Categories
EXCO SELANGOR

Kerajaan Negeri bincang keperluan pinda undang-undang atasi denggi

RAWANG, 9 JUN: Kerajaan Negeri akan berbincang keperluan meminda undang-undang kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi membolehkan tindakan lebih tegas diambil bagi mengekang penularan kes denggi.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata ia berikutan beberapa isu yang timbul berhubung perkara berkaitan yang sukar ditangani selama ini.

“Undang-undang kecil kita kadang-kadang sangat susah dikuatkuasakan. Ini kerana kita kena cari pemilik untuk menyerahkan kompaun dan (notis) tidak boleh ditampal sesuka hati. Jadi tindakan undang-undang juga sukar,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata lambakan unit rumah terbiar terutama di kawasan pangsapuri menyukarkan badan pengurusan bangunan (JMB) melakukan kerja pembersihan selain sikap penduduk yang enggan memberikan kerjasama dan ia termasuk pembinaan struktur tambahan tanpa kebenaran di bawah rumah yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk Aedes.

“Kalau tidak diselenggara dan tidak bebas denggi ia akan datang semula. Kebanyakannya dari kawasan yang keluar wabak sekejap sahaja dan kemudian masuk balik menjadi wabak,” katanya menambah Selangor mencatatkan penurunan semasa Perintah Kawalan Pergerakan berbanding tahun lalu kerana orang ramai kekal duduk di rumah.

Dr Siti Mariah sebelum itu melawat Taman Cempaka, Serendah yang merekodkan 56 kes denggi dan satu kematian dalam tempoh tiga bulan dan disusuli lawatan ke Pangsapuri Teratai di Bukit Beruntung.

Categories
EXCO SELANGOR

Jangan abai denggi, ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19

BANGI, 9 JUN: Penduduk kampung diingatkan supaya tidak mengabaikan isu denggi kerana ia juga di antara ‘pembunuh’ senyap selain Covid-19, kata EXCO Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi.

Rodziah Ismail berkata oleh itu, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) perlu memastikan penduduk menjaga kebersihan supaya denggi tidak membiak di kawasan perumahan mereka.

“Kes denggi sedang menular di Selangor dan saya menggesa supaya jawatankuasa memantau kampung masing-masing, jadi jagalah kebersihan persekitaran. Jangan takut Covid-19 sahaja kerana denggi juga mampu mengancam nyawa tanpa kita sedar,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada MPKK di Pejabat Daerah Hulu Langat di sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Daerah Hulu Langat, Yusri Zakariah dan Ketua Pegawai Bisnes Amal Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), Mohd Jaafarudin Md Ali Al-Hafiz.

Hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menjangkakan akan berlaku peningkatan kes demam denggi gelombang kedua bermula awal Jun hingga September susulan tren peningkatan secara berterusan yang direkodkan sejak enam minggu lalu.

Katanya, berdasarkan rekod enam minggu lalu, didapati purata peningkatan sebanyak lapan peratus setiap minggu dicatatkan.

Bermula Januari sehingga 6 Jun lalu, terdapat 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian dilaporkan.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM jangka gelombang kedua demam denggi hingga September

SHAH ALAM, 8 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia menjangkakan gelombang kedua kes demam denggi dari Jun hingga September ini berdasarkan trend selama lima tahun.

Ketua pengarah kesihatan berkata walaupun kes menurun awal tahun ini, namun trend kembali meningkat sejak enam minggu lalu dengan purata lapan peratus setiap minggu.

“Sepanjang tempoh sama bagi tahun ini juga, sebanyak 84 kes kematian dilaporkan berbanding 83 kes pada tahun lalu dengan 11 peratus daripadanya lewat mendapatkan rawatan iaitu tiga hari selepas bermulanya gejala,” kata Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Bercakap pada sidang media di Putrajaya hari ini, katanya, sebanyak 48,584 kes demam denggi dilaporkan dari Januari hingga 6 Jun lalu berbanding 54,524 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, beliau berkata memandangkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan bermula Rabu ini, maka lebih banyak sektor ekonomi, aktiviti sosial, pendidikan, keagamaan dan perniagaan bakal dibuka.

“Kemungkinan kebanyakan tempat itu sudah lama ditutup dan tiada pergerakan orang ramai sekali gus menjadikannya berisiko sebagai tempat pembiakan nyamuk.

“Orang ramai diminta meningkatkan tahap kebersihan di kawasan masing-masing terutama tempat takungan air dan yang berpotensi untuk pembiakan nyamuk,” katanya lagi.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

KKM: 39,002 kes denggi sehingga 25 April, turun 9.4 peratus

KUALA LUMPUR, 29 APRIL: Sejumlah 39,002 kes denggi dilaporkan dari 29 Disember 2019 hingga 25 April tahun ini, menurut Laporan Situasi Semasa Denggi, Chikungunya dan Zika di Malaysia 2019 dan 2020.

Perangkaan yang dikeluarkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan penurunan sebanyak 4,063 kes (9.4 peratus) denggi daripada 43,065 kes dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Laporan itu juga menyatakan hanya satu kematian akibat denggi dilaporkan pada minggu ke-17 (19 hingga 25 April) 2020 dengan jumlah kumulatif 64 kematian berbanding 67 kematian dalam tempoh sama tahun lepas.

“Sepanjang minggu ke-17 tahun ini, sejumlah 1,301 kes denggi dilaporkan , meningkat 11 peratus berbanding minggu sebelumnya,” kata laporan itu yang dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah di laman Facebooknya hari ini.

Sehingga minggu ke-17 tahun ini, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi dengan 23,402 kes. Ia diikuti Kuala Lumpur (3,243 kes) dan Johor (3,242 kes).

Menurut laporan CPRC itu juga, 13 kes chikungunya dicatatkan sementara tiada kes positif zika dilaporkan dari 29 Dis 2019 hingga 25 April tahun ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata Kementerian Kesihatan berbangga kerana dapat menyertai Gabungan Kajian Klinikal dalam mencari penyelesaian yang memberi manfaat kepada manusia.

“Kami berdepan dengan ancaman global COVID-19 yang amat mencabar dan kehidupan kita semua akan terjejas,” katanya sebagaimana dipetik Drugs for Neglected Diseases initiative (DNDi) di laman Facebook hari ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Waspada ancaman denggi, ambil langkah pencegahan

SHEEDA FATHIL, 21 APRIL: Masyarakat dinasihatkan untuk mengamalkan langkah pencegahan terhadap jangkitan denggi ketika negara kini dilanda wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata kebersihan persekitaran sama ada di kediaman perlu diberi perhatian bagi memastikan tiada Aedes.

“Denggi masih menular dalam komuniti kita. Kita sarankan masyarakat buat pembersihan di perumahan dan persekitaran.

“Jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini tamat, mereka yang pulang ke pejabat nanti pastikan persekitaran bersih daripada jangkitan atau pembiakan nyamuk di kawasan,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Baru-baru ini, EXCO kesihatan, Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian sejak Januari hingga 12 April lalu di Selangor.

Dr Siti Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.

Malah, beliau berkata negeri itu turut mencatat tujuh kes kematian akibat denggi sepanjang tempoh PKP.

Categories
EXCO SELANGOR

Tujuh maut akibat denggi di Selangor ketika PKP

SHAH ALAM, 19 APRIL: Selangor mencatat tujuh kes kematian akibat denggi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata bermula 22 Mac hingga minggu epid ke-15 pada 12 April lalu, sebanyak 1,910 kes denggi dicatatkan di negeri ini, berbanding 3,321 bagi tempoh sama pada tahun lalu, menurun 42 peratus.

Secara keseluruhan, katanya, sejak Januari lalu sehingga 12 April 2020, terdapat 22,180 kes denggi dengan 23 kematian di Selangor.

“Pada 2019 (sehingga minggu epid ke-15), terdapat 23,323 kes denggi dengan 19 kematian. Ini menunjukan penurunan kes sebanyak 4.9 peratus.

“Bagaimanapun, kes kematian menunjukkan peningkatan 21.05 peratus. Terdapat dua kes kematian dilaporkan pada minggu epid ke-15 di Klang dan Petaling,” katanya menerusi kenyataan.

Dr Siti Mariah berkata lokaliti wabak yang mencatatkan kes tertinggi sehingga 12 April adalah Petaling iaitu 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709).

“Lokaliti wabak yang mencatatkan kes terendah adalah di Sabak Bernam dengan 69 kes,” katanya.

Beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan memperuntukkan RM5 juta tahun ini bagi program pencegahan denggi, berbanding RM3 juta pada tahun lalu.

Categories
EXCO SELANGOR

Denggi: 22,180 kes libatkan 23 korban, pencegahan perlu dilaksana

SHAH ALAM, 18 APRIL: Rakyat perlu melaksanakan langkah pencegahan denggi apabila sejak Januari hingga 12 April tahun ini terdapat 22,180 kes penyakit itu melibatkan 23 kematian, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata orang ramai perlu melakukan pembersihan di premis dengan menghapuskan bekas air bertakung yang menjadi tempat nyamuk membiak.

Katanya, langkah lain adalah semburan aerosol bagi membunuh nyamuk aedes di dalam kawasan rumah, memakai krim perlindungan dan meletakkan ubat jentik-jentik di tempat berisiko.

“Diharapkan kerjasama menyeluruh masyarakat membantu mengurangkan kes denggi dan mematuhi segala arahan Kementerian Kesihatan (KKM) menghadapi Covid-19,” katanya.

Dr Mariah berkata lokasi wabak tertinggi denggi setakat ini adalah di Petaling dengan 7,372 kes, diikuti Klang (4,582) dan Hulu Langat (3,709), manakala Sabak Bernam paling rendah iaitu hanya 69 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

PKP beri impak positif turunkan kes denggi

KUALA LUMPUR, 14 APRIL: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian penularan Covid-19, secara tidak langsung memberi perkembangan positif terhadap kes denggi di Malaysia apabila bilangan kes yang direkodkan ketika ini menurun berbanding tahun lepas.

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Rose Nani Mudin berkata kes yang dicatatkan sejak Januari hingga Sabtu lepas (11 April) di seluruh negara menunjukkan penurunan daripada 39,805 kes dengan 64 kematian bagi tempoh sama tahun lepas kepada 36,529 kes dengan 60 kematian tahun ini.

Daripada jumlah itu, Selangor merekodkan kes tertinggi iaitu 22,180 kes dengan 23 kematian, diikuti Johor 2,956 kes dengan 10 kematian; Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (2,894 kes, empat kematian); Sabah (1,984 kes, sembilan kematian) dan Kelantan (1,386 kes, dua kematian).

“Antara faktor penyebaran virus denggi adalah pergerakan manusia. Apabila seseorang yang telah dijangkiti virus denggi pergi bekerja atau ke tempat lain, di situ sekiranya ada nyamuk menggigit individu berkenaan dan kemudian nyamuk yang sama menggigit orang lain yang sihat, secara tak langsung nyamuk itu telah menyebarkan virus kepada individu yang sihat.

“Jadi bila PKP dilaksanakan, orang ramai tak keluar rumah, tidak pergi kerja atau sekolah dan kurang pergerakan. Jadi, penyebaran virus terhalang dalam kalangan komuniti dan secara tidak langsung boleh mengurangkan kes denggi,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Rose Nani berkata orang ramai seharusnya menggunakan sebahagian waktu duduk diam di rumah semasa tempoh PKP untuk membersihkan kediaman masing-masing, sekali gus menghapus tempat pembiakan aedes.

“Kita mesti lakukan aktiviti pencegahan iaitu dengan menjalankan pembersihan di dalam dan luar rumah. Hapuskan tempat pembiakan aedes, mana-mana bekas yang menakung air kita kena buang.

“Aktiviti ini (menghapus tempat pembiakan aedes) perlu dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali kerana jika seekor nyamuk bertelur, hanya dalam masa lima hingga tujuh hari sahaja telur nyamuk boleh menjadi nyamuk dewasa. Kita tak nak nyamuk menjadi dewasa kerana ia boleh menyebar virus,” katanya dan menjelaskan bahawa cuaca dan vektor nyamuk adalah antara faktor yang mempengaruhi kewujudan kes denggi.

Menegaskan bahawa denggi berisiko membawa maut, Dr Rose Nani berkata berdasarkan semakan kes kematian, ada antara individu yang dijangkiti denggi berhadapan dengan risiko kematian hanya dua hari boleh meninggal berikutan komplikasi buah pinggang atau kegagalan hati.

“Virus denggi mempunyai empat serotip iaitu DEN1, DEN2, DEN3 dan DEN4. Individu yang pernah dijangkiti satu daripada serotip denggi ini masih mempunyai kebarangkalian untuk dijangkiti denggi sebanyak tiga kali lagi sepanjang hayatnya.

“Individu yang mengalami demam denggi buat kali kedua atau dikenali jangkitan sekunder akan mengalami komplikasi akibat demam denggi yang teruk berbanding individu lain yang belum terdedah virus denggi sebelumnya dan ini dibuktikan dengan kajian Dr Scott Halstead (pakar denggi) dan rakan-rakannya seawal 1960-an,” katanya.

Dr Rose Nani berkata risiko untuk berlaku komplikasi juga tinggi kepada individu yang dijangkiti denggi dan pada masa sama mempunyai penyakit lain seperti hypertensi, diabetes dan tiroid.

Mengenai operasi semburan kabus (fogging) ketika PKP, Dr Rose Nani berkata operasi masih dijalankan bagi setiap kawasan yang mempunyai kes denggi.

“Operasi dijalankan seperti biasa tetapi kita hanya buat semburan di luar rumah dan kita nasihatkan orang ramai guna semburan aerosol di dalam rumah. Petugas kesihatan mengambil langkah berjaga-jaga seperti menjarakkan diri daripada orang ramai, memakai penutup hidung dan mulut dan selalu mencuci tangan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Denggi: Statistik tinggi, waspada ancaman semasa PKP

SHAH ALAM, 4 APRIL: Masyarakat digesa berwaspada dengan ancaman denggi yang masih tinggi ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata ketua penolong pengarah Unit Kawalan Penyakit Bawaan Vektor Jabatan Kesihatan Selangor.

Dr Mohammad Nazarudin Bahari berkata setiap masyarakat berperanan menghapuskan tempat pembiakan Aedes sambil mengekalkan langkah berjaga-jaga mengekang penularan Covid-19.

“Tiada fakta sains menunjukkan PKP boleh menurunkan kes denggi kerana terdapat banyak nyamuk di dalam dan sekeliling rumah, jadi amalan pembersihan persekitaran perlu dilakukan setiap minggu

“Pemilik kediaman perlu meningkatkan penggunaan semburan aerosol di dalam rumah dan meletak ubat jentik-jentik di dalam pasu bunga, bekas menyimpan air serta pam tandas,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Semalam, EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata kes denggi di Selangor menurun dan tiada kematian dilaporkan sehingga bulan lalu.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan masyarakat menggunakan masa terluang sepanjang tempoh PKP untuk membersihkan halaman rumah.

Categories
EXCO SELANGOR

Isu teknikal faktor sukar cegah denggi

SHAH ALAM, 16 FEB: Beberapa kekangan serta isu teknikal berkaitan undang-undang menyebabkan usaha mencegah denggi sukar dilaksanakan, kata EXCO kesihatan.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata penguat kuasa berdepan masalah untuk mengeluarkan kompaun kerana gagal mengenal pasti pemilik tapak binaan terbengkalai atau tanah terbiar.

“Penguatkuasaan mudah dilaksanakan jika pemeriksaan menemui jentik-jentik dalam rumah atau sekitar kediaman seseorang itu.

“Namun, kita ada masalah untuk melaksanakan undang-undang membabitkan kawasan terbiar kerana kita gagal kesan pemilik untuk sampaikan saman,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Mariah turut meminta masyarakat mengenal pasti kawasan terbiar serta melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk melaksanakan aktitivi gotong-royong, termasuk mengangkat kereta terbiar atau benda berat.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor catat kes denggi tertinggi dalam tiga minggu

SHAH ALAM, 22 JAN: Selangor merekodkan 6,510 kes denggi dalam tempoh tiga minggu, lebih separuh daripada keseluruhan kes di seluruh negara, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia.

Statistik Bilik Gerakan Denggi Kebangsaan menunjukkan sebanyak 10,775 kes direkodkan sejak 29 Disember tahun lalu hingga semalam.

Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di tempat kedua dengan 825 kes, Johor (808), Sabah (594), Kelantan (563), Perak (334) dan Pahang (281).

Sarawak pula mencatatkan 268 kes, Melaka (169), Negeri Sembilan (157), Pulau Pinang (118), Kedah (76), Putrajaya (43), Terengganu (19), Perlis (sembilan) dan Labuan (satu).

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah mengingatkan orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan dan kawalan bagi membendung peningkatan kes denggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Negara catat 118,416 kes denggi hingga November

KUALA LUMPUR, 2 DIS: Sebanyak 118,416 kes demam denggi dilaporkan di seluruh negara dari Januari hingga 27 November lalu, meningkat 70 peratus berbanding tempoh sama pada 2018.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata dalam tempoh sama, sebanyak 164 kematian dilaporkan tahun ini berbanding 118 kematian pada tahun lalu, iaitu peningkatan 46 kes (39 peratus).

“Beberapa tindakan bersepadu dilaksanakan melalui pasukan petugas khas denggi terdiri daripada pelbagai kementerian, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan antaranya kempen gotong-royong dan aktiviti pembersihan persekitaran sebanyak dua kali setahun pada Mac dan September 2019,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Alice Lau Kiong Yieng (PAKATAN-Lanang) yang ingin tahu status terkini demam denggi di Sarawak serta Malaysia dan jumlah kematian yang disebabkan oleh demam itu.

Selain itu, Dr Lee berkata dalam usaha mengawal penyakit itu, kementerian melakukan inisiatif inovasi kawalan denggi iaitu pelepasan telur nyamuk Aedes Wolbachia bagi menggantikan populasi nyamuk aedes liar yang membawa virus denggi.

Katanya dengan kehadiran bakteria Wolbachia dalam nyamuk aedes akan merencatkan perkembangan virus denggi dalam badan nyamuk dan mengurangkan risiko jangkitan virus denggi kepada manusia lain.

“Operasi ini dilakukan berikutan keputusan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) yang dapat mengurangkan 50 hingga 70 peratus kes denggi di lokaliti kajian.

“Fasa pertama operasi ini dijalankan di 11 lokaliti di Petaling dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya.

-BERNAMA