Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara sumbang makanan untuk 800 petugas hadapan Seri Kembangan, Puchong

PUCHONG, 8 FEB: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) menyalur bantuan makanan kepada 800 petugas barisan hadapan di Seri Kembangan dan Puchong.

Ahli Dewan Negerinya berkata sumbangan dengan kerjasama Rotary Club dan Lions Club Kuala Lumpur Mega City bagi menghargai pengorbanan golongan tersebut bertugas tanpa mengira masa memerangi wabak Covid-19 di negeri ini.

“Sebenarnya sumbangan sebegini tidak pernah putus diberi kepada doktor, polis, jururawat dan ramai lagi sejak dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac tahun lalu.

“Selain menggunakan peruntukan sedia ada, saya juga menjalin kerjasama strategik dengan syarikat besar dan badan bukan kerajaan untuk melaksanakannya,” kata Ng Sze Han kepada SelangorKini.

EXCO Kerajaan Negeri itu berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan berkenaan kepada Ketua Klinik Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan (KK) Puchong Batu 14, Dr Haslinda Hassan di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Panel KK Kebangsaan dan Selangor, Datuk Dr Kannan; Presiden Jawatankuasa Rotary Kasih, Chua Keng Soon; Wakil Lions Club Kuala Lumpur Mega City, Margaret Tham dan Pakar Perubatan Keluarga Klinik Kesihatan Puchong 14, Dr Jonathan Tan Yuet Han.

Sementara itu, Dr Kannan berkata pihaknya terharu apabila sumbangan pasukan perubatan di kawasan itu dihargai wakil rakyat berkenaan.

“Ini kerana KK Puchong Batu 14 menerima lebih 1,500 pesakit dari pagi sehingga petang setiap hari. Sumbangan sebegini sekurang-kurangnya mengembirakan hati petugas yang sentiasa sibuk ketika pandemik Covid-19,” katanya.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Terjejas Covid-19, DUN Kinrara salur bekalan makanan

PUCHONG, 19 DIS: Pusat Khidmat DUN Kinrara mewujudkan pelbagai inisiatif bagi membantu penduduk yang terjejas susulan penularan Covid-19.

Wakil rakyatnya berkata usaha meliputi penyediaan peti makanan yang membekalkan barangan asas dan boleh diambil berulang kali jika perlu.

“Kita tidak agihkan bekalan dari rumah ke rumah tetapi keluarga terjejas boleh datang ambil makanan di pusat khidmat masyarakat,” kata Ng Sze Han ketika ditemui semalam.

EXCO kerajaan tempatan turut melaksana program Dapur Kinrara yang menyediakan makanan sayuran setiap Ahad bermula jam 12 tengah hari sehingga 2 petang.

Sze Han memaklumkan sebanyak 137 pek makanan diagihkan setakat ini dan mengalu-alukan sumbangan daripada semua pihak.

 

Categories
ADN SELANGOR

DUN Kinrara agih 132,500 topeng muka, tumpu kawasan kos rendah

SHAH ALAM, 19 APRIL: Pusat khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menerima 132,500 helai topeng muka daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk diedarkan kepada keluarga yang memerlukan.

Ahli Dewan Negerinya Ng Sze Han berkata setiap keluarga menerima empat topeng muka dengan tumpuan kepada keluarga yang tinggal di kawasan kos rendah dan sederhana.

“Kinrara adalah antara kawasan DUN terbesar di negara ini. Jumlah (topeng muka) diterima tidak mencukupi untuk diagih kepada 50 peratus isi rumah.

“Dalam keadaan sukar ini, saya mohon pengertian dan sokongan rakyat bahawa pusat khidmat saya mengutamakan pengedaran topeng muka kepada keluarga di kawasan kos rendah dan sederhana di DUN Kinrara,” katanya melalui hantaran di Twitter semalam.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan akan mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat yang memerlukan.

Bagi tujuan itu, sebanyak 10 juta bekalan topeng muka dibawa masuk dari China secara berperingkat dengan pengagihan kepada rakyat diuruskan oleh Nadma.

Categories
SELANGOR WANITA & KEBAJIKAN

Pertandingan Kaligrafi rapatkan masyarakat

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 13 FEB : Pertandingan Kaligrafi Cina anjuran Pusat Khidmat Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara menarik lebih 150 penduduk sekitar Puchong, yang berlangsung pada 11 Februari lalu.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, pertandingan yang memasuki edisi ke-4 itu bertujuan membudayakan tulisan kaligrafi supaya tidak terus luput dikalangan golongan belia.

“Ia juga bersesuaian dengan perayaan Tahun Baru Cina yang bakal tiba tidak lama sahaja lagi malah mereka boleh menghias rumah mengikut kreativiti masing-masing.

“Selain itu, ia juga untuk merapatkan lagi hubungan antara wakil rakyat dan masyarakat tempatan,” katanya kepada SelangorKini.

Sze Han berkata, program itu akan diteruskan untuk tahun akan datang kerana Kaligrafi merupakan salah satu kesenian yang paling tinggi dan diberi penghormatan oleh masyarakat Cina.

Beliau berkata, selain mengadakan pertandingan kaligrafi turut diadakan pengedaran beras bahagia kepada masyarakat setempat.

Kedua-dua program berkenaan diadakan di lorong belakang Pasar Pagi Taman Kinrara Seksyen 1.

Terdahulu, lorong belakang itu dipenuhi dengan sampah dan tikus namun kini sudah berubah wajah menjadi lorong seni yang bersih.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Alasan pembantah SPR ‘hari bekerja’ dangkal

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN: Alasan ‘hari bekerja’ yang dinyatakan pembantah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disifatkan dangkal dan tidak boleh diterima.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, SPR gagal mematuhi proses lanjutan pendengaran persempadanan baru yang diadakan di Hotel Concorde, Shah Alam, pagi ini.

“SPR menetapkan setiap borang bantahan dikemukakan perlu ada 100 pembantah dan antara jumlah itu perlu ada tiga jurucakap.

“Tetapi kali ini, kami hanya menerima seorang jurucakap yang menerima notis atau surat daripada SPR.

“Sepatutnya ketiga jurucakap disenaraikan dalam borang bantahan perlu menerima notis dan lebih malang, alasan kegagalan itu dikatakan kerana masalah ‘hari bekerja’,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Proses Pendengaran Persempadanan Baru DUN Kinrara, pagi ini.

Pada masa sama katanya, cadangan persempadan baru SPR di kawasan DUN Kinrara menyaksikan perubahan populasi undi tinggi.

Untuk rekod, pertambahan jumlah pengundi dicatatkan seramai 63,000 berbanding 35,000, pada Pilihan Raya Umum 13 (PRU-13) lalu.

Persempadan baru itu juga bakal meletakkan DUN Kinrara di bawah Parlimen Subang, bukan lagi Parlimen Puchong.

Terdahulu, Kerajaan Selangor mengemukakan proses bantahan terhadap cadangan persempadan baru SPR.

Pimpinan negeri mendakwa, persempadanan baru berkenaan bersifat berat sebelah dengan pecahan populasi kaum yang ketara, di setiap DUN dan Parlimen Selangor.

Categories
SELANGOR

Pengundi DUN Kinrara lebih tinggi dari kawasan Noh Omar

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 3 JAN: Cadangan persempadanan baru Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kinrara menyebabkan populasi undi kawasan itu menjadi antara yang terbesar, di negara ini.

Ahli Dewan Negeri Kinrara, Ng Sze Han berkata, tidak mengejutkan bilangan pengundi di kawasan itu menjadi lebih tinggi berbanding populasi pengundi bagi kawasan Parlimen, di Selangor.

“Jumlah pemilih di Kinrara akan bertambah daripada 35,000 pengundi kepada sekitar 63,000 pengundi.

“Pertambahan secara mendadak ini akan menjadikan Kinrara sebagai antara DUN terbesar di seluruh negara, malah lebih besar (jumlah pengundi) dari empat Parlimen, di Selangor.

“Ini juga termasuk Parlimen Tanjong Karang, milik Tan Sri Noh Omar yang lebih kecil jumlah pengundinya berbanding DUN Kinrara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Hotel Concorde, pagi ini.

Katanya, persempadan baru di kawasan itu juga akan menyebabkan kekeliruan dalam kalangan pengundi baru dan lama.

Sze Han berkata, ia ekoran perubahan lokasi mengundi daripada Parlimen Puchong kepada Parlimen Subang.

“DUN Kinrara terletak di bawah Parlimen Puchong dan apabila cadangan persempadanan dibuat, ia akan diletakkan di bawah Parlimen Subang.

“Sedangkan pembangunan di DUN Kinrara sebenarnya mengikut sepanjang Jalan Puchong iaitu dari Batu 7 hingga Batu 14, justeru adalah lebih wajar ia dikekalkan di bawah Parlimen Puchong,” katanya.

Sementara itu, pengundi asal DUN Kinrara, Yap Chee Meng, 45, mengakui wujud kekeliruan terhadap cadangan persempadan baru itu.

“Ini sudah masuk penggal ketiga saya mengundi di DUN ini tetapi jika perubahan diteruskan, ramai pengundi akan keliru dan tidak tahu di mana mereka harus mengundi selepas ini,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

DUN Kinrara kutip lebih RM10,000 bantu mangsa banjir P.Pinang

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 11 NOV : Sebanyak RM10,000  berjaya dikutip untuk Tabung Kecemasan Taufan Banjir di Pulau Pinang sehingga semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kinrara, Ng Sze Han berkata, kutipan sudah dibuat sejak dua minggu lalu dan berakhir sehingga 15 November ini.

“Kutipan ini untuk membantu mangsa taufan dan banjir di Pulau Pinang demi meringankan beban mereka.

“Sebelum ini, kutipan sudah dibuat di beberapa kawasan di Puchong Jaya dan Taman Kinrara malah sambutan diterima amat menggalakkan,” katanya.

Beliau berkata pada acara Kutipan Dana Demi Mangsa Taufan dan Banjir Pulau Pinang bertempat di Pasar Pagi Taman Kinrara Seksyen 1, hari ini.

Sementara itu, Ng Sze Han menyeru penduduk sekitar Puchong yang ingin memberi sumbangan boleh terus ke Pusat Khidmat Masyarakat.

Turut hadir, Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, rakyat Malaysia hendaklah sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling.

“Selaku Ahli Parlimen Puchong, saya telah maklumkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) iaitu Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) harus bersiap sedia dengan kawasan masing-masing pada musim banjir,” katanya.

=EZY=