Categories
AGENDA NASIONAL

Jho Low atur bayaran deposit keselamatan untuk tujuan seleweng

KUALA LUMPUR, 30 SEPT: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low telah mengatur pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490 kepada Aabar Investments PJS (Aabar) bagi pengambilalihan Tanjong Energy Holdings Sdn Bhd (TEHSB) bertujuan untuk diselewengkan.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi, 49, berkata demikian pada perbicaraan hari ke-15 kes Najib melibatkan dana 1MDB.

“Kesimpulannya, pengambilalihan TEHSB telah selesai melalui pembiayaan menggunakan pinjaman penyambung berjumlah RM6.17 bilion dan terbitan Bon berjumlah AS$1.75 bilion. Terdapat lebihan yang banyak daripada hasil pembiayaan untuk pengambilalihan tersebut.

“Namun saya ingin tegaskan bahawa saya langsung tidak tahu menahu bahawa lebihan wang untuk pembayaran deposit keselamatan berjumlah AS$576,943,490.00 kepada Aabar adalah untuk diseleweng. Ia dibuat secara niat baik berdasarkan dokumentasi yang disediakan oleh Jasmine Loo (peguam 1MDB), Terence Geh (pengarah 1MDB) dan Tim Leissner (Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia).

“Saya pasti tidak akan meluluskan kiriman wang tersebut sekiranya saya tahu bahawa ia adalah untuk diseleweng.

“Setelah penyiasatan dilakukan barulah saya tahu yang deposit keselamatan ini diaturkan oleh Jho Low untuk membolehkan wang 1MDB masuk ke dalam akaun yang dikawal olehnya untuk tujuan penyelewengan,” katanya.

Terdahulu, ketika dirujuk kepada “1MDB board meeting minutes 4/2012” bertarikh 18 Jun 2012 oleh Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram, saksi pendakwaan kesembilan itu berkata, dalam mesyuarat tersebut beliau telah membentangkan mengenai transaksi pengambilalihan 100% ekuiti TEHSB telah pun selesai.

“Selain itu, saya juga ada membentangkan mengenai pengarah serta urusan maklumat kewangan TEHSB. Antara maklumat penting adalah Pengerusi TEHSB adalah Datuk Wan Ahmad Shihab iaitu Pegawai Khas Perdana Menteri masa itu iaitu Najib.

“Nama beliau (Datuk Wan Ahmad) dimajukan oleh Jho Low kepada saya. Selain itu Mohamed Ahmed Badawy Al-Husseiny iaitu CEO Aabar Investments PJS juga seorang pengarah dalam TEHSB. Ini adalah satu lagi faktor semasa itu yang meyakinkan saya akan kesehahihan hubungan 1MDB dengan Aabar,” katanya.

Najib, 66, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan empat kesalahan rasuah di Cawangan AmIslamic Bank Berhad, Jalan Raja Chulan, Bukit Ceylon di sini antara 24 Februari, 2011 dan 19 Disember, 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram antara 22 Mac, 2013 dan 30 Ogos, 2013, di tempat sama.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah bersambung.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan Adun, Selangor tunggu keputusan pusat

mb air

SUBANG JAYA 24 SEPT : Selangor menunggu Putrajaya membuka langkah memberi sokongan kewangan kepada semua wakil rakyat, sebelum membuat keputusan muktamad.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukkan kepada Adun-Adun Pembangkang akan hanya diputuskan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan Negara Oktober depan.

“Kita tunggu dulu. Biar Kerajaan Pusat bentangkan dulu, samada mereka bersetuju untuk memberikan sokongan kewangan kepada Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik,” tegas beliau, di sidang media seusai Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, yang berakhir hari ini.

Abdul Khalid berkata tindak-tanduk Kerajaan Pusat akan menjadi contoh untuk diikuti Kerajaan Negeri. Beliau berkata demikian mengulas langkah Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM40,000 setahun kepada Adun-Adun Pembangkang bermula tahun depan.

“Kalau Kerajaan Pusat berbuat demikian, kita akan ikut contoh Kerajaan Pusat. Sekiranya berlaku sebaliknya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan untuk memikirkan sesuatu yang sesuai, untuk menunjukkan kesahihan di pihak kita memberi peluang kepada semua wakil rakyat berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa  Hak dan Kebebasan yang terdiri dari Adun Pakatan dan Umno-BN bermesyuarat minggu lalu dan bersetuju untuk menulis surat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) bagi mendapatkan sokongan kewangan setiap Dun sebanyak RM10,000 sebulan.

“Jadi kita tunggu perbincangan MKKN dahulu,” katanya.