Categories
NASIONAL

Swasta perlu bantu aspek keselamatan perniagaan, infrastruktur

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Pihak swasta perlu bekerjasama dengan kerajaan bagi memperkukuh sektor e-dagang di negara ini dengan membantu aspek keselamatan perniagaan, kemudahan infrastruktur dan kefahaman masyarakat.

Pengarah Kanan Teknologi Korporat Mimos Berhad, Nor Ezam Selan berkata selain itu penyedia platform e-dagang seharusnya menyakinkan pembeli mengenai aspek keselamatan melibatkan proses tempahan, transaksi pembayaran dan penghantaran produk kepada pembeli.

“Mereka juga perlu memastikan platform perniagaan sentiasa dikemaskinikan dan dilindungi daripada sebarang ancaman yang boleh mengganggu transaksi,” katanya ketika ditemui Bernama di Technology Park Malaysia, Bukit Jalil di sini semalam.

Beliau berkata dari sudut kemudahan infrastruktur, pihak swasta boleh membantu kerajaan dalam menyediakan sesuatu yang mampu meningkatkan kebolehpasaran produk yang dijual dalam talian.

Ia termasuk menyediakan kemudahan logistik yang dapat memastikan penghantaran produk dilakukan lebih lancar, selamat serta capaian jarak lebih luas, katanya.

Beliau berkata berhubung kefahaman masyarakat, swasta boleh menjalankan kempen atau apa sahaja pendekatan yang berupaya meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai kelebihan e-dagang.

“Golongan millennial didapati menerima 100 peratus konsep perniagaan dalam talian, namun bagi generasi ‘baby boomers’ (lahir antara 1946 dan 1964) dan Generasi X (lahir dalam tempoh awal 1960 hingga awal 1980-an), mereka seolah-olah masih skeptikal serta terikat dengan pembelian cara lama yang perlu memegang, melihat dan mencuba secara fizikal setiap item yang ingin dibeli,” katanya.

Nor Ezam berkata sebahagian masyarakat juga masih kurang pengetahuan mengenai cabaran, risiko serta peluang perniagaan yang ditawarkan oleh sektor e-dagang.

Beliau mencadangkan kerajaan melakukan penambahbaikan melibatkan beberapa dasar tertentu berkaitan perniagaan dalam talian.

Kebanyakan peserta e-dagang berpendapat sesetengah dasar masih boleh diperkukuh memandangkan sektor berkenaan memerlukan dasar yang kondusif dan mesra pengguna untuk meningkat maju, katanya. – BERNAMA

Categories
NASIONAL

Aduan penipuan e-dagang meningkat drastik

OLEH NAZLI IBRAHIM

PUTRAJAYA, 25 APRIL: Aduan penipuan membabitkan perniagaan e-dagang mencatatkan peningkatan drastik kepada 25 peratus, Setakat Mac lalu.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, peratusan itu jauh meninggalkan aduan lain seperti dicatatkan pada 2018.

“Pada 2018, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerima 26,000 aduan dengan 31 peratus membabitkan aduan harga dan kedua tertinggi adalah penipuan peniaga dalam talian kira-kira 24 peratus.

“Aduan penipuan dalam talian menunjukkan peningkatan paling cepat berbanding aduan lain dengan kerajaan memandang perkara ini sebagai satu isu penting perlu ditangani segera untuk melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan KPDNHEP bagi bulan April lalu di Dewan Serbaguna di ibu pejabat KPNDHEP di sini, hari ini.

Saifuddin Nasution berkata, aduan lain termasuk perkhidmatan mengelirukan, barangan tiruan (2.5 peratus), barangan kawalan (2.4 peratus) dan jualan murah (2 peratus).

Katanya, KPDNHEP berusaha mengatasi isu itu melalui pelbagai pendekatan di bawah inisiatif ‘Quick Win’ di bawah pelan Tindakan Bersepadu e-dagang KPDNHEP.

“Antara pendekatan di bawah inisiatif ini ialah melancarkan Buku Panduan Perniagaan e-dagang kepada peniaga bertujuan memberi panduan untuk menjalankan perniagaan secara beretika.

“Buku ini turut menyediakan panduan undang-undang yang perlu dipatuhi peniaga dalam talian,” katanya.

Categories
EKONOMI NASIONAL

E-Dagang Malaysia dalam trajektori pertumbuhan

KUALA LUMPUR, 3 DIS: E-dagang Malaysia berada dalam trajektori pertumbuhan dan telah mula memanfaatkan negara, hasil kejayaan pelaksanaan 13 program utama di bawah enam bidang utama Pelan Hala Tuju e-Dagang Kebangsaan (NeSR).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Darrell Leiking berkata nilai tambah dan sumbangan e-dagang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia terus meningkat dalam tempoh tujuh tahun kepada RM85.8 bilion pada 2017 berbanding hanya RM37.7 bilion pada 2010, dengan purata kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 12.5 peratus.

“Perubahan peratusan tahunan bagi tempoh 2015-2016 hanya sebanyak 9.9 peratus, 2017 telah menyaksikan kenaikan luar biasa kepada 14.3 peratus mencerminkan kejayaan dalam usaha negara bagi memperkukuhkan industri e-dagang.

“Majlis e-Dagang Kebangsaan (NeCC) yang diterajui oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) adalah komited untuk membawa industri e-dagang ke tahap yang lebih tinggi.

“Kami akan terus merangka pertumbuhan dan pembangunan e-dagang negara,” katanya dalam satu kenyataan bersama daripada MITI dan MDEC selepas mempengerusikan mesyuarat NECC di sini hari ini.

Mesyuarat tesebut membincangkan kemajuan pelaksanaan NeSR termasuk perkara-perkara yang berkaitan dengan peningkatan tahap kompetitif bagi ekosistem e-dagang.

Ia dihadiri oleh pegawai-pegawai dari 28 kementerian dan agensi termasuk NECC, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Agensi Keselamatan Siber Negara.

Sejak penubuhannya pada 2016, NECC telah berjaya membangunkan dan meningkatkan daya saing ekosistem e-dagang negara seperti mendaftarkan lebih 120,000 perniagaan dalam talian di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia.

“Platform ‘Go eCommerce’ yang berujuan untuk membimbing perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam e-dagang telah pun mencecah 20,000 syarikat dalam pendaftaran.

“Pelaksanaan projek perintis Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) telah mempercepatkan pertumbuhan e-dagang dengan menyediakan platform kepada PKS tempatan serta perusahaan untuk menjalankan perniagaan dan perkhidmatan mereka,” katanya lagi.

Pengarah eDagang MDEC, Song Hock Koon berkata DFTZ telah menunjukkan kesan positif dalam merealisasikan matlamat negara untuk meningkatkan penyertaan PKS dalam urus niaga merentas sempadan.

“Projek perintis (DFTZ) telah merekodkan pendaftaran lebih daripada 5,000 PKS Malaysia dan mereka telah mula mengeksport melalui platform Alibaba.com.

“Kerajaan terus menggalakkan lain-lain peneraju industri seperti e-pasar, termasuk peserta logistik tempatan dan antarabangsa untuk mengambil bahagian dalam DFTZ tersebut,” katanya.

Pada 12 Nov 2018, Malaysia telah menandatangani perjanjian ASEAN Mengenai Perdagangan Elektronik, satu usaha bersepadu membabitkan 10 negara di rantau ini bagi melancarkan urus niaga merentas sempadan dengan mengurangkan halangan dan kos kemasukan.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bangun sistem e-dagang, tingkat sosio-ekonomi – Gobind

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pembangunan infrastruktur sistem e-dagang yang lebih berdaya tahan, inklusif dan efisien wajar dilaksanakan di negara ini sebagai landasan strategik ke arah meningkatkan kemajuan sosio-ekonomi tempatan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, sistem e-dagang menjadi pencetus perubahan yang dilihat mampu memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana, sekali gus mengembangkan perniagaan mereka di luar sempadan menerusi rantaian bekalan global.

“E-dagang memberi hak dan kuasa kepada pengguna khususnya rakyat di bandar mahupun luar bandar untuk membeli pelbagai produk serta barang dengan kadar harga berpatutan.

“Memandangkan lebih banyak produk terdapat di pasaran dan mudah diakses oleh masyarakat global, e-dagang akan memacu industri pos serta kurier ke tahap perkhidmatan baharu seterusnya pencapaian yang tinggi untuk industri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucaptama Majlis Anugerah Industri Penghantaran E-Dagang 2018, di Hotel Majestic, di sini, malam tadi.

Turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith; Pengurus Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia, Dato’ Mohd Ali Mohamad Nor; Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Al-Ishal Ishak serta Presiden Persatuan Syarikat Penerbangan Ekspress Malaysia, Bernard Yeoh.

Pada masa sama, Gobind Singh berkata, beberapa penekanan termasuk pembangunan sistem yang lancar diperlukan bagi mencapai tahap kecekapan e-dagang berkenaan.

Malah, katanya, Malaysia juga harus memiliki tahap jaringan berbeza jika mahu berjaya dalam era digital masa kini memandangkan negara, syarikat dan orang ramai saling bersaing antara satu sama lain, di dunia tanpa sempadan hari ini.

“Kita perlu mendefinisi dan mencari semula hubungan baik dalam bidang jalur lebar serta perkhidmatan bagi memenuhi kepuasan pelanggan seterusnya membolehkan kita memaksimumkan faedah ekonomi digital.

“Kerajaan komited menawarkan harga jalur lebar berpatutan dan mampu milik supaya setiap rakyat mempunyai akses sepatutnya terhadap jaringan internet ini,” katanya.

Mengakui peranan strategik dimainkan sektor pos dan kurier, Gobind berkata, industri terbabit dilihat semakin berkembang dan menyerlah, khususnya dalam e-dagang.

“Oleh itu, amatlah penting bagi kementerian, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mencorakkan masa depan industri ini bersama dengan meningkatkan piawaian industri serta mewujudkan hubungan berkualiti.

“Walaupun e-dagang di Malaysia masih di peringkat awal pembangunan, namun ia memerlukan kementerian untuk mewujudkan visi yang berani dan pelan strategik, khasnya dalam industri perkhidmatan pos serta kurier,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

Identiti pengenalan kekang penipuan e-dagang

OLEH AFIX REDZUAN

SUNGAI BESI, 11 OKT: Kerajaan Persekutuan berhasrat mewujudkan identiti pengenalan perniagaan untuk peniaga e-dagang bagi membolehkan industri berkenaan berkembang lebih pesat, di samping mengawal gejala penipuan terhadap pelanggan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, kewujudkan identiti itu membolehkan transaksi perniagaan berlangsung selamat memandangkan sebelum ini berlaku unsur penipuan.

“Ini adalah idea baharu yang akan diperkenalkan bagi memantapkan lagi industri e-dagang dan sudah dilakukan di beberapa negara luar, justeru kita akan meneliti perkara itu terutama daripada segi pelaksanaan.

“Pihak kementerian sedang melihat beberapa perkara termasuk peruntukkan undang-undang yang perlu dipinda bagi merealisasikan hasrat itu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Sidang Kemuncak Keusahawanan e-dagang anjuran Malaysiakini, di Royal Ballroom, Palace of The Golden Horses.

Pada masa sama, Gobind berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia serta Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd bagi melaksanakan perkara itu yang dijangka mula diperkenalkan, pertengahan 2019.

Katanya, kementeriannya memandang serius sebarang bentuk penipuan yang berlaku terhadap perniagaan dalam talian dan sedang berusaha menutup ruang itu.

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

E-dagang peluang luas perniagaan secara maya

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 15 SEPT: Kerajaan Negeri akan terus menyediakan ruang dan peluang untuk peniaga tempatan yang ingin beralih ke e-dagang selari perkembangan semasa dunia perniagaan.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Khim berkata, kesediaan mereka bersaing seiring cabaran perniagaan menerusi inovasi dan kreativiti wajar dicontohi semua pihak untuk terus memantapkan persaingan e-dagang.

“Kerajaan Negeri melalui Majlis Teknologi Informasi dan E-dagang Selangor (SITEC) menetapkan inisiatif membantu peniaga tempatan dalam peralihan ke e-dagang.

“Malaysia akan melalui perubahan berterusan dalam sektor ekonomi digital yang perlu dibincangkan dan dinilai semula setiap hari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan bersempena SITEC Malaysia Top EC Merchant Award 2018 kali ketiga, di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MiTEC).

Chang Khim berkata, peniaga tempatan kini boleh mempelajari e-dagang menerusi alam maya tanpa perlu menghadiri kelas secara fizikal.

Katanya, kesediaan komuniti setempat berkongsi pengalaman dan pandangan membuka lebih ruang kepada penyertaan lebih ramai peniaga e-dagang.

“Inisiatif ‘Online 100’ juga membantu lebih daripada 400 perniagaan berasaskan batuan beralih kepada penjualan secara dalam talian dengan nilai dagangan kasar lebih RM8 juta.

“Terdapat juga portal pembelajaran maya SITEC Academy, bagi mereka yang tidak dapat menghadiri kelas e-dagang secara fizikal,” katanya.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

10 usahawan e-dagang Selangor terpilih ke Beijing

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 10 JUL: Seramai 10 usahawan e-dagang dari Selangor terpilih ke Beijing setelah berjaya melepasi ujian saringan ‘Selangor Accelerator Programme 2018’ (SAP).

Ketua Eksekutif Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC), Yong Kai Ping berkata, usahawan tersebut dipilih daripada 70 peserta yang menyertai acara berkenaan sejak dua bulan lalu.

Katanya, kesemua mereka akan dibawa ke Universiti Tsinghua di Beijing iaitu lubuk usahawan e-dagang di China.

“Ini adalah pertama kali dalam sejarah apabila Kerajaan Selangor menjadi negeri pertama yang berjaya membawa usahawan e-dagang dalam skala yang besar ke peringkat global.

“SITEC mahu membuka peluang kepada golongan muda tempatan mengasah bakat perniagaan dalam talian sekaligus mendapat tempat di peringkat dunia,” katanya ketika pengumuman 10 pemenang SAP 2018 di Menara Top Glove di Setia Alam.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris.

Sementara itu Chang Kim berkata, individu yang berbakat sentiasa menjadi sumber penting dalam sesebuah negeri mahupun negara.

Katanya, terutama bagi bidang e-dagang, kumpulan ini membawa kepada kejayaan Malaysia dalam pembangunan ekonomi digital.

“Kerajaan Selangor sentiasa komited dengan program sebegini dan inilah salah satu caranya untuk membangunkan negeri ini ke arah ‘Golden State’,” katanya.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

e-dagang Selangor catat jualan RM 4.8 juta pada 2017

NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 28 JUN: Lebih 300 syarikat yang menjalankan perniagaan e-dagang, di Selangor berjaya mencatatkan jualan RM4.8 juta, pada 2017.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Industri Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, nilai jualan itu direkodkan menerusi 33,000 tempahan pembelian dalam talian sepanjang tahun terbabit.

“Perkembangan pesat komuniti e-dagang yang semakin jelas, pada 2016 mendorong kami untuk memberi ganjaran dan mengenali peniaga dalam talian terbabit yang merupakan pelayar di lapangan serta mewujudkan nilai juga semangat yang benar-benar membolehkan e-Dagang berkembang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Pelancaran Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik di Selangor Digital Creative Centre, i-City, di sini, hari ini.

Chang Khim berkata, Selangor Information Technology & E-Commerce Council (SITEC) sebelum ini turut memberi latihan kepada peniaga e-dagang melalui Akademi SITEC.

Katanya, sejak SITEC ditubuhkan pada 2015, seramai 4,000 peniaga e-dagang menyertai latihan yang disediakan.

“Akademi SITEC turut menyediakan lebih 200 sumber pembelajaran e-dagang seperti video dan persembahan slaid secara percuma untuk pihak yang berminat mengetahui lebih lanjut berkenaannya,” katanya.

Terdahulu, Chang Khim melancarkan Pertandingan Peniaga e-dagang (ECM) Terbaik 2018 dengan pemenang akan diumumkan, pada 15 September ini menjelang Selangor Smart City & Digital Economy Convention 2018, di MITEC.

Pertandingan itu menyediakan hadiah wang tunai RM10,000 bagi pemenang pertama, RM5,000 (kedua) dan RM3,000 (ketiga).

Categories
EKONOMI SELANGOR

Taiwan-Selangor erat kerjasama E-dagang

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 OGOS: Taiwan berhasrat mengurangkan kebergantungan kepada China dengan meneroka pasaran baru dan memberi tumpuan kepada Asia Tenggara.

Selangor Information Technology and E-Commerce Council (SITEC) dalam kenyataan berkata, lebih 20 syarikat E-dagang Taiwan bakal menyertai Taiwan Day-Taiwan Malaysia Cross-Border E-Commerce Forum di Selangor Smart City and Future Commerce Convention 2017, pada 8 September ini.

Katanya, usahawan tempatan perlu merebut peluang menjalin hubungan dengan pemain industri E-dagang Taiwan menerusi penganjuran berkenaan.

“Tujuh syarikat E-dagang berpengalaman Taiwan yang berjaya mengembangkan sayap di Malaysia dan Asia Tenggara akan berkongsi bagaimana perniagaan kecil (SME) boleh menembusi pasaran lebih besar hanya dengan sumber terhad.

“Mereka juga dijangka berkongsi model terkini E-dagang seperti penggunaan rantaian blok, ‘livestreaming’ dan Mobile Commerce,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif SITEC, Yong Kai Ping dilapor berkata, Taiwan Day mengeratkan lagi kerjasama E-dagang di antara kedua negara.

Pengarah Akademi SITEC, Goh Boon Peng pula berkata, peserta juga berpeluang menyertai sesi ‘business matching’, menyaksikan syarikat Taiwan membuka peluang kerjasama dengan syarikat tempatan.

“Ia membawa program ini setapak lebih maju ke hadapan dan kita mengalukan pedagang untuk menyertainya,” katanya.

Categories
EKONOMI

E-dagang Malaysia kini industri bernilai RM24.6 bilion – iPrice

KUALA LUMPUR 20 OGOS: Industri e-dagang Malaysia berkembang pesat selepas lonjakannya pada pertengahan 2000-an dan kini merupakan perniagaan yang bernilai RM24.6 bilion, kata iPrice Group.

iPrice Group ialah laman web e-dagang meta-carian yang membolehkan pembeli Malaysia berhubung dengan beratus-ratus peniaga e-dagang dan mencari produk, membanding harga dan mendapatkan tawaran terbaik.

iPrice dalam satu kenyataan berkata Lazada berada di senarai teratas syarikat e-dagang utama di Malaysia, diikuti Zalora dan 11 Street, berdasarkan kepada trafik dalam talian mereka, jumlah kakitangan dan pengikut di aplikasi media sosial seperti SimilarWeb, LinkedIn, Facebook, Instagram dan Twitter.

Laman web Lazada menerima purata 29 juta pengunjung setiap bulan manakala 11 Street sembilan juta pengunjung.

“Kesemua tiga syarikat e-dagang utama ini berpangkalan di Asia Tenggara.

“Walaupun laman web e-dagang dari luar rantau Asia Tenggara seperti eBay dan Sephora juga dilayari rakyat Malaysia, laman e-dagang serantau dan tempatan dianggap lebih berjaya, kemungkinan disebabkan oleh pengetahuan lokal pasaran e-dagang tempatan yang memberikan mereka kelebihan,” kata laman web itu.

Sementara itu, Lelong.com berada dalam senarai teratas syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia, dengan laman webnya mencatatkan purata trafik 6.33 bilion semasa suku kedua 2017.

“Ditubuhkan pada 1998, Lelong.com kemungkinan merupakan syarikat e-dagang berpangkalan di Malaysia yang paling lama dan ia kekal menjadi platform dagang-bagi-dagang paling popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana mereka merupakan antara yang pertama melihat potensi e-dagang,” kata laman web itu.

IPrice berkata e-dagang fesyen tempatan seperti Fashion Valet dan Poplook juga semakin popular dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Jenama tempatan ini biasanya berkembang menerusi laman media sosial seperti Instagram, di mana mereka dengan mudah boleh mempamerkan produk mereka menerusi imej dan perkongsian dengan jenama dan selebriti popular tempatan,” kata laman web itu.

Menurut IPrice, jenama fesyen di Malaysia meraih manfaat daripada penggunaan model e-dagang dalam menjalankan operasi mereka kerana ia membolehkan mereka menyusun perniagaan mereka mengikut keperluan pengguna.

SUMBER: BERNAMA

Program SITEC Online 100 lancar panggilan kedua

Program SITEC Online 100 terbukti membuka ruang lebih luas buat peniaga menerokai pasaran perdagangan elektronik (e-dagang), Kerajaan Negeri sedia lancar panggilan kedua