Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB pelawa individu 18 tahun ke atas sertai Selangor Freelance

SHAH ALAM, 8 NOV: Dato’ Menteri Besar mempelawa individu berusia 18 tahun ke atas di negeri ini menyertai program Selangor Freelance bagi menjana pendapatan dalam sektor ekonomi digital.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program kerjasama Permodalan Negeri Selangor Berhad dengan platform Workana menawarkan 5,000 peluang latihan untuk meningkatkan kemahiran dan kebolehpasaran pekerjaan.

“Dalam era pandemik Covid-19, ekonomi gig (sampingan) muncul sebagai peluang baru pekerjaan yang terbina dari pasaran membangun dalam segmen digital.

“Maka, inisiatif dimulakan Kerajaan Negeri ini mampu memberi manfaat kepada warga Selangor serta berpeluang menjana pendapatan menerusi program pengupayaan yang holistik,” tulisnya di Twitter hari ini.

Dilancarkan pada 28 Oktober lalu, peserta Selangor Freelance akan dilatih untuk memanfaatkan kerja sebagai pekerja bebas serta cara menggunakan platform Workana selama dua hari.

Mereka juga akan menerima RM400 daripada Kerajaan Negeri sebaik tamat mengikuti latihan tersebut selain berpeluang memohon pekerjaan bebas digital menerusi platform berkenaan.

Individu yang sudah bekerja atau belum boleh membuat permohonan melalui http://selangor.workana.com.

Pada 20 Januari, Amirudin berkata inisiatif Selangor Freelance bakal mencipta lebih 1,000 peluang pekerjaan dan membantu golongan terjejas berikutan pandemik Covid-19.

Beliau memaklumkan pelaksanaan inisiatif berkenaan disegerakan bagi menyerap hentakan ekonomi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Selangor Freelance disenaraikan bawah program pendigitalan dalam Belanjawan Negeri 2021 dengan perbelanjaan RM369 juta melalui dana negeri dan anak syarikat (GLC).

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Peluang kerja untuk golongan muda dalam ekonomi gig

SHAH ALAM, 16 JUN: Kerajaan Negeri sedang merangka dasar bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda dalam sektor ekonomi gig, kata EXCO pembangunan generasi muda.

Mohd Khairuddin Othman berkata sektor tersebut berpotensi besar untuk dikembangkan kerana menawarkan peluang pekerjaan yang dapat dijalankan secara sepenuh atau separuh masa sekali gus meningkatkan pendapatan isi rumah.

“Contohnya Kerajaan Negeri memperuntukkan RM1 juta bagi melaksanakan program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) kepada mereka yang layak dan berminat untuk menceburi bidang e-panggilan.

“Sektor ekonomi gig lebih fleksibel dan dijangka terus berkembang serta menjadi pilihan terutama generasi muda untuk meningkatkan pendapatan terutama selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya kepada SelangorKini hari ini.

Ekonomi gig yang dipacu teknologi digital menjadi segmen popular membolehkan pekerjaan dijalankan seseorang individu tanpa ada majikan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain dan dijalankan sama ada secara sepenuh atau separuh masa.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Grab perkenal program bantu peniaga kecil ceburi ekonomi digital

KUALA LUMPUR, 12 JUN: Aplikasi terkemuka di Asia Tenggara, Grab berkata lebih 10,000 individu telah menyertai ekonomi gig di Malaysia, manakala bilangan peniaga yang mengalihkan perniagaan mereka ke dalam talian menokok dua kali ganda setiap bulan antara Mac dan Mei 2020 berbanding sebelum pandemik Covid-19.

Maklumat ini terkandung dalam Edisi Kedua ‘Grab for Good : Social Impact Report’ yang dikeluarkan hari ini.

Menurut laporan itu, memandangkan negara sedang mempercepatkan langkah ke arah pendigitalan lebih luas, Grab akan memperkenalkan program Grab Digital Small-Biz (GDS) bertujuan untuk membantu perniagaan kecil menyesuaikan diri dengan normal baharu ini.

Program ini memiliki alat dan inisiatif yang membantu perniagaan fizikal beralih ke dalam talian, serta membantu mereka yang sudah berada di platform Grab mengembangkan keterlihatan dan menyesuaikan operasi mereka ke dunia yang semakin digital.

Pengarah Urusan Grab Malaysia Sean Goh berkata, perniagaan kecil dan usahawan mikro yang sudah memasuki ke dalam talian menyaksikan peningkatan sebanyak 25 peratus dalam hasil mereka melalui platform Grab sepanjang tempoh ini.

Antara Mac dan April 2020, Grab Malaysia telah melancarkan 11 inisiatif bagi menyokong perniagaan kecil, pemacu serta rakan kongsi penghantaran, barisan hadapan termasuk komuniti yang terjejas oleh Covid-19.

Program GDS akan memudahkan sama ada dengan kaedah memberi usahawan sebuah kedai digital dalam platform Grab atau melalui integrasi e-pembayaran.

Antara komponen utama program ini adalah harga GrabExpress yang lebih rendah, sokongan iklan percuma termasuk iklan yang boleh disesuaikan, serta membantu mereka menerima bayaran dalam talian melalui Remote GrabPay Link dan membaiki keterlihatan perniagaan melalui segmen ‘Nearby Merchants’ di aplikasi Grab.

Grab turut bekerjasama dengan kerajaan dalam usaha untuk menghubungkan usahawan luar bandar dengan ekonomi digital melalui pelbagai inisiatif yang merangkumi Shop Malaysia Online, DesaMall dan Inisiatif Digital Selangor-Grab.

“Syarikat swasta seperti Grab menggunakan platform dan teknologi untuk mencari jalan bagi membolehkan usahawan kecil mikro atau perniagaan agar terus berlangsung terutama dalam tempoh yang mencabar ini.

“Memang masa hadapan adalah tidak menentu tetapi kita adalah komuniti yang tahu bagaimana menghadapi kesusahan dan berkembang maju,” kata Goh.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa khas ekonomi gig elak pekerja dieksploitasi

ALOR SETAR, 1 DIS: Jawatankuasa khas yang ditubuh kerajaan bagi merangka penyelesaian jangka panjang isu berkaitan ekonomi gig akan menumpukan kepada usaha untuk menjaga kebajikan pekerja terlibat dan mengelakkan mereka dieksploitasi oleh majikan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain mengelakkan sebarang unsur penganiayaan kepada pekerja, jawatankuasa itu akan mencari jalan bagi mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara pekerja dan majikan.

“Rundingan antara kementerian terlibat ini masih sedang dijalankan dan sehingga kini, kita masih belum ada kesimpulan yang boleh dibuat.

“Tetapi, kita akan cuba sebaik mungkin untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan pekerja dalam sektor ini tidak dieksploitasi oleh majikan mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pengayaan Buruh dan Profesionalisme (LEAP), di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas langkah kerajaan untuk melindungi kebajikan pekerja yang terlibat dalam ekonomi gig dan mengelakkan isu yang membabitkan pekerja sebuah syarikat penghantaran makanan sebelum ini, berulang.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini mengumumkan penubuhan jawatankuasa khas itu yang dianggotai Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Ekonomi gig merujuk kepada kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mengulas mengenai seminar LEAP yang dianjurkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja dan Pembangunan Sumber Manusia Bhd itu, Mahfuz berkata, ia bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan tahap profesionalisme pekerja.

“Seminar ini bagi mempersiapkan pekerja dengan perubahan persekitaran pekerjaan selain memastikan pekerjaan mereka terus kekal relevan walaupun berlaku perubahan arus perdana teknologi selaras dengan Revolusi Industri 4.0,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Ekonomi gig diberi tumpuan dalam RMK-12

KUALA LUMPUR, 24 OKT: Ekonomi gig akan diberi tumpuan dalam penyediaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) sebagai satu daripada sumber pertumbuhan ekonomi baharu, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, kemunculan ekonomi gig membuka lapangan pekerjaan baharu yang dapat meningkatkan pendapatan isi rumah dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja asing.

“Anjakan ini akan memberi peluang kepada anak muda khususnya graduan baru, suri rumah dan mereka yang dalam proses peralihan pekerjaan, sekali gus membawa mereka untuk menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada majlis makan malam Simposium Peruncitan Kebangsaan (SPark 2019) anjuran Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB), di sini, malam ini.

Ekonomi gig adalah satu kegiatan ekonomi yang dijalankan oleh seseorang individu tanpa ada majikan dengan cara menjual perkhidmatan kepada orang lain, dan dijalankan sama ada secara sepenuh masa atau separuh masa.

Mohamed Azmin berkata, revolusi ekonomi ini adalah imperatif untuk merangkul bakat baru serta membuka akses kepada perkembangan sektor perniagaan.

“Kita amat komited untuk membangunkan ekonomi digital khususnya bagi menyediakan modal insan yang berkepakaran dan berkemahiran,” katanya.

Kerajaan memperuntukkan RM500 juta dalam Belanjawan 2020 untuk mendigitalkan operasi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan memberdayakan komuniti usahawan yang melanggani perkhidmatan seperti sistem tempat jualan elektronik (e-POS), penyelesaian perancangan penyumberan perusahaan (ERP) dan sistem pembayaran gaji elektronik.

Beliau berkata, pada 2018, PKS mewakili 98.5 peratus daripada jumlah keseluruhan aktiviti keusahawanan di negara ini.

Bagaimanapun, Mohamed Azmin berkata, PKS dan perniagaan mikro hanya menyumbang sebanyak 38.3 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Sumbangan ini masih rendah jika dibandingkan dengan Indonesia (60.6 peratus), Jepun (54.5 peratus) dan Thailand (42.3 peratus), kata beliau dan menurutnya, berdasarkan data tersebut masih ada ruang yang luas untuk menjana perkembangan sektor keusahawanan.

“Justeru itu, kita harus menggunakan kesempatan ini untuk menyuntik dinamisme baru yang mampu memberi lonjakan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Pada majlis itu, Mohamed Azmin turut menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara syarikat usahawan PUNB, Palace Butcher Resources Sdn Bhd selaku pemilik jenama Me’nate dengan syarikat dari Afrika Selatan, Yumaliah Investment.

Kerjasama ini membolehkan jenama Me’nate beroperasi di peringkat antarabangsa iaitu di Afrika Selatan dan membolehkan Palace Butcher Resources membawa masuk jenama antarabangsa ke Malaysia.

– BERNAMA