Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dianugerah gelaran Tan Sri, penghargaan buat KKM

SHAH ALAM, 17 OGOS: Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham merupakan antara individu dikurnia Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri.

Gelaran itu dianugerahkan sempena Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan (hari pertama) yang berlangsung di Istana Melawati, Putrajaya.

Dr Noor Hisham di Facebooknya berkata penganugerahan itu adalah penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan dan di belakang tabir Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Ianya sekaligus merupakan lambang kepercayaan dan penghargaan Kerajaan kepada penjawat awam.

“Semoga segala penghargaan yang dikurniakan kepada para petugas dalam memerangi pandemik Covid-19 ini akan membakar semangat kami semua untuk terus menjalankan tugas demi kesihatan rakyat dan keselamatan negara,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Pelajar Lembah Pantai sah negatif Covid-19

SHAH ALAM, 13 OGOS: Keputusan saringan Covid-19 seorang pelajar di Lembah Pantai disahkan negatif, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata dua saringan dilakukan dalam tempoh 24 jam bagi mendapatkan keputusan tepat.

“Sebanyak 54 kontak rapat membabitkan warga sekolah, ahli keluarga, kenalan dan kakitangan kesihatan turut disaring namun semuanya negatif,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sebelum ini tular pelajar tingkatan lima berkenaan positif Covid-19 selepas mengalami gejala muntah dan cirit-birit pada 9 Ogos.

Pelajar itu kemudian dibawa ke pusat perubatan dan disahkan menghidap demam denggi.

Categories
AGENDA NASIONAL

Dr Noor Hisham dianugerah ‘Alumni Tersohor 2019’

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dianugerahkan Alumni Tersohor 2019 oleh Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atas sumbangan besar beliau dalam bidang perubatan.

Dr Noor Hisham diberi anugerah itu sempena majlis Anugerah Sanjungan Kencana Fakulti Perubatan 2020, UKM hari ini.

“Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada komitmen dan dedikasi kesemua tenaga pendidik di Fakulti Perubatan UKM dan satu manifestasi kecemerlangan petugas kesihatan di mana sahaja mereka berada. Mereka adalah insan-insan istimewa yang komited, produktif, inovatif dan sentiasa berusaha untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat melangkaui jangkaan,” katanya dalam hantaran Facebook beliau hari ini.

Dr Noor Hisham mengucapkan jutaan terima kasih kepada UKM, khususnya Fakulti Perubatan universiti itu atas penganugerahan berkenaan.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kecemerlangan perkhidmatan kesihatan negara merupakan hasil kerjasama berpasukan setiap individu kerana setiap sumbangan walau sekecil mana pun, adalah rentetan ke arah hasil impak kesihatan yang tinggi, kos berpatutan dan memenuhi kepuasan pelanggan.

Dr Noor Hisham turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua warga kerja perkhidmatan kesihatan yang masih berkhidmat dan yang telah bersara.

“Mereka sentiasa melaksanakan tugas dan meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kesihatan dengan penuh dedikasi dan integriti,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PENDAPAT RENCANA

100 hari PKP: Berjayakah Malaysia kekang Covid-19?

Oleh Norshazlina Nor Azman

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Pada 25 Jun tepat 100 hari selepas kali pertama Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan 18 Mac lepas.

Persoalannya adakah Malaysia, tidak kiralah rakyat, kerajaan dan barisan hadapan sudah berjaya berikutan langkah ini atau setidak-tidaknya mampu mengekang pandemik maut Covid-19 menjadi lebih buruk?

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengehadkan pergerakan orang ramai untuk keluar rumah, yang turut menyaksikan semua premis di dalam negara terpaksa ditutup kecuali bagi perkhidmatan penting.

Selepas Malaysia melalui tiga fasa PKP termasuklah PKP Bersyarat (PKPB) dari 4 Mei hingga 9 Jun sebelum diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP) yang sedang berjalan, berdasarkan ranking dunia, Malaysia kini berada di tangga ke-69 dari 187 negara yang terlibat dengan penularan wabak itu, berbanding tangga ke-17, sehari selepas PKP diumumkan.

Pada 24 Jun, kes baharu Covid-19 kekal mencatatkan satu angka iaitu enam kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 244 kes dan dengan pertambahan kes baharu itu, menjadikan jumlah kumulatif kes positif Covid-19 di Malaysia 8,596 kes, serta sifar kematian menjadikan jumlah maut akibat wabak itu kekal 121 kes.

Jumlah kes positif terendah dicatatkan pada 10 Jun lepas iaitu hanya dua kes dan ia mungkin petanda baik yang negara berada di landasan betul yang pada mulanya untuk meratakan lengkung jumlah jangkitan, menuju sifar kes sekali gus bebas daripada Covid-19.

Pengorbanan Barisan Hadapan

Anggota perubatan dan kesihatan misalnya terpaksa bekerja syif panjang, siang dan malam sejak lima bulan lalu, tatkala kes pertama Covid-19 dilaporkan di dalam negara iaitu pada 25 Januari, membabitkan tiga warga China yang masuk ke Malaysia melalui Johor dari Singapura.

Sepertimana orang awam, petugas kesihatan juga tidak lepas daripada rasa takut dan khuatir, malah ramai jururawat mahupun doktor menceritakan ‘azab’ memakai pakaian pelindung diri (PPE), selain ada yang langsung tidak bertemu dan memeluk anak kerana risau kemungkinan memindahkan virus tersebut kepada mereka.

Seramai 416 kakitangan Kementerian Kesihatan juga dijangkiti dengan wabak tersebut, iaitu 80 peratus daripada mereka mendapat jangkitan itu dari luar kemudahan kesihatan, manakala kira-kira 20 peratus lagi jangkitan daripada pesakit dan rakan sekerja.

Berbulan lamanya anggota pasukan keselamatan beruniform biru dan juga yang berceloreng tentera menjalankan rondaan misalnya di kawasan perumahan, selain berpanas berhujan tanpa mengira masa di sekatan jalan raya bagi menahan mereka yang tidak mempunyai justifikasi untuk keluar rumah.

Malah Koperal Safwan Muhammad Ismail, 31, maut selepas dirempuh sebuah kenderaan ketika bertugas menjaga kawalan sekatan jalan raya akibat kecederaan parah di kepala dan badan manakala seorang lagi cedera parah selepas khemah operasi runtuh disebabkan angin lintang dan hujan lebat.

Tidak ketinggalan agensi penguatkuasaan lain antaranya Agensi Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), pihak berkuasa tempatan (PBT), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Imigresen yang bekerja keras memastikan perang ke atas pandemik ini berjaya.

Operasi demi operasi juga menyaksikan ramai pendatang asing tanpa izin ditahan, kes jenayah di dalam negara juga berkurangan kerana keberadaan anggota penguat kuasa di mana-mana, selain kawalan persempadanan juga terus diperketatkan bagi mengelak negara dibolosi melalui ‘lorong tikus’.

Pematuhan SOP

Sepanjang PKP juga Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga ‘Jeneral Perang’ – Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah tidak jemu menyampaikan pengumuman terbaru, apa yang boleh, larangan dan nasihat kepada rakyat agar mematuhi undang-undang.

Mereka juga mengingatkan masyarakat untuk terus mengamalkan pendekatan kebiasaan baharu, ini tidak lain untuk memutuskan sama sekali rantaian jangkitan Covid-19 dan membebaskan rakyat Malaysia daripada virus maut itu.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas tidak lupa merakam penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan, selain mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang terus mematuhi SOP dalam menjalankan aktiviti harian sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

Sepanjang fasa PKP juga, pelbagai bantuan dan kemudahan telah diberikan kerajaan termasuklah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang bertujuan untuk mengurangkan beban hidup serta sebagai rangsangan ekonomi.

Apapun, semua pihak harus terus berhati-hati , tidak mengambil mudah walaupun sudah banyak kelonggaran diberi kerajaan, saling mengingati antara satu sama lain mengenai SOP dan peraturan supaya Malaysia tidak kembali mencatat peningkatan kes dan akhirnya bebas daripada Covid-19. Ayuh Malaysia! Buktikannya!

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KKM: Guna ‘dexamethasone’ dengan nasihat doktor, elak kesan sampingan

SHAH ALAM, 17 JUN: Kementerian Kesihatan (KKM) mengingatkan orang ramai tidak mengambil ubat jenis `dexamethasone’ tanpa nasihat doktor, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ubat tersebut digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti barah serta mempunyai banyak kesan sampingan.

“KKM gunakan ubat jenis ‘dexamethasone’ untuk merawat pesakit Covid-19 kategori empat dan lima iaitu mereka yang ada gejala pernafasan yang serius serta memerlukan bantuan pernafasan.

“Hasil penggunaan ubat tersebut mendapati satu daripada tiga pesakit memberi tindak balas positif untuk melawan penyakit tersebut,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham bagaimanapun berkata ujian klinikal mendapati ubat tersebut tidak membantu rawatan pesakit yang mempunyai gejala ringan atau pesakit yang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

“Sebenarnya ubat ini telah lama digunakan untuk merawat pelbagai penyakit atau untuk mengurangkan keradangan, cuma apabila muncul Covid-19 kita melakukan pelbagai ujian bagi menguji keberkesanan pelbagai jenis ubat,” katanya.

Hari ini ahli sains Britain mendakwa berjaya temui ubat yang dipercayai mampu meningkatkan peluang pesakit Covid-19 untuk sembuh.

Dexamethasone, steroid murah dan mudah diperoleh, dipercayai mampu mengurangkan kadar kematian dalam kalangan pesakit. Susulan itu Kerajaan Britain membenarkan penggunaan ubat berkenaan di seluruh negara.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada kematian dalam 11 hari, kes baharu 20

SHAH ALAM, 2 JUN: Tiada kes kematian dilaporkan hari ini disebabkan Covid-19 untuk 11 hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu menjadikan jumlah kumulatif kekal 115 kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 20 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kini 7,877 kes.

“Daripada 20 kes baharu, 15 kes import, lima kes penularan dalam negara. Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,292 kes,” kata beliau dalam sidang media harian di Putrajaya.

Katanya hanya enam pesakit dirawat di ICU dengan dua daripadanya perlukan bantuan pernafasan.

Noor Hisham berkata terdapat 66 pesakit pulih menjadikan jumlah kumulatif yang pulih sepenuhnya adalah 6,470 kes.

“Bilangan kes yang didiscaj hari ini adalah lebih dua kali ganda bilangan kes baharu yang dilaporkan,” katanya.

Categories
AGENDA NASIONAL

Covid-19: Kes harian sejajar unjuran Institut Kesihatan Negara

SHAH ALAM, 1 JUN: Jumlah kes harian Covid-19 membabitkan rakyat Malaysia sejajar unjuran dibuat menggunakan kaedah pemodelan oleh Institut Kesihatan Negara (NIH), kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bilangan jangkitan harian itu tidak termasuk kes import, warga asing yang tinggal dalam komuniti dan bukan warganegara di Depot Tahanan Imigresen (DTI).

“KKM ingin mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia atas kerjasama dengan kerajaan bagi pencapaian ini dalam usaha membendung penularan jangkitan Covid-19.

“Namun, masyarakat harus kekal waspada dan patuh kepada SOP serta saranan ditetapkan bagi memastikan tiada peningkatan kes dalam kalangan masyarakat setempat,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Sementara itu, Noor Hisham mengakui negara berdepan cabaran baharu yang perlu ditangani bersama membabitkan peningkatan kes Covid-19 dalam kalangan warga asing.

Katanya penularan kes dalam kalangan bukan warganegara terutama di beberapa DTI dan pekerja warga asing pelbagai sektor meningkat secara ketara mulai 29 April lalu.

“Namun, golongan bukan warganegara tidak harus disisih oleh masyarakat sebaliknya membantu mereka mengurangkan penularan wabak di negara ini.

“Setiap tahun, pergaulan dan percampuran rakyat Malaysia dengan mereka (bukan warganegara) sememangnya terhad tetapi kehadiran mereka membantu memperkasa ekonomi negara,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Tiada kematian dalam 10 hari, kes baharu 38

SHAH ALAM, 1 JUN: Tiada kematian disebabkan Covid-19 direkodkan dalam tempoh sepuluh hari berturut-turut sejak 23 Mei lalu dengan kes maut wabak itu kekal 115 iaitu 1.46 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sebanyak 51 kes pulih dan dibenarkan keluar hospital menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sebanyak 6,404.

“Terdapat 38 kes baharu dilaporkan setakat 12 tengah hari ini, menjadikan jumlah kes positif Covid-19 di Malaysia sebanyak 7,857.

“Oleh itu, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 1,338 kes,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Dr Noor Hisham berkata kes baharu yang dilaporkan hari ini terdiri daripada 26 kes import dan 12 jangkitan tempatan.

“Daripada 12 kes jangkitan tempatan, enam kes melibatkan warga asing dan enam kes lain melibatkan warga tempatan. Kesemua mereka sudah diasingkan dan kini sedang menerima rawatan,” katanya.

Beliau berkata seramai lapan pesakit kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan dua daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

 

 

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP Taska: Tiada diskriminasi anak-anak petugas barisan hadapan

PUTRAJAYA, 25 MEI: Tidak timbul isu pengasingan atau diskriminasi terhadap anak-anak petugas barisan hadapan terutamanya warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam penempatan di taman asuhan kanak-kanak (taska), kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham.

Beliau berkata tatacara operasi piawai (SOP) di taska, yang masih di peringkat cadangan itu dan belum dibentangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN), bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata petugas barisan hadapan terutamanya yang bekerja di hospital adalah satu daripada kumpulan berisiko untuk terkena jangkitan dan begitu juga dengan ahli keluarga mereka.

“Bukan kami sekat. Kami khaskan satu tempat untuk anak-anak petugas barisan hadapan. Kalau taska di hospital, tidak ada masalah. Namun, kalau bergaul dengan kanak-kanak lain, perlu khaskan.

“Ini bukan pengasingan tetapi khaskan di satu tempat. Kami memberi pengawasan khusus kepada anak petugas kesihatan. Mungkin cara kita mengolah perkataan seolah-olah seperti kita asingkan, namun sebenarnya ia memberikan perhatian khusus kepada mereka,” katanya semasa menjawab hal berkaitan garis panduan berkaitan operasi taska, yang didakwa sebagai satu bentuk ‘diskriminasi’ terhadap anak-anak petugas barisan hadapan.

Dr Noor Hisham berkata petugas kesihatan juga sentiasa diingatkan mematuhi langkah keselamatan apabila kembali ke pangkuan keluarga termasuk tidak terus menyentuh anak-anak mereka sebelum melakukan amalan pembersihan diri.

Beliau berkata SOP taska itu akan diperhalusi dan dibentangkan kepada MKN sebelum dilaksanakan.

“KKM ingin mengulangi bahawa tiada sebarang diskriminasi dalam memberi rawatan Covid-19 kepada semua, sama ada kepada warganegara atau bukan warganegara, dewasa, atau kanak-kanak,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kanak-kanak positif Covid-19 tunjuk sindrom seperti penyakit Kawasaki

KUALA LUMPUR, 18 MEI: Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah melaporkan terdapat sindrom seperti penyakit Kawasaki pada kanak-kanak yang positif Covid-19.

Dalam catatan Facebooknya semalam, beliau menyatakan keadaan itu adalah gejala radang saluran darah yang bermula dengan tanda demam dan ruam.

Sementara itu, Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesu berkata laporan dari Eropah dan Amerika Utara mengesan sejumlah kecil kanak-kanak dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan radang pelbagai sistem serta beberapa ciri yang serupa dengan penyakit Kawasaki dan sindrom kejutan toksik.

“Sangat mustahak untuk mencirikan sindrom klinikal ini dengan teliti bagi memahami sebab serta akibat dan untuk memberikan intervensi rawatan. Saya telah meminta pakar di seluruh dunia supaya bekerjasama dengan pihak berkuasa kesihatan negara masing-masing sementara WHO akan kekal berwaspada dan lebih memahami akan sindrom ini pada kanak-kanak,” katanya dalam klip video pendek WHO yang turut dikongsi oleh Dr Noor Hisham.

Dalam klip video yang sama, Ketua Teknikal Covid-19 untuk Program Kecemasan Kesihatan WHO, Dr Maria Van Kerkhove berkata ia merupakan satu keadaan yang sangat jarang berlaku dan WHO telah mendapat gambaran mengenai gejala yang berbeza pada kanak-kanak yang diuji positif Covid -19.

Menurut laman web rasmi WHO, laporan kes telah menggambarkan penyakit akut yang disertai oleh sindrom hiperinflamasi, yang membawa kepada kegagalan pelbagai organ.

Ia penting untuk mencirikan sindrom berkenaan dan faktor risikonya bagi memahami sebab serta akibat, selain menerangkan intervensi rawatan. Masih belum jelas spektrum penuh penyakit itu dan sama ada faktor penyebaran di Eropah dan Amerika Utara mencerminkan corak sebenarnya atau tidak.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

SOP operasi Taska, Tadika diketahui hari ini

PUTRAJAYA, 30 APRIL: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masuk hari kedua dalam fasa keempat, menyaksikan kerajaan terus berusaha keras untuk mengekang penularan wabak Covid-19.

Hari ini, rakyat bakal mengetahui tatacara operasi piawai (SOP) berkaitan pembukaan operasi taman asuhan kanak-kanak (Taska) dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) sepanjang PKP keempat yang bermula 29 April hingga 12 Mei.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Berkenaan Pelaksanaan PKP hari ini.

Selain isu berkenaan, Ismail Sabri juga memaklumkan bahawa pada mesyuarat yang sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan membincangkan SOP berkaitan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini selain nasib penganjuran aktiviti sukan seperti Liga Malaysia (Liga-M).

PKP fasa keempat turut memperlihatkan kelonggaran yang diberi kerajaan dengan membenarkan dua individu dari rumah yang sama dan keluarga terdekat, bergerak dalam satu kenderaan untuk keluar membeli makanan dan barang keperluan harian.

Sebelum ini, hanya ketua keluarga sahaja dibenarkan bergerak untuk membeli makanan dan barang keperluan harian.

Kelonggaran SOP fasa keempat juga menyaksikan kerajaan membenarkan pergerakan melebihi 10 kilometer (km) untuk mendapatkan barang keperluan serta perkhidmatan kesihatan dan perubatan, jika keperluan dan perkhidmatan itu tidak terdapat dalam radius 10km dari kediaman mereka.

Pada masa sama, Ismail Sabri turut menegaskan bahawa tiada istilah hukuman dua darjat bagi mereka yang melanggar PKP kerana kerajaan sentiasa bersikap adil dan tindakan undang-undang yang diambil adalah mengikut tuduhan dikenakan.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) amat menitikberatkan garis panduan yang ditetapkan sebelum ini ke atas mana-mana sektor, susulan beberapa sektor ekonomi sudah mula beroperasi pada fasa keempat PKP.

Sama ada taska, restoran atau institusi berkaitan ekonomi sekalipun, mereka perlu mengutamakan garis panduan yang ditetapkan dan perkembangan ini akan dipantau KKM sebelum membenarkan sektor lain seperti pendidikan dan sosial pula dibuka untuk beroperasi.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Covid-19: Kes baharu 57, kadar sembuh 61.1 peratus tertinggi di Asean

SHAH ALAM, 21 APRIL: Kadar kesembuhan pesakit Covid-19 mencapai tahap 61.1 peratus iaitu tertinggi di Asean, kata ketua pengarah kesihatan.

Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata terdapat 54 kes yang pulih dan dibenarkan keluar hospital pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif sepenuhnya 3,349 kes.

Beliau berkata terdapat 57 kes baharu dilaporkan menjadikan jumlah positif Covid-19 di Malaysia adalah 5,482 kes.

“Jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 adalah 2,041 kes. Mereka diasingkan dan diberi rawatan.

“Daripada 57 kes, 18 adalah kes import daripada warganegara Malaysia yang pulang dari luar negara. 39 kes adalah kes penularan tempatan,” katanya pada sidang media di Putrajaya.

Dr Noor Hisham berkata 43 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 27 kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Terdapat pertambahan tiga lagi kes kematian berkaitan Covid-19 menjadikan jumlah kumulatif 92 kes iaitu 1.68 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.