Categories
EXCO SELANGOR

Selangor catat kes denggi tertinggi

SHAH ALAM, 16 OKT: Selangor mencatatkan 57,980 kes denggi dengan 49 kematian sehingga 12 Oktober lalu, kata Dr Siti Mariah Mahmud.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga berkata jumlah itu sekali gus meletakkan Selangor sebagai negeri paling tinggi mencatatkan kes berkenaan, mewakili 55 peratus bagi seluruh negara.

Katanya, daerah Petaling mencatatkan kes tertinggi di Malaysia iaitu 21,858 sehingga 13 Oktober lalu diikuti Hulu Langat (12,245), Klang (10,698) dan Gombak (7,497).

“Antara faktor utama gejala berkenaan adalah kepadatan penduduk yang terlalu tinggi di Selangor iaitu anggaran 6.52 juta orang mewakili 20 peratus kependudukan seluruh Malaysia.

“Faktor kedua populasi sementara di negeri ini ekoran lambakan insitusi pengajian tinggi di Selangor selain pergerakan keluar masuk pelajar dari seluruh negara ke negeri ini yang menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi.

Dr Siti Mariah Mahmud ketika sidang media Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Negeri Selangor di Bangunan SUK, Shah Alam pada 16 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Limpahan warga asing yang bekerja di negeri ini juga antara faktor kerana seringkali pihak penguat kuasa mendapati kawasan persekitaran tempat kerja dan kediaman mereka ini menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Tindakan Denggi Peringkat Selangor di Bangunan SUK, di sini hari ini.

Dr Siti Mariah berkata, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Selangor turut mengenal pasti lokasi berpotensi menjadi sarang pembiakan nyamuk.

Antaranya bangunan terbiar, pusat kitar semula haram, tapak binaan terbengkalai, kenderaan terbiar, pengurusan bangunan strata, kebun haram dan kawasan pembuangan sampah yang tidak terkawal.

Katanya, sehingga kini terdapat tiga program baru yang sudah dilaksanakan iaitu Kempen Selangor Gempur Aedes 2019, Program Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters dan Kawalan Biologi menggunakan Nyamuk Aedes dengan Wolbachia.

“Saya menyeru seluruh rakyat Selangor terutama mereka yang berada di hotspot wabak denggi supaya mengambil langkah pencegahan sewajarnya bagi memastikan wabak ini tidak menular dengan lebih parah.

“Tindakan tegas bakal diambil ke atas mana-mana pihak yang didapati dengan sengaja membiarkan pusat pembiakan Aedes ini tidak dibersihkan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Denggi: MPAJ catat empat kematian

AMPANG, 30 SEPT: Sebanyak empat kematian ekoran kes demam denggi dilaporkan di kawasan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) sehingga minggu epid ke-35, pada 26 Ogos lalu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Abd Hamid Hussain berkata, sejumlah 3,729 kes direkodkan sehingga tempoh berkenaan dengan 20 lokaliti hotspot dilaporkan sehingga kini.

“Lokaliti Taman Dato Ahmad Razali di Kondominium Permai Puteri merekodkan jumlah tertinggi sebanyak 35 kes, diikuti Pandan Indah di Flat 610 dengan 20 kes, manakala 18 kes di Jalan Pandan Indah 4/7 sehingga 4/32,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Perbandaran Ampang Jaya Bil 9/2019 di Bilik Mesyuarat Bunga Tanjung, ibu pejabat MPAJ, di sini.

Antara tindakan kawalan yang sedang dan sudah dilakukan adalah pembentukan Pusat Krisis Sehenti, Operasi Zero Larva, Operasi Lorong Belakang serta program gotong-royong ‘I Am Sejahtera’ di Flat 610, Taman Pandan Indah bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Categories
AGENDA NASIONAL

143 maut ekoran denggi sejak Januari tahun ini

KUALA LUMPUR, 26 SEPT: Sebanyak 143 kematian direkodkan daripada 99,166 kes denggi yang dicatatkan di seluruh negara sejak awal Januari hingga Selasa lalu (24 September).

Ketua Sektor Penyakit Bawaan Vektor Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan ketara berbanding tahun lalu bagi tempoh sama dengan 89 kematian daripada 54,379 kes denggi.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 54,997 kes dengan 48 kematian berbanding 30,782 kes dengan 25 kematian bagi tempoh yang sama tahun lalu.

“Bilangan kes kedua tertinggi ialah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya iaitu 12,366 kes dicatatkan berbanding 5,292 kes tahun lepas dengan jumlah kematian tidak berubah iaitu tujuh kes juga bagi tempoh sama.

“Johor adalah negeri ketiga tertinggi dengan merekodkan 8,480 kes tahun ini berbanding 4,152 kes tahun lepas dan jumlah kematian pula meningkat daripada 13 kematian kepada 22 kematian bagi tempoh sama,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Dr Rose Nani berkata, trend peningkatan kes denggi yang berlaku itu juga fenomena global yang dialami di beberapa negara lain.

“Peningkatan kes denggi ini bukan hanya berlaku di negara ini tetapi beberapa negara seperti Thailand, Singapura, Taiwan, China juga meningkat seperti yang dilaporkan WHO (World Health Organization).

“Kalau nak dibandingkan dengan negara lain, peningkatan kes yang berlaku di negara kita masih rendah yang mana negara lain ada yang mengalami peningkatan sehingga lapan kali ganda.

“Tetapi, kita turut bimbang dengan trend ini kerana apabila berlaku peningkatan kes, sudah pasti bilangan kematian pun akan meningkat dan kita tak mahu perkara ini berlaku,” katanya.

Bagi mengurangkan kes denggi, Dr Rose Nani berkata, langkah pencegahan perlu dilakukan di setiap kediaman bagi memastikan tiada kawasan pembiakan Aedes.

“Kita tiada vaksin dan ubat yang boleh cegah denggi tetapi sekurang-kurangnya kita dapat hindarkan kawasan pembiakan Aedes.

“Kalau boleh, buanglah bekas yang menakung air. Pasu bunga hendaklah dicuci setiap minggu supaya kita dapat hapuskan telur nyamuk sekiranya nyamuk telah bertelur dalam pasu bunga yang ada,” katanya yang turut menyarankan orang ramai menggunakan semburan aerosol dalam rumah bagi membunuh nyamuk.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kes denggi meningkat 89.5 peratus – Dr Dzulkefly

KUALA LUMPUR, 28 JUL: Sebanyak 72,356 kes denggi dilaporkan sepanjang Januari hingga 20 Julai tahun ini berbanding 38,190 kes pada tempoh yang sama 2018, peningkatan drastik sebanyak 89.5 peratus pada 2019.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, kes kematian yang disebabkan penyakit itu juga meningkat sebanyak 108 kematian berbanding 61 kes tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 77 peratus.

“Kes denggi telah menunjukkan peningkatan bermula bulan Mei tahun ini,” katanya satu dalam kenyataan di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, Selangor merekodkan kes denggi tertinggi sebanyak 40, 849 kes manakala, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan sebanyak 8,794 kes, diikuti Johor sebanyak 6,057 kes.

Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, sambutan Hari Denggi ASEAN peringkat kebangsaan juga disambut bersekali dengan Konvensyen COMBI (Communication For Behavioral Impact) dan tema yang dipilih tahun ini ialah “Banteras Denggi, bermula dengan saya”.

Beliau berkata, tema ini bertepatan untuk membuktikan peranan setiap individu dan komuniti amat penting bagi aktiviti pencegahan denggi.

Beliau juga menegaskan semua pihak termasuk masyarakat, agensi swasta dan media memainkan peranan penting bagi menjamin kejayaan pencegahan Denggi secara berterusan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bebas Aedes: Selangor lancar gotong-royong mega

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 JUL: Kerajaan Negeri bakal melaksanakan Gotong-Royong Mega Selangor Bebas Aedes menerusi program Cari dan Musnah Aedes, pada 14 Julai.

Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, program berlangsung sepanjang Julai itu bertujuan membanteras kes denggi yang semakin berleluasa di negeri ini.

Katanya, program itu juga sempena Hari Denggi Asean peringkat Selangor yang dilancarkan semasa Karnival 3W (Women, Welfare & Wellness), pada 6 Julai lalu.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Selangor terutama kepada anda yang berada di lokaliti hotspot wabak denggi supaya mengambil langkah proaktif.

“Pencegahan sewajarnya perlu dilakukan supaya kita dapat bersama memastikan wabak ini tidak akan menular dengan lebih parah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Cari dan Musnah Aedes Selangor 2019 di Dewan Annex, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Dr Siti Mariah berkata, seluruh badan, agensi kerajaan dan pimpinan masyarakat tempatan seperti Ahli Dewan Negeri, Ahli Majlis, Ketua Kampung lokaliti Combi di setiap daerah diminta untuk turut serta dalam program terbabit.

“Menerusi program ini terdapat beberapa panduan dan kaedah pelaksanaan antaranya orang ramai perlu mencari dan memusnahkan tempat takungan air yang berpotensi menjadi pembiakan Aedes.

“Membersihkan kawasan dalam rumah seperti bekas atau barang yang menakung air terutama di lorong belakang, kebun kecil atau tapak semaian dan tempat letak kereta.

“Selain itu, fokus pembersihan sampah atau bekas plastik di kawasan tempat tumpuan ramai seperti padang permainan dewan orang ramai, tapak pasar malam, kawasan rumah ibadat supaya tidak menjadi tempat pembiakan Aedes,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Jangan hanya bergantung kepada semburan racun basmi denggi

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU SELANGOR, 8 JULAI: Orang ramai tidak boleh bergantung kepada semburan racun oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) semata-mata untuk membasmi wabak denggi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, kajian terbaru mendapati nyamuk Aedes turut berevolusi yang menyebabkan sistem pertahanan mereka semakin kuat dan mampu menyebarkan virus denggi kepada seluruh generasinya.

“Kalau dulu mungkin dengan kadar tertentu nyamuk mati melalui semburan atau ‘fogging’ tetapi sekarang sudah tidak boleh.

“Ada perkembangan terbaru, sebelum ini penyebaran wabak denggi melalui nyamuk yang ada virus sahaja, maknanya tidak semua nyamuk ada virus denggi tetapi sejak tahun lalu saya diberitahu, jika seekor ada virus maka semua generasi atau telurnya akan ada virus sama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pada program Pemurnian Pelancongan Selangor (P3S) di Taman Tasik Milenium, Kuala Kubu Bharu di sini, hari ini.

Justeru, Amirudin berkata, orang ramai dinasihatkan supaya lebih kerap mengadakan langkah pencegahan dengan memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk dan menjaga kebersihan tempat tinggal masing-masing.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sentiasa menatau dengan menjalankan kajian terhadap perkembangan nyamuk Aedes.

“Memerangi wabak denggi membabitkan kesedaran semua pihak kerana sehebat mana pun kita sembur racun tetapi jika tiada kesedaran ia sukar dikawal,” katanya.

Categories
NASIONAL

KKM guna nyamuk Aedes mengandungi Wolbachia tangani denggi

KUALA LUMPUR, 7 JUN: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan kaedah pelepasan nyamuk aedes mengandungi bakteria Wolbachia secara berperingkat di seluruh negara bagi mengawal dan menangani kes denggi yang meningkat saban tahun.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, langkah ini susulan kejayaan kajian rintis di lapan lokaliti kes denggi di Selangor sejak Mac 2017 yang menunjukkan penurunan kes sebanyak 50 hingga 80 peratus setiap lokaliti.

Katanya, langkah itu menjadikan Malaysia negara kedua di dunia selepas Australia menggunakan kaedah berkenaan sebagai pencegahan dan kawalan kes denggi.

“Pelaksanaan kaedah ini dipilih bagi menangani beban kes denggi dan mengurangkan kebergantungan kepada kawalan nyamuk dengan menggunakan racun serangga,” katanya selepas majlis pelepasan telur nyamuk aedes mengandungi Wolbachia di Apartment Sri Rakyat, Bukit Jalil, di sini hari ini.

Pada 2019, sebanyak 62,421 kes denggi dilaporkan dari 1 Januari hingga 29 Jun, berbanding 32,435 kes bagi tempoh sama pada 2018, iaitu peningkatan sebanyak 29,986 kes (92.4 peratus).

“Jumlah kumulatif kematian denggi bagi tempoh sama tahun ini adalah sebanyak 93 kematian, berbanding 53 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas,” katanya.

Dzulkefly berkata sebanyak 180 bekas yang setiap satunya mempunyai 150 bekas kecil berisi telur nyamuk mengandungi Wolbachia itu akan dibekalkan kepada 11 lokaliti terpilih di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada fasa pertama program itu.

“Pelaksanaan fasa kedua dan seterusnya akan diperluaskan ke negeri lain secara berperingkat mulai Sept ini,” katanya.

Dzulkefly menegaskan masyarakat hendaklah menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran dan aktiviti memusnahkan tempat pembiakan nyamuk Aedes dengan tumpuan pembersihan sekurang-kurangnya 10 minit pada setiap minggu bagi menangani kes denggi.

Mengulas kematian seorang wanita akibat penyakit asthma di Pasir Gudang semalam, Dzulkefly berkata pihaknya masih menunggu laporan penuh daripada Jabatan Kesihatan Johor sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan.

– BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kenal pasti pemilik tanah penyumbang pembiakan Aedes

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri akan mula melaksakan aktiviti penguatkuasaan membabitkan sumber dan aset terbiar sehingga menyumbang kepada tempat pembiakan nyamuk Aedes.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sehingga kini terdapat 77 kawasan tanah terbiar diberikan notis arahan pembersihan.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya tidak dapat mengenal pasti pemilik tanah berkenaan.

“Oleh itu, kita mahu mendapatkan kerjasama semua pihak termasuk Pejabat Tanah dan Daerah setiap kawasan membantu mencari hak milik supaya perkara ini selesai.

“Kes demam denggi yang meningkat amat membimbangkan. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berlarutan.

“Pada masa sama, kita juga akan melaksanakan program cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk di perumahan atau kawasan yang mengumpul air.

“Kita mahu musnahkan semua tetapi ini mesti dilakukan secara konsisten bukan tindakan sekali sekala sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Pada masa sama, Dr Mariah berkata, terdapat tujuh lokasi antaranya Dataran Automobil Seksyen 15 menjadi lokasi tumpuan pembiakan.

“Tujuh kawasan ini akan dilepaskan nyamuk yang disuntik bakteria Wolbachia oleh Kerajaan Persekutuan tidak lama lagi.

“Kawasan warga asing agak sukar untuk kita memberi pendidikan kepada mereka, jadi dalam perancangan kita juga untuk mengadakan program dengan majikan bagi memberi kesedaran kepada mereka,” katanya.

Februari lalu, bagi mengawal penularan wabak denggi di Selangor, Kerajaan Negeri melaksanakan program ‘Selangor Bebas Aedes di Tempat Kerja dan Kuarters’.

Program itu bagi memastikan pekerja mempunyai persekitaran selamat, manakala majikan mendapat pekerja yang sihat dengan peningkatan produktiviti serta kualiti kerja.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Denggi: Selangor tegas kenakan tindakan saman – MB

OLEH NORHAYATI UMOR

BATU CAVES, 6 JUL: Kerajaan Negeri mula mengenakan tindakan saman kepada pemilik premis tanah atau individu yang culas menjaga persekitaran sehingga menyebabkan penularan wabak Aedes di kawasan masing-masing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor adalah negeri yang sentiasa mencatatkan kumulatif kes denggi tertinggi disebabkan faktor populasi penduduk yang sangat padat.

Bagaimanapun, katanya, sebagai Kerajaan Negeri, ia tidak boleh selama-lamanya menjadikan hal itu sebagai alasan untuk Selangor sentiasa menjadi ‘juara’ dalam kes demam denggi.

“Sesuai arus pembangunan sama ada sosial atau fizikal kita menghadapi cabaran menangani wabak ini lebih lagi ia mencatatkan kumulatif kes tertinggi.

“Oleh itu, kita perlu menangani kerancakan ini dengan mengubah cara tindakan. Jika dahulu kita memulakan langkah kesedaran dan ganjaran namun, kita kali ini kita perlu mengambil tindakan lebih tegas.

“Langkah pencegahan dan kawalan pembiakan juga diubah dengan tidak lagi hanya mengharapkan tindakan semburan asap seperti 10 tahun dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian di Karnival 3W (Women, Welfare, Wellness) Peringkat Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang bertemakan Hari Sifar Denggi Dan Hari Bapa, di Padang Awam Batu Caves, di sini.

Sehubungan itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri serius dan tidak sambil lewa dalam melaksanakan usaha pencegahan pembiakan nyamuk berkenaan.

“Kerajaan Negeri akan memberi fokus dalam setiap aspek bermula tahun ini sehingga tahun hadapan untuk melaksanakan pelbagai perancangan.

“Kawasan rumah-rumah ibadat dan lokasi awam lain juga akan dititik berat dalam penguatkuasaan dan pemantauan,” katanya.

Untuk rekod, situasi denggi di Selangor meningkat selepas Hari Raya Aidilfitri lalu (29 Jun) iaitu sebanyak 35,544 kes berdaftar dengan mencatatkan 30 kematian berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu kira-kira 18,249 kes.

Ia menunjukkan peningkatan 17,295 kes iaitu 94.77 peratus.

Categories
SELANGOR

MBPJ saran kerjasama semua pihak atasi denggi

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 27 JUN: Kerjasama semua pihak dalam membendung masalah denggi yang semakin menular adalah penting bagi memastikan wabak itu dapat dihapuskan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, walaupun kerajaan sudah melaksanakan pelbagai kempen, namun kesedaran orang ramai antara perkara penting yang harus diamalkan.

“Masyarakat seharusnya melaksanakan kempen 10 minit secara kerap dengan memeriksa dan menghapuskan kawasan tempat pembiakan Aedes.

“Semua penduduk juga digalak melakukan aktiviti gotong-royong di kawasan kediaman mereka tanpa perlu mengharapkan sepenuhnya daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Bilangan 6/2019 di Ibu Pejabat Majlis Bandaraya Petaling Jaya, di sini semalam.

Katanya, rakyat Malaysia seharusnya menjadikan Jepun sebagai contoh yang memberi kerjasama baik walaupun hanya satu kes denggi dilaporkan di tempat mereka.

“Rakyat Jepun tidak mahu kes itu tular, jadi mereka bekerjasama dalam memastikan kawasan persekitaran bersih dan bebas pembiakan nyamuk,” katanya.

Terdahulu, sejumlah 3,251 kes demam denggi dilaporkan bagi tahun 2019 sehingga minggu epid 24 di Petaling Jaya, meningkat 301 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu dengan 1,077 kes.

Bagaimanapun, jumlah itu adalah terendah berbanding dua PBT lain di Petaling dan tiada kes kematian dilaporkan setakat ini.

Categories
SELANGOR

MBSA seru tingkat kebersihan di musim perayaan

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 28 MEI: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyeru orang ramai khususnya warga Shah Alam untuk mempertingkatkan kebersihan di musim perayaan bagi mengelak kes demam denggi meningkat.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awamnya, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya menjangkaan kadar peningkatan kes deman denggi itu bakal meningkat selepas musim perayaan berdasarkan daripada pengalaman lepas.

“Oleh itu, saya menyeru kepada masyarakat supaya meluangkan masa 10 minit seminggu untuk memastikan kawasan dalam dan luar premis masing-masing dibersihkan.

“Bagi mengelak pembiakan Aedes beberapa langkah pencegahan boleh diambil seperti menghapuskan semua bekas takungan air di dalam dan luar rumah; memastikan tangki air, kolah dan pasu bunga tidak membiak jentik-jentik aedes,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sementara itu, MBSA turut menasihatkan orang ramai supaya meletak ubat pembunuh jentik-jentik (abate) ke dalam bekas yang boleh menampung air seperti tangki air, kolah, pasu bunga dan menghapuskan tempat longgokan sampah seperti tin kosong, bekas polistirena, botol tayar serta buruk yang boleh menakung air.

“orang ramai juga dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan di hospital jika mengesyaki dijangkiti demam denggi,” katanya.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Bilik Gerakan PANTAS, MBSA akan beroperasi 24 jam walaupun semasa cuti perayaan dan orang ramai yang ingin membuat aduan berkaitan bencana seperti banjir, pokok tumbang dan tanah runtuh boleh menghubungi di talian 03-55105811.

 

Categories
NASIONAL

1,622 kes denggi dilapor di seluruh Malaysia

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 MEI: Sejumlah 1,622 kes denggi dilaporkan di seluruh Malaysia, bagi minggu ke-17, iaitu pada tempoh 21 sehingga 27 April, tahun ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, statistik itu menunjukkan penurunan 1.0 peratus, berbanding 1,638 kes pada minggu sebelumnya.

Katanya, jumlah kumulatif kes denggi meningkat 122.6 peratus pada tahun ini, iaitu 43,065 kes berbanding 19,348 bagi tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kumulatif kematian akibat denggi pula membabitkan 67 berbanding 36 bagi tempoh sama tahun lalu dengan peningkatan 86.1 peratus.

“Manakala, sejumlah 602 lokaliti wabak denggi dilaporkan di seluruh Malaysia pada minggu ke-17,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 103 lokaliti hotspot dilaporkan membabitkan empat negeri iaitu 94 di Selangor, lima di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya serta tiga di Sabah juga satu di Pulau Pinang.

Beliau turut menyarankan kepada umat Islam untuk menjaga kebersihan, terutama pada waktu Ramadan ketika berkunjung ke rumah ibadah.

“Ahli Jawatankuasa masjid dan surau perlu memastikan lingkungan persekitaran rumah ibadah bebas daripada pembiakan Aedes dengan melaksanakan gotong-royong.

“Anda juga dinasihatkan untuk membuang segala bekas yang menjadi punca takungan air dan periksa bumbung masjid serta pastikan palong air tidak tersumbat oleh sampah sarap,” katanya.