Categories
EXCO SELANGOR

EXCO: Tiada laporan masjid, surau terjejas banjir

SHAH ALAM, 8 MAC: Kerajaan Negeri masih belum menerima laporan mengenai masjid dan surau yang terjejas akibat banjir baru-baru ini.

EXCO Hal-Ehwal Agama Islam berkata walaupun beberapa kawasan dinaiki air hingga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, namun tiada rumah ibadat yang terjejas.

“Setakat ini kita belum terima laporan, tetapi jika ada kita akan segera bertindak membaik pulih kerosakan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni ketika dihubungi Selangorkini.

Dalam kejadian banjir Disember lalu, sebanyak 33 masjid dan 70 surau dilaporkan terjejas.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad berkata kesemua masjid dan surau itu kembali dibuka seawal dua minggu selepas banjir.

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Doa Buat Selangor baiki rohani ketika depani pandemik

SHAH ALAM, 11 JUN: Program Doa Buat Selangor secara dalam talian menjadi aktiviti kerohanian kepada masyarakat yang sedang berdepan pandemik Covid-19.

EXCO Hal Ehwal Agama Islam Mohd Zawawi Ahmad berkata walaupun aktiviti di surau dan masjid terhad, namun program keagamaan masih boleh dilakukan secara digital.

“Ini merupakan inisiatif murni dari generasi muda dan patut dilakukan oleh semua pihak,” katanya ketika berucap dalam program itu malam tadi.

Program dianjurkan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Selangor dengan kerjasama PeBS Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa dan Pertubuhan Legasi Selangor.

Mohd Zawawi turut mengajak umat Islam negeri ini menyertai bacaan zikir Ratib Al-Haddad sebelum program Selangor Berzikir itu tamat pada 14 Jun.

“Malam ini (tadi) merupakan malam ke-10. Program sejak 1 Jun bermula jam 9 malam merupakan usaha dan memohon doa perlindungan agar dijauhi daripada musibah dan wabak ini,” katanya.

Program tersebut menampilkan beberapa ulama yang akan berkongsi manfaat zikir Ratib Al-Haddad bagi mengangkat sesuatu penyakit yang juga boleh ditonton secara langsung di Facebook Zawawi Mughni.

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

Sistem tauliah Selangor lahirkan pendakwah ikut lunas Islam

SHAH ALAM, 15 DIS: Sistem pengurusan tauliah diperkenal untuk memantau dan membentuk pendakwah mengikut lunas Islam serta pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata usaha melahirkan pendakwah memerlukan tempoh yang panjang disertai ujian dan latihan di lapangan.

“Kita lihat banyak kemunculan penceramah dari program realiti yang menampilkan imej versatil dan mesra anak muda tetapi harus dikemaskan dengan asas kukuh.

“Tidak boleh dua tiga malam sahaja, perlu beri ujian kemudian barulah boleh digelar dai. Jika sekadar populis kita bimbang jadi terkenal, kalah dengan godaan,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Pandangan itu bagi mengulas kontroversi pendakwah program realiti masa kini pada program bual bicara anjuran Media Selangor malam tadi.

Menurut portal Jabatan Agama Islam Selangor, hanya pendakwah memiliki kad tauliah dibenarkan berceramah di negeri ini. Tempoh sah laku kad selama lima tahun.

Tauliah mengajar tertakluk mengikut Seksyen 118 (3) Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2016 meliputi empat kategori iaitu:

  • D1: Tauliah berceramah
  • D2: Tauliah mengajar fardu ain
  • D3: Tauliah mengajar al-Quran
  • D4: Tauliah khas (pengurusan jenazah/perbandingan agama/perbankan Islam/motivasi)

Individu yang mengajar atau berceramah tanpa tauliah boleh didakwa mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 Pindaan 2016.

Jika disabitkan bersalah, boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Categories
AGAMA SELANGOR

Kadar perceraian cecah separuh jumlah perkahwinan

OLEH NAZLI IBRAHIM

SABAK BERNAM, 20 OGOS: Kadar perceraian di Selangor membimbangkan Kerajaan Negeri apabila pada 2016 mencatatkan kira-kira separuh daripada jumlah perkahwinan didaftarkan.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata, pada 2016 kira-kira 12,570 perceraian berlaku berbanding jumlah perkahwinan didaftarkan di antara 24,000 hingga 26,000 perkahwinan.

” Bermakna separuh jumlah perkahwinan berdaftar itu juga adalah perceraian. Ini cukup menggusarkan kita,” kata Ahmad Yunus pada Karnival Kampungku Kesayanganku di Kampung Parit Baru di sini.

Jelasnya, perkahwinan di bawah usia 10 tahun merupakan golongan tertinggi bercerai di mana lebih 50 peratus daripadanya melibatkan perkahwinan berusia tiga hingga lima tahun.

“Terdapat empat fasa, fasa pertama adalah fasa bulan madu iaitu perkahwinan berusia sehingga lima tahun hinggalah fasa usia emas. Selepas perkahwinan masuk tahun ketiga hingga kelima paling mencabar,” katanya lagi.

Katanya, beliau akan mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memperuntukkan belanjawan lebih tinggi supaya beliau dapat memperkasakan program untuk memperkukuhkan institusi kekeluargaan dengan memfokuskan terus kepada golongan sasaran.

Katanya lagi, walaupun institusi kekeluargaan merupakan institusi terkecil namun memberi kesan kepada anak-anak dan seterusnya untuk membangunkan negeri dan masyarakat.

=EZY=

Contohi pembangunan Kampung Bukit Kapar

Muncul sebagai Kampung Tradisi Terbaik Selangor 2015, Kampung Bukit Kapar boleh dijadikan contoh

Selangor Agrofest meraikan para petani,penternak

Petani manfaat peluang sertai Selangor Agrofest 2015 untuk mempromosi dan meluaskan pasaran produk.