Categories
AGENDA NASIONAL

Fenomena air pasang: Kali pertama melimpah masuk rumah sejak 20 tahun

SHAH ALAM, 18 OKT: Penduduk perkampungan nelayan Jalan Bagan Hailam, Pelabuhan Utara menyifatkan limpahan air pasang pagi tadi ke dalam rumah sebagai pengalaman pertama sejak 20 tahun lalu.

Siau Heng Fook, 45, berkata kawasan berkenaan sering dinaiki air ketika fenomena itu namun tidak pernah masuk ke dalam rumah, lapor Berita Harian.

“Nasib kami sempat mengemas barangan serta peralatan rumah ke tempat lebih tinggi. Semalam kawasan ini juga dinaiki air kerana terletak berdekatan dengan laut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu, Mariam Halim, 37, berkata dia menyedari air mulai naik sekitar jam 6.45 pagi tadi.

“Saya dimaklumkan air pasang hari ini lebih tinggi berbanding semalam tetapi saya fikir tak serius kerana cuaca baik dan tak hujan. Saya tetap pindahkan peti sejuk dan mesin basuh ke tempat tinggi,” katanya.

Air pasang besar pagi ini merekodkan paras tertinggi iaitu 5.8 meter berbanding 5.7 meter semalam.

Hingga esok, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
AGENSI SELANGOR

Fenomena air pasang: 12 rumah di Kuala Selangor dinaiki air

SHAH ALAM, 18 OKT: Air pasang besar setinggi 5.8 meter pagi tadi menyebabkan 12 rumah di Kuala Selangor dinaiki air separas betis, kata Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) Selangor.

Pegawai operasinya berkata lima rumah terkesan di Kampung Sungai Janggut, tiga di Bagan Sungai Janggut dan empat di Jalan Yunos, Sungai Sembilang.

“Bagaimanapun semua mangsa tidak dipindahkan kerana air mulai surut namun kita tetap menyediakan pusat pemindahan di Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa.

“Bagi mengepam keluar air itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengaktifkan pam di kawasan terjejas,” kata Muhammad Izzat Haziq Mohd Nazir kepada SelangorKini hari ini.

Beliau menambah kawasan persisir pantai daerah Klang, Kuala Langat, Sabak Bernam dan Sepang masih terkawal walaupun berlaku limpahan.

“JKR (Jabatan Kerja Raya) dengan JPS akan membaiki ban terjejas serta menambah baik kerja naik taraf jalan bagi memastikan aliran air lancar.

“Hanya ban di Kampung Nelayan, Pelabuhan Klang mengalami runtuhan kecil dan akan dibaiki segera,” katanya.

Bermula semalam hingga esok, air pasang dijangka melanda Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam antara jam 6 hingga 7.30 pagi.

Data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka kejadian kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar di Morib terkawal, limpahan hanya di Taman Harmoni

SHAH ALAM, 17 OKT: Fenomena air laut pasang besar yang melanda di pesisir pantai hari ini menyebabkan limpahan air di atas jalan sekitar Taman Harmoni, Morib.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Morib bagaimanapun berkata keadaan tersebut adalah terkawal dan kebiasaannya akan surut dalam tempoh sejam.

“Kawasan dijangka terjejas bermula dari Pantai Morib sehingga ke Pantai Kelanang dan perumahan Taman Harmoni terletak paling dekat dengan kawasan pantai iaitu kira-kira 200 meter.

“Kita bersyukur kerana kawasan berhampiran perumahan masih banyak hutan bakau, jadi sekurang-kurangnya ia sedikit terlindung daripada menerima limpahan air yang banyak,” kata Hasnul Baharuddin kepada SelangorKini hari ini.

Beliau turut mengingatkan penduduk yang tinggal di kawasan rendah sentiasa bersedia dengan limpahan air laut sekiranya berlaku hujan lebat.

Sebanyak 52 kawasan di lima daerah, Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berisiko tinggi mengalami banjir akibat fenomena air pasang besar gelombang kedua bermula hari ini hingga Isnin dengan jangkaan paras air laut pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Air pasang besar pertama kali berlaku pada 19 hingga 20 September dan gelombang ketiga dijangka berlaku pada 15 hingga 16 November depan.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Polis pantau Pantai Morib dan Kelanang, elak kejadian buruk

SHAH ALAM, 20 SEPT: Polis menjalankan pemantauan sekitar Pantai Morib dan Pantai Kelanang, Kuala Langat bagi memastikan tiada aktiviti pantai sepanjang fenomena air pasang besar.

Ahli Dewan Negeri Morib berkata masih ada segelintir orang awam yang degil mendekati kawasan pantai walaupun larangan dikeluarkan.

“Petang semalam ada yang datang ke pantai. Begitu juga pagi tadi namun mereka akur bila diarahkan pergi.

“Masyarakat perlu tahu walaupun air surut namun risiko ketinggian air naik semula tetap ada. Sebab itu kena patuh arahan sebagai langkah berjaga-jaga,” kata Hasnul Baharuddin kepada SelangorKini hari ini.

Pagi tadi beliau bersama Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Langat membuat tinjaun sekitar Pantai Morib dan Pantai Kelanang.

Pusat Hidografi Nasional menjangka paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Fenomena air pasang besar berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi semalam dan hari ini serta dijangka berlarutan pada 17 hingga 19 Oktober juga 15 dan 16 November.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Air pasang besar: APM tambah pasukan pantau kawasan pantai

SHAH ALAM, 19 SEPT: Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kuala Langat akan mewujudkan lebih banyak pasukan penyelamat pantai di lokasi tumpuan pengunjung bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

Pegawai Sektor Operasinnya Leftenan (PA) Azahar Abdul Rashid berkata operasi giat dijalankan di Pantai Morib, Pantai Baharu Morib, Pantai Kelanang dan Batu Laut.

“Setakat ini tiada kejadian tidak diingini berlaku. Bagaimanapun, anggota APM dikerahkan untuk menjaga di sekitar persisiran pantai.

“Pelbagai aset APM seperti bot, ambulans dan kenderaan pacuan empat roda sentiasa bersiap sedia untuk sebarang kemungkinan yang berlaku semasa fenomena tersebut,” menurutnya di Facebook.

Semalam, benteng di beberapa kawasan sekitar pantai Kuala Langat runtuh susulan ombak kuat, namun kerja baik pulih giat dijalankan.

Keadaan pesisir Pantai Morib

Sementara itu, wakil rakyat Morib Hasnul Baharuddin mengulangi gesaan supaya orang ramai tidak menghampiri kawasan pantai sepanjang tempoh fenomena air pasang besar.

Beliau berkata masih ada segelintir individu terutama warga asing yang melanggar arahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan mengunjungi Pantai Morib pagi semalam.

“PBT (Majlis Perbandaran Kuala Langat) mengesan antara 10 hingga 15 orang yang berada di sana, namun kesemua akur apabila diarah segera meninggalkan kawasan tersebut.

“Kebanyakan mereka tahu kejadian air pasang besar akan melanda daerah ini dan memberi risiko kepada penduduk khususnya di pesisiran pantai serta kawasan rendah,” katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, Dato’ Menteri Besar menasihatkan penduduk di lima daerah negeri ini tidak melakukan aktiviti di pesisiran pantai bermula hari ini hingga November berikutan fenomena air pasang besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata paras air laut di sekitar Sepang, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka berada pada tahap maksimum iaitu 5.8 meter.

Unit Pengurusan Bencana Negeri menjangka kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Categories
AGENSI BERITA UTAMA SELANGOR

Waspada risiko fenomena air pasang besar mulai 19 September

SHAH ALAM, 10 SEPT: Pantai dari daerah Sabak Bernam hingga Sepang diramal mengalami fenomena air pasang besar mulai bulan ini hingga November.

Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) menjangka kejadian itu berlaku antara jam 5 hingga 8 pagi pada 19 dan 20 September, 17 hingga 19 Oktober serta 15 dan 16 November.

Ketua UPBN Ahmad Fairuz Mohd Yusof ketika dihubungi berkata pihaknya sudah membuat persiapan rapi untuk berdepan fenomena tersebut dan menasihatkan orang awam menangguhkan aktiviti di pantai.

“Kita sudah keluarkan arahan dan panduan untuk orang awam serta taklimat kepada agensi juga pegawai daerah berhubung gerak kerja pemantauan pantai sepanjang 400km.

“Pemantauan di semua ban juga dimulakan secara bersepadu kerana jika tanda kerosakan ditemui, kita boleh lakukan kerja pembaikan lebih awal,” katanya menambah data ramalan Pusat Hidrografi Nasional menjangka fenomena kali ini tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

Ahmad Fairuz turut menasihatkan penduduk di pesisir pantai untuk mengambil langkah awal dengan menyimpan barang penting di tempat tinggi.

Berikut senarai pusat pemindahan dan nombor perhubungan bilik gerakan daerah:

1. Sepang (03-8706 4613)
  • Maahad Integrasi Tahfiz Selangor
2. Kuala Langat (03-3182 2565)
  • Dewan Orang Ramai Kampung Kelanang
  • Dewan Orang Ramai Sri Kundang, Kampung Kundang
3. Klang (03-3371 6700)
  • Dewan Serbaguna Kampung Sungai Serdang
  • SRA Kampung Batu 4 Jalan Kapar
  • Dewan Kompleks Sukan Pandamaran
  • Dewan Serbaguna MPK Pelabuhan Klang
4. Kuala Selangor (03-2289 7632 / 03-2289 6225 (APM)
  • Institut Pengurusan Peladang Tanjong Karang
  • Dewan SRJK(C) Pasir Penambang
  • SMK Seri Tanjong
  • SK Pasangan
  • Sekolah Kebangsaan Asam Jawa
  • Balai raya JKKK Kampung Pasir Tuntong
  • Dewan Orang Ramai Jeram
  • Balai JKKK Kampung Sugai Sembilang
  • Dewan Orang Ramai Sungai Buloh
  • Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa
5. Sabak Bernam (03-3224 7058 / 03-3224 1749 (APM)
  • Dewan Sri Sekinchan
  • Dewan Sri Bernam
  • Dewan Parit Baru
  • Dewan Sri Nakhoda, Bagan Nakhoda Omar
6. Unit Pengurusan Bencana Negeri (03-5544 7324 / 03-5521 2440)
Categories
AGENSI SELANGOR

Awas air pasang besar, elak ke pantai Kuala Langat

SHAH ALAM, 7 SEPT: Orang ramai dilarang melakukan aktiviti di sepanjang pantai di Kuala Langat pada 18 dan 20 September, 15 sehingga 20 Oktober serta 14 dan 17 November berikutan fenomena air pasang besar.

Pejabat Daerah dan Tanah Kuala Langat memaklumkan ketinggian paras air pada tarikh berkenaan dijangka tertinggi dalam tempoh 20 tahun.

“Sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan Bencana Daerah di talian 03-3182 2565,” katanya di sini, hari ini.

Pada 3 September lalu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor mengeluarkan amaran fenomena air pasang diramalkan berlaku dalam tempoh itu dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.8 meter.

Kawasan di Kuala Langat yang berisiko membabitkan Pantai Kelanang, Ban Sijangkang, Jalan Harmoni, Istana Pantai Bahagia, Pesisir Pantai Tanjung Sepat, Pantai Batu Laut, Pantai Morib, Ban Kampung Kundang, Pekan Tanjung Sepat dan Rumah Peranginan Persekutuan Morib.

Categories
AGENSI SELANGOR

Ban Kunci Air Tongkah pecah

SHAH ALAM, 2 OKT: Ban di Kunci Air Tongkah, Kuala Langat pecah ekoran fenomena air laut pasang besar yang melanda pesisir pantai Selangor, awal pagi Isnin lalu.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor dalam kenyataan memaklumkan, walaupun berlaku kebocoran dan limpahan masuk air laut, namun ia tidak menjejaskan penempatan penduduk.

“Kerja-kerja kecemasan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang segera dilaksanakan dan pasukan dron Unit Pengurusan Bencana Negeri (UPBN) sudah diarahkan ke lokasi bagi menjalankan pemantauan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan, hasil pemantauan dan maklumat diterima, ketinggian paras air laut direkod mencecah 5.5 meter setakat jam 8.09 pagi tadi.

“Di Kuala Selangor, terdapat limpahan kecil air di Pantai Jeram atas tebing pantai dan jalan raya, namun tidak membabitkan penempatan penduduk.

“Tiada limpahan air melepasi ban atau benteng di daerah lain di pesisir pantai, sebaliknya berada dalam keadaan kukuh dan baik.

“Keadaan selamat, terkawal dan cuaca dilapor baik serta cerah,” kata kenyataan itu.

Categories
ADN SELANGOR

Air pasang besar, tiada kawasan terjejas di Permatang – ADN

SHAH ALAM, 2 SEPT: Tiada kawasan di Permatang terjejas walaupun terdapat amaran fenomena air pasang besar dikatakan berlaku semalam dan hari ini, kata Ahli Dewan Negeri kawasan berkenaan, Rozana Zainal Abidin.

Beliau berkata, sebelum itu kawasan Permatang antara tempat yang disenaraikan akan mengalami air pasang besar.

“Namun sehingga hari ini semua kawasan yang dinyatakan bakal dilanda fenomena air pasang besar berada dalam keadaan terkawal dan Alhamdulillah tiada kawasan terjejas.

“Bagaimanapun, pemantauan berterusan juga sedang dilakukan,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Mengulas lanjut, Rozana berkata, penduduk di kawasan Permatang dinasihatkan untuk terus mematuhi arahan pihak berkuasa walaupun keadaan dilihat terkawal.

“Saya nasihatkan penduduk supaya sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan tidak menghampiri kawasan pantai sehingga hujung Oktober ini,” katanya.

Terdahulu, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar.

Fenomena air laut pasang besar itu diramal berlaku secara berperingkat pada 1 hingga 2 September, 29 September sehingga 2 Oktober dan 27 sehingga 30 Oktober di pesisiran pantai Selangor, dengan ketinggian paras air laut dijangka mencecah 5.7 meter.

Categories
BERITA UTAMA PBT SELANGOR

MPK siap siaga fenomena air pasang besar awal pagi esok

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 31 OGOS: Majlis Perbandaran Klang (MPK) sudah bersiap siaga menghadapi fenomena air pasang besar yang dijangka bermula awal pagi esok.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, pihaknya sudah mengarahkan semua jabatannya bersedia dari segi logistik dan tenaga kerja bagi menghadapi sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sepanjang fenomena itu.

Katanya, ia termasuk pemantauan dan pembersihan saluran parit di seluruh kawasan terutama berisiko tinggi bagi memastikan kelancaran saliran air supaya tidak tersumbat.

“Skuad PANTAS akan sentiasa bersiap siaga dalam tempoh 24 jam dalam pemantauan di sekitar lokasi berisiko tinggi.

“Pemantauan ini turut dijalankan bersama agensi lain seperti Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Angkatan Pertahanan Awam.

“Skuad ini juga akan bertindak selaku ‘first-responden’ dalam menyampaikan segala maklumat dan laporan berkaitan bencana yang berlaku,” katanya kepada SelangorKini.

Mohamad Yasid berkata, sebanyak 11 kawasan di daerah itu berisiko terkesan akan fenomena air pasang besar antaranya Jalan Pandamaran, Taman Selat Damai, Pulau Ketam, Telok Gong dan Kampung Perepat.

“Justeru, MPK menasihatkan agar semua warga Klang terutama mereka yang tinggal berhampiran kawasan berisiko tinggi dapat mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa keselamatan.

“Penduduk juga diminta mengambil langkah persediaan sewajarnya dalam menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Pada masa sama, sebanyak 10 pusat pemindahan turut dibuka di sekitar daerah Klang seperti di Dewan Ahmad Razali, Batu 4 Kapar; Dewan Kompleks Sukan Pandamaran dan Dewan Bandar Sultan Sulaiman

Terdahulu, Kerajaan Negeri mahu semua Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkuasa lain untuk menggerakkan operasi persediaan dalam menghadapi bencana.

Fenomena air pasang besar di daerah Klang diramalkan berketinggian sehingga 5.5 meter semasa air pasang di sebelah pagi, pada 1 September.

Categories
AGENSI SELANGOR

Selangor siap sedia hadapi fenomena air pasang besar

SHAH ALAM, 28 OGOS: Kerajaan Negeri bersiap sedia dan mengarahkan persediaan dilakukan bagi menghadapi fenomena air pasang besar tahap tinggi, bermula 1 September hingga 30 Oktober ini.

Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam kenyataan memaklumkan, lima daerah membabitkan Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam dijangka akan terkesan ekoran fenomena itu.

Katanya, fenomena berkenaan dijangka berlaku sekitar jam 5 hingga 8 pagi pada ketinggian 5.5 hingga mencecah 5.7 meter.

“Fenomena ini diramal bermula 1 dan 2 September, 29 September hingga 2 Oktober, 27 hingga 30 Oktober di persisiran pantai negeri.

“Sekiranya cuaca hujan lebat dan keadaan angin kencang berlaku, risiko banjir akan meningkat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri menasihatkan penduduk di kawasan berisiko dapat mematuhi arahan Pihak Berkuasa Keselamatan dari masa ke masa.

Sejumlah 21 pusat pemindahan akan disediakan di empat daerah berkenaan.

Categories
SELANGOR

Air pasang besar: Unit Bencana Daerah Klang lakukan persiapan rapi

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 11 SEPT: Unit Bencana Daerah Klang bersiap sedia bagi menghadapi fenomena air pasang besar di kawasan berpotensi dinaiki air khususnya di dua kampung utama, Kampung Tok Muda dan Kampung Sungai Serdang.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, beliau dan pasukan keselamatan berada dalam keadaan berjaga-jaga bagi tempoh tiga hari ini dan akan bertindak segera jika paras air laut naik tinggi.

“Kita mempunyai wakil di setiap tempat untuk memaklumkan kita berlakunya air pasang besar. Semalam ada kebocoran benteng di Kampung Tok Muda.

“Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah melakukan kerja-kerja baik pulih benteng tersebut dan saya sendiri sudah melihatnya. Buat masa ini keadaan terkawal,” katanya.

Menurutnya, ketiadaan hujan turun di kawasan darat di Kapar mengurangkan risiko banjir tetapi pihaknya tetap memberikan perhatian serius terhadap kemudahan jika terpaksa memindahkan penduduk setempat.

Ini termasuk kerja-kerja menyelamat yang akan dilakukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APMM) dan RELA.

Untuk rekod, daerah Klang, Kuala Langat, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam kini diletakkan dalam persediaan peringkat tinggi bagi menghadapi fenomena air pasang besar kerana berisiko tinggi mengalami banjir sekiranya berlaku angin kencang dan hujan lebat.

Gelombang pertama fenomena air pasang diramal bermula semalam hingga 12 September di pesisiran pantai Selangor dengan ketinggian paras air laut mencecah 5.5 meter.