Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

AirAsia lancar platform e-dagang AirAsia Shop

KUALA LUMPUR, 27 OGOS: Syarikat penerbangan tambang rendah, AirAsia melancarkan AirAsia Shop, platform e-dagang yang membolehkan pelanggan membeli produk tulen bebas cukai dengan kemudahan penghantaran ke rumah pada hari bekerja yang berikutnya.

Perkhidmatan baharu itu adalah dengan sokongan cabang logistik AirAsia, Teleport.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes berkata perkhidmatan itu akan memperkukuh usaha AirAsia sebagai platform gaya hidup sehenti digital sepenuhnya di samping memberikan pelanggan kemudahan dan nilai terbaik untuk perkhidmatan beli-belah bebas cukai.

“Platform e-dagang bebas cukai ini dijangka menjadi satu daripada penyumbang utama pendapatan kumpulan AirAsia, selari dengan usaha berterusan kami untuk menjadi peneraju jenama gaya hidup digital di Asean,” katanya kepada pemberita semasa melancarkan AirAsia Shop hari ini.

Beliau berkata syarikat itu turut berhasrat mengembangkan perniagaan itu ke negara-negara Asean lain bermula dengan Thailand selepas menerima kelulusan untuk memulakan perkhidmatan jualan barangan bebas cukai di negara itu.

Tony berkata AirAsia Shop menawarkan pelbagai pilihan jenama mewah dari serata dunia bagi pelbagai kategori seperti kecantikan, minyak wangi, gajet, kesihatan, aksesori pelancongan dan cenderamata AirAsia.

Beliau berkata selain pra-tempahan untuk penghantaran dalam penerbangan dan pengambilan sendiri di lapangan terbang, syarikat penerbangan itu turut memperkenalkan perkhidmatan penghantaran ke rumah pada bila-bila masa walaupun pelanggan tidak menaiki penerbangan.

Ia turut merancang untuk membuat penghantaran ke luar negara pada masa hadapan.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

MB: Selangor juara e-dagang, angkat martabat PKS, peniaga mikro

SHAH ALAM, 19 MEI: Sebanyak RM101.1 juta jualan dikutip dalam dua minggu hasil usahasama Kerajaan Negeri membawa sekitar 3,542 peniaga mikro dan pengusaha perusahaan kecil sederhana (PKS) di Selangor berniaga secara dalam talian, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kempen E-Bazar Raya bersama Shopee mengumpulkan peniaga Hijrah, PKNS Prec, Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (Sitec) serta Agro Selangor berjaya melampaui sasaran asal RM8 juta dengan peningkatan jualan melebihi 1,250 peratus.

Katanya, manakala kerjasama pintar antara syarikat e-panggilan terkemuka Grab bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI Selangor) dan Platform Selangor berjaya memperolehi jualan terkumpul E-Bazar Ramadan sebanyak RM1.52 juta sepanjang bulan ini.

“Ia sekali gus memberi manfaat lebih 133 peniaga makanan e-dapur di seluruh Selangor.

“Inisiatif Kerajaan Negeri membuahkan hasil apabila langkah inovatif perekrutan peniaga konvensional kepada dalam talian berjaya mencatatkan jualan sangat memberangsangkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata dengan prestasi sebaik ini, Kerajaan Negeri sedia terus melabur dan mengupayakan ekosistem PKS kerana ia merupakan tulang belakang sebenar industri yang mencipta nilai dan kekayaan.

“Kerajaan Negeri percaya keupayaan e-dagang sebagai penawar kepada kelembapan dibawa Covid-19 dan strategi digitalisasi itu menjadi penjana ekonomi untuk masa akan datang,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Selangor melancarkan inisiatif “Selangor E-Bazaar Raya” dengan kerjasama platform dalam talian Shopee bertujuan menawarkan peluang perniagaan kepada usahawan memasarkan produk.

Program ini memberi kemudahan kepada orang ramai mendapatkan keperluan sempena Aidilfitri seperti kuih-muih, barangan kelengkapan rumah, pakaian dan sebagainya dengan banyak pilihan dan harga murah.

Untuk menjayakan Program Selangor E-Bazar Raya bersama Shopee ini, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju menyalurkan peruntukan RM 1 juta dalam bentuk baucer diskaun.

Categories
AGENDA EKONOMI

Ekonomi digital dipercepat tangani impak Covid-19 – Alibaba

KUALA LUMPUR, 9 MEI: Pandemik Covid-19 mempercepatkan langkah syarikat terutamanya mikro, kecil dan sederhana (MSME) ke arah ekonomi digital, kata Alibaba Group.

Naib Presiden Global Initiatives Global Brian Wong berkata syarikat teknologi yang mahir dalam digital, platform super dan Pengendali Rangkaian Mudah Alih (MNO) masih boleh memberikan perkhidmatan kepada MSME dan pengguna semasa wabak Covid-19.

“Rantaian bekalan menjadi lebih kepelbagaian dan diperkemas, dan ekonomi digital termasuk e-dagang, pembayaran tanpa tunai dan penghantaran tanpa sentuhan menjadi ekonomi arus perdana,” kata Wong pada sesi webinar e-Dagang Expo (eDX), di sini, semalam.

Beliau berkata lebih banyak syarikat akan menerapkan persekitaran kerja yang pintar, sementara pendidikan dan latihan akan terus bergerak dalam talian pada masa yang terdekat.

Wong berkata strategi perniagaan Alibaba dalam peperangan melawan Covid-19 akan turut merangkumi memanfaatkan ekosistem Alibaba dan membantu perniagaan mengatasi krisis tersebut.

Ia juga akan menumpukan perhatian kepada menyelamatkan nyawa dan memberikan perkhidmatan perubatan kritikal, menyokong Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan menyokong keperluan penting dalam masyarakat serta membawa tenaga positif kepada masyarakat.

Sementara itu, dalam sesi webinar berasingan hari ini, Pos Malaysia Bhd memperkenalkan penyelesaian e-dagang terbaharu kepada pengguna dalam persekitaran Covid-19 – “SendParcel by Pos Laju”, platform dalam talian prabayar untuk memeriksa kadar pembayaran Pos Laju dan memesan penghantaran.

Pos Laju SendParcel ialah sebuah platform online prabayar untuk memeriksa kadar bayaran Pos Laju dan menempah penghantaran.

Terdapat lapan pakej tersedia disertakan dengan kadar berpatutan dan faedah menarik.

Pengguna hanya bayar secara langsung atau tambah nilai melalui perbankan internet atau kad kredit, tempahan termasuk pengambilan atau penghantaran di touch point yang berdekatan.

Selain itu, Nota Kiriman Digital (Digital Consignment Note) akan dikeluarkan sebaik pesanan dalam talian dan bayaran dibuat, pengguna hanya perlu cetak nota kiriman itu dan lekatkan di parcel.

SendParcel menawarkan harga yang telus, tiada caj terselindung, sistem dalam taliannnya mesra pengguna, ia beroperasi 24 jam sehari.

“Tidak perlu menulis, hanya menaip di borang secara dalam talian, bayar dan cetak, tiada kontrak dan tiada komitmen dan jumlah minimum. SendParcel mempunyai ciri-ciri Track and Trace serta Insurans, kata seorang jurucakap Pos Malaysia.

Sementara itu, perkhidmatan Drop Off Service SendParcel memberikan pengguna kesesuaian apabila memerlukannya.

eDX adalah inisiatif adalalah yang pertama seumpamanya bertujuan untuk melibatkan diri dengan perniagaan di seluruh negara.

eDX akan menganjurkan satu siri sesi webinar secara percuma dan panelis akan menyentuh topik utama, petua dan tunjuk ajar dalam perdagangan e-dagang dan kisah kejayaan yang memberi inspirasi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI

MDEC: Sumbangan e-dagang diramal melonjak tahun ini

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negera Kasar (KDNK) dijangka melonjak pada tahun ini selepas keyakinan pengguna terhadap transaksi digital mula meningkat semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Ketua Pegawai Operasi MDEC, Ng Wan Peng, di bawah pelan hala tuju strategik e-dagang kebangsaan, bidang ini dijangka mencatatkan kadar pertumbuhan 20 peratus kepada RM170 bilion pada tahun ini.

“Berdasarkan kepada perubahan tingkah laku pengguna, kami percaya pertumbuhan ini, mungkin lebih tinggi. Walaupun selepas PKP, sikap pengguna untuk membeli belah dalam talian dijangka akan berkekalan, jadi kami bersedia untuk mencapai sasaran,” katanya kepada pemberita pada sidang maya Ekspo e-Dagang (eDX) di sini hari ini.

Pada 2018, e-dagang membentuk hanya kira-kira lapan peratus daripada KDNK iaitu sebanyak RM150 bilion dan ia telah berkembang sejak PKP.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata angka e-dagang 2019 masih lagi menunggu pengesahan, bagaimanapun, jumlahnya kelihatan amat menggalakkan dengan arah aliran tingkah laku pengguna menyaksikan peningkatan keyakinan daripada sudut pembeli serta perniagaan.

“Keadaan sekarang amat menggalakkan, ramai orang sedang cuba memasuki pendigitalan, tambahan lagi, ia agak mudah.

“Kami sekarang sangat tertumpu kepada inisiatif skala (pendigitalan) dalam tujuan meningkatkan keupayaan dan semua pihak dalam bidang ini,” katanya.

-BERNAMA

Categories
PBT SELANGOR

MPK perkenal Klang i Plaza pusat sehenti usahawan

SHAH ALAM, 24 APRIL: Majlis Perbandaran Klang (MPK) memperkenalkan Klang i Plaza, saluran e-dagang baharu bagi memudahkan orang awam berniaga dan menghantar makanan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menerusi hantaran di Facebook, MPK memaklumkan laman digital itu berfungsi sebagai pusat sehenti untuk usahawan dan peniaga di daerah terbabit dalam mempromosikan produk masing-masing.

“Inisiatif ini membantu penduduk Klang meneruskan aktiviti ekonomi dan (peniaga atau usahawan perlu) hadkan pergerakan serta sentiasa mengamalkan jarak sosial satu meter ketika menghantar makanan (kepada pelanggan),” katanya.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di pautan Peniaga: https://klangiplaza.my/ Penghantar Makanan (Runner): klangiplaza.my/mpkrunner.php dan Channel Telegram Klang i Plaza: https://t.me/klangiplaza

Tiga langkah mudah untuk mendaftar Klang i Plaza seperti berikut :

1) Daftar penyertaan (masukkan maklumat yang diminta untuk menjadi peniaga berdaftar)

2) Kemaskini My Shop (masukkan maklumat perniagaan dan komunikasi)

3) Kemaskini My Produk (masukkan maklumat produk atau perkhidmatan untuk rujukan pelanggan)

Sebarang maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi Jabatan Pelesenan dan Penjaja MPK di talian 03 3375 5555 sambungan 6800 @ 8307.

Categories
AGENDA NASIONAL

Tiada sekatan aktiviti rantaian bekalan makanan, e-dagang

PUTRAJAYA, 25 MAC: Tiada sekatan dalam aktiviti rantaian bekalan, pemasaran makanan dan e-dagang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata, aktiviti pembekalan makanan dan e-dagang yang merangkumi pengeluaran bahan makanan, peruncitan, pembungkusan, pengedaran, pemborongan dan pusat pengedaran serta pengeluar bahan mentah adalah dibenarkan untuk terus beroperasi mengikut garis panduan yang ditetapkan.

Manakala perkhidmatan logistik dan pengangkutan, yang menyokong rantaian bekalan dan pemasaran serta e-dagang bagi pembekalan bahan makanan dan barang keperluan, turut dibenarkan untuk terus beroperasi, katanya.

“Syarikat-syarikat yang menyokong rantaian bekalan makanan dan ditakrifkan sebagai industri hiliran atau sokongan adalah dibenarkan untuk beroperasi dengan jumlah pekerja pada tahap minima dan mematuhi langkah-langkah pengawalan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nanta berkata kebenaran beroperasi adalah selaras dengan takrif sektor yang kritikal seperti yang diumumkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 21 Mac lepas.

“Ini tanggungjawab kerajaan untuk memastikan rangkaian pengedaran peruncitan tidak terjejas sekaligus memberi keyakinan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Pada masa yang sama, pihak industri diingatkan agar melaksanakan langkah-langkah pencegahan Covid-19 semasa aktiviti urusniaga berjalan seperti hanya pekerja bebas gejala dibenarkan memasuki premis pekerjaan, mengamalkan jarakan sosial dan mencuci tangan dengan kerap.

“Syarikat yang dibenarkan beroperasi turut diarah beroperasi pada kadar paling minimum atau menutup perkhidmatan bukan keperluan,” katanya.

Nanta berkata, majikan juga perlu menyediakan surat pengesahan kepada setiap pekerja untuk rujukan dan ditunjukkan kepada anggota penguatkuasa apabila diminta.

Beliau turut menasihati rakyat untuk tidak bimbang dengan bekalan makanan dan keperluan harian kerana ia dijamin mencukupi.

“Adalah penting untuk rakyat Malaysia tidak melakukan pembelian panik atau berlebihan dan mengamalkan ciri-ciri pengguna bestari serta melaksanakan pembelian terancang,” katanya.

– BERNAMA

Categories
EKONOMI NASIONAL

Ubah kepada e-dagang rasai manfaat pertumbuhan ekonomi

SIBU, 2 FEB: Golongan peniaga perlu melakukan perubahan model perniagaan kepada e-dagang bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kata timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna.

Chong Chieng Jen berkata model perniagaan e-dagang diguna pakai di seluruh dunia dan aktiviti e-dagang itu menunjukkan peningkatan 10 peratus.

Beliau berkata demikian pada majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina kementerian itu bersama badan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan Sarawak dan komuniti di sini hari ini.

“Inilah revolusi perindustrian yang sedang berlaku sekarang. Malaysia mengalami pertumbuhan ekonomi antara 4.5 hingga 4.7 peratus pada tahun lepas, namun ramai pihak khasnya golongan peniaga tidak merasai atau mendapat manfaat daripadanya.

“Golongan peniaga di negara ini masih ramai mengamalkan model perniagaan konvensional…mereka harus berubah mengikut peredaran zaman bagi mendapat manfaat daripada pertumbuhan KDNK itu,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Kaji semula caj pengendalian bungkusan e-dagang

SEPANG, 13 DIS: Kementerian Pengangkutan akan mengkaji semula caj pengendalian untuk bungkusan e-dagang yang dikenakan pengendali lapangan terbang minggu depan, dalam usaha menjadikan Malaysia lebih berdaya saing dalam industri.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata caj pengendalian itu sentiasa dibangkitkan oleh peserta logistik.

“Pada masa ini, apabila kami menjalankan e-dagang di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) atau di mana-mana lapangan terbang di Malaysia, bagi setiap bungkusan yang keluar dari lapangan terbang, terdapat caj RM5 dikenakan.

“Kami mahu mengkaji semula, dan kami sedang berbincang dengan MAHB (Malaysia Airports Holdings Bhd) tentang cara untuk menjadikannya lebih cekap dan berdaya saing,” katanya kepada media selepas pelancaran Hab Kargo Udara GTR di sini semalam.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Group (CEO) Tan Sri Tony Fernandes, Presiden AirAsia Group (Syarikat Penerbangan) Bo Lingam, Presiden dan CEO SATS Alex Hungate, CEO GTR Kevin Chin dan CEO AirAsia Malaysia Riad Asmat.

Loke berkata kerajaan merancang untuk mengkaji semula caj pengendalian itu bagi mengurangkan kos keseluruhan setiap bungkusan.

“Ciri e-dagang (ialah) kadangkala bungkusan itu tidak begitu tinggi nilainya. Misalnya, anda membeli t-shirt yang mungkin hanya berharga RM30 ke RM40.

“Pada masa anda membeli t-shirt itu dan ia sampai di sini dan dihantar kepada anda, jika caj terlalu tinggi, ia menjadikan seluruh aktiviti e-dagang tidak terlalu kompetitif,” katanya.

Sementara itu, Loke menggesa syarikat logistik untuk meninjau potensi Sabah berikutan terdapat permintaan yang tinggi terhadap makanan lautnya dari China dan Hong Kong.

“Kami melihat banyak potensi di Sabah, dan jika kita dapat membangunkan kemudahan kargo udara di Kota Kinabalu dan Sandakan, saya fikir ia boleh pergi jauh dari segi mengeksport lebih banyak makanan laut dari Sabah ke seluruh dunia.

“Ia merupakan sektor yang menjana keuntungan dan kita perlu memanfaatkannya,” katanya.

Mengenai pelancaran Hab Kargo Udara GTR, Loke berharap ia akan membantu meningkatkan lagi KLIA dan klia2 sebagai pintu masuk logistik utama, sejajar dengan Pelan Induk Logistik Kebangsaan kementerian untuk membangunkan Malaysia sebagai hab logistik.

GTR (Ground Team Red), usaha sama antara AirAsia Bhd dan SATS Ltd, mengendalikan hab kargo udara di Kargo Udara KLIA Terminal 1 (KACT1). Terletak di terminal penerbangan tambang rendah sebelum ini di Sepang, kemudahan itu seluas 93,000 kaki persegi dan dibina dengan kos sebanyak RM23 juta.

Hab kargo udara baharu itu membolehkan GTR memperluaskan keupayaannya dengan mengendalikan operasi kargo pesawat berbadan kecil dan lebar dan mempunyai sistem pengendalian bahan bermotor yang memudahkan pengendalian Unit Beban Peranti (ULD).

Hab kargo udara baharu itu juga mempunyai kemudahan rantaian sejuk setinggi 10,000 kaki persegi yang dibina khas untuk pengendalian khusus bagi produk mudah rosak dan farmaseutikal serta zon yang ditetapkan untuk barangan berbahaya, haiwan peliharaan dan pengendalian kargo berharga.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP mahu tingkat kecekapan penghantaran e-dagang

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (MTKSHN) berhasrat mempertingkatkan aspek kecekapan sistem penghantaran e-dagang dalam usaha mengurangkan kos berkaitan perniagaan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kecekapan sistem penghantaran ​​​itu penting kerana platform e-dagang berupaya memintas rantaian perniagaan konvensional yang biasanya melibatkan kos gaji pekerja, utiliti dan penghantaran tinggi.

“Kita seharusnya memanfaatkan teknologi yang ada sekarang iaitu e-dagang untuk meningkatkan kecekapan (sistem penghantaran) kerana kita lihat aspek ini termasuk dalam salah satu penguasaan teknologi maklumat.

“Bayangkan jika barangan mudah rosak seperti ikan dan sayur boleh kita buka platform e-Dagang, sudah tentu kecekapan penghantaran itu yang paling penting (bagi menjaga kualiti barangan itu),” katanya ketika menjadi tetamu program Bicara Naratif: Pencapaian KPDNHEP Sepanjang Tahun 2019 yang disiarkan secara langsung di TV1, malam tadi.

Beliau berkata KPDNHEP ingin mengikuti jejak langkah sebuah syarikat e-dagang China iaitu JD.com yang menggunakan sistem penghantaran pintar seperti robot dan dron dalam urusan perniagaan mereka.

Menerusi program berdurasi 60 minit itu, Saifuddin turut mengupas mengenai pencapaian kementerian itu sepanjang tahun ini, antaranya Program Food Bank yang memanfaatkan 400,000 isi rumah dan juga inisiatif pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 yang memberi faedah kepada lebih 900,000 pengguna pengangkutan awam.

Beliau berkata antara paling membanggakan ialah hampir tidak kedengaran keluhan dan rungutan yang serius daripada pengguna melibatkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP).

“Hal itu berikutan hampir kesemua peniaga patuh dengan harga telah kita tetapkan sempena musim perayaan…tahap kepatuhan itu tinggi jadi pengguna rasa lega.

“Sebelum ini jumlah hari yang kita tetapkan untuk SHMMP ialah 51 hari, namun kita naikkan kepada 102 hari kerana kita dapati tahap kepatuhan peniaga yang amat positif,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

E-Dagang: Kerajaan sedia terima idea pemain industri

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kerajaan bersedia menerima cadangan dan idea daripada pemain utama sektor perniagaan pengedaran di negara ini terutama yang membawa kepada perubahan dasar dan inisiatif, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, ini bagi membantu menyesuaikan perubahan terhadap trend dalam peruncitan dan kepenggunaan semasa terutamanya dengan perkembangan pantas e-dagang serta konsep stor terkini yang berubah daripada ciri tradisional dan konvensional.

Dr Wan Azizah memberi contoh IKEA telah merasmikan stor kecil pertama bersaiz 1,600 meter persegi di New York baru-baru ini dan bercadang untuk membuka 30 lagi stor kecil di kawasan bandar, Carrefour SA Perancis pula telah mengurangkan keluasan stor dan kos operasi bagi mengadaptasi trend e-dagang.

“Beberapa cadangan berkenaan pembaharuan yang telah dicadang daripada pemain industri termasuk menyemak semula format pusat pengedaran, keluasan lantai niaga dan waktu operasi perniagaan,” katanya semasa berucap pada Majlis Makan Malam sempena Ulang Tahun AEON ke-35 di sini, malam tadi.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pasar raya asing telah menjana sebanyak 26,829 peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan menyumbang sejumlah RM110,297,707.44 dari segi kutipan cukai negara pada 2018.

Malahan, sehingga suku pertama tahun ini, sektor perkhidmatan telah menyumbang 57 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar di mana sub sektor borong dan runcit merupakan penyumbang pertumbuhan utama dengan mencatatkan nilai jualan sebanyak RM 321.8 bilion serta mengupah lebih kurang 1.8 juta tenaga kerja secara keseluruhan.

Dr Wan Azizah turut berharap agar kumpulan AEON, dengan rangkaiannya dapat memainkan peranan penting dan efektif dalam usaha menstabilkan harga barangan, khususnya barangan keperluan harian bagi kebaikan dan kesejahteraan keseluruhan rakyat.

Beliau turut memuji langkah AEON dalam usaha memulihara alam sekitar menerusi program penanaman pokok yang telah dimulakan sejak 2014, di mana sehingga kini sebanyak 18,000 batang pokok telah ditanam daripada sejumlah 30,000 yang disasarkan.

Langkah itu dilihat mampu menyumbang kepada pengembalian biodiversiti termasuk di kawasan bekas tapak lombong di Malaysia dan seterusnya menarik lebih ramai pelancong ke tempat ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ini kerana usaha untuk menjadi sebuah negara maju tidak akan tercapai atau diiktiraf jika pusat membeli belah berkembang dengan gah sedangkan sungai dan udara sedang tercemar serta hutan belantara menjadi tandus.

“Mesej ini jelas di waktu kita berusaha untuk membangunkan negara, kita tidak boleh lupa betapa pentingnya untuk kita mengekal dan memelihara alam semula jadi dan persekitaran kita.

“Kita telah melihat kesan akibat dari pembangunan yang tidak teratur dan yang hanya menekankan faktor keuntungan semata-mata,” katanya.

AEON merupakan peneraju Kedai Barang Dagangan (GMS) merangkap pasar raya di Malaysia dengan memiliki 28 pusat membeli belah AEON, 34 stor cawangan AEON, satu MaxValue dan lima pasar raya utama MaxValu Prime di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Elak menjaja selamanya, ceburi e-dagang luaskan pasaran

SHAH ALAM, 5 SEPT: Para penjaja disarankan supaya tidak cepat berpuas hati dengan keadaan yang ada, sebaliknya berusaha mencari peluang baru untuk meluaskan pasaran perniagaan masing-masing.

EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail berkata, antaranya dengan mengambil peluang ke atas kepesatan pasaran e-dagang.

“Kadang-kadang kita lihat ada penjaja dah 20 tahun menjaja tetapi dia masih lagi kekal di tahap itu sahaja sebagai penjaja dan tidak berkembang.

“Sepatutnya mereka perlu meneroka pasaran baru iaitu e-dagang yang mempunyai pasaran jauh lebih besar untuk meningkatkan potensi keuntungan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sesi Dialog Membincangkan Masa Depan Penjaja dan Peniaga Kecil Dalam Aspek Pembangunan Usahawan Mikro Selangor di Menara Bank Rakyat di sini, hari ini.

Ketika ditemui media, Rodziah berkata, Kerajaan Negeri menerusi pelbagai agensinya sudah lama menjalankan usaha membimbing penjaja menerokai perniagaan e-dagang.

Katanya, agak mengejutkan apabila terdapat penjaja yang berumur lebih 50 tahun mampu mempelajari ilmu e-dagang dengan cepat.

“Ada yang terkejut dah dapat tempahan dengan cepat dan terbaru kita bergandingan dengan Suruhanjaya Komunikasi Malaysia dengan menyediakan Perkhidmatan eDagang Setempat (PeDAS).

“Mereka boleh pergi ke pusat internet desa untuk belajar dan agak terkejut dalam masa dua jam mereka boleh muat naik produk masing-masing untuk dipasarkan di Shopee,” katanya.

Categories
NASIONAL

KPDNHEP bangunkan e-dagang, bantu turun harga barang

GEORGE TOWN, 14 JULAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang membangunkan sistem e-dagang dalam usaha mengurangkan harga barangan terutama barang keperluan serta kos sara hidup rakyat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, sistem itu sedang dibangunkan oleh pasukan khas di kementeriannya dan beliau sendiri memantau serta meneliti kemajuan pembangunan sistem berkenaan.

“Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) baru-baru ini bersetuju untuk KPDNHEP membangunkan sistem berkenaan bagi menjual barangan keperluan terus kepada pengguna supaya dapat mengurangkan harga barang dan pada masa sama kos sara hidup juga dapat diturunkan.

“Saya tidak dapat maklumkan bila sistem itu dapat diguna pakai kerana sekarang ini pasukan khas sedang membangunkannya dan kita akan buat beberapa percubaan sebelum ia dapat diguna oleh orang ramai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ASEAN Product Trade Centre (APTC), di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga banyak belajar daripada sebuah syarikat e-dagang di China ketika beliau mengadakan lawatan kerja ke negeri itu pada Februari lalu dan 20 pegawai tinggi KPDNHEP turut dihantar untuk berkursus selama dua minggu.

Saifuddin Nasution berkata, syarikat itu menjual pelbagai barangan keperluan dan runcit dengan harga yang murah dan pihaknya turut belajar beberapa perkara bagi mengurangkan kos supaya barang dapat dijual dengan harga murah.

Katanya, barangan di negara ini dijual dengan harga yang mahal kerana melalui beberapa lapisan sebelum sampai kepada pengguna.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution berkata, KPDNHEP menyambut baik inisiatif syarikat Suiwah Corporation Berhad mengumpul pengeluar produk di APTC untuk memperluaskan perdagangan mereka ke negara China.

Beliau berkata, APTC adalah tempat untuk mempamerkan produk Malaysia dan akan dikunjungi pedagang dari luar negara terutama China dan secara tidak langsung menjadi pusat sehenti.

“Usaha individu untuk meluaskan peluang perniagaan ke China bukan senang dan mungkin memerlukan sumber serta modal yang lebih jadi usaha dibuat syarikat Suiwah ini harus dipuji kerana mereka bergabung tenaga serta sumber dengan pedagang, pengilang di Malaysia untuk mengadakan APTC,” katanya.

Malaysia juga akan menghantar 2,000 produk untuk dipamerkan di China sempena expo di sana pada September ini dan APTC itu adalah peluang yang baik untuk menarik lebih pedagang serta pengilang untuk memperluaskan perniagaan mereka ke luar negara.

-BERNAMA