Categories
AGENDA SUKANKINI

EXCO: Ketua jurulatih sementara Selangor diharap faham pemain, cipta kejayaan

SHAH ALAM, 22 SEPT: Skuad Selangor dipimpin Ketua Jurulatih sementara Michael Feichtenbeiner diharap memahami barisan pemainnya bagi melakar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

EXCO Sukan berkata khidmat pengendali baharu penting bagi memulihkan kembali semangat skuad Gergasi Merah meneruskan momentum kejayaan pasukan itu.

“Kita menghormati keputusan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) menamatkan kontrak jurulatih yang ada (B Sathianathan) dan berharap pasukan dikendalikan jurulatih yang faham pemain sekali gus membantu meraih kemenangan untuk perlawanan seterusnya.

Ketua Jurulatih sementara Red Giants Michael Feichtenbeiner memberikan tunjuk ajar strategi permainan pada 22 September 2020 kepada Skuad Selangor apabila bakal menentang UITM FC di Stadium UITM Shah Alam pada 26 September 2020. Foto: Facebook FA Selangor

“Bagaimanapun, kita (Kerajaan Negeri) bersama-sama penyokong Merah Kuning akan terus setia selain meletakkan sepenuh kepercayaan terhadap jurulatih baharu untuk menebus kekalahan ini,” kata Mohd Khairuddin Othman ketika dihubungi.

Beliau juga enggan melihat rentak permainan pasukan terus terjejas dan menggesa pemain kembali membentuk keyakinan untuk mengharungi cabaran berikutnya.

“Kekalahan pasukan Selangor dan Selangor II mempunyai sebab yang boleh diperbaiki, jadi kita berharap mereka dapat bangkit serta membuktikan keupayaan sebenar.

“Saya yakin pemain kita tahu di mana kelemahan dan kekurangan yang boleh mereka perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya lagi.

Semalam, FAS mengesahkan penamatan kontrak serta-merta B Sathianathan selepas membuat penilaian dan mengambil kira semua aspek prestasi semasa.

Tempat pengendali berpengalaman itu dipikul sementara oleh pengarah teknikal persatuan itu sehingga ketua jurulatih baharu diumum kelak.

Categories
AGENDA NASIONAL

FAS Soccer Schools dapat pengiktirafan FAM

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Program pembangunan bola sepak akar umbi kendalian Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Soccer Schools mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerusi Piagam SupaRimau berstatus emas.

Menurut kenyataan FAS hari ini, pengiktirafan berkenaan diserahkan kepada Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon dalam satu majlis yang diadakan di Pusat Latihan FAS baru-baru ini.

Menurut FAS, usaha FAM melancarkan program Piagam SupaRimau bagi menaikkan martabat dan pemerkasaan akademi bola sepak akar umbi di seluruh negara selayaknya diberi pujian kerana ia bukan sahaja meletakkan penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada, malah mewujudkan satu ekosistem bola sepak lebih sistematik dan dinamik.

“Kewujudan piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi, membawa ke tahap lebih tinggi dan sistematik, seterusnya membawa banyak manfaat kepada komuniti bola sepak secara umumnya.

“Akademi bola sepak yang wujud di seluruh negeri Selangor juga menunjukkan minat dan memberikan respon yang positif untuk turut terlibat dalam program ini dan dijangka lebih banyak penerima piagam akan muncul di negeri ini,” menurut kenyataan FAS.

Program FAS Soccer Schools adalah program akar umbi yang menitikberatkan pengenalan kepada pembangunan bola sepak bermula dari kanak-kanak sekolah rendah berusia tujuh hingga 12 tahun di seluruh Selangor.

Ia juga adalah program jangka panjang untuk melahirkan individu holistik melalui perkembangan fizikal, mental dan pembangunan sosial melalui pendekatan bola sepak.

“FAS berterima kasih kepada FAM di atas pengiktirafan ini yang juga pengukuhan kepada program pembangunan bola sepak akar umbi. Piagam ini juga bakal menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk program-program pembangunan bola sepak akar umbi di seluruh negara, khususnya di negeri Selangor,” menurut FAS.

– BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

THE CLASH kumpul RM5,000, FAS hulur bantu belia Selangor dan Kuala Lumpur

SHAH ALAM, 22 OGOS: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) berjaya mengumpul dana RM5,000 menerusi program THE CLASH di Pusat Latihan FAS di sini Khamis lalu.

Sejurus program berakhir, Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan menyerahkan dana tersebut kepada Pertubuhan Kebajikan Penyayang Sukarelawan Visi Remaja Selangor dan Kuala Lumpur bagi membantu ratusan remaja mendapat pembelaan sewajarnya.

Baginda yang juga Presiden FAS menzahirkan rasa gembira atas kerjasama antara persatuan itu dan pasukan sukan elektronik, Team Bosskurr dalam menjayakan program berkenaan.

“Ia adalah satu program yang bagus kerana pertama kali berkolaborasi dengan pasukan teratas dalam kancah e-sukan di Malaysia.

“Beta percaya, penyokong Gergasi Merah dan peminat PlayerUnknown’s Battleground (PUBG) teruja dengan program hari ini (Khamis). Paling penting kutipan dari THE CLASH disalurkan kepada badan kebajikan untuk membantu mereka ketika pandemik Covid-19 sedang melanda,” titah baginda menerusi kenyataan di laman sesawang FAS.

Sementara itu, FAS memaklumkan program amal melibatkan perlawanan e-sukan, PUBG dan bola sepak lima sebelah disiarkan secara langsung di Facebook FA Selangor dan atlet e-sukan negara, Soloz mendapat lebih 485,000 tontonan dalam tempoh dua jam.

“Dalam siaran secara langsung ini, penonton disajikan dengan aksi pertempuran permainan PUBG dan bola sepak di samping mereka boleh menghulurkan derma sepanjang siaran berkaitan,” maklumnya.

THE CLASH turut mendapat sokongan daripada organisasi dan syarikat swasta lain seperti Komuniti Belia Selangor (SAY), Dominos Pizza Malaysia, Sugarbomb serta Fitech.

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS Soccer Schools terima anugerah emas Piagam SupaRimau

SHAH ALAM, 19 OGOS: Program pembangunan bola sepak akar umbi Selangor, FAS Soccer Schools dianugerahkan Piagam SupaRimau berstatus emas daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Isnin lalu.

Pengelola program itu, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) berkata pengiktirafan berkenaan menjadi garis panduan dan kayu ukur untuk pihaknya terus membangunkan sukan nombor satu terbabit.

“Usaha FAM melancarkan program Piagam SupaRimau ini selayaknya diberi pujian. Bukan sahaja menjadi penanda aras baharu kepada program pembangunan sedia ada malah turut mewujudkan ekosistem bola sepak lebih sistematik dan dinamik.

“Piagam ini juga bakal mempromosikan lebih banyak akademi bola sepak akar umbi sekali gus membawa ke tahap lebih tinggi, sistematik dan memberi manfaat kepada komuniti bola sepak. Kita jangka anugerah piagam banyak diterima di Selangor susulan beberapa akademi di negeri ini tertarik untuk sertai program itu,” katanya di Facebook pada Isnin lalu.

FAS Soccer Schools dilancarkan tahun lalu menjadi akademi kedua menerima anugerah terbabit selepas Akademi Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pemarkahan dibuat berdasarkan lima kriteria khas iaitu kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.

Categories
AGENDA SUKANKINI

Peluang cerah Red Giants duduki tangga terbaik Liga Super

KUALA LUMPUR, 18 OGOS: Penyerang import Selangor Ifedayo Olusegun yakin skuad The Red Giants memiliki kelebihan untuk menamatkan kempen Liga Super musim 2020 pada kedudukan lebih baik.

Pemain dari Nigeria yang kini sedang menjalani kuarantin wajib selama 14 hari sejak tiba di Malaysia pada 11 Ogos lepas, menggesa agar penyokong pasukan Selangor terus memberi sokongan tanpa berbelah bahagi kepada pasukan kesayangan mereka itu.

“Saya percaya kami masih mempunyai peluang cerah musim ini. jadi, saya berharap penyokong percaya untuk kami membuktikan sesuatu yang terbaik,” katanya dalam satu kenyataan di laman sesawang Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) www.faselangor.my, hari ini.

Ifedayo berkata beliau gembira dapat kembali ke Malaysia dan menyertai rakan sepasukan untuk memulakan saingan Liga Malaysia pada 26 Ogos ini, dan berazam mengekalkan kecergasan selama menjalani tempoh 14 hari kuarantin wajib.

Katanya, pengurusan FAS juga menyediakan beberapa kelengkapan sukan seperti basikal dan peralatan angkat berat bagi membolehkannya menjalani latihan kecergasan.

Pasukan Selangor mempamerkan prestasi luar biasa dalam beberapa perlawanan persahabatan baru-baru ini dengan meraih empat kemenangan walau tanpa kelibat Ifedayo.

Skuad bimbingan B.Sathianathan menewaskan Pulau Pinang 4-1 pada 5 Ogos, diikuti kemenangan selesa 3-0 ke atas UKM FC dan Negeri Sembilan (masing-masing pada 8 dan 13 Ogos), sebelum menewaskan Terengganu FC dengan 2-0 pada 15 Ogos.

Selangor akan memulakan aksi Liga Super menentang Petaling Jaya City FC di Stadium UiTM Shah Alam pada 27 Ogos.

Skuad The Red Giants mengumpul lima mata untuk menduduki tangga keenam daripada 12 pasukan selepas empat perlawanan dengan meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan tewas sekali.

Saingan Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lepas akibat pandemik Covid-19 bakal bersambung pada 26 Ogos ini.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS lantik pegawai penyelaras, pantau pematuhan SOP

SHAH ALAM, 26 JUN: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) melantik pegawai penyelaras anti-Covid-19 bagi memastikan pemain dan pegawai mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) sepanjang latihan.

Koordinator Skuad Utama Selangor Faiz Ruslan berkata peralatan juga dibersih dan dinyahkuman bagi memastikan ia selamat digunakan selaras garis panduan Liga Bolasepak Malaysia.

“Walaupun banyak perbezaan daripada segi latihan tetapi FAS sentiasa mengutamakan keselamatan pemain dan pegawai dalam usaha mencegah wabak Covid-19,” katanya melalui laman sesawang persatuan tersebut.

Selangor memulakan sesi latihan berkumpulan minggu ini sebagai persediaan perlawanan liga yang bakal disambung kelak.

Sebelum ini, semua pemain dan pegawai Red Giants disahkan bebas Covid-19 selepas menjalani saringan pada 15 Jun lalu.

Categories
SELANGOR

Kempen amal FAS bantu ringan beban peminat

SHAH ALAM, 16 MEI: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melancarkan kempen amal menerusi jualan baju ‘NEVER GIVE UP’ dengan sebahagian keuntungan akan disalurkan kepada mereka memerlukan oleh pemain pasukan itu.

FAS memaklumkan inisiatif itu sebagai menyertai usaha pemain meringankan beban beberapa keluarga dalam kalangan penyokong skuad Gergasi Merah dan juga solidariti persatuan kepada petugas barisan hadapan.

“Kami menyambut baik usaha pemain memberikan bantuan kepada mereka yang terjejas mata pencarian sejak penularan wabak Covid-19.

“Kami percaya usaha yang kecil ini akan lebih besar maknanya jika kita bersatu dan lakukannya bersama,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Setiap helai baju itu dijual pada harga RM35 tidak termasuk kos penghantaran atau peminat boleh mendapatkannya di kompleks latihan pasukan di SUK di sini.

Categories
SELANGOR

Covid-19: FAS proaktif bendung penularan, patuhi panduan

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) melaksanakan pelbagai langkah dan pencegahan bagi membendung penularan Covid-19 dalam kalangan pemain, jurulatih dan juga petugasnya.

Menurut Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon, semua fasiliti di padang latihan persatuan itu termasuk gimnasium, bilik tukar pakaian, ruang lepak pemain dan juga pejabat mereka di Shah Alam sentiasa dipastikan dalam keadaan baik serta bersih.

Beliau menegaskan FAS komited sepenuhnya mencegah penularan virus itu bukan hanya dalam kalangan pemain dan petugasnya malah penduduk Selangor dan rakyat Malaysia secara am.

“Penularan virus Covid-19 perkara diambil serius oleh pengurusan FAS. Kami sedar bahawa ia bukan perkara yang boleh kami ambil mudah dan kami terus berusaha bersungguh-sungguh memastikan keselamatan pemain serta petugas kami,” katanya di laman sesawang FAS https://faselangor.my.

Meskipun operasi di padang latihan FAS ditutup sementara susulan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan, Johan berkata petugas kejurulatihan mengeluarkan pelan diet dan kesihatan untuk semua pemain bagi memastikan mereka berada dalam keadaan fizikal yang baik apabila Liga Malaysia disambung semula.

“Kami turut mengingatkan petugas dan pemain mematuhi garis panduan keselamatan disahkan kerajaan Malaysia dan langkah pencegahan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia,” katanya.

Beliau berkata pengurusan FAS juga mengeluarkan memorandum memaklumkan semua pemain, pegawai dan petugasnya mengenai status waktu pejabat itu beroperasi, perintah sekatan pergerakan untuk perjalanan ke luar negara selain larangan perjalanan rentas negeri dalam usaha membendung penularan pandemik itu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS-Asiana.my terus kerjasama, rakam detik gemilang Red Giants

SHAH ALAM, 10 MAC: All Sports Images And News Agency (Asiana.my) diumumkan sebagai rakan fotografi rasmi skuad Red Giants untuk musim 2020, kata setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS).

Dr Johan Kamal Hamidon berkata pihaknya kagum dan berpuas hati dengan servis serta komitmen agensi tersebut sejak 2019, lapor portal faselangor.my.

“Kami sangat berpuas hati dan berharap dapat meneruskan kerjasama pada musim ini,” katanya.

Sementara itu, pengasas Asiana.my Kamarul Akhir gembira meneruskan kerjasama dengan FAS dan bersedia merakamkan detik gemilang skuad merah kuning.

Ditubuhkan pada 1 Januari 2014, agensi itu juga merupakan jurufoto rasmi Konfederasi Bola Sepak Asia, Persatuan Bola Sepak Malaysia, Persatuan Badminton Malaysia, Liga Bola Sepak Malaysia, Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kontinjen Malaysia di Sukan Asia Jakarta Palembang 2018.

Categories
AGENSI SELANGOR

Digi kekal rakan telekomunikasi rasmi FAS

SHAH ALAM, 9 MAC: Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) terus mengekalkan Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) sebagai rakan telekomunikasi rasmi skuad Gergasi Merah musim ini, kata setiausaha agungnya.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata jalinan kerjasama memasuki tahun kedua bersama rangkaian telekomunikasi terbesar Malaysia itu bagi mengukuhkan hubungan bersama peminat melalui peluang pemasaran dan penjenamaan di dalam stadium termasuk meletakkan logo korporat Digi di lengan kanan semua jersi Selangor.

Katanya, ia memberi ruang kepada syarikat berkaitan menawarkan lebih banyak faedah untuk pelanggan seperti pengalaman perlawanan rumah (home) eksklusif dan diskaun tiket boleh ditebus melalui MyDigi Rewards.

“Kita teruja kerana sekali lagi bekerjasama dengan Digi untuk memberi nilai tambah kepada penyokong setia. Sudah pasti ada program lebih bermanfaat kepada penyokong Gergasi Merah terutama mereka yang melanggan perkhidmatan Digi.

“Diharapkan ia membuka mata bagi syarikat korporat lain untuk sama-sama turun padang dan menyediakan perkhidmatan serta ganjaran lebih baik kepada pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Ketua Perkhidmatan Pemasaran Digi, Bernard Lee optimis sukan bola sepak mampu menyatukan rakyat berbilang bangsa seiring dengan matlamat untuk menghubungkan pelanggannya di satu medium yang relevan dengan mereka.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan pasukan yang inovatif dan tidak takut untuk mencuba cara baharu dalam usaha memberikan pengalaman terbaik kepada peminat tegar Gergasi Merah,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari perkuat Skuad Selangor II

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Beberapa bekas pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang juga pemain skuad Bawah 18 (B-18) kebangsaan, sah memperkuat pasukan Selangor II bagi menghadapi saingan Liga Premier musim ini.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menerusi laman sesawangnya hari ini, memaklumkan antara bekas pemain AMD yang sah menyarung jersi pasukan berkenaan adalah Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Harith Haiqal Adam Afkar, dan penjaga gol B-18 negara, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman.

FAS turut mengesahkan pasukan berkenaan akan diperkuatkan dengan kapten skuad B-18 negara, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi, pemain import dari Kosovo, Bajram Nebihi, dan pemain kacukan Malaysia-Australia, Quentin Cheng yang pernah bermain bersama skuad B-23 negara pada saingan Sukan SEA 2019 di Filipina, Disember lepas.

Selain bekas graduan AMD, pasukan Selangor II turut dibarisi pemain-pemain muda daripada skuad Piala Belia (B-19) dan Piala Presiden (B-21) Selangor dan PKNS FC.

Pasukan berkenaan, jelas FAS, akan dilatih Pengarah Teknikalnya Michael Feichtenbeiner yang bakal dibantu beberapa individu lain termasuk bekas jurulatih penjaga gol negara dan program pembangunan bola sepak negara, Lim Chuan Chin, serta bekas jurulatih kecergasan skuad B-22 negara, Mashidee Sulaiman.
Selangor II yang dibentuk hasil gabungan FAS dan PKNS FC adalah pasukan ‘feeder’ kepada skuad utama Selangor yang beraksi dalam saingan Liga Super dan akan memulakan kempen Liga Premier 2020 menentang Terengganu FC II di Stadium UiTM, Shah Alam Ahad ini (1 Mac).

Senarai pemain Selangor II:

Penjaga Gol: Muhammad Haziq Ridwan, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman, Muhammad Firdaus Irman Mohd Fadhil, Muhammad Aqil Fadhly Mohd Yusop

Pemain Pertahanan: Sharul Nazeem Zulpakar, Harith Haiqal Adam Afkar, Quentin Cheng, Muhammad Aidil Azuan,Ahmad Zikri Mohd Khalili, Muhammad Azrin Afiq Rusmini, Shivan Pillay, Muhammad Iqmal Ramlan, Raja Imran Shah Raja Amin

Pemain Tengah: Khairul Naim, Syazwan Salihin, Bajram Nebihi (Kosovo), Mior Dani Armin, Muhammad Fazrul Fahriz Zeky, T. Saravanan, S. Sharvin, Faris Kamardin, Muhd Mukhairi Ajmal Mahadi, Ashraf Nasir, Armin Maier Rafi.

Penyerang: Ahmad Danial Ahmad Asri, Azizul Baharuddin, Nazrin Nasir.

-BERNAMA

Categories
AGENDA SUKANKINI

FAS perkenal harga tiket ikut kelas perlawanan

SHAH ALAM, 27 JAN: Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bakal memperkenalkan harga tiket mengikut ‘kelas’ perlawanan seperti dilakukan di negara Eropah, kata setiausaha agungnya.

Dr Johan Kamal Hamidon berkata langkah itu susulan peningkatan kos penganjuran perlawanan, selain mengalakkan pembelian pas bermusim yang jauh lebih murah berbanding tiket berasingan, lapor Berita Harian.

“Kalau hendak dibandingkan tiket berasingan dengan harga pas bermusim RM109, puratanya lebih murah. Jadi kita nak meringankan beban penyokong tegar Selangor,” katanya.

FAS dalam kenyataan semalam memaklumkan harga tiket terbuka bagi perlawanan ‘Tier 1’ atau kelas satu membabitkan Johor Darul Ta’zim, Kedah, Perak, Terengganu dan Pahang bernilai RM20.

Bagi Tier 2 membabitkan Felda United, PDRM, Melaka United, Sabah, PJ City dan UiTM pada harga RM15.