Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Limpahan lima empangan terkawal, simpanan air cukup jika kemarau

SHAH ALAM, 14 JAN: Lima empangan di negeri ini berlaku limpahan takungan kerana mencapai had simpanan.

Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) memaklumkan situasi itu bagaimanapun terkawal dan status simpanan takungan adalah 100 peratus.

“Simpanan semasa ini berkeupayaan menyediakan sumber bekalan air seluruh Selangor melebihi tiga bulan tanpa hujan.

“Situasi semasa turut menunjukkan lima empangan berlaku limpahan takungan berikutan telah mencapai had simpanan penuh dan ianya secara terkawal,” katanya di Facebook.

Menerusi perkongsian infografik, lima empangan yang berlaku limpahan adalah Sungai Tinggi (Hulu Selangor), Tasik Subang (Petaling), Sungai Selangor (Hulu Selangor), Sungai Langat (Hulu Langat) dan Semenyih (Hulu Langat).

Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Paras air semua empangan dalam keadaan terkawal

SHAH ALAM, 27 DIS: Status semua empangan di Selangor berada tahap 100 peratus terkawal setakat jam 8 malam semalam, kata EXCO infrastruktur dan pertanian.

Ir Izham Hashim menerusi kenyataan memaklumkan paras air Empangan Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang, Sungai Selangor dan Sungai Tinggi menunjukkan trend menurun kecuali Empangan Langat dan Sungai Labu.

Tambah beliau dua empangan iaitu Batu dan Klang Gates turut melaksanakan pelepasan air.

Berhubung status pemulihan bekalan elektrik, beliau berkata 1,361 daripada 1,407 pencawang yang terjejas akibat banjir sudah dipulihkan.

Baki pencawang dalam proses baik pulih melibatkan Shah Alam sebanyak 34 pencawang, Kuala Selangor (lima), Sepang (tiga), Banting (tiga) dan satu di Klang.

Bagi kawasan Taman Sri Muda, sebanyak 55 daripada 67 pencawang yang terkesan banjir dipulihkan.

Turut dalam proses baik pulih adalah menara telekomunikasi iaitu di Petaling (23), Klang (19), Kuala Selangor (14) dan Sepang (dua).

Selain itu beliau memaklumkan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) menerima dua aduan baharu kejadian tanah runtuh di Jalan Hamzah, Kampung Budiman Seksyen U14, Shah Alam dan Jalan BU 1/1, Taman Bukit Utama, Bukit Antarabangsa, Ampang.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

284 laluan di Selangor terjejas akibat banjir, 27 jalan ditutup

SHAH ALAM, 25 DIS: Sebanyak 284 jalan persekutuan dan negeri di Selangor terjejas akibat banjir pada minggu lalu, kata EXCO infrastruktur.

Ir Izham Hashim berkata daripada jumlah itu 11 jalan persekutuan di Petaling, Gombak, Kuala Langat, Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Hulu Selangor ditutup.

“Manakala 16 jalan negeri di Kuala Selangor, Sepang, Hulu Langat dan Sabak Bernam ditutup setakat semalam,” katanya menerusi kenyataan.

Tambah beliau terdapat 38 kes cerun dan tanah runtuh di lima wilayah pentadbiran pihak berkuasa tempatan yang mana tujuh daripada kritikal.

Tujuh kawasan kritikal:
1. Taman Nusa, Subang (MBSA)
2. Apartmen Teratai, Selayang (MPS)
3. Jalan Bunga Anggerik, Taman Dataran Ukay (MPAJ)
4. Jalan Melati 7, Taman Seri Melati (MPS)
5. Kampung Sepakat, Batu 16, Rawang (MPS)
6. Jalan Haji Abdul Latif, Kampung Bukit Kapar (MPK)
7. Jalan 45B, Bukit D, Kampung Cheras Baru (MPAJ)

Status sistem pengairan dan saliran:
1. Stesen Sungai Langat (Bukit Changgang) dan Stesen Sungai Buloh – trend menurun
2. Stesen Sungai Langat (TNB Pangsun) – trend mendatar.

Empangan
1. Status – 100 peratus terkawal
2. Trend menurun – Empangan Batu, Semenyih, Klang Gates, Tasik Subang dan Sungai Tinggi
3. Trend bertahan – Empangan Langat, Sungai Selangor dan Kolam Takungan Sungai Labu
4. Melaksanakan pelepasan – Empangan Batu dan Klang Gates

Telekomunikasi (342 menara terjejas)
1. 177 menara – beroperasi sepenuhnya
2. 165 menara – peringkat baik pulih
3. Kawasan paling terjejas – Klang (53), Petaling (52) dan sepang (28)

Bekalan elektrik (1,407 pencawang terjejas)
1. Proses baik pulih – 147 (89 di Shah Alam dan 31 di Sepang)
2. Pulih gGuna genset – 30 lokasi
3. Pulih guna bekalan grid biasa – 3 lokasi

Categories
AGENDA NASIONAL

Air empangan Selangor meningkat, orang ramai dinasihat elak kawasan sungai

SHAH ALAM, 23 DIS: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak berada di dalam kawasan sungai berhampiran empangan di Selangor yang kini menunjukkan sedikit peningkatan pada paras air dan kuantiti serta halajunya.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim dalam kenyataan hari ini berkata meskipun situasi kemungkinan kejadian limpahan air sungai adalah minimum, namun langkah berjaga-jaga harus diambil, apabila berlakunya limpahan dan pelepasan air empangan.

“Apabila takungan di empangan-empangan mencapai tahap maksimum, lebihan air takungan akan melimpah (overflow) melalui alur limpah (spillway) dan disalurkan ke sungai berhampiran, namun kadar aliran adalah terkawal,” katanya dalam kenyataan itu.

Menurutnya, prosedur pelepasan air empangan pula akan dilaksanakan dengan kawalan melalui menara pelepasan air empangan (drawoff tower atau radial gate) yang turut dialirkan ke sungai berhampiran merujuk kepada lengkuk operasi empangan yang ditetapkan.

“Ini adalah bagi memastikan kawalan terhadap limpahan di hilir sungai dan juga memastikan keselamatan integriti struktur empangan,” katanya.

Terdapat tujuh empangan di Selangor iaitu Empangan Sungai Selangor dan Empangan Sungai Tinggi di daerah Hulu Selangor, Empangan Tasik Subang di daerah Petaling, Empangan Sungai Langat dan Empangan Semenyih di daerah Hulu Langat dan Kolam Off River Storage (ORS) Labu di daerah Sepang yang berfungsi sebagai takungan sumber bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Sementara Empangan Klang Gates dan Empangan Batu di daerah Gombak merupakan empangan dwifungsi bagi tujuan tebatan banjir dan bekalan air mentah yang dioperasikan pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bersama-sama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd.

Beliau berkata Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) selaku agensi yang mengawal selia sumber air sentiasa memantau situasi semasa dalam memastikan kuantiti takungan empangan berkenaan agar sentiasa mencukupi untuk pembekalan air mentah bagi 34 muka sauk bekalan air di Selangor terutamanya untuk persediaan menghadapi musim kemarau.

Untuk mendapatkan maklumat terkini status paras air empangan Selangor, orang ramai juga boleh melayari portal Integrated Water Resources Management Systems (IWRIMS) atau memuat turun aplikasi IWRIMS.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hanya air empangan Tasik Subang dilepas secara berterusan sejak semalam

KUALA LUMPUR, 19 DIS: Hanya air dari Empangan Tasik Subang dilepaskan secara berterusan sejak semalam berikutan hujan lebat yang melanda Selangor sejak Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Izham Hashim berkata air empangan berkenaan perlu dilepaskan secara berperingkat kerana paras airnya menghampiri paras penuh yang boleh menyebabkan kerosakan struktur binaan empangan.

“Air yang dilepaskan daripada empangan ini akan dialirkan ke Sungai Subang sebelum ke Sungai Buloh seterusnya ke Sungai Selangor dan ke laut, aliran daripada air ini tidak akan memasuki Sungai Klang,” katanya kepada Bernama hari ini.

Terdahulu tular di media sosial bahawa air Empangan Klang Gate dan Empangan Semenyih akan dilepaskan berikutan paras airnya sudah mencecah kapasiti penuh.

Menurut Izham bagi empangan lain di Selangor pelepasan air dilakukan secara berkala seperti biasa yang tidak melibatkan pelepasan air yang banyak.

Jabatan Pengairan dan Saliran melalui portal https://publicinfobanjir.water.gov.my dalam portalnya melaporkan paras air Sungai Langat, Sungai Bernam, Sungai Binjai, Sungai Selangor di Selangor telah melebihi tahap bahaya dan sedang menaik.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata pihaknya tidak menerima makluman berhubung pelepasan air di empangan.

Katanya pihaknya bagaimanapun bersedia menyediakan aset logistik untuk berada di kawasan berdekatan empangan yang dikatakan akan dibuka bagi melepaskan air.

“Buat masa ini tugas kami adalah tertumpu kepada memberikan bantuan kepada mangsa banjir di kawasan terjejas,” katanya.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Paras air di empangan pada tahap baik

SHAH ALAM, 27 JAN: Kapasiti air di beberapa empangan sekitar Selangor berada pada tahap baik setakat 8 pagi tadi, menurut Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Berdasarkan maklumat di laman sesawang lembaga itu, takungan air di empangan Sungai Selangor mencatatkan 98.67 peratus atau 226.95 meter padu manakala Langat 99.83 peratus (34.04 meter padu).

Bagi empangan Semenyih, kadar takungan merekodkan 99.58 peratus atau 58.82 meter padu dan Klang Gates mencatat paras 96.05 peratus (24.33 meter padu).

Kadar takungan air di empangan Tasik Subang pula 100 peratus atau 4.21 meter padu manakala Kolam Takungan Sungai Labu sebanyak 99.62 peratus (9.26 meter padu).

Sebelum ini, pejabat ketua pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia memaklumkan cuaca kering melanda di utara Semenanjung membabitkan Kedah, Perlis dan Perak.

Malaysia kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan mengakibatkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA PILIHAN MINGGUAN SELANGOR

Lima empangan air di Selangor pada tahap 100 peratus

SHAH ALAM, 9 JAN: Lima empangan air di Selangor pada tahap terbaik iaitu pada kapasiti 100 peratus setakat 8 pagi tadi.

Berdasarkan maklumat di laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), lima empangan terbabit adalah Stesen Semenyih, Stesen Langat, Stesen Sungai Selangor, Stesen Tasik Subang dan Stesen Sungai Tinggi.

Bagi takungan empangan Stesen Semenyih mencatatkan (59.07 juta meter padu), Stesen Langat pula (34.10 juta meter padu), Stesen Sungai Selangor (230.0 juta meter padu), Stesen Tasik Subang pula (4.21 juta meter padu) dan Stesen Sungai Tinggi (114.52 juta meter padu).

Bagi empangan Stesen Batu paras takungan air mencatat 99.73 peratus dengan (31.88 juta meter padu).

Klang Gates berada pada tahap memuaskan 99.39 peratus iaitu (25.18 juta meter padu).

Sementara itu, Kolam Takungan Sungai Labu pula mencatatkan 99.62 peratus pada kadar (9.26 juta meter padu).

Sebelum ini Pejabat Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memaklumkan cuaca kering terutamanya di utara negeri Semenanjung iaitu Kedah, Perlis dan Perak selain Kelantan dan Terengganu.

Katanya Malaysia kini berada pada fasa kedua Monsun Timur Laut dengan kurang taburan hujan yang akan menyebabkan cuaca kering dan panas sehingga hujung Mac.

Paras empangan di Selangor pada 9 Jan 2020. Sumber: LUAS
Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Paras enam empangan 100 peratus, mampu tampung keperluan

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 3 DIS: Kapasiti tujuh empangan di Selangor mampu menampung kegunaan melebihi tiga bulan sekiranya berlaku kemarau panjang.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, sehingga 14 November, enam empangan mencapai paras kapasiti takungan 100 peratus kecuali Empangan Batu, 96.9 peratus.

“Keadaan ini sangat baik dan enam daripadanya mencapai kapasiti 100 peratus. Peningkatan intensiti hujan pada perubahan monsun menyumbang kepada pertambahan kapasiti air di empangan.

“Kapasiti yang ada mampu menampung kegunaan lebih tiga bulan jika berlaku monsun barat daya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut yang dikemukakan Ahli Dewan Negeri Sungai Air Tawar, Rizam Ismail di Dewan Negeri Selangor (DNS).

Mengulas mengenai pelepasan air bagi mengelakkan limpahan yang akan menjejaskan pengguna, Izham berkata, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) akan membuat kawalan pelepasan air berjadual dan pengurusannya dibuat secara optimum.

 

Categories
GLOBAL

Empangan pecah tenggelamkan bandar, kampung, lebuh raya Myanmar

YANGON 29 OGOS: Sebuah empangan pecah di tengah Myanmar hari ini menyebabkan bandar berhampiran, dua perkampungan serta sebatang lebuh raya menghubungkan tiga bandar terpenting negara itu, ditenggelami air, kata jabatan bomba di Facebook.

Tiga bandar penting itu ialah Yangon, Mandalay dan ibu kota Naypyitaw.

Jabatan Perkhidmatan Bomba Myanmar mula menjalankan operasi mencari dan menyelamat serta menghantar jentera ke kawasan sekitar empangan digelar Swar. Banjir menenggelamkan bandar berhampiran dengan nama sama.

Jabatan Bomba turut menutup jambatan lebuh raya Yangon-Mandalay di kawasan itu. Gambar dihantar di Facebook menunjukkan jambatan dengan paras air hampir ke permukaan jalan dengan bomba, polis dan tentera berkumpul di sebelah tepi, memantau situasi itu.

Akhbar tempatan, Kumudra, menghantar video di Facebook menunjukkan ketua komander tentera Myanmar, Min Aung Hlaing berada di tempat kejadian.

SUMBER: REUTERS

Categories
SELANGOR

MB: Rizab bekalan air Selangor catat peningkatan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 17 MAC: Rizab bekalan air di Selangor kini mencatatkan peningkatan 5.4 peratus sekaligus akan menyaksikan peningkatan 11 peratus hujung tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, jumlah itu dijamin terus berterusan selepas langkah awal yang dilaksanakan Kerajaan Negeri bagi memastikan gangguan bekalan air tidak berlaku.

Katanya, Kerajaan Negeri sudah mengeluarkan belanja besar untuk menukar paip lama dan membina dua buah loji rawatan air sebelum ini.

“Tahun lalu, rizab bekalan air sebanyak 3.8 peratus dan sehingga kini bekalan air meningkat kepada 5.4 peratus.

“Bekalan ini akan meningkat kepada 11 peratus hujung tahun ini. Sejak saya mengambil alih pentadbiran, tiada catuan air dibenarkan berlaku,” katanya di Karnival Himpunan Rakyat, di Stadium Malawati, di sini.

Mohamed Azmin turut memaklumkan status semua empangan utama negeri kini mencapai 100 peratus

Katanya, ia membabitkan empangan Sungai Selangor, Sungai Tinggi dan Sungai Semenyih.

Manakala, empangan Sungai Langat (99.9 peratus), Sungai Batu (99.98 peratus), Sungai Labu (99.78 peratus) dan Tasik Subang (99.92 peratus).

“Ini bermakna kenyataan yang diberikan Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Dato’ Dr Zaini Ujang tidak tepat.

“Saya boleh bawa Menteri atau KSU ke empangan untuk meninjau dan juga boleh campak KSU dalam empangan,” katanya dengan nada berseloroh.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kapasiti semua empangan lebih 96%, 3 empangan 100%

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 13 MAC: Kapasiti takungan air seluruh Selangor ditahap amat baik dan baik seperti dilaporkan laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (Luas).

Menurut laman sesawang itu, tiga empangan yang berada pada paras 100 peratus iaitu empangan Sungai Selangor dengan 230.00 meter padu, Semenyih di tahap 59.2 meter padu dan Sungai Tinggi di tahap 114.96 meter padu.

Empangan Sungai Selangor membekalkan kira-kira 60 peratus air terawat ke Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Manakala lima empangan lagi berada paras melebihi 96 peratus.

Kolam Takungan Sungai Labu (ORS) mencatatkan kadar takungan 99.62 peratus dengan 9.26 meter padu dan empangan Langat mencatatkan 99.20 peratus dengan 33.82 meter padu.

Bagi empangan Batu pula mencatatkan pada kadar takungan 96.49 peratus dengan 30.84 meter padu dan Klang Gates pada kadar 96.94 peratus (24.56 meter padu).

Selain itu, empangan Tasik Subang berada pada tahap 96.62 peratus dengan 4.05 meter padu berserta taburan hujan 23.00 mm .

Maklumat lanjut orang ramai boleh layari laman sesawang luas di www.luas.gov.my.

=EZY=

Categories
SELANGOR

3 empangan catat 100% kapasiti air

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 23 OKT: Takungan air di beberapa empangan sekitar Selangor berada pada tahap yang baik seperti dilaporkan laman sesawang Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

Menurut laman sesawang itu, tiga empangan berada pada tahap 100 peratus iaitu empangan Semenyih, Langat dan Klang Gates.

Sementara itu, takungan air di empangan Kolam Takungan Sungai Labu (ORS) mencatatkan 99.62 peratus, manakala di Tasik Subang sebanyak 98.03 peratus.

Bagi Sungai Selangor, paras takungan air berada pada tahap 97.86 peratus, sementara di Sungai Tinggi, pada paras 93.89 peratus.

Empangan Batu pula mencatatkan kadar takungan 80.34 peratus.