Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

MB hasrat perluas SELangkah jejak kontak tibi, denggi

SHAH ALAM, 3 NOV: Kerajaan Negeri bercadang memperluas penggunaan aplikasi SELangkah (Langkah Masuk Dengan Selamat) bagi mengesan lokasi wabak dan kontak pesakit tibi serta denggi.

Dato’ Menteri Besar berkata sistem yang dibangunkan untuk menjejak kontak Covid-19 wajar ditambah baik bagi membantu Jabatan Kesihatan Negeri mencegah penyakit lain.

“Kes denggi dan tibi agak membimbangkan di Selangor, jadi kita boleh mempertimbang guna SELangkah bagi mengatasi penularan penyakit lain.

“Aplikasi ini terbukti banyak membantu kita mengesan kontak Covid-19, mungkin selepas ini kita boleh luaskan lagi penggunaannya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau menjawab soalan wakil rakyat Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi berhubung kos membangunkan SELangkah serta keberkesanannya membantu mencegah penularan Covid-19.

Aplikasi SELangkah diperkenal pada 4 Mei dilengkapi ciri peta dan semakan premis yang membolehkan pengguna mengetahui tarikh sanitasi bagi memastikan kunjungan mereka selamat.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Jumlah kematian kes denggi Selangor menurun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 3 NOV: Kes demam denggi di Selangor turun kepada 41,179 kes setakat minggu epid ke-44 berakhir 31 Oktober lalu berbanding 60,993 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman berkata jumlah itu menunjukkan penurunan 32.5 peratus dengan 184 kawasan wabak dikesan.

“Lokaliti wabak denggi aktif membabitkan 16 kawasan titik panas (hotspot), wabak tidak terkawal (lapan), wabak terkawal (151) dan wabak baharu (sembilan).

“Sebanyak 36 kematian dilaporkan dalam tempoh ini iaitu penurunan 28 peratus (14 kes) berbanding minggu sama tahun lalu (50 kes),” katanya menerusi kenyataan semalam.

Beliau berkata masyarakat disaran mengamalkan langkah pencegahan dengan membersihkan sekitar premis dan kediaman masing-masing bagi mengelak pembiakan nyamuk aedes.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan dimusnahkan selain menutup takungan air kekal atau meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik,” katanya.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Kes denggi Selangor turun lebih 30 peratus

SHAH ALAM, 27 OKT: Kes demam denggi negeri ini turun kepada 40,739 kes setakat 24 Oktober, berbanding 60,024 kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengarah kesihatan negeri berkata keseluruhannya Selangor mencatat penurunan kes 32.1 peratus dengan 178 lokaliti wabak dikesan.

“Jumlah lokaliti aktif meliputi 11 kawasan titik panas, wabak terkawal (143), wabak tidak terkawal (15) dan wabak baharu (sembilan).

“Sebanyak 36 kematian direkodkan sehingga kini dengan penurunan 14 kes berbanding tempoh sama tahun lalu,” kata Dato’ Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan semalam.

Sementara itu, beliau menasihatkan penduduk supaya tidak leka dan sentiasa berjaga-jaga meskipun kes demam denggi kurang 500 bagi tempoh empat minggu berturut-turut.

Dr Sha’ari berkata penduduk perlu terus mengamalkan langkah pencegahan dengan melakukan pembersihan di premis masing-masing.

“Luangkan masa selama 10 minit dengan memastikan semua takungan air dibuang untuk mengelakkan pembiakan jentik-jentik,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Hulu Langat rekod 8,534 kes denggi, enam kematian

SHAH ALAM, 26 OKT: Hulu Langat merekodkan 8,534 kes denggi dengan enam kematian sehingga minggu epid ke-42 berakhir 17 Oktober lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) berkata jumlah tersebut menunjukkan penurunan berbanding 12,472 kes atau 31.6 peratus dengan 16 kematian yang dicatatkan untuk tempoh sama tahun lalu.

“Daerah ini berada pada kedudukan kedua tertinggi daripada jumlah keseluruhan di Selangor iaitu sebanyak 40,279 dan 36 kematian,” kata Dato’ Zul-kefli@Zulkefli Khalid pada Mesyuarat Penuh MPKj Bil.8/2020 yang disiarkan secara langsung di Facebook.

Beliau menambah terdapat 46 lokaliti wabak denggi di daerah itu dengan 10 lokaliti panas membabitkan Sungai Ramal (lima), Kajang (dua), Balakong (dua) dan Semenyih (satu).

Categories
AGENSI SELANGOR

JKNS: Pencegahan denggi masih perlu dilaksana

SHAH ALAM, 13 OKT: Langkah pencegahan denggi masih perlu dilaksanakan setiap komuniti meskipun negara kini memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor berkata pemilik premis digalakkan melakukan pembersihan kawasan sekitar rumah selain menghapuskan tempat pembiakan Aedes setiap minggu.

“Luangkan hanya 10 minit seminggu, pastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan.

“Bagi takungan air kekal hendaklah sentiasa ditutup atau dilektakkan ubat pembunuh jentik-jentik serta diperiksa seminggu sekali,” kata Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Setakat minggu epid ke-41 berakhir 10 Oktober lalu, sebanyak 39,798 kes denggi dicatatkan di negeri itu berbanding 57,980 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Petaling mencatatkan kes tertinggi dengan 13,868 kes diikuti Hulu Langat (8,391), Klang (6,520), Gombak (5,770) dan Sepang (2,239).

Categories
AGENSI SELANGOR

Hulu Langat daerah tertinggi catat kes denggi

SHAH ALAM, 7 OKT: Hulu Langat merekodkan 147 kes denggi antara 27 September hingga 3 Oktober, tertinggi di negeri ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan kes tertinggi di daerah itu ialah di Pangsapuri Sri Ria Taman Sepakat Indah sebanyak 26 kes.

Petaling, yang mencatatkan kes kedua tertinggi iaitu 85, paling banyak dikesan di Seksyen 7, Jalan 7/29-7/35 dengan 23 kes.

“Tiada vaksin dan rawatan khusus untuk denggi, pencegahan adalah langkah terbaik,” tulis KKM di Twitter hari ini.

Laporan kementerian itu juga mengesan 30 lokasi panas denggi di seluruh negara dengan 19 daripadanya di Selangor. Seramai 127 individu meninggal dunia setakat 3 Oktober.

“Jumlah ini termasuk dua kematian terbaharu di Johor dalam tempoh sama,” tulis KKM lagi.

 

Categories
PBT SELANGOR

Elak kes denggi meningkat, MPKj pasang penyembur nyamuk automatik

SHAH ALAM, 27 SEPT: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) memasang penyembur nyamuk automatik di dua kawasan perumahan di Sungai Long untuk mengelak peningkatan kes denggi.

Yang Dipertuanya, Datuk Zulkefli Khalid berkata Evergreen Park Acorn dan Hazel merekodkan sembilan kes jangkitan dalam tempoh 42 hari manakala tujuh kes di Evergreen dalam tempoh 40 hari.

“Penyembur berkenaan akan membuat semburan secara automatik bermula jam 6.30 pagi, 6 petang dan tengah malam. Dengan cara ini, kita mengurangkan penggunaan tenaga kerja serta kos pengangkutan ke lokasi,” katanya memetik laporan The Star.

Beliau menjelaskan penggunaan Sistem Mistaway adalah inisiatif baru MPKj dengan kerjasama Sumitomo Chemical Enviro-Agro Asia Pacific Sdn Bhd yang menyediakan mesin dan racun serangga.

Katanya, mesin berkenaan pernah digunakan di Flat Baiduri dan Bandar Tasik Kesuma, Kajang selepas ia dikenal pasti sebagai lokasi panas denggi selama enam bulan.

Zulkefli menambah dari Januari sehingga 12 September lalu, Hulu Langat merekodkan kes denggi kedua tertinggi di Selangor iaitu 7,723 kes dengan tiga kematian.

Bagaimanapun jumlah berkenaan turun 30.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu 11,094 kes dengan 15 kematian.

Categories
ADN SELANGOR

Usaha basmi denggi, kes di DUN Sentosa turun

SHAH ALAM, 30 OGOS: Kes demam denggi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa turun dari 347 pada Januari kepada 86 pada Julai hasil pelbagai aktiviti diambil pejabat DUN berkenaan.

Ahli Dewan Negerinya berkata antara usaha termasuk gotong royong (cari dan musnah), penubuhan Program Skuad Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku (Combi) di lokaliti tertentu, ceramah dan latihan pencegahan.

“Tanpa menunggu pihak berwajib, persatuan penduduk juga menggunakan mesin pam racun untuk membunuh jentik-jentik dan membuat penyemburan berkala bagi mengawasi kawasan mereka dari wabak denggi.

“Saya berharap masyarakat sedar kes denggi juga adalah ancaman dan kita patut kekal menjaga persekitran rumah walaupun sibuk dengan aktiviti seharian,” kata Dr Gunaraj George dalam kenyataan.

Beliau menjelaskan kes denggi bertambah disebabkan masyarakat mengabaikan aspek kebersihan terutama di kediaman strata dan kawasan industri.

“Oleh itu tindakan tegas diambil terhadap mereka yang masih berdegil, bermula Januari hingga Julai lalu, Pejabat Kesihatan Daerah dan Majlis Perbandaran Klang mengeluarkan 203 kompaun, 36 kes sudah didakwa manakala 68 lagi diberi notis kepada pemilik kediaman dan premis niaga.”

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

32 maut akibat denggi sejak Jan, turun berbanding tahun lalu

SHAH ALAM, 4 OGOS: Jumlah kematian akibat denggi di Selangor menurun dengan 32 kematian dicatatkan sejak awal Januari hingga 1 Ogos berbanding 36 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Selangor berkata sebanyak 34,090 kes demam denggi dilaporkan di negeri ini sehingga minggu epid (ME) 31 berbanding 44,401 kes tahun lalu.

“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 301 dengan perincian lokaliti panas sebanyak 37, wabak tidak terkawal (28), wabak terkawal (225) dan wabak baru (satu).

“Lima daerah utama mencatatkan kes demam denggi tertinggi adalah Petaling (12,138), Hulu Langat (6,485), Klang (6,105), Gombak (4,887) dan Sepang (1,896),” kata Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman dalam kenyataan.

Beliau turut mengingatkan orang ramai memastikan tiada bekas atau tempat pembiakan nyamuk Aedes di kediaman mereka, selain menggunakan racun pemusnah jentik-jentik.

“Masyarakat juga perlu guna semburan ‘indoor aerosol’ dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa dan pihak pengusaha bas pengangkutan awam juga disaran melaksanakan semburan sama dalam kenderaan sebelum memulakan perjalanan,” katanya.

Categories
PBT SELANGOR

Ahli Majlis MPK diminta didik masyarakat perangi denggi

KLANG, 30 JULAI: Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) digesa kerap turun ke kawasan masing-masing bagi mendidik orang ramai menjaga persekitaran dalam memerangi kes denggi.

Yang Dipertuanya, Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin berkata masyarakat dilihat semakin lupa bahaya penyakit itu kerana mereka lebih tertumpu kepada Covid-19.

“Sebelum ini memang banyak kempen dan program dijalankan kepada komuniti, tetapi kes (denggi) masih tinggi. Ini bermakna didikan kepada masyarakat perlu dipertingkatkan lagi.

“Jadi, kita minta Ahli Majlis untuk berkomunikasi dengan komuniti mereka terutama di kawasan strata yang berisiko tinggi kes denggi berbanding rumah teres,” katanya.

Beliau menambah Ahli Majlis perlu memanfaatkan peruntukan Kerajaan Negeri dengan memperbanyakkan kempen dan program pencegahan seperti semburan kabus di kawasan seliaan masing-masing.

Jabatan Kesihatan Selangor memaklumkan sebanyak 33,382 kes demam denggi direkodkan di negeri ini membabitkan 32 kematian sehingga 25 Julai lalu, menurun 21.8 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Lima daerah utama mencatat kes demam denggi tertinggi ialah Petaling (11,869 kes), Hulu Langat (6,279 kes), Klang (6,049 kes), Gombak (4,791 kes) dan Sepang (1,863 kes).

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

MB pesan rakyat peka, waspada ancaman denggi

SHAH ALAM, 29 JUN: Dato’ Menteri Besar menyeru rakyat Selangor supaya lebih peka dan berhati-hati terhadap wabak denggi, di sebalik kebimbangan penularan pandemik Covid-19.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata wabak tersebut masih menjadi ancaman dengan purata peningkatan lapan peratus kes pada setiap minggu.

“Habitat Aedes harus dihapuskan. Pastikan kebersihan dan tiada takungan air di kawasan cetek supaya kes denggi tidak berlaku di kawasan anda,” tulisnya di Facebook malam ini.

Sementara itu, Amirudin berkata sejumlah RM5 juta diperuntukkan dalam Belanjawan Selangor 2020 bagi memerangi Aedes merangkumi aktiviti pencegahan dan kawalan denggi.

Kementerian Kesihatan sebelum ini memaklumkan sebanyak 48,584 kes demam denggi dicatatkan di seluruh negara sepanjang Januari hingga 6 Jun lalu.

Kerajaan Selangor pada 9 Jun lalu memaklumkan keperluan meminda undang-undang kecil di peringkat pihak berkuasa tempatan bagi mengenakan tindakan tegas kepada pemilik yang membiarkan premis menjadi tempat pembiakan Aedes.

Categories
AGENSI SELANGOR

Lebih separuh lokasi panas wabak denggi babit Selangor

SHAH ALAM, 10 JUN: Sebanyak 61 daripada 99 lokasi panas wabak denggi di seluruh negara dikesan di negeri ini dengan kes tertinggi di Hulu Selangor.

Menurut Public Health Malaysia, Apartmen Teratai di Hulu Selangor merekodkan 131 kes diikuti Bandar Bukit Mahkota, Hulu Langat dengan 56 kes, Cyberia Smart Home Sepang (54) dan Mentari Court Petaling (39).

Lokasi baharu wabak turut dikesan di Taman Impian Ehsan di Hulu Langat dengan sembilan kes, Taman Perindustrian Seri Kembangan (7) dan Apartmen Mawar Hulu Selangor (10).

“Tatkala kita melihat kes Covid-19 turun kepada satu digit kes semalam, namun kes denggi menunjukkan peningkatan mendadak.

“Orang awam dinasihatkan untuk sentiasa memantau keadaan sekeliling rumah dan tempat kerja, musnahkan kawasan pembiakan denggi serta laporkan kepada pihak berkuasa dan ketua komuniti untuk pencegahan,” saran portal kendalian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Kelmarin, KKM menjangkakan gelombang kedua kes demam denggi mulai Jun hingga September ini susulan trend peningkatan berterusan dengan purata lapan peratus setiap minggu.

Sebanyak 48,584 kes demam denggi dan 84 kematian dilaporkan sejak Januari hingga 6 Jun lalu.