Categories
NASIONAL

PATI Yang Guna Mykad Palsu Adalah Pemilih Sah SPR

KUALA LUMPUR, 3 OKT: Dua pendatang asing tanpa izin yang dijatuhkan hukuman oleh mahkamah kerana menggunakan MyKad palsu sebelum ini, didapati diberikan hak mengundi.

Seorang daripada mereka, warga Filipina Salleh Bin Samsul didapati memegang Mykad palsu bernombor 670110-12-5035.

Beliau dijatuhkan hukuman penjara setahun oleh Majistret Cindy McJuce Balitus dalam perbicaraan di Kota Kinabalu pada 20 Sept 2010.

Demikian menurut MP Kuantan, Fuziah Salleh dalam satu sidang media yang diadakan di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, semakan TVSelangor pada daftar pemilih di laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini mendapati Salleh merupakan pengundi sah di DUN Kempas dalam Parlimen Pasir Gudang, Johor.

Fuziah berkata dalam satu kes berasingan, seorang lagi warga Filipina, Hassanuddin Bin Manna juga didapati bersalah atas tuduhan membeli MyKad palsu dengan harga RM 1,000.

“Hassanuddin mengaku beli MyKad dengan harga RM 1,000 dan dia juga dijatuhkan hukuman penjara setahun,” kata Fuziah.

Dalam perbicaraan tersebut, Hasanuddin mengaku beliau memperolehi MyKad palsu bernombor 741029-12-5463 dari seorang rakannya.

Menurut satu salinan daftar pemilih, Hassanuddin juga merupakan seorang pengundi sah di DUN Karambunai di kawasan Parlimen Sepanggar, Sabah.

Kedua-dua perbicaraan tersebut turut dilaporkan dalam beberapa laporan akhbar tempatan di Sabah termasuk Harian Ekspress dan Daily Exspress.

Selain akhbar tempatan, Fuziah memberitahu, ianya turut dilaporkan dalam laman web Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) sendiri.

“Ini membahayakan keselamatan negara, kerakyatan negara boleh dibeli dengan harga RM1,000 sahaja dan diberi hak menentukan kerajaan.

“Kalau saya sendiri dapat kesan dua kes, sudah tentu ada banyak lagi pendatang asing lain yang memiliki MyKad dan boleh mengundi dalam pilihan raya.

“Saya cuba tanya di Dewan Rakyat, tetapi tidak dibenarkan oleh Yang Dipertua,” kata Fuziah.

Categories
NASIONAL

Puisi, Tembakan Bunga Api, Negaraku Akhiri Countdown “Janji Demokrasi”

 

Laporan oleh Nazli Ibrahim dan Afix Redzuan

KUALA LUMPUR 31 OGOS : Acara countdown himpunan aktivis menuntut pilihanraya bersih didepan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur di Jalan Raja Laut berakhir dengan meriah dan bersemangat tanpa kekecohan.

Walaupun dilarang berhimpun oleh polis, beribu aktivis ?janji demokrasi? keluar untuk menyambut ambang kemerdekaaan di ibu negara pagi ini.

Himpunan yang berjumlah lebih kurang 10,000 orang itu menyambut ambang kemerdekaan dengan bacaan puisi oleh sasterawan negara A Samad Said dan nyanyian lagu Negaraku.

Sebelum countdown bermula, mereka menyanyikan lagu Merdeka ciptaan mereka sendiri yang bertajuk ?Janji Ditepati?.

“Kemerdekaan tiada guna, hanyalah janji  dicapati,” merupakan chorus kepada lagu yang dicipta sendiri oleh aktivis tersebut yang memperlekehkan tema Hari Merdeka Kerajaan Umno-BN.

Terlebih dahulu, himpunan itu yang sudah mencecah lebih kurang 20,000 orang itu juga melaungkan slogan ?Bersih? kepada sekumpulan mat rempit yang cuba mengacau mereka dengan membunyikan enjin motosikal dengan kuat.

Turut kelihatan aktivis seperti Hishammuddin Rais, Badrol Hisham Shahrin, Haris Ibrahim dan Maria Chin Abdullah.

Manakala pemimpin Pakatan Rakyat yang kelihatan termasuk Timbalan Presiden Pas Mohamad Sabu, MP Kuantan Fuziah Salleh, MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan MP Batu Chua Tian Chang.

 

Pemimpin aktivis tersebut mengambil keputusan untuk menyambut ambang Hari Merdeka di depan DBKL selepas berpindah daripada Dataran Merdeka.

Countdown yang biasanya di adakan di tapak bersejarah itu dibatalkan.

Countdown yang biasanya diadakan julung kali itu tiba-tiba dibatalkan oleh pihak berkuasa.

Ini berikutan kerisauan pihak berkuasa yang program itu akan dibanjiri ribuan peserta berbaju kuning untuk menuntut agar Kerajaan Pusat menunaikan janji penambahbaikan pilihanraya.

Himpunan yang dinamakan ?Janji Demokrasi? itu dilaporkan mendapat sokongan gabungan  47 NGO.

Antara tuntutan mereka yang lain adalah keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang, mendukung hal sivil, kebebasan bersuara, memansuhkan akta zalim dan kebebasan media.

 

Categories
NASIONAL

Memorandum Mansuh ISA Desak PM Tunai Janji

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Gerakan Mansuh ISA (GMI) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya melaksanakan janji untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri  (ISA) serta merta seperti yang diumumkan pada 15 September tahun lalu.

Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, keutamaan sekarang adalah membatalkan ISA yang digunapakai sehingga mengakibatkan tahanan terpaksa menunggu begitu lama tanpa mengetahui status bersalah atau tidak.

Katanya, jika penggubalan akta baru bagi menggantikan akta sedia ada masih mengekalkan tindakan tahan tanpa bicara,  beliau menyifatkan kerajaan sekadar melaungkan ‘cakap-cakap kosong semata-mata’.

Hampir 50 orang penyokong hadir ke Parlimen bagi menyerahkan memorandum bertajuk Janji Ditepati Atau Mungkir Janji? dengan tujuh tuntutan yang perlu dilaksanakan oleh Perdana Menteri dan kerajaan.

Tujuh tuntutan tersebut adalah :

* Segera memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Ordinan Darurat 1969 (EO) dan Akta Dadah Berbahaya (DDA) 1985-Langkah-langkah Pencegahan Khas

*Melupakan cadangan mewujudkan undang-undang baru yang mempertahankan konsep tahan tanpa bicara

*Melaksanakan rundingan awam yang benar dan munasabah terhadap penggubalan undang-undang baru yang melibatkan semua pihak

*Menubuhkan satu Suruhanjaya Kebenaran dan Rekonsiliasi bagi menegakkan keadilan untuk setiap tahanan ISA dan membolehkan pihak yang bertanggungjawab dihadapkan ke muka pengadilan.

*Menutup segera Kem Tahanan Kemunting ( KEMTA) dan diwartakan sebagai Warisan Negara atau muzium seperti mana Pulau Robben, Afrika Selatan.

*Membayar pampasan kepada semua mangsa ISA setara dengan penyeksaan dan penderitaan yang dialami oleh tahanan dan ahli keluarga

*Mematuhi piagam hak asasi manusia antarabangsa dalam soal berkaitan dengan aktiviti anti-keganasan dan membentuk mekanisme baru menangani keganasan tanoa menjejaskan hak-hak asas dan prinsip keadilan. Oleh itu, kerajaan Malaysia seharusnya bersedia untuk menandatangani dan meratifikasi ‘International Convenant on Civil and Political Rights (ICCPR) dan Convrntion Against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment (CAT)’.

Tegas beliau, kewujudan ISA akan menyukarkan negara untuk mencapai status negara maju dan akan memberikan kesan kepada ekonomi khususnya pelaburan asing dan masa depan rakyat.

“GMI berpandangan kegagalan PM dalam mematuhi janji untuk memansuhkan ISA akan mencalar imej dan kredibiliti beliau.

“Malah lebih buruk lagi akan mencemar rasa hormat masyarakat antarabangsa terhadap Malaysia dalam melindungi hak asasi manusia,” katanya.

Sementara itu,  Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mewakili pihak pembangkang menerima memorundum yang diserahkan oleh  Pengerusi GMI namun tiada wakil penerima daripada pihak kerajaan.

Anwar dalam reaksinya menyatakan sokongan terhadap pemansuhan ISA dan akan membawa perkara ini untuk dibahaskan di Parlimen.

Turut hadir sama memberikan sokongan adalah MP Pakatan Rakyat, Fuziah Salleh, Nurul Izzah, Dr Siti Mariah Mahmud, Michael Jeyakumar dan Datuk Mahfuz Omar.

Categories
NASIONAL

PKR: Pengerusi, Timbalan SPR Disaran Letak Jawatan

SHAH ALAM, 17 MAC: Pengerusi dan pemimpin tertinggi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) disaran meletakkan jawatan sekiranya masih gagal menjelaskan beberapa persoalan berkaitan tindakan badan suruhanjaya itu yang didapati melanggar undang-undang pilihan raya negara ini.

Saranan tersebut dibuat oleh Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), YB Fuziah Salleh hari ini dalam satu sidang media di ibu pejabat parti itu di Damansara.

“Dah tiga hari kita dedahkan, kalau dalam masa seminggu kalau SPR tak dapat berikan jawapan eloklah pemimpin tertinggi SPR seperti Pengerusi dan Timbalannya Tan Sri Abdul Aziz dengan Wan Ahmad Wan Omar letak jawatan,” ujar Fuziah.

Fuziah turut menyenaraikan beberapa sebab pemimpin tinggi SPR itu meletakan jawatan.

“Pertama mengapa mereka memotong nama kira-kira 106 ribu nama pengundi tanpa dipamerkan.

“SPR mesti jelaskan bagaimana ada nama pengundi awam ditukar kepada pengundi pos tentera dan polis sedangkan ada diantaranya dah berumur lebih 60 tahun.

“SPR juga tak jawab mengapa 6700 nama dimasukan tanpa dipamerkan.

“SPR perlu jelaskan mengapa mereka membuat persempadanan semula tanpa mengazetkan dan memindahkan pengundi tanpa pengetahuan dan izin pengundi,” ujar beliau.” katanya lagi.

Terdahulu pusat mengundi bagi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan ke Parlimen Lembah Pantai sedangkan beliau tidak memohon untuk pertukaran alamat atau pertukaran pusat mengundi.

Bagaimanapun tindakan SPR menukar pusat mengundi Khalid itu tidak  menjejaskan kelayakkan beliau untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri Selangor dan Menteri Besar dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Sehubungan itu katanya seluruh rakyat dan pengundi berhak untuk mempersoal integriti dan ketelusan suruhanjaya tersebut sekali gus akan menyebankan rakyat hilang keyakinan terhadap badan pilihanraya itu.

Categories
NASIONAL

Himpunan Hijau 2.0 Pindah Ke MPK 4

KUANTAN, 24 FEB: Himpunan Hijau 2.0 yang mulanya akan diadakan di Padang Majlis Perbandaran Kuantan 1 (MPK1) akan berpindah ke padang MPKT 4 Kemunting kira-kira setengah kilimeter dari lokasi asal.

Keputusan tersebut dicapai setelah rundingan dilakukan antara Jawatankuasa Himpunan Hijau 2.0 dengan pihak polis.

Jawatankuasa Himpunan Hijau diwakili MP Kuantan, Fuziah Salleh, Mahmud Yaakob, Wong Tak dan Clement Chin.

Ketua Polis Pahang, Datuk Sharifudin dan Ketua Polis Kuantan, Tuan Jasmani bersetuju supaya himpunan tersebut dilakukan dilokasi baru yang dicadangkan.

Menurut Harakahdaily kata sepakat itu dicapai dalam perjumpaan yang diadakan di Balai Polis Kuantan jam 10 pagi tadi.

Sejak semalam, kawasan Padang MPK yang terletak di tengah bandar Kuantan telah dipagar oleh pekerja Majlis Perbandaran Kuantan.

Perhimpunan Hijau 2.0 dianjurkan bagi membantah pembinaan kilang Lynas di Gebeng akan diadakan 26 Februari (Ahad ini) mulai jam 9 pagi.

Semua rakyat dari seluruh pelosok negara diseru supaya beramai-ramai hadir dalam himpunan yang telah mendapat kebenaran dari polis ini.

Di bawah akta polis yang baru, kebenaran polis bukan lagi dinamakan permit tetapi kebenaran bertulis polis dengan syarat-syarat yang ditetapkan dari polis.

Padang MPK 4 juga dinamakan Padang Kemunting terletak di depan Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan iaitu di Jalan Kuantan – Gambang.

Menurut Yang Dipertua PAS Indera Mahkota, Nasrun Amir, padang ini boleh mengisi sekitar 20,000 orang pada satu masa.

Perhimpunan Hijau 2.0 dijangka akan disertai 100,000 setelah Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menggesa seluruh ahli PAS di Pahang dan negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Sementara itu Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail juga membuat kenyataan yang sama hari ini.

Dalam kenyataan medianya hari ini, Saifuddin memaklumkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut menyertai himpunan tersebut pada Ahad ini.

 

Categories
NASIONAL

Isu Lynas: Padang MPK(1) Di Tutup

KUANTAN, 24 FEB: Dua hari menjelang Himpunan Hijau 2.0 bagi membantah pembinaan pusat memproses nadir bumi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP), lokasi tapak perhimpunan yang dicadang iaitu Padang MPK(1) telah dipagar dan ditutup untuk orang ramai.

“Alasan untuk menaiktaraf padang adalah tidak masuk akal memandangkan tiada cacat celanya padang tersebut menurut pandangan ramai.” jelas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dalam kenyataannya hari ini.

Menurut kenyataan SAMM, dua hari lalu sebuah notis telah memberi maklum bahawa MPK akan menganjurkan perlawan Futsal di padang yang sama manakala hari ini pula padang tersebut telah dipagar.

“Penutupan Padang MPK(1) adalah satu tindakkan bacul dan tidak ‘gentleman’ oleh seorang menteri besar yang telah berada di tampuk kuasa selama berbelas tahun.

“Hasrat Menteri Besar Pahang untuk melihat sejauh mana sokongan anti-lynas berlangsung di Kuantan adalah satu lagi retorik apabila satu demi satu halangan terancang diwujudkan.

“Ini tindakkan terdesak oleh pihak yang takut akan kebangkitan rakyat khususnya menjelang perhimpunan anti-lynas. Tindakkan ini juga memberi gambaran betapa Menteri Besar Pahang panik sesudah memberi lampu hijau untuk rakyat berhimpun secara aman menyatakan bantahan.” kata Pengarah Propoganda SAMM, Edy Noor Reduan.

Katanya dengan penutupan tersebut akan menyebabkan Bandar Kuantan akan dibanjiri lebih 20,000 hadirin yang akan membantah projek radioaktif pada Ahad ini.

“SAMM memberi kata dua buat kerajaan negeri Pahang samada untuk membuka kembali padang MPK(1) atau bertanggungjawab di atas kebanjiran demonstran ke jalanraya seluruh bandar Kuantan selama beberapa jam himpunan berlangsung. Jika jalanraya adalah pilihan, sila beri kerjasama dengan menjaga lalulintas dan kawalan trafik.” kata Edy Noor.

Categories
NASIONAL

Anwar Akan Sertai Himpunan Hijau 2.0 Di Kuantan

SHAH ALAM, 24 FEB: Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut serta memberi sokongan penuh kepada Himpunan Hijau 2.0 yang akan diadakan di Kuantan pada 26 Februari 2012 ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam kenyataan medianya menggesa seluruh pimpinan PKR serta seluruh pimpinan parti disemua peringkat untuk turut serta dalam himpunan tersebut.

Sebelum ini Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Kuantan, YB Fuziah Salleh bersama-sama pimpinan Pakatan Rakyat, NGO dan masyarakat setempat telah bersama-sama menentang projek radiaoktif Lynas di Gebeng, Pahang.

Malah, Temurapat Pimpinan PKR pada 24-26 Februari ini yang pada awalnya dijadualkan di Lumut, Perak telah dipindahkan ke Kuantan, Pahang bagi membolehkan semua pimpinan parti diketuai oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menghadiri Himpunan Hijau 2.0.

“Saya juga telah mengeluarkan arahan kepada semua anggota KEADILAN di Pahang khususnya dan di seluruh Malaysia umumnya untuk turut sama menyokong Himpunan Hijau 2.0 dan kempen Hentikan Lynas.” kata Saifuddin

Dua hari lalu, Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man juga membuat gesaan yang sama terhadap PAS supaya semua ahli PAS Pahang serta negeri-negeri berhampiran menyertai himpunan tersebut.

Himpunan Hijau 2.0 pada Ahad ini dijangkakan akan dihadiri lebih 100,000 orang bagi membantah projek radioaktif Lynas tersebut.