Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

MB, isteri hadir rumah terbuka Deepavali wakil rakyat Sentosa

RAWANG, 4 NOV: Dato’ Menteri Besar hadir ke Majlis Rumah Terbuka Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunaraj di kediaman di Bandar Country Homes di sini hari ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari hadir bersama isteri Datin Seri Masdiana Muhammad kira-kira jam 11 pagi.

Amirudin meluangkan masa kira-kira satu jam beramah mesra bersama tetamu dan menikmati juadah disediakan seperti nasi beriyani dan tosai.

Majlis yang diadakan dalam suasana sederhana itu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal.

Turut hadir Setiausaha Politik Menteri Besar Juwairiya Zulkifli, Ahli Dewan Negeri Rawang Chua Wei Kiat dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Keen.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Program Mesra Rakyat manfaat 10,000 penduduk Bandar Utama

SHAH ALAM, 15 JUN: Seramai 10,000 penduduk Bandar Utama yang terjejas akibat perebakan Covid-19 dijangka menerima manfaat menerusi Program Mesra Rakyat, kata wakil rakyatnya.

Jamaliah Jamaluddin berkata langkah Kerajaan Negeri meningkatkan had perbelanjaan Ahli Dewan Negeri (ADN) kepada RM100,000 membolehkan lebih ramai dibantu susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“Kebiasaannya kita beri bantuan makanan bernilai RM50 atau lebih RM100. Bantuan lebih RM100 diberikan kepada mereka yang positif Covid-19 dengan tambahan vitamin C,” katanya kepada SelangorKini semalam.

ADN Sentosa Dr G Gunarajah berkata peruntukan tambahan itu membolehkan bantuan kepada golongan terkesan diberi secara menyeluruh.

“Ramai penduduk kawasan saya hilang pendapatan atau hilang pekerjaan dan secara tidak langsung bilangan golongan berpendapatan rendah (B40) kian bertambah.

“Setakat ini seramai 700 individu menerima bantuan setiap hari Jumaat manakala 300 keluarga dibantu secara bulanan menerusi inisiatif bank makanan,” katanya.

Bagi ADN Taman Medan Syamsul Firdaus Mohamed Supri, pihaknya akan meneliti jenis bantuan yang boleh diberikan kepada rakyat.

“Peruntukan ini satu keperluan mendesak kerana ramai yang terkesan kerana kehilangan sumber pendapatan dan bantuan ini salah satu cara meneruskan kelangsungan hidup mereka,” katanya.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri melaksanakan 14 inisiatif di bawah strategi pertama Pakej Kita Selangor 2.0 bagi menjaga kebajikan dan kelangsungan hidup rakyat dan antaranya meningkatkan perbelanjaan Program Mesra Rakyat setiap ADN kepada RM100,000.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

Kelas bimbingan percuma DUN Sentosa dilaksana secara dalam talian

SHAH ALAM, 4 JUN: Kelas bimbingan percuma bagi pelajar yang mempunyai masalah pembelajaran di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa diteruskan secara dalam talian.

Tindakan itu berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh dilaksana ketika ini.

Susulan itu, wakil rakyatnya, Dr G Gunarajah berkata kelas fizikal yang sepatutnya bermula selepas Aidilftri disusun semula.

“Minggu lalu fail, buku, perkakasan untuk belajar sudah kita berikan dan kita akan gunakan kaedah Google Meet dengan lima pelajar bagi setiap guru.

“Kelas diadakan setiap Selasa, Khamis dan Jumaat pada jam 8.30 malam sehingga 9 malam,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau berkata pihaknya berpuas hati dengan 25 ibu bapa pelajar yang menunjukkan komitmen pada kelas berkenaan dengan sanggup menemani anak masing-masing ketika sesi pembelajaran.

“Ini boleh kita katakan pra persediaan sebelum mereka masuk ke kelas fizikal selama tiga bulan seperti yang dirancang sebelum ini. Lepas PKP kita akan adakan kelas ini,” katanya.

Pada 18 April DUN Sentosa mengambil inistiatif menganjurkan kelas percuma selama tiga bulan bagi membantu murid yang menghadapi masalah dalam pembelajaran dengan keutamaan memastikan sekurang-kurangnya murid dapat mengenali 3M iaitu membaca, menulis dan mengira.

Categories
ADN SELANGOR

Wakil rakyat Sentosa bantu 86 pengusaha van sekolah terjejas

SHAH ALAM, 5 DIS: Penutupan sekolah dalam tempoh panjang susulan penularan Covid-19 menjejaskan pendapatan 86 pemandu van di Kampung Jaya dan Taman Sentosa, Klang.

Bagaimanapun, kesukaran mereka mendapat perhatian wakil rakyat Sentosa G Gunarajah yang menyerahkan sumbangan barangan dapur semalam.

“Penutupan sekolah berikutan Covid-19 memberi tamparan hebat kepada pemandu van sehingga mereka terpaksa memohon bantuan.

“Saya akan pertimbang inisiatif lain untuk mereka jana pendapatan antaranya kerjasama dengan Pos Laju atau Lalamove bagi penghantaran barang,” katanya ketika dihubungi.

Gunarajah berharap kerajaan persekutuan dapat membantu pemandu van melalui insentif sekali bayar atau melanjutkan moratorium.

Menurutnya, perkara itu juga akan diusul kepada Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari dan dibawa ke sidang Dewan Negeri Selangor jika perlu.

Categories
BERITA UTAMA RENCANA WAWANCARA

ADN Sentosa gigih atasi isu tapak pembuangan sampah haram

Masalah pembuangan sampah haram antara kesulitan utama yang sering dihadapi Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa Dr G Gunarajah sejak bergelar wakil rakyat lebih dua tahun lalu.

Cakna mengenai isu berkenaan, beliau berusaha gigih mengatasinya dari berlarutan. Hasil-
nya masalah itu kian berkurangan.

“Saya perkenalkan kempen Bersih dan Hijau sejak 28 April tahun lalu untuk memastikan Sentosa sentiasa bersih dan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan menjaga alam sekitar.

“Saya juga mengadakan program gotong-royong bersama beberapa sekolah dan berjaya mengutip 1,106kg sampah,” katanya.

Beliau yakin masalah itu dapat diselesaikan melalui kerjasama Majlis Perbandaran Klang dan KDEB Waste Management seterusnya memastikan Sentosa bebas daripada ‘tapak’ pembuangan sampah haram.

Banjir kilat

Gunarajah mengesan dua lagi masalah iaitu banjir kilat dan ketiadaan pasar harian yang diperlukan peniaga bagi meningkatkan taraf ekonomi hampir 52,000 penduduk.

Dr G Gunarajah

“Dengan adanya pasar harian kekal akan memudahkan masyarakat mendapatkan barang keperluan makanan dengan selesa,” katanya.

Kekerapan banjir pula ekoran longkang tersumbat dan tanah mendap. Isu tersebut diatasi dengan bantuan agensi kerajaan yang melaksanakan projek tebatan.

Selain itu, pelbagai inisiatif ditawar kepada penduduk ke arah menjadi negeri pintar. Beliau juga berharap Kerajaan Negeri meneruskan projek pembangunan seimbang dari sudut sosioekonomi mahupun prasarana.

Gunarajah turut memuji kepimpinan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari yang selalu mengutamakan rakyat daripada mencampuri urusan politik.

“Kerajaan pimpinan Amirudin sentiasa meletakkan kepentingan rakyat sebagai asas pentadbiran beliau, malah pelbagai sumbangan diperkenalkan dan masih diteruskan bagi membantu rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah,” katanya.

Projek yang dijayakan:

  • Membantu 250 anak orang kelainan upaya (OKU) berusia empat hingga 13 tahun dari segi pendidikan
  • Menawarkan peluang pekerjaan kepada hampir 100 penduduk dengan kerjasama syarikat Citylink Express
  • Membentuk gabungan persatuan penduduk dan kawasan
  • Rukun Tetangga bagi aktiviti kemasyarakatan di Sentosa
  • Mewujudkan Pusat Pembangunan Komuniti, ruang untuk penduduk mengadakan aktiviti secara percuma
  • Mengadakan seminar pendidikan percuma kepada calon Sijil Pelajaran Malaysia
Categories
ADN SELANGOR

DUN Sentosa sediakan pek makanan bantu penduduk terjejas

SHAH ALAM, 9 OKT: Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa menyediakan pek makanan asas untuk keperluan penduduk terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ahli Dewan Negerinya berkata barangan tersebut yang telah disediakan mengikut permintaan boleh diperolehi di pejabatnya dengan menghubungi talian 03-3381 7602.

“Untuk PKPB selama dua minggu kita harap masyarakat bersiap sedia dengan bekalan makanan di rumah kerana kebanyakan mereka tidak boleh bekerja dan sebagainya,” kata G Gunarajah ketika dihubungi.

Beliau menjelaskan antara kawasan di DUN Sentosa dikenakan PKPB susulan peningkatan kes positif Covid-19 adalah Bandar Bukit Tinggi, Taman Sentosa, Jalan Dato’ Dagang dan pinggiran Andalas.

Katanya, beliau akan melawat semua kawasan itu bagi melihat sendiri aktiviti harian penduduk dan operasi perniagaan bermula hari ini selain mendapatkan maklumat lanjut mengenai kawalan laluan keluar masuk daripada polis.

PKPB dilaksanakan di 36 kawasan di mukim Klang bermula hari ini hingga 23 Oktober sebagai langkah pencegahan wabak berkaitan di daerah Klang.

Categories
ADN SELANGOR

TREK bimbing 200 calon, lepasan SPM DUN Sentosa

KLANG, 27 SEPT: Seramai 200 calon dan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa berjaya mendapat bimbingan menerusi program ‘TREK’ sejak diperkenal hujung Julai lalu.

Ahli Dewan Negerinya G Gunarajah berkata inisiatif itu membantu dan membimbing pelajar untuk mendapat tempat di institut pengajian tinggi awam (IPTA).

“Program ini diadakan setiap minggu pada Selasa bermula jam 7 petang bertempat di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sentosa malah semalam kira-kira 50 pelajar SPM sedang menyertai seminar berkaitan.

“Kita optimis, pendekatan ini secara tidak langsung dapat memberi peluang dan ruang kepada pelajar yang masih tidak mendapat tempat di IPTA,” katanya pada Pelancaran Cakna Siswa dan Pusat Pembangunan Komuniti di sini semalam.

Beliau menambah program terbabit akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa selaras hasrat Kerajaan Negeri untuk melahirkan modal insan berkualiti tinggi.

“Menjadi tanggungjawab kita memastikan anak-anak muda dibimbing dan memilih laluan yang betul supaya mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi,” katanya.

Categories
SELANGOR

Tiada kompromi premis, rumah tiada tong sampah

OLEH SHAFIQQUL ALIFF

SHAH ALAM, 20 JUN: Pihak premis komersial dan kediaman di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sentosa disaran mengatasi masalah kebersihan dengan penggunaan tong sampah di kawasan masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sentosa, G Gunarajah berkata, pihaknya dan Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan dan tindakan bakal diambil sekiranya pihak terbabit mengabaikannya.

“Kita mengenal pasti beberapa kawasan utama berkenaan isu ini memandangkan ketiadaan tong sampah di premis komersial dan kawasan perumahan menjadi punya utama masalah sampah di tempat berkenaan.

“Kita tidak boleh menyalahkan penduduk kerana ketiadaan tong sampah di rumah mereka tetapi tabiat sesetengah penduduk suka membuang sampah merata tempat menjadikan kawasan ini kotor.

“Bagi premis perniagaan, saya sudah berbincang dengan Yang Dipertua MPK supaya tidak mengeluarkan lesen kepada pihak berkenaan jika mereka tidak menyediakan tong sampah seperti di dalam perjanjian ditetapkan,” katanya dalam sidang media.

Pada masa sama, Gunarajah berkata, pihaknya akan membantu dan memainkan peranan dalam usaha membasmi isu berkenaan sebelum tindakan dilaksanakan secara drastik.

“Kami sudah melancarkan kempen ‘Clean And Green’ dan beberapa aktiviti sudah dijalankan bermula April lalu sehingga kini membabitkan persatuan penduduk di kawasan berkenaan.

“Kempen ini bertujuan memberikan inspirasi kepada penduduk di kawasan berkenaan untuk menjaga dan melindungi alam sekitar serta mesra alam.

“Kami juga mendidik dan memberikan tunjuk ajar kepada kanak-kanak serta pelajar sekolah untuk menanam pokok supaya timbul kesedaran terhadap kepentingan itu,” katanya.

FOTO: ASRI SAPFIE (SELANGORKINI)