Categories
NASIONAL SELANGOR

Pertanian Urban mampu tingkat sosial ekonomi petani

ng suee lim2

SHAH ALAM 4 OKT : Pertanian Urban (UA) mampu meningkatkan sosial ekonomi golongan petani dan membangunkan sesuatu kawasan yang akan menjana keuntungan rakyat dan negeri.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pelaksanaan UA akan memberikan kesan positif dalam memenuhi permintaan bahan keperluan makanan semasa yang semakin meningkat.

“Saya menyambut baik dan menyokong penuh hasrat Kerajaan Negeri untuk meneroka UA memandangkan pertanian adalah satu perniagaan yang dapat menjana ekonomi setempat.

“Sudah sampai masa satu pelan perancangan yang holistik dirangka bagi tujuan berkenaan. Dengan adanya perancangan ini, saya cukup yakin pendapatan golongan petani akan dapat dioptimakan ,” katanya kepada TVSelangor.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengenai UA di Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya pada 23 dan 24 September lalu.

Abdul Khalid menyatakan respon kepada urbanisasi pesat di Selangor dengan jangkaan 85 peratus kawasan di Selangor akan menjadi bandar menjelang 2020.

Sehubungan itu, Suee Lim berkata, pendedahan tentang skil dan teknologi pertanian yang lebih maju kepada petani harus diberi keutamaan supaya segala objektif yang dikenal pasti dapat mencapai sasaran.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, Kerajaan Negeri akan merangka konsep Pertanian Urban (UA) dalam siri mesyuarat melibatkan Menteri Besar, Pejabat-Pejabat Exco bertanggungjawab, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat Adun dan penduduk yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, mesyuarat itu nanti mahu mencari formula untuk menerap dan melaksanakan Pertanian Dalam Bandar secara holistik, berkesan dan cekap.

?Pertanian Urban ini satu konsep yang masih dalam perbincangan. Belum ada lagi rancangan yang konkrit untuk dimajukan.

?Oleh itu pihak saya dan Menteri Besar akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Adun, Ahli Majlis dan juga penduduk di kawasan PBT berkaitan untuk mencari satu formula yang terbaik supaya apabila dilaksanakan ia akan berjalan dengan lancar,? katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peruntukan Adun, Selangor tunggu keputusan pusat

mb air

SUBANG JAYA 24 SEPT : Selangor menunggu Putrajaya membuka langkah memberi sokongan kewangan kepada semua wakil rakyat, sebelum membuat keputusan muktamad.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata peruntukkan kepada Adun-Adun Pembangkang akan hanya diputuskan selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak membentangkan Belanjawan Negara Oktober depan.

“Kita tunggu dulu. Biar Kerajaan Pusat bentangkan dulu, samada mereka bersetuju untuk memberikan sokongan kewangan kepada Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik,” tegas beliau, di sidang media seusai Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya, yang berakhir hari ini.

Abdul Khalid berkata tindak-tanduk Kerajaan Pusat akan menjadi contoh untuk diikuti Kerajaan Negeri. Beliau berkata demikian mengulas langkah Kerajaan Pulau Pinang memperuntukkan RM40,000 setahun kepada Adun-Adun Pembangkang bermula tahun depan.

“Kalau Kerajaan Pusat berbuat demikian, kita akan ikut contoh Kerajaan Pusat. Sekiranya berlaku sebaliknya, Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan untuk memikirkan sesuatu yang sesuai, untuk menunjukkan kesahihan di pihak kita memberi peluang kepada semua wakil rakyat berkhidmat kepada rakyat,” katanya.

Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh berkata Jawatankuasa  Hak dan Kebebasan yang terdiri dari Adun Pakatan dan Umno-BN bermesyuarat minggu lalu dan bersetuju untuk menulis surat kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MKKN) bagi mendapatkan sokongan kewangan setiap Dun sebanyak RM10,000 sebulan.

“Jadi kita tunggu perbincangan MKKN dahulu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Air percuma diteruskan 10 tahun lagi

tapSUBANG JAYA 23 SEPT : Pemberian subsidi air percuma 20 meter padu akan diteruskan lagi sehingga tempoh 10 tahun akan datang. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian itu akan diteruskan selepas penstrukturan semula industri air Selangor berjaya diselesaikan.

“Penyusunan semula industri air ketika ini ada nampak cahaya dihujungnya tetapi masih belum selesai dan kita akan meneruskan program subsidi ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Kita harap dapat selesaikannya kerana kita tidak mahu aset yang paling penting untuk rakyat ini diuruskan oleh pihak yang tiada kepakaran,” katanya dalam ucapan perasmian di Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Sebelum ini, Abdul Khalid memberitahu penyusunan itu akan diselesaikan sebelum 31 Disember depan selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.

Perkara berkenaan diputuskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam surat bertarikh 9 September lalu.

Abdul Khalid turut memaklumkan penstrukturan itu akan memberi kemampuan kepada Kerajaan Negeri untuk menjelaskan hutang kira-kira RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat.

“Selepas hutang itu diselesaikan, hutang Kerajaan Negeri hanya tinggal tidak lebih RM200 juta.

“Jadi oleh kerana rizab negeri ketika ini sebanyak RM3 bilion, jadi negeri Selangor tidak perlu meminta sedekah lagi, dengan ini kita dapat melaksanakan pembangunan negeri dengan baik,” katanya.