Categories
ADN SELANGOR

ADN sambut baik guna bas mini, gesa tambah laluan luar bandar

SHAH ALAM, 17 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati menyambut baik cadangan penggunaan bas mini Smart Selangor untuk laluan luar bandar.

Juwairiya Zulkifli bagaimanapun berharap bas mini digunakan untuk menambah laluan baharu bukan mengganti perkhidmatan bas laluan sedia ada.

“Ini bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat kerana bas bersaiz biasa tidak sesuai di desa kerana hanya sebilangan kecil menggunakannya tetapi masih diperlukan mereka yang bergantung kepada keluarga untuk pergi serta pulang dari tempat kerja,” katanya kepada SelangorKini.

ADN Dusun Tua pula berkata penggunaan sedemikian perlu seiring dengan pertambahan laluan baharu bagi memudahkan pergerakan rakyat.

“Saya menyambut baik usaha untuk meluaskan capaian Bas Smart Selangor ke luar bandar kerana laluan perkhidmatan setakat ini lebih tertumpu di bandar,” kata Edry Faizal Eddy Yusof.

Bagi ADN Morib Hasnul Baharuddin, cadangan itu menjimatkan kos kerana laluan luar bandar kurang penumpang berbanding di bandar manakala bas sedia ada boleh digunakan untuk tujuan lain.

Pada 10 Oktober EXCO pengangkutan awam mencadangkan penggunaan bas mini bagi mengganti bas Smart Selangor sedia ada untuk laluan di luar bandar.

Ng Sze Han berkata cadangan tersebut antara tumpuan yang bakal dibawa dalam pembentangan Belanjawan Selangor 2021 pada 30 Oktober.

 

Categories
BERITA UTAMA PENDAPAT RENCANA

Ekonomi kreatif kalis pandemik – Edry Faizal

Oleh Edry Faizal Eddy Yusof

Pendapat Ahli Dewan Negeri Dusun Tua dalam Segmen Suara Muda yang disiarkan di akhbar SelangorKini edisi 24-30 September 2020

Selepas Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) hadir dengan pelbagai gugatan terhadap industri dan memaksa ekonomi untuk mengikuti arusnya, dunia dilanda pula pandemik Covid-19. Jika dibandingkan dengan IR4.0, tiada siapa dapat meramalkan kehadiran wabak sedahsyat ini dan kesannya terhadap kebiasaan manusia, seterusnya dampak pandemik terhadap ekonomi.

Selain daripada pengadaptasian yang perlu dilakukan oleh semua kerajaan di dunia saat ini kepada kebiasaan baharu, ini juga masa terbaik untuk menilai kembali struktur dan sisi-sisi lain ekonomi yang jarang diberi tumpuan. Antara yang perlu diberi perhatian ialah sumbangan dan peranan ekonomi kreatif.

Pada sesi dialog Belanjawan Selangor 2021, terdapat satu sindiket khusus untuk industri kreatif bagi membincangkan hal berkaitan industri berkenaan. Ini cukup signifikan untuk menggambarkan yang Kerajaan Negeri turut melihat industri ini sebagai salah satu pemangkin kemajuan negeri, lebih-lebih lagi apabila kebanyakan pemain-pemain penting industri tersebut berpusat di Selangor.

Takrifan industri kreatif mungkin mempunyai perbahasan yang panjang. Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD) bagaimanapun mentakrifkannya sebagai industri yang menjalankan aktiviti ekonomi terdiri daripada pengiklanan, seni bina, seni dan kraf, reka bentuk, fesyen, filem, video, fotografi, muzik, seni pertunjukan, penerbitan, penyelidikan dan pembangunan, perisian, permainan komputer, penerbitan elektronik, dan televisyen mahupun radio.

Teroka industri kreatif

Meskipun jarang kita dengar perihal industri kreatif dirangkum dalam perbahasan tentang pembangunan dan kemajuan sesebuah negeri, hakikatnya usaha untuk memacunya seiring hasrat menjadikan Malaysia sebuah negara maju telah pun bermula sejak 1996 dengan tertubuhnya Koridor Raya Multimedia (MSC). Ia juga seiring dengan apa yang lazim kita dengar sebagai ekonomi pengetahuan (knowledge economy).

Edry Faizal Eddy Yusof

Akan tetapi, yang membuatkan Malaysia sedikit ketinggalan adalah disebabkan kebanyakan pemain penting dan pembuat dasar keliru dengan apa yang disebut sebagai ekonomi pengetahuan yang sering kali disempitkan dengan merujuk kepada sains dan teknologi serta aktiviti berteknologi tinggi. Sementara sektor kreatif tidak dilihat memainkan peranan penting.

Ini tentu terkait dengan tanggapan umum masyarakat dan pembuat dasar terhadap hasil dunia kreatif sebagai bukanlah suatu keperluan. Namun, saya yakin perkembangan pesat teknologi dan dunia digital telah banyak mengubah persepsi itu. Lebih-lebih lagi dengan kejayaan animasi di Malaysia seperti Upin & Ipin, Boboiboy dan Ejen Ali melangkaui sempadan negara.

Perkembangan industri ini turut terakam di dalam Tinjauan Ekonomi Kreatif yang dilakukan UNCTAD menunjukkan eksport barangan kreatif Malaysia meningkat dari USD2.6 bilion pada 2005 kepada USD6 bilion pada 2014. Sebahagian besar daripadanya adalah barangan rekaan dengan jumlah eksport USD3.9 bilion diikuti de-ngan audiovisual sebanyak USD944.5 juta dan media baharu sebanyak USD905 juta.

Belum terlambat

Bagi sebuah negeri seperti Selangor yang jumlah populasinya sentiasa berada kedudukan teratas, potensi industri kreatif mewujudkan peluang pekerjaan tentu sekali merupakan perkara yang perlu dipertimbangkan. Melalui data Kluster Multimedia Kreatif MDEC (2014;2015) pula menunjukkan peningkatan peluang pekerjaan daripada 7,724 pada 2008 ke 10,515 peluang pekerjaan pada 2014.

Pada 2018, syarikat berstatus MSC Malaysia di bawah kluster Kandungan Kreatif dan Teknologi mencatatkan jualan sebanyak RM7.69 bilion dengan nilai eksport RM1.4 billion dan mewujudkan 11,471 peluang pekerjaan. Melihat potensi eksport dan penciptaan peluang pekerjaan, industri kreatif bukanlah sesuatu yang harus dikesampingkan.

Lebih-lebih lagi apabila sesetengah bidang di dalam industri kreatif seperti penciptaan ‘gaming’ misalnya boleh dikatakan kalis daripada pandemik yang melanda dunia baru-baru ini. Tentu sekali ini berlaku kerana bidang berkenaan tidak terikat dengan cara kerja konvensional. Pasaran sasaran mereka juga boleh bergantung sepenuhnya dalam talian yang tidak terhad sekadar di Malaysia sebaliknya seluruh dunia.

Negara membangun sekalipun kekurangan sumber inovasi dan teknologi, namun subur untuk ekonomi kreatif kerana kaya dengan sumber budaya. Kekayaan sumber dan budaya ini yang membolehkan negara seperti Malaysia bersaing dengan negara maju dalam dalam industri kreatif. Selangor sebagai sebuah negeri kosmopolitan, tempat temu segala budaya di Malaysia, harus meraih peluang itu.

Sudah tentu untuk memastikan keberhasilan ekonomi kreatif melalui industri kreatif, kerjasama erat harus dibentuk antara kerajaan negeri dan pihak swasta. Ia harus berjalan serentak dengan usaha membantu membangunkan ekosistem yang sihat buat industri itu. Sebetulnya, kita masih belum terlambat. Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah pertama.

 

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

Pelihara kebajikan, tingkat ekonomi luar bandar

Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua merencana pelbagai program jangka panjang bagi membangunkan ekonomi setempat sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk meliputi 14 kampung tradisi Melayu.

Edry Faizal Eddy Yusof, 35, antara lain menganjurkan projek Wirausaha awal Julai lalu bagi membantu orang ramai yang baru atau mahu mengembangkan perniagaan.

“Melalui usaha ini, saya menyediakan latihan, rundingan dan bimbingan kepada mereka yang baru hendak memulakan serta yang mahu mengembangkan perniagaan,” katanya.

Bengkel pertama Wirausaha berjalan lancar pada 12 September lalu, malangnya bilangan peserta terpaksa dihadkan ekoran Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan.

Ketika Covid-19 melanda, beliau juga memastikan kebajikan rakyat dengan mengadakan Pusat Bank Makanan N23 yang berfungsi sebagai lokasi penduduk mendapatkan bakul makanan jika terputus bekalan itu.

Selain itu, Edry juga menaik taraf prasarana sekolah bagi memastikan pelajar selesa selain kemudahan awam pada tahap terbaik.

Peduli wanita

Pemberdayaan wanita juga tidak pernah dipandang ringan. Ini terbukti apabila Edry melancarkan projek Ibu Langat di flat Taman Pinggiran Delima pada 28 Ogos lalu.

Edry Faizal Eddy Yusof

Inisiatif itu dilaksanakan dengan mengambil kira peranan wanita sebagai tulang belakang masyarakat. Golongan ibu diberdayakan untuk menjana ekonomi kecil-kecilan.

“Warung kita sediakan, mereka bebas meletakkan hasil jualan tanpa caj dan akan dipantau pegawai kami,” katanya.

Beliau turut memuji pakej rangsangan ekonomi Selangor Prihatin yang membekalkan bantuan menyeluruh kepada rakyat.

“Komitmen Kerajaan Negeri bukan sahaja ditunjukkan melalui jumlah pakej rangsangan itu tetapi juga kepantasan bantuan tersebut disalurkan kepada rakyat,” katanya.

Sepanjang dua tahun berkhidmat sejak menang di kawasan itu, Edry menabur bakti tanpa mengira kaum, jauh sekali mengambil kira pegangan politik penduduk.

“Saya percaya kita cuma perlu terus menabur bakti. Saya beri contoh, yang terima manfaat daripada program DUN Dusun Tua meskipun tumpuannya golongan berpendapatan rendah, majoritinya Melayu,” katanya.

“Biar itu menjadi contoh atau saksi sama ada perjuangan kita hanya cakap-cakap atau dengan tindakan,” katanya

Pelbagai projek yang dilakukan Edry Faizal, antaranya:

1. Menyediakan Pusat Bank Makanan N23 bekalan makanan
2. Satu perempat peruntukan untuk menaik taraf sekolah-sekolah
3. RM10,000 bantuan makanan asas kepada penduduk 17 kampung
4. Membaik pulih cerun runtuh di Jalan Sungai Tekali
5. Mengatasi kesesakan lalu lintas luar biasa di Jalan Hulu Langat
6. Membina tapak sementara Medan Selera Taman Perkasa yang terbakar

 

Categories
ADN SELANGOR

Program Ibu Langat di DUN Dusun Tua, bantu jana ekonomi wanita

SHAH ALAM, 28 OGOS: Program Ibu Langat dilancarkan bagi membantu pembangunan ekonomi wanita di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua.

Ahli dewan negerinya berkata usaha itu bermula dengan Warung Ibu Langat yang beroperasi di flat Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat.

“Ini adalah inisiatif kami untuk membantu kaum wanita menjual hasil masakan di warung disediakan bagi membolehkan mereka menjana pendapatan,” kata Edry Faizal Eddy Yusof kepada SelangorKini.

Mengulas perbezaan antara Warung Ibu Langat dengan yang lain, beliau berkata gerai lain adalah usaha berasaskan keuntungan kerana hak milik persendirian.

“Manakala, warung kita sediakan pula wanita di situ bebas meletakkan hasil jualan mereka tanpa caj dan ia akan dipantau pegawai kami. Tabung juga disediakan jika ada antara mereka mahu menderma bagi tampung kos operasi,” jelasnya.

Categories
ADN SELANGOR

Bank makanan Dusun Tua mula operasi, bantu golongan susah

SHAH ALAM, 24 JUN: Premis Bank Makanan (Food Bank N23) diwujudkan untuk berkongsi rezeki dengan golongan memerlukan, kata ahli dewan negeri Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata premis di Medan Selera Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat beroperasi sejak kelmarin dan kumpulan berkaitan di Dewan Undangan Negerinya dipelawa bagi mendapatkan makanan di situ.

“Setakat ini tidak ramai lagi kerana mungkin belum semua dapat hebahan, tetapi kita akan menguar-uarkan kepada penduduk berkaitan operasinya.

“Kita berharap mereka yang betul-betul terdesak dan memerlukan akan hadir ke Food Bank N23,” katanya kepada SelangorKini.

Premis tersebut beroperasi setiap Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Dusun Tua bakal lancar Food Bank N23 di Taman Pinggiran Delima

SHAH ALAM, 14 JUN: Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua bakal melancarkan premis Food Bank N23 di Taman Pinggiran Delima dalam masa terdekat, kata ahli dewan negerinya.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata insiatif mewujudkan stor itu bagi meringankan beban rakyat terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Stor Food Bank N23 sudah siap termasuk kelengkapan barangan asas juga telah diletakkan. Namun, mengenai bila beroperasi kita sedang tunggu masa yang sesuai dan akan umum tidak lama sahaja lagi,” katanya kepada SelangorKini.

Edry berkata pihaknya akan membuat tapisan golongan yang layak terima bantuan bagi memastikan tidak ada yang ambil kesempatan di atas usaha ini.

“Kita juga akan mencatat butiran penerima supaya tidak ada yang meminta berulang kali sebaliknya beri peluang kepada mereka yang belum terima,” kata beliau.

Categories
ADN SELANGOR

ADN nasihat rakyat waspada PKP Pemulihan, biasakan diri norma baharu

SHAH ALAM, 13 JUN: Rakyat diingatkan terus berwaspada walaupun negara kini berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Pemulihan, kata ahli dewan negeri (ADN) Sentosa.

Dr G Gunaraj berkata peniaga dan pelanggan perlu patuh tatacara operasi piawai (SOP) bagi memastikan jumlah kes Covid-19 tidak bertambah.

“Sebelum ini banyak perkara positif yang kita belajar daripada PKP termasuk dapat meluangkan masa bersama keluarga. Justeru, saya minta kerajaan kaji semula mengenai pembukaan premis perniagaan 24 jam yang dianggap tiada keperluan terutama pada fasa pemulihan ini,” katanya.

Sementara itu, ADN Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof  harap rakyat dapat biasakan diri dengan norma baharu iaitu terus amalkan penjarakan sosial dalam rutin harian.

“PKP Pemulihan adalah fasa paling penting kerana kita diberikan lebih kebebasan tetapi pada masa sama diberi tanggungjawab untuk menjaga diri dan orang sekeliling. Saya harap kita akan terus biasakan diri dengan norma baharu dan jangan terleka,” kata beliau.

Mengenai kebenaran operasi semula pasar malam, pasar pagi dan beberapa premis beliau menginagtkan ibu bapa tidak membawa anak kecil atau warga emas ke tempat berkenaan bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Categories
AGENDA NASIONAL

Kerajaan digesa serius kawal harga barang menjelang Aidilfitri

SHAH ALAM, 20 MEI: Kerajaan digesa supaya lebih peka dan serius dalam mengawal harga barang ketika musim perayaan terutama sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kata Ahli Dewan Negeri Dusun Tua.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata ia berikutan rungutan rakyat mengenai kenaikan harga barang yang melonjak tinggi berikutan masalah bekalan gagal diselesaikan kerajaan ketika krisis Covid-19.

“Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini akan disambut secara sederhana dan terkawal susulan PKPB, namun penggunaan barang tetap tinggi sama ada untuk isi rumah keluarga mahupun perniagaan.

“Ketika pendapatan rakyat yang semakin berkurang untuk berbelanja, sepatutnya senarai barang kawalan ditambah dan bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengumumkan harga maksimum 11 jenis barang melalui Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bagi Aidilfitri berkuat kuasa 15 hari bermula hari ini hingga 3 Jun.

Mengulas lanjut, Edry berkata senarai dikeluarkan kementerian jauh berkurangan berbanding semasa pemerintahan Pakatan Harapan (PAKATAN) tahun lalu iaitu 27 jenis barangan.

Malah, katanya tempoh penguatkuasaan skim tersebut yang singkat berbanding tahun lalu iaitu 30 hari boleh menyebabkan kegagalan pelaksanaan kawalan harga.

“Lebih pendek tempoh diberikan kepada golongan peniaga untuk patuh harga maksimum ditetapkan terutama apabila harga pasaran semasa yang lebih tinggi, lebih pendek juga tempoh pihak penguatkuasa memastikan kepatuhan golongan peniaga terhadap harga kawalan.

“Akhirnya ia akan membawa kegagalan kepada SHMMP Aidilfitri kali ini dan membebankan rakyat sendiri,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

DUN Dusun Tua bantu penduduk Sungai Lui dapat makanan segar

SHAH ALAM, 14 APRIL: Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua berusaha mencari bekalan makanan segar seperti ayam, telur dan sayur bagi membantu penduduk di Sungai Lui, kata Ahli Dewan Negerinya.

Edry Faizal Eddy Yusof berkata ia berikutan makanan dibekalkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) kurang sesuai kerana penduduk dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang tidak dibenarkan keluar.

“Kita akan berusaha membantu untuk dapatkan makanan segar asas yang ada nutrisi dan bukan makanan dalam tin biarpun dengan kemampuan agak terhad. Saya harap Nadma boleh selesaikan isu ini segera,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas mengenai PKPD di Sungai Lui dilanjutkan, Edry Faizal berkata ia bergantung atas arahan kerajaan dan setakat ini pihaknya masih belum mendengar sebarang keputusan.

Semalam, beliau memohon Nadma menyemak semula bantuan makanan kepada penduduk Sungai Lui yang menerima makanan dalam tin serta minuman manis dengan menjelaskan mereka memerlukan barangan segar asas seperti bawang, telur, sayur-sayuran dan daging.

Batu 21 hingga 24, Sungai Lui merupakan kawasan di bawah Hulu Langat yang dikenakan PKPD selama dua minggu sejak 30 Mac lalu hingga hari ini.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat akur jika PKP dilanjut, anggap keputusan terbaik

SHAH ALAM, 4 APRIL: Ahli Dewan Negeri Dusun Tua akur jika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilanjutkan susulan kebimbangan penularan Covid-19.

Edry Faizal Eddy Yusof bimbang masyarakat akan berpusu-pusu ke tempat awam sebaik sahaja arahan PKP tamat selepas 14 April.

“Saya rasa lanjutkan PKP mungkin keputusan terbaik. Bayangkan jika tempoh ini tamat, saya yakin ramai akan berpusu-pusu ke tempat awam memandangkan mereka sudah lama duduk di rumah,” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Mengulas situasi jangkitan Covid-19 di Sungai Lui Hulu Langat, Edry Faizal berkata kes lebih tertumpu di kawasan maahad tahfiz setakat ini.

“Bagaimanapun, penduduk (yang tidak terjejas) dinasihatkan duduk di rumah dan patuh dengan arahan ditetapkan kerajaan supaya rantaian wabak ini dapat diputuskan,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di Batu 21 hingga 24, Sungai Lui selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan terdapat 71 kes positif jangkitan Covid-19 daripada 274 penghuni Maahad Tahfiz An Nabawiyyah, di situ.

Susulan itu, semua penduduk serta pelawat tidak dibenarkan keluar rumah, aktiviti perniagaan dihentikan dan laluan keluar masuk ditutup.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Dusun Tua fail saman fitnah terhadap Mokhtar Senik

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof memfailkan saman fitnah terhadap Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Mokhtar Senik susulan status yang dimuat naik di Facebook ‘Mokhtar Dup’ pada 28 Ogos lalu.

Kiriman berkenaan dipercayai mengandungi poster yang menggunakan gambar Edry tanpa kebenaran dengan butiran kononnya Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu mendakwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 adalah kisah dongeng.

Edry menerusi kenyataan media berkata, tuntutan writ saman dibuat bagi menegakkan hak dan membersihkan nama baik beliau selaku wakil rakyat yang sudah dijejaskan Ketua Dewan Ulamak PAS Pahang itu.

“Peguam-peguam saya pada 9 Oktober memfailkan tuntutan saya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Mokhtar Senik atas kausa tindakan fitnah (defamation) dan kepalsuan niat jahat (malicious falsehood) berkenaan dengan status Facebook tersebut.

“Di dalam pernyataan tuntutan saya, saya memohon relief antara lain, gantirugi am, gantirugi teruk dan gantirugi teladan, permintaan maaf dan injunksi untuk menghalang Mokhtar Senik daripada menerbitkan kata-kata yang memfitnah saya lagi,” katanya.

Edry berkata, beliau sebelum ini sudah mengarahkan peguam mengeluarkan surat tuntutan kepada Mokhtar Senik menuntut supaya menarik balik status berkenaan dan membuat permohonan maaf.

Bagaimanapun katanya, Mokhtar membalas surat tuntutan peguam dengan mengatakan bahawa itu hanya ‘bahasa kesat atau caci maki’ sahaja, tanpa membuat apa-apa permohonan maaf.

“Saya rasa amat kecewa kerana sebagai seorang pemimpin sebuah parti yang mengakui paling Islam, Mokhtar Senik gagal melakukan tabayyun atau soal selidik yang diajarkan al-Quran atau hadis Nabi bahawa jika tiada perkara baik yang boleh diucapkan, lebih baik diam.

“Semoga tindakan ini menjadi pengajaran kepada kita semua supaya berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataaan yang tidak pasti,” katanya.

Sebelum ini, pada 28 Ogos lalu, Facebook ‘Mokhtar Dup’ memuat naik poster yang menggambarkan Edry menyifatkan peristiwa 13 Mei 1969 sebagai ‘kisah dongeng’.

Pada kiriman itu turut disertakan keterangan yang mendakwa Edry sebagai seorang yang ‘tidak tahu sejarah bangsa sendiri’.

“Orang cakap minum segelas je air ketum tu sekadar untuk buat ubat. Yang hang pi teguk sampai dua tempayan siapa suruh? Mulalah tak kenal sejarah bangsa sendiri,” kata keterangan Facebook itu.

Categories
SELANGOR

JKR, JPS giat atasi isu air bertakung

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

HULU LANGAT, 10 APRIL: Jabatan Kerja Raya (JKR) Hulu Langat sudah mengemukakan surat kepada Pejabat Daerah Hulu langat dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bagi mengatasi masalah air bertakung di atas Jalan Hulu Langat, Bukit Raya, di sini.

Ahli Dewan Negeri Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) juga mengemukakan surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) terbabit termasuk Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) untuk tindakan penguat kuasaan.

“Mengikut laporan siasatan, projek terbengkalai dan kerja tanah di bahagian atas (upstream) menjadi punca terjadi masalah itu.

“Kerja tanah ini juga didapati dilakukan secara haram tanpa permit daripada pihak berkuasa. Disebabkan kerja tanah berkenaan, tanah dari atas turun ke bawah apabila berlaku hujan lebat sehingga menyebabkan longkang dan culvert (pembetung) tersumbat akibat tanah merah,” katanya.

Terdahulu, masalah saluran air dan longkang tersumbat berhampiran Gudang Gas Petronas Kampung Bukit Paya mengundang kebimbangan penduduk di sekitar kawasan terbabit

Mengulas lanjut, beliau berkata, JPS sudah menjalankan kerja mendalamkan anak sungai sebagai langkah jangka masa pendek, selain kompaun dikeluarkan Jabatan Kejuruteraan MPKj terhadap pemilik lot yang mengerjakan tanah tanpa kelulusan.

Katanya, walaupun kerja tanah di tapak sudah berhenti sepenuhnya, namun sehingga kini pemilik tanah masih belum menerima maklum balas Notis Arahan dan Notis Kompaun daripada PBT berkenaan.

“Pihak konsesi juga sering melaksanakan kerja-kerja pembersihan, tetapi berhadapan dengan cabaran culvert sudah hampir dipenuhi dengan tanah.

“JPS bersedia membantu menambah baik saliran dengan membina outlet tetapi ianya melibatkan tanah individu. Oleh itu, perkara ini sedang dalam proses perbincangan bersama ketua kampung dan pemilik tanah.

“Kita juga akan terus menyelaras dan membantu agensi-agensi berkaitan untuk menyelesaikan permasalahan ini,” katanya.