni Cempuling

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 21 MAC: Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) bakal melaksanakan program Simfoni Cempuling di Teater Shah Alam, tahun ini, kata Datuk Abdul Rashid Asari.

EXCO Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan berkata, tarikhnya bergantung kepada kesediaan pelapis muda yang terbabit itu untuk mengadakan persembahan berkenaan.

Katanya, program Simfoni Cempuling itu bakal menampilkan 300 pemain cempuling terpilih daripada pemilihan yang dilakukan di 13 sekolah sekitar Selangor.

“Program untuk merakyatkan muzik ini sudah bermula dengan penubuhan kumpulan cempuling di 13 sekolah terpilih dari seluruh daerah dengan membekalkan set cempuling serta tenaga pengajar.

“Pada masa sama, PADAT turut merangka satu program gala iaitu mengadakan simponi cempuling,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Kampung Tunku, Lim Yi Wei berhubung Industri Kesenian Selangor, di sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Muzik cempuling adalah seni muzik tradisional bagi etnik Jawa dan ia amat popular suatu ketika dahulu sebagai medium yang digunakan bagi menyampaikan ajaran Islam dan nasihat kepada masyarakat.

Kemudian ia dimodenkan dengan menyanyikan lagu dalam bahasa Melayu dan bahasa lain namun masih mengekalkan konsep lagu berunsurkan teladan dan pengajaran.

Usaha memartabatkan muzik cempuling di Selangor sudah bermula sejak 2015 dengan kejayaan bagi catatan “Malaysia Book of Records” Bermain Muzik Cempuling Selama 25 jam Tanpa Henti yang diadakan di Homestay Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam.

Categories
SELANGOR

Permatang Kuarza Gombak belum sedia diiktiraf Tapak Warisan Dunia UNESCO

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 20 MAC : Pasukan Perunding Pakar Kajian Dossier mendapati tapak Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) masih belum bersedia dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

EXCO Kebudayaan, Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Penyelarasan Laporan Draf Akhir Dossier PKGS Teknikal pada Disember, tahun lalu.

Katanya, hasil penemuan kajian Dossier PKGS mendapati nilai estetik PKGS adalah tidak terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan tapak lain.

“Malah, kajian saintifik, penyelidikan, penerbitan dan sumber rujukan serta maklumat khusus berkenaan kuarza di PKGS masih terlalu terhad.

“Integriti sesuatu tapak yang dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu berada ditahap tertinggi dan ini amat berkaitan dengan isu pengurusan dan pemuliharaan tapak bagi mengekalkan keaslian kawasan PKGS,” katanya ketika Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, semalam.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri Hulu Kelang, Saari Sungib berkenaan langkah terbaru Kerajaan Negeri bagi memelihara kawasan PKGS.

Pasukan Pakar Perunding itu terdiri daripada Pakar Arkeologi, Warisan dan Budaya Dunia, Datin Paduka Prof. Emiretus Siti Zuraina Abdul Majid; Pakar Biodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia, Prof. Emiretus Dato’ Dr. Abdul Latif Muhammad dan Pakar Geodiversiti, Warisan Alam Semula Jadi Dunia, Prof. Dr. Mohd Shafeea Leman.

Abdul Rashid berkata, pada masa sama hasil kajian mendapati terdapat perubahan kepada keperluan pencalonan.

“Ia di mana sesebuah tapak yang ingin dicalonkan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO perlu menguatkuasakan Conservation Management Plan (CMP) terlebih dahulu sekurang-kurangnya dua tahun,” katanya.

Foto Kredit: Tourism Selangor