Categories
SELANGOR

Keluarga tuntut Satim tarik kenyataan

OLEH HAFIFA AWANG

SHAH ALAM, 28 FEB: Keluarga Allahyarham Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor yang meninggal dunia mahu Datuk Mohamed Satim Diman menarik balik kenyataan tidak sensitifnya berhubung kematian kesemua pemimpin itu.

Balu Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Badaruddin, Adibah Ahmad berkata, Ketua UMNO Bahagian Puchong itu digesa menarik semula kenyataan yang mengguris hati keluarga dan kenalan Allahyarham.

“Sesungguhnya tidak ada mana-mana pangkat, darjat atau latar belakang parti politik yang dapat menghalang takdir Allah berkaitan kehidupan dan kematian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang turut dihadiri Balu Shuhami Shafiei, mendiang Eddie Ng Tien Chee dan anak Allahyarham Bahtiar Mohd Nor.

Beliau percaya setiap pemergian itu adalah qada’ dan qadar serta berharap tiada lagi unsur kempen melampaui batas norma dan budaya sebagai rakyat Malaysia.

“Kehidupan dan kematian itu adalah takdir Yang Maha Kuasa, tidak perlulah nama arwah diburuk-burukkan lagi,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Satim dilaporkan sebagai berkata, semua pilihan raya kecil (PRK) di Selangor iaitu di Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Semenyih membabitkan kematian wakil rakyat daripada Pakatan Harapan, bukan daripada Barisan Nasional.

Beliau didakwa berkata, Allah SWT memberi amaran sejak PRK Sungai Kandis lagi supaya rakyat memilih parti pemerintah yang tepat, namun rakyat tidak memahami isyarat itu.

 

Categories
SELANGOR

Satim biadap kait kematian sebagai amaran Tuhan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 FEB: Ucapan Ketua Bahagian UMNO Puchong, Datuk Mohamed Satim Diman, yang mengaitkan kematian Ahli Dewan Negeri (ADN) Selangor sebagai tanda amaran dari penciptaNya, disifatkan melampau dan di luar kebiasaan tata susila budaya Melayu serta akhlak Islam.

ADN Sungai Kandis, Zawawi Ahmad Mughni berkata, tindakan berkenaan juga dilihat terdesak untuk memenangi hati rakyat dengan menggunakan kempen biadab.

“Apakah sebenarnya niat pemimpin UMNO itu yang menjadikan kematian ADN sebagai satu celaan dan serangan kepada Pakatan Harapan (PAKATAN)?

“Tentunya ini adalah gambaran psikologi dalaman pimpinan UMNO yang semakin tertekan dengan sokongan rakyat yang terus meningkat kepada PAKATAN di Selangor,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, sebagai sahabat perjuangan kepada Allahyarham Shuhaimi Shafiei, Prof Dr Shaharudin Badaruddin dan Bakhtiar Mohd Nor, beliau menuntut Satim menarik semula kenyataan itu.

Beliau juga menggesa mantan ADN Seri Serdang itu memohon maaf kepada keluarga dan sahabat handai Allahyarham kerana menyinggung perasaan mereka.

“Perasaan mereka dipermainkan UMNO untuk keuntungan politik semata-mata begitu jelas kelihatan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Panel Majlis Perundingan Islam, Dato’ Dr Siddiq Fadzil berkata, kenyataan liar Satim itu bukan sahaja biadap, pada waris malah pada Tuhan.

“Dia seolah-olah menjadi wakil Tuhan menurunkan hukum, apa jaminan dia wakil UMNO tak mati selepas ini?”

“Bukan tiada yang pernah mati PAS dengan BN, ramai..,” katanya.

Tahun lalu, tiga pilihan raya kecil diadakan di Selangor dalam tempoh 100 hari selepas Pilihan Raya Umum ke-14, iaitu Shuhaimi yang meninggal dunia ekoran kanser limfoma, Dr Shaharudin akibat kanser usus, manakala bekas ADN Balakong, Eddie Ng terbabit kemalangan.

Baru-baru ini, ADN Semenyih, Bakhthiar meninggal dunia kerana sakit jantung.

Categories
NASIONAL

‘Puan, Walaupun Kami Wanita Umno Tetapi Kami Nak Undi Puan Kali Ini’

Wanita Umno Sokong PR 01

SERI SERDANG 2 MEI : Beberapa wakil pergerakan wanita Umno Seri Serdang menyatakan sokongan kepaa Calon PAS DUN Seri Serdang, Noor Hanim Ismail.

Menurut Nor Hanim, beliau diberitahu sendiri anggota pergerakan itu dalam satu pertemuan ketika menjalankan kempen bagi merampas kerusi yang sebelumnya dimenangi bekas Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor daripada Umno-BN, Datuk Mohamed Satim Diman.

“Wanita-wanita Umno juga turut membantu sebab saya pernah duduk sebagai Yang Dipertua (YDP) Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebuah sekolah di sini, di mana ibu-ibu daripada Umno ini memohon peruntukkan buku teks.

Wanita Umno Sokong PR 02

“Pada masa itu kita tak dapat bantuan buku teks dan ramai penduduk itu adalah golongan kurang berkemampuan dan sekarang bila mereka tahu saya bertanding mereka cakap pada saya, Puan, walaupun kami Umno tetapi kami nak undi puan kali ini,” kata Noor Hanim.

Selain pernah menjawat jawatan YDP PIBG, sehingga kini Noor Hanim juga merupakan pengerusi di pelbagai biro di tiga sekolah sekitar Puchong dan Subang Jaya serta Pegerusi Pendidikan Jawatankuasa Penduduk (JKP) Zon 13 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSJ).

Noor Hanim turut memberitahu, kunjungan beliau di bilik gerakan BN juga diterima baik oleh petugas-petugas di situ.

“Sebenarnya ketika menyantuni pengundi, bila kita jumpa bilik gerakan BN kita akan lawat juga dengan memberi manifesto dan penerangan kepada mereka dan mereka menerimanya dengan baik dan memberi ucapan selamat berjaya kepada kita,” kata Noor Hanim lagi.

Noor Hanim berkata lagi, pada masa ini amat jelas mood pengundi di DUN Seri Serdang yang inginkan perubahan.

“Alhamdullilah sokongan kaum Cina ini sangat tinggi, tidak kira dari DAP, MCA, PKR atau tiada berparti mereka rasakan ini kalilah perlu ubah bukan lain kali.

“Sini bukan kubu Umno lagi, kita dapat lihat dalam ceramah saya memang terima sambutan besar hingga penuh padang berbanding ceramah Umno-BN lebih banyak kerusi,” ujar Noor Hanim yang berkelulusan Diploma Pengurusan dan Perniagaan dari Swansee Institute.

Dalam PRU-12 pada 2008 majoriti dimenangi Satim merosot teruk dengan hanya 45 undian berbanding majoriti diterimanya dalam PRU-11 pada 2004 dengan 10,545 undian.