Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital Kota Marudu kini rawat pesakit Covid-19

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Sebagai langkah kesiapsagaan menghadapi peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Kementerian Kesihatan (KKM) memperuntukkan Hospital Kota Marudu sebagai satu lagi hospital untuk merawat jangkitan itu, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya ini menjadikan keseluruhan tujuh hospital termasuk Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak di Kota Kinabalu; Hospital Duchess of Kent di Sandakan; Hospital Tawau; Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Kesemua hospital ini dengan kapasiti keseluruhan 946 katil termasuk 66 untuk jagaan kritikal dan 170 alat bantuan pernafasan, diperuntuk merawat kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, katanya menerusi hantaran Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga mengenal pasti enam lagi pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah (PKRC), menjadikan jumlah keseluruhan 16 buah dengan kapasiti 3,876 katil bagi merawat kes tidak bergejala atau bergejala ringan (kategori 1 dan 2) di negeri itu.

Tambahan kemudahan ini menjadikan kapasiti katil bagi merawat pesakit Covid-19 di Sabah kini sebanyak 4,822 berbanding 2,596 katil sebelum ini, katanya.

Menurut Dr Noor Hisham, sebagai langkah kesiapsiagaan hospital di pantai timur Sabah pula, KKM dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia bercadang mewujudkan hospital medan bagi menawarkan perkhidmatan obstetrik dan ginekologi, pediatrik serta pembedahan am kepada pesakit bukan kes COVID-19.

“Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat kes Covid-19 kategori 3 hingga 5, manakala kes kategori 1 dan 2 akan terus ditempatkan di PKRC,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata untuk peringkat awal, hospital medan itu dirancang menyediakan 100 katil.

Setakat semalam, Sabah mencatatkan 3,841 kes Covid-19 dengan 11 zon merah iaitu Kota Belud, Tuaran, Kota Kinabalu, Putatan, Penampang, Papar, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau selain merekodkan 19 kluster.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: ICU Hospital Queen Elizabeth II masih beroperasi

KOTA KINABALU, 11 OKT: Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) di sini masih terus beroperasi, walaupun dua orang jururawatnya didapati positif Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata seorang jururawat dikesan positif Covid-19 setelah menjalani saringan bergejala pada 6 Oktober lepas, justeru saringan di tempat kerja menggunakan RTK Antigen dan juga RT-PCR telah dijalankan terhadap 92 pegawai perubatan dan jururawat di hospital itu, kelmarin.

“Hasil saringan mendapati seorang lagi jururawat yang merupakan kontak rapat kepada kes indeks adalah positif Covid-19, manakala anggota perubatan yang lain didapati negatif kedua-dua RTK Antigen dan PCR. Pada masa ini, 40 daripada 66 jururawat sedang dikuarantin di rumah.

“Perkhidmatan di ICU HQE II masih berjalan seperti biasa, namun terpaksa mengurangkan jumlah pesakit daripada lapan kepada enam pesakit. Kesemua pesakit di dalam ICU telah disahkan bebas COVID-19,” katanya menerusi kenyataan di Facebook semalam.

Semalam, sebuah portal yang memetik sumber tidak dinamakan mendakwa kononnya ICU hospital itu lumpuh, setelah jururawatnya dijangkiti penyakit itu.

Dr Noor Hisham berkata punca jangkitan itu masih dalam siasatan, bagaimanapun majoriti jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan di negeri ini setakat ini, adalah berpunca daripada komuniti dan daripada petugas kesihatan kepada petugas yang lain.

Katanya, sejak permulaan pandemik itu sehingga semalam 579 orang kakitangan kesihatan dan perubatan Kementerian Kesihatan telah dijangkiti Covid-19, dan 198 kakitangan di Sabah telah dijangkiti, yang mana bulan ini mencatat jumlah tertinggi iaitu 85 orang, berbanding bulan lepas 66 orang.

Beliau berkata, semua petugas kesihatan dan perubatan adalah dinasihatkan untuk memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) yang bersesuaian, semasa menjalankan tugas dan mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sama ada di tempat kerja ataupun semasa di dalam komuniti.

“Pematuhan kepada panduan amalan klinikal dan langkah kawalan jangkitan adalah amat penting untuk pencegahan. Ruang kerja yang sempit dan ruang pantri di tempat kerja, juga perlu dipastikan sentiasa bersih bagi mengelakkan penularan di tempat kerja.

“Peperangan dengan Covid-19 ternyata bawa bersama risiko jangkitan dan terkesan kepada petugas kesihatan, sekiranya kita tidak patuh kepada amalan kawalan penyakit. Pastikan kita jaga kita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Malaysia masuk gelombang ketiga pandemik Covid-19

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Malaysia kini memasuki gelombang ketiga pandemik Covid-19, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Sehubungan itu, Dr Noor Hisham mengingatkan rakyat supaya bersama berpadu tenaga untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan seperti sebelum ini.

“Kita sekarang telah memasuki gelombang ketiga #Covid19. Sekali lagi kita mesti bersama berpadu tenaga memutuskan rantaian penularan jangkitan ini. #KitaJagaKita,” katanya dalam hantaran di Facebook di sini, malam tadi.

Semalam, sebanyak 375 kes baharu Covid-19 dicatatkan dengan semua negeri dan Wilayah Persekutuan kecuali Perlis mencatatkan kes baharu.

Daripada jumlah itu, 371 merupakan penularan tempatan dan empat lagi merupakan kes import, dengan kes tertinggi dicatatkan di Sabah sebanyak 271 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: KKM kesan dua kluster baharu, satu di Selangor

SHAH ALAM, 7 OKT: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini mengesan dua lagi kluster baharu Covid-19 di Selangor dan Pulau Pinang.

Ketua pengarah kesihatan berkata Kluster Bah Puchong, Selangor dikenal pasti di daerah Petaling
dan Perak iaitu di daerah Larut, Matang, Selama serta Kinta.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kes indeks bagi kluster itu iaitu kes ke-13061, 13065 dan 13069 dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober selepas pulang dari Sabah.

“Ketiga-tiga mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Saringan kontak rapat dijalankan dan dua lagi kes positif dikenal pasti di Perak dan dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata seramai 12 individu disaring di Selangor setakat ini dengan tiga dikesan positif, manakala sembilan masih menunggu keputusan. Sementara di Perak, seramai 27 orang disaring, dua daripadanya positif dan 25 lagi menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata bagi Kluster Penjara Reman di Pulau Pinang, kes dikesan di daerah Timur Laut, yang juga merupakan kes kematian ke-141.

Katanya, mangsa adalah lelaki warganegara berumur 85 tahun yang dijumpai tidak sedarkan diri pada
awal pagi 5 Oktober di penjara dan disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

“Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif dikenal pasti pada 6 Oktober. Semua kes ini melibatkan warganegara dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk
rawatan,” kata beliau lagi.

Jelasnya, seramai 286 individu disaring setakat ini dengan tujuh positif, 78 negatif dan 201 masih menunggu keputusan.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor catat 39 kes baharu Covid-19, warga tempatan dominasi

SHAH ALAM, 6 OKT: Selangor terus mencatatkan peningkatan kes Covid-19 apabila merekodkan 39 kes baharu hari ini, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 kes membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah.

Sementara 11 kes membabitkan Kluster Jalan Meru, katanya.

“Sembilan kes dikesan daripada saringan kontak rapat positif Covid-19 dengan lapan daripadanya ialah warganegara manakala satu warga asing. Satu lagi kes dicatatkan daripada Kluster Embun,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata satu lagi kes mendapat jangkitan dari Filipina yang merupakan warga asing.

Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan sebanyak 691 kes Covid-19 dicatatkan hari ini dengan 57 peratus daripadanya membabitkan Kluster Tembok di Kedah.

Empat kes kematian turut dilaporkan termasuk seorang bayi perempuan berusia setahun. Jumlah kematian kini 141 kes.

Categories
AGENDA NASIONAL

KP Kesihatan: Jumlah kluster aktif Covid-19 kini 39

KUALA LUMPUR, 6 OKT: Dua lagi kluster baharu dikenal pasti hari ini iaitu Kluster Batu di Taiping, Perak dan Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ini menjadikan jumlah kluster aktif di Malaysia sebanyak 39.

Dr Noor Hisham berkata Kluster Batu dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan.

“Hasil saringan ini mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga 6 Oktober, 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring manakala punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Bagi Kluster Ramai-Ramai, kes indeks kluster ini (iaitu kes ke-12161) merupakan seorang pemandu bas yang mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September.

“Kes dikesan positif pada 3 Oktober dan telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti, melibatkan warga tempatan. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan,” katanya.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menyampaikan statistik jangkitan pada sidang media secara maya perkembangan Covid-19 pada 6 Oktober 2020. Foto BERNAMA

Sementara itu, beliau berkata terdapat tujuh kluster aktif lain yang mencatatkan pertambahan kes positif Covid-19 hari ini termasuk Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30 kes), Kluster Jalan Meru (15 kes), Kluster Bah Sintok (tiga kes); Kluster Benteng PK (dua kes); manakala Kluster Selasih dan Kluster Embun masing-masing mencatatkan satu kes baharu.

Dr Noor Hisham menjelaskan daripada 688 kes penularan di dalam negara, sebanyak 394 kes melibatkan kes daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah sekali gus meliputi 57 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

“Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam penjara dan dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata pertambahan 394 kes hari ini menjadikan jumlah kes bagi kluster itu sebanyak 1,047 kes dan satu kematian direkodkan.

Sementara itu, memperincikan peningkatan kapasiti hospital di Malaysia, Dr Noor Hisham berkata sehingga 6 Okt jumlah katil yang disediakan bagi merawat pesakit Covid-19 adalah sebanyak 6,759 katil.

“Ia merangkumi 2,820 katil di Hospital Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan 3,975 katil di Pusat Kuarantin dan Berisiko Rendah dengan kadar penggunaan katil bagi kedua-dua fasiliti ini masing-masing 36 peratus dan 29 peratus di seluruh negara.

“Bagi jumlah katil Unit Rawatan Rapi (ICU) pula, sebanyak 437 buah katil dikhususkan bagi pesakit Covid-19 dengan kadar penggunaan enam peratus dan sebanyak 1,505 buah alat mesin pernafasan (ventilator) juga disediakan di hospital KKM dengan kadar penggunaan 37 peratus bagi seluruh negara, termasuk bagi penggunaan pesakit bukan Covid-19,” jelasnya.

Menjelaskan mengenai kesiapsiagaan KKM di Sabah, Dr Noor Hisham berkata terdapat enam hospital berpakar di negeri itu yang merawat pesakit Covid-19 termasuk Hospital Queen Elizabeth (HQE), Hospital Wanita dan Kanak-kanak Sabah (HWKKS), Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Duchess of Kent (HDOK) Sandakan serta Hospital Keningau.

Wad-wad tambahan telah dibuka di Bangunan Kompleks Sukan Likas, Bangunan Kompleks Sukan Tawau, Dewan Arena Tawau, Kompleks Penjara Tawau dan Bangunan Institut Latihan KKM (ILKKM), Dewan Tun Haji Mustapha dan Dewan Rafflesia (ILKKM), Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu Putih dan PPR Bubul Ria (Semporna) manakala Asrama Sekolah Menengah Agama dibuka bagi kes daerah Kunak.

“Kapasiti katil bagi enam hospital KKM dan 10 Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) Berisiko Rendah (PKRC), masing-masing 710 buah katil dan 1,886 buah katil, dengan kadar penggunaan katil sebanyak 75 peratus di hospital KKM dan 35 peratus di PKRC.

“Bagi Perkhidmatan Rawatan Rapi pula, Sabah mempunyai 72 katil yang dikhususkan bagi merawat pesakit Covid-19 yang kritikal dan kadar penggunaan adalah sebanyak 38 peratus,” katanya.

Pasukan bantuan juga telah diatur untuk membantu JKN Sabah mengendalikan wad tambahan ini serta menghantar aset perubatan tambahan untuk kegunaan hospital di negeri itu.

Tambahnya, setakat ini jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di seluruh Sabah adalah 2,500 ujian sehari.

Beliau berkata KKM sedang mengusahakan satu makmal modular di Tawau dan memaklumkan setakat ini, sebanyak 15,000 RTK-Antigen telah selamat dihantar ke Sabah untuk membantu dalam meningkatkan kapasiti saringan kes di negeri itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan dua lagi kluster baharu di Selangor

SHAH ALAM, 2 OKT: Dua kluster baharu dikesan di Selangor hari ini membabitkan saringan individu yang pulang dari Sabah, kata ketua pengarah kesihatan.

Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut dirujuk sebagai Kluster Seri Setia di Gombak dan Kluster Seri Anggerik di Hulu Selangor.

“Kluster Seri Setia melibatkan lelaki warganegara berusia 36 tahun dan mempunyai sejarah ke Semporna, Sabah dari 16 hingga 20 September lalu. Individu berkenaan bergejala sejak 21 September dan dikesan positif pada 27 September.

“Sementara Kluster Seri Anggerik pula membabitkan individu dengan sejarah perjalanan ke Sabah pada 9 hingga 18 September lalu, dia mula bergejala pada 25 September dan positif pada 26 September,” katanya dalam sidang media hari ini.

Dr Noor Hisham berkata seramai 23 individu disaring bagi Kluster Seri Setia dengan empat daripadanya positif, 14 negatif dan lima masih menunggu keputusan.

Bagi Kluster Seri Anggerik, beliau berkata seramai 67 kontak rapat disaring dengan 14 positif, 15 negatif dan 38 masih menunggu keputusan.

Semalam, Kementerian Kesihatan mengenal pasti Kluster Jalan Meru di Klang yang mencatatkan lima lagi kes baharu Covid-19 hari ini dengan keseluruhan sembilan kes.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM kesan kluster kelapan Covid-19 di Sabah – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 23 SEPT: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu lagi kluster baharu iaitu yang kelapan di Sabah, dikenali Kluster Udin, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata kluster itu dikesan di Tawau dengan kes indeks (kes ke-9894) melibatkan wanita tempatan berumur 72 tahun hasil saringan warga emas di Klinik Kesihatan Merotai, Tawau pada 12 Sept.

Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan mengesan dua lagi kes positif semalam (22 September).

“Kedua-dua kes positif ini melibatkan warganegara Filipina. Mereka tidak bergejala dan telah dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan.

“Sehingga kini, sejumlah 128 individu telah disaring dengan tiga dikesan positif Covid-19 (termasuk kes indeks), 71 negatif dan 54 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai perkembangan kluster aktif, empat kluster lain di Sabah merekodkan peningkatan kes baharu iaitu Kluster Benteng LD, Kluster Bangau-Bangau, Kluster Laut, dan Kluster Pulau selain satu di Kedah melibatkan Kluster Sungai.

Katanya Kluster Benteng LD merekodkan 105 kes dan menjadikan jumlah kes positif kluster itu kini 729 kes; pertambahan lapan kes masing-masing bagi Kluster Bangau-Bangau (13 kes) dan Kluster Laut (12 kes); serta pertambahan dua kes Kluster Pulau (37 kes), manakala empat kes baharu bagi Kluster Sungai (87 kes).

Susulan peningkatan kes di Sabah, Dr Noor Hisham berkata KKM teruskan pemantapan kesiapsiagaan menerusi 23 makmal hospital dan 26 makmal klinik kesihatan KKM yang menjalankan ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag).

Selain itu, KKM juga menambah kapasiti makmal ujian real-time Reverse-Transcription Polymerase Chain Reaction (rRT-PCR) yang menjadikan jumlah kapasiti ujian harian makmal sampel Covid-19 di Sabah ditingkatkan kepada 2,500 ujian sehari.

“Sekiranya ujian Covid-19 di Sabah mencecah 2,500 ujian sehari, sampel selebihnya dihantar Semenanjung menggunakan perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia serta perkhidmatan kurier swasta ke Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“KKM sedang berusaha membangunkan sebuah makmal molekular di Hospital Tawau, selain menunggu penghantaran kaset GeneXpert Covid-19 daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia bagi kegunaan di Hospital Tawau, Hospital Sandakan dan Hospital Lahad Datu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Pergiat tindakan kesihatan awam, turunkan nilai R-Naught

PUTRAJAYA, 16 SEPT: Tindakan kesihatan awam perlu dipergiat bagi memastikan nilai R-Naught (Rt) dapat dikurangkan sehingga kurang daripada 1.0 sekali gus mengurangkan transmisi dan kebolehjangkitan Covid-19 di dalam komuniti.

Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata nilai terkini pada 13 September adalah 1.58 dan jika diteliti nilai Rt bagi negeri Sabah pula, pada 8 September ianya adalah amat tinggi, iaitu pada nilai 3.72.

“Ini adalah lebih tinggi berbanding nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 2.63. Hasil tindakan kesihatan awam yang giat dijalankan telah menurunkan sedikit nilai ini bagi kedua-dua negeri dan pada 13 September, nilai Rt bagi negeri Sabah adalah 1.70, iaitu hampir dengan nilai Rt bagi negeri Kedah pada tarikh yang sama iaitu 1.58,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan Covid-19, semalam.

Namun begitu katanya, nilai ini masih kekal melebihi 1.0 bagi kedua-dua negeri, dan seterusnya memberi kesan kepada nilai Rt bagi negara.

Antara tindakan kesihatan awam yang diambil kementerian ialah pengesanan kes aktif, saringan dan pensampelan, survelan kes risiko tinggi iaitu golongan warga emas dan pekerja sektor industri tertentu, kuarantin kes-kes individu di bawah pengawasan (PUS), penilaian risiko di lapangan dan survelan Influnza Like Illness ILI , Jangkitan Pernafasan Akut Teruk (SARI) dan ujian prapembedahan.

Justeru, beliau berkata tindakan dan komitmen daripada semua lapisan masyarakat adalah diperlukan dengan terus mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Beliau menasihatkan supaya masyarakat agar kekal berada di rumah sekiranya tiada urusan di luar rumah, memastikan penjarakan fizikal, basuh tangan dengan air dan sabun atau pensanitasi tangan serta memakai pelitup muka ketika di tempat awam, terutama yang sesak dan sempit.

Sementara itu, mengulas mengenai situasi terkini di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersasar di Kedah, Kementerian Kesihatan Malaysia mengganggarkan 15,000 individu disaring dari 10 mukim yang telah dikenal pasti berisiko tinggi yang terlibat dalam Kluster Sungai dan Kluster Telaga.

“Sehingga kini, sebanyak 12,885 warganegara telah disaring, iaitu 11,757 individu negatif dan 1,128 individu masih menunggu keputusan,”katanya.

Manakala bagi PKPD secara pentadbiran di tiga zon dalam Amanjaya, seramai 13,591 penduduk telah disaring sehingga hari ini yang terdiri daripada 13,526 warganegara dan 65 bukan warganegara.

Katanya, daripada jumlah keseluruhan saringan, 16 kes positif dalam kalangan warganegara telah dikesan, termasuk 13 kes saringan kali kedua di Zon Melur.

Susulan itu katanya, PKPD secara pentadbiran di Zon Melur telah dilanjutkan sehingga 27 September bagi membendung penularan pandemik itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Enam kes baharu, 21 pesakit pulih

KUALA LUMPUR, 5 SEPT: Kes positif Covid-19 hari ini kembali mencatatkan satu angka dengan enam kes baharu yang merangkumi dua kes penularan dalam negara dan empat kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua kes penularan dalam negara itu melibatkan warga tempatan iaitu masing-masing penambahan satu kes baharu daripada Kluster Telaga dan kes ‘Severe Acute Respiratory Infection’ (SARI) di Hospital Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata empat kes import pula dilaporkan di Wilayah Persekutuan yang masing-masing mendapat jangkitan di Pakistan, Angola, India dan Bangladesh, melibatkan dua warga tempatan dan dua rakyat asing.

“Ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,391 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 150 kes,” katanya dalam kenyataan mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Katanya, terdapat 21 pesakit pulih daripada Covid-19 pada hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya sebanyak 9,113 kes atau 97 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Sehingga kini, terdapat lima kes positif Covif-19 yang sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan tiga kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini dan jumlah kumulatif kes kematian akibat Covif-19 di Malaysia kekal sebanyak 128 atau 1.36 peratus daripada keseluruhan kes.

Mengulas lanjut mengenai Kluster Telaga, beliau berkata pertambahan satu kes baharu di Kedah itu merupakan kontak rapat kepada kes ke-9284 di Hospital Sultanah Bahiyah, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 dalam kluster tersebut sebanyak sembilan kes.

“Beliau didapati positif Covid-19 semasa saringan yang dijalankan pada 3 September,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga 12 tengah hari tadi, seramai 3,458 individu telah disaring dalam kluster tersebut yang mana 2,744 individu didapati negatif, manakala 705 pula masih menunggu keputusan.

“Pengesanan kes secara aktif dan saringan kontak rapat telah dijalankan,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Lima kes baharu, 16 pesakit pulih

PUTRAJAYA, 27 OGOS: Kes positif Covid-19 hari ini terus mencatatkan satu angka dengan hanya lima kes baharu, tiga daripadanya adalah penularan dalam negara, manakala dua lagi adalah kes import.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tiga kes penularan dalam negara itu, ia melibatkan tiga warga tempatan iaitu dua kes saringan pra-pembedahan di Hospital Angkatan Tentera Kem Terendak dan satu kes saringan bergejala di hospital yang sama.

Beliau berkata ini menjadikan jumlah kes positif sebanyak 9,296 kes serta jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 177 kes.

“Dua kes import pula dilaporkan di Selangor, yang mendapat jangkitan di luar negara iaitu Filipina dan Mesir, juga melibatkan warganegara,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan Covid-19 di sini hari ini.

Katanya, terdapat 16 kes yang telah pulih daripada Covid-19 pada hari ini, yang membawa kepada jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,994 kes (96.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

“Sehingga kini, terdapat lapan lapan kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana enam enam kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan hari ini, justeru, jumlah kumulatif kes kematian Covid-19 di Malaysia adalah kekal sebanyak 125 kes iaitu 1.34 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Mengulas lebih lanjut mengenai Kluster Tawar, beliau berkata memandangkan tiada kes baharu yang dilaporkan pada hari ini, jumlah kes positif Covid-19 kekal sebanyak 73 kes.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Terima gelaran Tan Sri, KP kesihatan ‘popular’ di Twitter

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penganugerahan Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri kepada Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memenuhi laman media sosial semalam dan ‘trending’ di Twitter.

Perkataan Tan Sri sahaja mendapat lebih 26,500 hantaran hingga 5 petang semalam, susulan penganugerahan yang diterima tokoh yang cukup dikenali rakyat Malaysia berikutan penularan pandemik Covid-19.

Barisan pemimpin negara, ahli Parlimen blok pembangkang, selebriti tanah air dan netizen mengambil peluang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham menerusi laman sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Dr Noraini Ahmad antara yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham yang pernah dinamakan sebagai antara tiga doktor terbaik dunia oleh China Global TV Network (CGTN) berdasarkan kewibawaan menangani krisis Covid-19.

“Tahniah Tan Sri!,” kata Dr Noraini yang mengulang hantaran Dr Noor Hisham.

Sementara itu, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun turut memuat naik sekeping gambar Dr Noor Hisham berserta ungkapan:

“Heartiest congratulations to our Director-General of Health @DGHisham. He is now a Tan Sri. He has been conferred the ‘Panglima Setia Mahkota (PSM)’ award in conjunction with DYMM Yang Dipertuan Agong’s official birthday celebration. Much deserved. Tahniah.”

Turut mengambil kesempatan ialah Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengucapkan tahniah kepada Dr Noor Hisham dan berkata beliau adalah “hero sebenar” Malaysia.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran kepada Dr Noor Hisham pada istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan Tahun 2020 di Istana Melawati

Selain Dr Noor Hisham, seramai 11 lagi individu turut menerima Darjah PSM bersempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong tahun ini.

Selebriti Neelofa pula menzahirkan ucapan terima kasih kepada Dr Noor Hisham atas sumbangan beliau.

“Heartiest congratulations to Tan Sri @DGHisham on your well deserved award. Thank you for your contribution to the country. Our true Malaysian Hero!” katanya.

Turut berkongsi ucapan tahniah ialah pelatih pakar bedah kelahiran Malaysia, Dr Nur Amalina Che Bakri yang bertugas di London.

Dr Noor Hisham dalam hantarannya menerusi Twitter berkata penganugerahan darjah kebesaran itu adalah pengiktirafan terbesar buat petugas barisan hadapan dan warga Kementerian Kesihatan (KKM) yang berjuang memerangi pandemik Covid-19.

“Merafak sembah, menjunjung kasih Ke bawah DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas kurniaan pingat PSM. Darjah kebesaran ini adalah satu penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir KKM, lambang kepercayaan dan penghargaan kerajaan kepada penjawat awam,” katanya.

Hantaran itu diulang hantar sebanyak 8,500 kali dengan 15,000 tanda suka.

-BERNAMA