Categories
AGENDA SELANGOR

Wakil rakyat: Segerakan laksana titah Sultan Selangor

SHAH ALAM, 8 JUN : Kerajaan persekutuan digesa menyegerakan penyediaan vaksin tambahan kepada rakyat Selangor susulan teguran Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Wakil rakyat Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata titah Sultan itu bertepatan dengan keperluan rakyat berjumlah 6.5 juta di negeri ini.

“Titah baginda perlu diberi perhatian dan tidak sepatutnya wujud pelbagai tohmahan, ketidakcekapan data dan mainan politik yang hanya merencatkan sasaran untuk mencapai imuniti kelompok.

“Dalam keadaan kes harian Covid-19 yang meruncing, adalah wajar nyawa rakyat diberi keutamaan berbanding agenda lain,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menggesa Ahli Dewan Negeri (ADN) Perikatan Nasional Selangor bersama memainkan peranan mendesak kerajaan mempercepatkan proses penyediaan vaksin ini.

Hari ini, menerusi kenyataan Facebook Royal Selangor, Sultan Sharafuddin berharap agar Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJABV) mempercepat dan menambah bilangan dos vaksin untuk rakyat negeri ini.

Baginda turut mengingatkan bahawa Selangor adalah penyumbang terbesar dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, justeru keutamaan wajar diberikan.

 

 

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor ucap takziah kepada keluarga Haziq

OLEH UMIRAH IZRIN MOHAMAD SAID

SHAH ALAM, 21 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah merakamkan ucapan takziah kepada keluarga seorang warga Malaysia yang terkorban dalam serangan di masjid di Christchurch, New Zealand.

“Beta berasa amat sedih dan dukacita dengan makluman berita bahawa berlakunya kehilangan nyawa membabitkan Allahyarham Mohd Haziq Mohd Tarmizi.

“Beta dan Tengku Permaisuri Selangor ingin menyampaikan ucapan takziah dan semoga Allah SWT memberikan ketabahan dan kekuatan kepada keluarga mangsa yang terlibat,” titah baginda.

Dalam kenyataan ringkas di Facebook Selangor Royal Office, baginda turut berdukacita atas kejadian terbabit yang menggemparkan seluruh dunia.

Mohd Haziq, 17, hari ini disahkan menjadi mangsa kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch pada Jumaat lalu oleh pengganas dari Australia yang membenci umat Islam.

Allahyarham antara 50 korban kejadian itu, yang mencederakan puluhan jemaah solat Jumaat, termasuk tiga dari Malaysia, di masjid Al-Noor dan Linwood.

Bapanya, Mohd Tarmizi Shuib, 42, turut cedera. Muhammad Nazril Hisham Omar dan Rahimi Ahmad antara 29 mangsa yang masih dirawat.

Dalam kenyataan sama, baginda mendoakan semua mangsa kembali pulih dan sembuh seperti sedia kala.

“Beta juga berharap tragedi seumpama ini tidak akan berulang lagi dan semoga semua umat Islam di seluruh dunia terus tabah dan bersatu hati,” titah baginda.

Categories
SELANGOR

Sultan berkenan Selangor kekal destinasi pelaburan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 18 MAC: Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan apabila Selangor terus menjadi pilihan destinasi pelaburan oleh syarikat-syarikat terkemuka dunia.

Baginda bertitah, antaranya kilang Sony EMCS di Bangi yang merupakan antara kilang pengeluar TV LED Sony terbesar di dunia dan juga menjadi satu-satunya pusat kajian dan pembangunan bagi produk TV Sony di luar Jepun.

“Manakala syarikat IKEA daripada Sweden pula sedang membangunkan pusat pengedaran serantau ketiga terbesar di dunia yang terletak di Pulau Indah.

“Sementara itu, di Bukit Raja, syarikat Toyota melancarkan ‘first line off vehicle’ dari kilang mereka yang terbaru yang menggunakan teknologi pembuatan kereta tercanggih di dunia,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyampaikan Titah Ucapan di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Kedua, Dewan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2019 di sini, hari ini.

Baginda bertitah, syarikat Hartalega sebagai pengeluar sarung tangan nitrile terbesar di dunia dengan keupayaan mengeluarkan lebih 30 bilion sarung tangan setahun turut dibuka di Sepang.

Baginda turut melahirkan keyakinan Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor dengan kerjasama MIDA dan MATRADE dapat mempertingkatkan lagi inisiatif membawa masuk pelaburan besar ke Selangor.

Categories
SELANGOR

Rekod cemerlang Azmin, jadi rujukan Amirudin

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 JUN: Prestasi cemerlang pentadbiran Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjadi rujukan terbaik kepada Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari meneruskan rekod kegemilangan itu.

Beliau berkata, kejayaan itu menjadi asas terpenting baginya untuk kekal meletakkan Selangor sebagai negeri terbaik di Malaysia.

“Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali merupakan seorang Dato’ Menteri Besar yang cemerlang, berwawasan dan berintergriti malah dikasihi Tuanku Sultan serta disanjung rakyat Selangor.

“Saya tidak melihat hakikat ini sebagai halangan terhadap misi saya dalam menerajui pentadbiran negeri.

“Saya merasa amat bertuah kerana dengan ‘track record’ beliau yang begitu ‘outstanding’ itu mendorong saya melaksanakan yang terbaik dengan menggunakan kejayaan beliau sebagai penanda aras.

“Saya berikrar memastikan kesinambungan pentadbiran cemerlang dan melonjakkan Selangor ke tahap seterusnya demi membangun bangsa memakmur negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan penerimaan tugas Dato’ Menteri Besar Selangor yang disiarkan secara langsung di media rasmi milik Kerajaan Negeri, TV Selangor, pagi ini.

Semalam, Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Tua itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah.

Istiadat mengangkat sumpah jawatan dan ikrar Aku Janji itu diadakan di hadapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pemilihan Amirudin dibuat selepas Mohamed Azmin melepaskan jawatan itu berikutan pelantikan sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sultan Selangor cemar duli namakan semula Masjid Jamek

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 23 JUN : Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mencemar duli menamakan semula Masjid Jamek Kuala Lumpur sebagai Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, di sini.

Majlis penamaan semula masjid berkenaan diadakan di perkarangan Masjid Jamek Kuala Lumpur yang turut dihadiri, Duli Yang Teramat Mulia, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Keberangkatan tiba baginda diiringi, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Exco Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi.

Turut mengiringi baginda, pimpinan Kerajaan Persekutuan yang diketuai, Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Tun Razak; Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor; dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

CP2A7801-1280x853Penamaan semula masjid itu merupakan sebahagian daripada inisiatif memelihara khazanah negara bagi memberi nilai tambah kepada daya tarikan pelancongan di ibu kota, Kuala Lumpur.

Difahamkan, masjid yang dibina sejak 1909 oleh pedagang arab itu boleh memuatkan 1,000 jemaah dalam satu masa dengan pembaikan keluasan ruang solat seluas 4,000 kaki persegi.

Kedudukannya yang terletak di tengah ibu kota Kuala Lumpur itu menjadi mercu tanda dengan kedudukannya bersebelahan Dataran Merdeka selain kemudahan akses jaringan pengangkutan awam.

CP2A8161-1280x853Tarikan terkini masjid berkenaan antararanya payung gergasi hidraulik yang dipasang di bahagian luar struktur bangunan menyamai pembinaan Masjid Nabawi, Madinah.

Pada masa sama, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) giat melaksanakan pembaikan dan pemuliharaan stuktur bangunan masjid bagi mengekalkan ciri warisan dan tradisinya.

Dalam perkembangan lain, baginda turut berkenan mencemar duli menunaikan solat Jumaat seterusnya bersalaman bersama warga kota yang tidak melepaskan peluang untuk mendekati Sultan berjiwa rakyat itu.CP2A7947-1280x853 CP2A8147-1280x853 CP2A7866-1280x853 CP2A7778-1280x853 CP2A7740-1280x853CP2A7692-1280x853