Categories
AGENDA NASIONAL

Malaysia ada kepakaran cipta vaksin Covid-19 sendiri

KOTA TINGGI, 28 OGOS: Malaysia mempunyai keupayaan menghasilkan vaksin Covid-19 pertama negara dengan mengembleng tenaga para saintis di negara ini yang mempunyai kepakaran dalam bidang kesihatan awam untuk melakukan inovasi terutamanya dalam pembinaan dan penghasilan vaksin.

Bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata penghasilan sendiri vaksin Covid-19 sangat penting bagi membantu negara mencegah wabak itu daripada terus menular.

Sehubungan itu katanya beliau menyambut baik pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini bahawa MOSTI akan memfokuskan kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

“Penghasilan vaksin pertama dalam negara sangat penting, kita kena bergerak ke hadapan dan perlu yakin kerana kita mempunyai para saintis yang boleh digembleng tenaga untuk membuat ‘breakthrough’ dalam inovasi dan ‘penemuan saintifik’,” katanya.

Ahli Parlimen Tenggara yang dijadual mengangkat sumpah sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Isnin berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menghadiri Program Penyerahan Pelitup Muka di Taman Kota Jaya di sini hari ini.

Sementara itu Dr Adham berkata pihaknya merancang untuk membuat ‘perjanjian dua hala’ dengan negara lain yang telah berjaya menghasilkan vaksin Covid-19 termasuk China, India dan Thailand.

Beliau pada masa sama menjelaskan akan mengadakan lawatan ke sebuah kilang ‘fill and finish’ vaksin CanSino di Kuala Lumpur Isnin ini.

“Salah satu tanda awal bahawa kita boleh menghasilkan vaksin adalah dengan mewujudkan kilang ‘fill and finish’ ini.

“Vaksin yang kita akan hasilkan perlu dibotolkan, jadi telah ada teknologi ‘fill and finish’ ini, namun perlu dinilai oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA),” katanya.

— BERNAMA

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10 juta individu lengkap dua dos setakat semalam

KUALA LUMPUR, 14 OGOS: Sebanyak 31.1 peratus atau 10,144,199 populasi negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitter rasminya, beliau memaklumkan seramai 16,707,566 orang telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam sebanyak 26,851,765 dos.

Mengikut peratusan, 71.4 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama manakala 43.3 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 462,860 dos diberikan semalam dengan 162,182 adalah dos pertama manakala 300,678 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 26 juta dos vaksin diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 13 OGOS: Sebanyak 26,388,905 dos vaksin Covid-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) setakat semalam, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian infografik di Twitternya, beliau memaklumkan jumlah yang menerima dos pertama ialah 16,545,384 orang manakala 9,843,521 orang menerima dos kedua.

Mengikut peratusan, 70.7 peratus daripada populasi dewasa negara telah mendapat dos pertama, manakala 42 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, vaksinasi harian mencatatkan 525,342 dos diberikan semalam dengan 197,962 adalah dos pertama manakala 327,380 adalah dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

507,050 dos suntikan diberi semalam, tertinggi setakat ini

KUALA LUMPUR, 23 JULAI: Jumlah pemberian vaksin harian Covid-19 melepasi angka 500,000 semalam selepas mencatatkan sebanyak 507,050 dos suntikan, jumlah tertinggi setakat ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menerusi perkongsian di Twitter, beliau berkata daripada jumlah itu 335,977 adalah dos pertama, manakala 171,073 adalah dos kedua.

Jumlah pemberian vaksin Covid-19 harian tertinggi menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 24 Feb sebelum ini adalah pada Jumaat lepas dengan sebanyak 460,158 dos suntikan.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 14 juta dos vaksin Covid-19 diberi setakat semalam

KUALA LUMPUR, 18 JULAI: Jumlah keseluruhan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dilaksanakan sejak 24 Feb, kini melebihi 14 juta iaitu 14,002,324 dos setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi perkongsian infografik data pemberian vaksin Covid-19 di Twitter memaklumkan daripada jumlah itu, seramai 9,570,974 individu menerima dos pertama manakala 4,431,350 orang telah melengkapkan dos kedua.

Semalam sahaja sebanyak 380,440 dos suntikan Covid-19 diberikan membabitkan 253,830 individu menerima dos pertama dan 126,610 lagi, lengkap dos kedua.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

375,260 individu sudah lengkap dua dos suntikan vaksin

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Seramai 375,260 individu dalam kumpulan fasa pertama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melengkapkan dua dos suntikan vaksin mereka setakat semalam.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata bagi tempoh sama 565,940 menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua vaksin Covid-19 di negara kini adalah 941,200.

Dr Adham menerusi satu infografik yang dikongsikan di laman Twitter rasminya memaklumkan lima negeri menerima suntikan dos pertama vaksin tertinggi ialah Selangor dengan 76,273, diikuti Sarawak (57,682), Sabah (53,859), Perak (52,639) dan Kuala Lumpur (52,110).

Sementara itu, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos suntikan vaksin COVID-19 tertinggi setakat ini ialah Selangor dengan 51,383 individu diikuti Sabah (40,162), Perak (37,884), Kuala Lumpur (33,603) dan Sarawak (30,014).

Bagi jumlah pendaftaran untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula, Dr Adham memaklumkan setakat semalam seramai 8,378,754 atau 34.50 peratus telah mendaftar, dengan Selangor merekodkan angka tertinggi iaitu 2,250,428.

Mengikut perancangan program imunisasi berkenaan, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin bermula Februari hingga April ini melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.

Fasa kedua yang dijangka bermula April hingga Ogos tahun ini, membabitkan 9.4 juta warga emas berusia 60 tahun ke atas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya manakala fasa ketiga dijadual bermula Mei hingga Februari 2022 membabitkan individu 18 tahun dan ke atas dengan sasaran 13.7 juta orang.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Fasa kedua suntikan vaksin dipercepat, 9.4 juta warga emas, OKU antara penerima

PUTRAJAYA, 1 APRIL: Fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan diawalkan dua hari kepada 17 April ini, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba.

Beliau berkata kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi cuma 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang telah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

“Kita perlu giat kempen untuk meningkatkan pendaftaran vaksinasi melalui lima kaedah iaitu menerusi MySejahtera atau laman sesawang Kementerian Kesihatan (KKM), menghubungi talian hotline, hadir ke pusat kesihatan daerah dan menerusi program badan bukan kerajaan (NGO) yang juga memberi fokus kepada golongan gelandangan dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Sebanyak 9.4 juta penerima vaksin disasarkan dalam fasa kedua melibatkan golongan berisiko tinggi antaranya warga emas, pesakit kronik, orang kurang upaya (OKU) dan individu mempunyai komorbiditi, katanya.

Dr Adham berkata demikian kepada media selepas majlis memeterai perjanjian antara KKM dan Solutions Biologics Sdn Bhd (SolBio) untuk proses ‘fill and finish’ vaksin Covid-19 jenis CanSino dari China di sini hari ini.

Dr Adham berkata program vaksinasi akan terus dilaksanakan pada Ramadan dan menawarkan penerima vaksin untuk menerima suntikan pada waktu malam di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) tertentu.

Ditanya tindakan larangan eksport vaksin di beberapa negara bagi memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan kes jangkitan Covid-19 dan kekurangan bekalan, Dr Adham berkata ia tidak akan menjejaskan program imunisasi yang sedang berjalan di Malaysia kerana pembekal telah memberi komitmen kepada kerajaan bahawa penghantaran akan mengikut jadual.

Sebagai contoh, katanya Malaysia akan mendapatkan vaksin AstraZeneca dari kilang di Thailand menerusi pemerolehan langsung, manakala bekalan vaksin AstraZeneca menerusi kemudahan Covax pula dari Korea Selatan.

“Perkara ini semua dijamin. Jadi isu kelewatan bekalan vaksin dari pembekal tidak berlaku pada Malaysia. Kita dapat laksanakan semua jadual dan penghantaran dalam waktu yang ditetapkan, tetapi kita harap penghantaran dapat dipercepatkan jika boleh,” katanya.

Dilaporkan India telah menghentikan buat sementara semua eksport utama bagi vaksin AstraZeneca yang dihasilkan Institut Serum India (SII) untuk memenuhi permintaan domestik susulan peningkatan jangkitan Covid-19 di negara itu.

Langkah itu seperti yang dilaporkan, akan turut menjejaskan bekalan kepada kemudahan perkongsian vaskin Covax yang disokong Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di mana banyak negara dijangka mendapatkan dos masing-masing.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: 276 kluster dikesan, lebih separuh masih aktif

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Sebanyak 276 kluster dikesan di negara ini sejak pandemik Covid-19 melanda negara akhir tahun lepas dengan 151 daripadanya masih aktif, manakala 125 telah tamat.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba berkata daripada 151 jumlah kluster, Kluster Kediaman merekodkan jumlah terbanyak dengan 64 kluster.

“…diikuti dengan Kluster Tempat Kerja iaitu 63 kluster; Kluster Pusat Tahanan (sembilan); Kluster Kumpulan Berisiko (anggota kesihatan dan warga emas – sembilan kluster); Kluster Keagamaan (selain kluster Tabligh Seri Petaling – tiga kluster) dan Kluster Import (tiga kluster),” katanya dalam satu jawapan bertulis pada sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri di Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang meminta menteri kesihatan menyatakan bilangan kluster yang menyebarkan pandemik Covid-19 di negara ini dan bilangan yang telah dikawal sepenuhnya serta bilangan yang masih aktif terkini.

Dr Adham berkata kluster terbesar yang pernah dilaporkan kepada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan (KKM) adalah Kluster Tabligh Sri Petaling.

Kluster itu katanya melibatkan 3,375 kes dan seramai 42,023 orang telah disaring.

“Kes pertama bagi kluster itu adalah pada 11 Mac dan kluster diisytihar tamat pada 8 Julai. Kes-kes indeks merupakan individu-individu yang menghadiri perhimpunan keagamaan di Masjid Sri Petaling dan punca jangkitan adalah dipercayai dari jangkitan import dari Indonesia,” katanya.

Sehingga semalam, 972 kes baharu lagi direkodkan menjadikan jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan kini mencatat 11,308 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM tambah petugas, peralatan saringan Covid-19 KLIA, atasi sesak

KUALA LUMPUR, 28 SEPT: Jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan peralatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 akan ditambah bagi mengurangkan kesesakan proses saringan terhadap individu yang tiba dari Sabah.

KKM menerusi Twitter memaklumkan susulan terdapat aduan kesesakan proses saringan Covid-19, Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri Selangor untuk menambah bilangan petugas dan peralatan bagi melancarkan proses saringan.

“Masalah kesesakan akan diselesaikan segera dengan penambahan peralatan dan petugas,” katanya.

Terdahulu, Dr Adham bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meninjau proses saringan Covid-19 yang dilakukan kakitangan KKM di KLIA dan klia2, awal pagi tadi.

Sementara itu, Malaysia Airports menerusi Twitter merakamkan penghargaan kepada Dr Adham dan Dr Noor Hisham terhadap dedikasi dan komitmen mereka bagi memastikan semua langkah keselamatan dan prosedur ujian berjalan lancar.

Pada Sabtu, Dr Noor Hisham berkata bermula semalam hingga 10 Oktober, individu yang pulang dari Sabah diwajibkan menjalani saringan Covid-19 serta diarahkan menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO).

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM teliti kuarantin wajib individu pulang PRN Sabah

PORT DICKSON, 12 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti keperluan mengenakan kuarantin wajib terhadap mereka yang pulang ke Semenanjung dari Sabah selepas urusan pilihan raya negeri (PRN).

Menterinya Datuk Seri Dr Adham Baba berkata perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) nanti.

“Sekarang ini belum ada keputusan (untuk kuarantin wajib).

“Kita akan buat kajian risiko setiap hari dan akan dibincangkan di Mesyuarat Khas Menteri-Menteri mengenai Covid-19 juga bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya pada sidang media selepas merasmikan Wellness Hub Bagan Pinang, Port Dickson, di sini hari ini.

Sabah yang sedang mengadakan pilihan raya negeri turut merekodkan peningkatan kes Covid-19 khususnya melalui Kluster Benteng Lahad Datu.

Semalam, kes baharu wabak itu kembali melonjak ke tiga angka dengan 182 kes yang melibatkan 181 penularan tempatan dan satu kes import, iaitu tertinggi setakat ini dalam tempoh beberapa bulan selepas mencatatkan 100 kes pada Selasa lepas.

Kes Covid-19 di Sabah yang membabitkan Kluster Benteng LD merekodkan 250 kes dengan 167 kes baharu direkodkan setakat semalam.

Mengenai PRN Sabah, Dr Adham berkata pihaknya akan mengguna pakai garis panduan pencegahan Covid-19 yang digunakan pada dua pilihan raya kecil (PRK) sebelum ini, iaitu PRK Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, Pahang dan PRK DUN Slim, Perak.

SPR menetapkan 26 September sebagai hari pengundian bagi PRN Sabah manakala hari mengundi awal pada 22 September dengan pencalonan selesai hari ini.

Sementara itu, Dr Adham berkata tiada keperluan untuk kerajaan melaksanakan semula sekatan perjalanan antara negeri-negeri setakat ini kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran yang dilakukan di beberapa kawasan berjaya membendung penularan lebih besar.

“Kita lihat trend Covid-19 berlaku di beberapa tempat sahaja. Kes tidak menyeluruh seperti peringkat awal, misalnya di Kota Setar dan Amanjaya di Kedah kita buat PKPD pentadbiran, dan kita berjaya bendungnya. Ia juga untuk memastikan kita dapat saring kira-kira 15,000 orang di daerah Kota Setar,” katanya.

Mengenai Wellness Hub, Dr Adham berkata fasiliti itu adalah pusat sehenti yang menyediakan kemudahan dan perkhidmatan promosi kesihatan kepada komuniti setempat, iaitu antara hala tuju baharu KKM di bawah pelan ‘Tawaran Baharu KKM’.

Sehingga kini, KKM telah mewujudkan 28 Wellness Hub di seluruh negara dengan kos hampir RM500,000 setiap satu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan hasrat lahir lebih ramai pakar bidang kesuburan – Adham Baba

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Kerajaan berhasrat untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang kesuburan untuk menjadikan negara sebagai antara destinasi pelancongan perubatan dan tempat rujukan rawatan kesuburan di rantau ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata kewujudan Pusat Reproduktif Maju (ARC), di Hospital Canselor Tunku Mukhriz Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai pusat rujukan “onkofertility” pertama di Malaysia dilihat permulaan yang baik terhadap usaha itu.

“Industri kesuburan merupakan satu daripada tiga bidang tertinggi dalam industri pelancongan kesihatan dan perubatan. Yang pertama melibatkan rawatan kardiovaskular (rawatan jantung), onkologi (kanser) dan fertility (kesuburan).

Kerajaan menyambut baik kewujudan pusat rujukan yang pertama di Malaysia ini yang juga turut menyediakan perkhidmatan konservasi ataupun pembekuan tisu ovari. Sehubungan itu kita menyarankan supaya pihak universiti bukan sahaja melahirkan bakat dalam bidang ‘onkofertility’ tetapi juga saintis yang boleh terlibat dalam bidang genetik dan kesuburan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Persatuan Fertiliti Preservasi Malaysia (MSFP) dan Perkhidmatan Preservasi Tisu Ovari serta penamaan Pusat Reproduktif Maju (ARC) sebagai pusat rujukan “onkofertility” pertama di Malaysia di Kompleks Pendidikan Tuanku Ja’afar, di sini hari ini.

ARC sebelum ini dikenali sebagai unit Medical Assisted Conception (MAC) dan ia bermula hanya daripada sebuah unit kecil yang menyediakan perkhidmatan permanian beradas pada 1993 sebelum menawarkan dan menyediakan perkhidmatan bayi tabung uji 1997.

Unit MAC kemudian telah dinaik taraf pada 2011 sebagai salah satu pusat kecemerlangan hospital dan dalam tempoh tiga tahun terakhir, pusat itu secara purata telah menjalankan antara 300 hingga 350 kitaran bayi tabung uji dan 300 kes permanian beradas.

Sementara itu dalam ucapannya Adham berkata perkhidmatan pembekuan tisu ovari – “Ovarian Tissue Cryopreservation” (OTC) – merupakan satu perkhidmatan baharu di Malaysia dan pelancaran itu merupakan langkah terbaik sebelum diperkenalkan secara menyeluruh di negara ini.

Adham berkata perkhidmatan OTC amat penting untuk seorang wanita yang menghidap penyakit kanser bagi memboleh tisu ovari digunakan semula selepas seseorang pesakit selesai mendapatkan rawatan kanser seperti kimoterapi.

Sementara itu ketika mengulas cadangan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah supaya menaikkan denda bagi kesalahan kompaun di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) dari kadar semasa RM1,000 kepada RM10,000 beliau berkata perkara itu akan dibincangkan terlebih dahulu.

“Kita pertimbangkan juga penerimaan masyarakat sebelum dibawa ke kabinet untuk dibahas,” katanya.

-BERNAMA