Categories
SELANGOR

Pengurusan bencana terbaik negara kesan Gagasan Smart Selangor – MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 11 MEI: Pelaksanaan Gagasan Smart Selangor memberi kesan positif terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri dan rakyat negeri termaju itu.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, antaranya keberkesanan Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor sentiasa mendapat pengiktirafan Kerajaan Persekutuan dan negeri lain.

“Setakat ini bila kita berjumpa wakil negeri lain mahupun Kerajaan Persekutuan dan sebagainya mereka akui sistem kita sentiasa terkehadapan, lebih maju, kemaskini dalam teknologi dan kemudahan terutamanya dalam menangani pelbagai isu kemashalahatan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Bersama Agensi Kerajaan Negeri di Taman Ekstrem Gua Damai, Batu Caves di sini, hari ini.

Amirudin berkata, Sistem Pamantauan Bencana di Selangor memiliki sistem bersepadu yang sentiasa dipantau Kerajaan Negeri.

Katanya, dalam menjayakan Gagasan Smart Selangor menjelang 2025, Kerajaan Negeri turut berjaya membangunkan sistem kutipan sisa pepejal yang lebih teratur dan boleh dipantau dengan lebih berkesan.

Amirudin berkata, penggunaan sistem yang sudah diaktifkan ini bakal sampai kepada rakyat sedikit masa lagi.

Katanya, selain itu, terdapat enam Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sudah menggunakan sistem kutipan bayaran parkir melalui applikasi di telefon bimbit dan akan dikembangkan di PBT lain tidak lama lagi.

“Ini semua merupakan kejayaan gagasan yang diuruskan Smart Selangor Delivery Unit yang sudah mula mengorak perubahan di negeri ini dan selepas ini kita akan lihat banyak lagi kejayaan lain,” katanya.

Terdahulu, Majlis Berbuka Puasa Dato’ Menteri Besar Bersama Agensi Kerajaan Negeri berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 200 warga kerja agensi terbabit.

Amirudin turut menyampaikan sumbangan syarikat milik Kerajaan Negeri, World Wide Holding kepada golongan kurang berkemampuan.

Selain itu, beliau juga berkesempatan menunaikan solat di Masjid berhampiran tapak majlis itu bersama warga kerja agensi Kerajaan Negeri.

Categories
SELANGOR

Empat inisiatif baharu Smart Selangor diperkenal sebelum Oktober ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SABAK BERNAM, 18 MAC: Empat inisiatif baharu di bawah agenda Smart Selangor bakal diperkenalkan sebelum Oktober depan.

Pengarah Urusan Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, kajian pelaksanaan projek perintis bagi ke-empat-empat inisiatif itu kini sedang giat dibangunkan.

Katanya, ia membabitkan Smart Recycling , Smart Streetlamp, big data analitik dan Selangor Wide Area Network (SWAN).

“Bagi Smart Recycling, SSDU bekerjasama dengan KDEB Waste Management (KDEBWM) untuk menjalankan aktiviti ini supaya sampah sedia ada tidak terus dilupuskan.

“Kita juga mahu mengubah presepsi rakyat mengenai sampah yang mempunyai nilai tidak hanya melupuskannya,” katanya kepada SelangorKini ketika ditemui di Program Jelajah 360 Smart Selangor, di Stadium Sungai Besar, semalam.

Selain itu, Dr Fahmi berkata, SWAN pula merupakan projek Jaringan Jalur Lebar (Broadband) Berkelajuan Tinggi Gigabit untuk menghubungkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dengan semua agensi, jabatan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan anak Syarikat Kerajaan Negeri.

Katanya, SWAN membolehkan satu jaringan bersepadu bagi memenuhi keperluan rangkaian dan integrasi antara SUK dan agensi berkenaan bagi mendukung keperluan Data Raya.

“Jaringan ini dijangka mempunyai kelajuan dan kapasiti tinggi untuk memenuhi keperluan semua Inisiatif Smart Selangor seperti ‘Open Government ‘untuk jangka masa lima hingga tujuh tahun ke hadapan.

“Manakala, Smart Streetlamp merupakan inisiatif baharu yang bakal dilaksanakan di semua kawasan PBT bagi mewujudkan zon selamat menerusi pelaksanaannya itu nanti,” katanya.

Terdahulu, menerusi Belanjawan 2019, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM10 juta kepada SSDU bagi melaksanakan beberapa inisiatif baharu tahun ini.

SSDU sebelum ini ditubuhkan untuk merangka dan melaksana inisiatif yang menyumbang kepada pembangunan regional ‘Smart State’.

Categories
SELANGOR

Selangor Smart City International Conference tampil panel antarabangsa

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 30 NOV: Agenda Smart Selangor terus diperhebat dengan  penganjuran Selangor Smart City International Conference 2016 yang bakal berlangsung pada 6 dan 7 Disember ini.

Timbalan Pengarah Smart Selangor Delivery Unit (SSDU), Dr Fahmi Ngah berkata, konferens yang pertama seumpamanya itu antara lain menyediakan sesi perkongsian ilmu dan pengalaman Smart City terkemuka dunia.

“Kita terbangkan khas panel jemputan daripada benua Eropah; Barcelona dan United Kingdom, juga panel daripada Taipei dan Cyberjaya.

“Hari kedua konferens pula kita fokus kepada smart startup dengan perkongsian pengalaman dan tips daripada startup yang berjaya,” katanya.

Bertempat di Hotel Saujana, konferens dua hari itu juga bakal disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

smart1Pada hari pertama, terdapat empat sesi bakal berlangsung iaitu Smart City Knowledge Exchange, Smart Solutions for Smarter Cities, Leveraging IOT: Smart Mobility & Education dan Smart Entrepreneurs: Fireside Chat.

Hari kedua pula dimulakan dengan sesi kelima bertajuk Smart Startup & Solution Provider Showcase termasuk Smart Mobility & Travel dan Smart Retail & Services.

Untuk maklumat lanjut dan tempahan tiket, orang ramai boleh layari selangorsmartcity2016.com.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Wan Azizah yakin Selangor muncul Smart State

OLEH: SYASYA SUFIAN

SHAH ALAM, 31 MAC: Gagasan Smart Selangor diyakini mampu mendokong hasrat negeri ke arah Smart State dengan pentadbiran yang lebih efisyen.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Kajang, Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kejayaan merealisasikan gagasan itu bakal menjadikan Selangor sebagai negeri terkehadapan memaksimakan teknologi dalam meningkatkan kualiti kehidupan rakyat.

WAWI“Dengan terlaksananya Smart Selangor ia dapat membawa perubahan dari segi pentadbiranya yang lebih efisyen disamping komunikasi dan interaksi kerajaan dan rakyat kearah lebih baik dan kesejahteraan.

“Kita juga menyambut baik Penganjuran Pameran Smart Selangor yang dilihat sebagai salah satu inisiatif kerajaan negeri ke arah jangka masa panjang,” katanya.

Wan Azizah yang juga Presiden KEADILAN berkata demikian kepada Selangor Kini sewaktu melawat Pameran Smart Selangor di Foyer SUK, di sini hari ini.

Terdahulu, Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata perkhidmatan berpaksikan rakyat menjadi tunjang utama gagasan Smart Selangor ke arah ‘Citizen Centric State’ yang didorong falsafah tadbir urus berasaskan pintar atau ‘intelligent technologies’.

Katanya, fokus utama adalah meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dengan menggunakan teknologi bagi meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

MB SMART SELANGOR“Antara elemen yang diberi penekanan adalah sistem pengangkutan, trafik, keselamatan, pembanterasan jenayah dan penguatkuasaan undang-undang, pengurusan sisa pepejal, sumber air dan tenaga,” kata Mohamed Azmin.

Pameran Smart Selangor berlangsung tiga hari bermula 30 Mac dan berakhir 1 April membabitkan lapan pempamer antaranya Redtone International Berhad, ZTE (Malaysia) Corporation Sdn Bhd, Spatial Works Sdn Bhd, Frost & Sullivan Perunding Strategi Sdn Bhd, Celcom Axiata Berhad, Millenium Radius Sdn Bhd dan Selangor Information Technology & E-Commerce Council(SITEC).

-nR-

Categories
SELANGOR

Gagasan Smart Selangor pacu pembangunan sukan negeri

OLEH : ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 31 DIS : Pembangunan Sukan mampu ditingkatkan secara efektif menerusi gagasan Smart Selangor kata Exco Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari.

Beliau berkata, fungsi Smart Selangor boleh diterapkan secara berkesan dengan memberi tumpuan kepada perubahan pengukuhan Majlis Sukan Selangor (MSN) ke arah melahirkan atlet berdaya saing di peringkat global.

Amiruddin Shari“Kita menyambut baik usaha kerajaan negeri secara konsisten mewujudkan dasar peduli rakyat bukan hanya meliputi bidang kebajikan tetapi tumpuan juga diberikan kepada bidang sukan.

“Fungsi pembangunan sukan boleh ditingkatkan lebih efektif pada masa depan dengan mengaplikasikan dasar Smart Selangor itu.

“Saya percaya pelaksanaan gagasan ini membuka peluang besar kepada pembangunan sukan negeri selepas ini,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan pameran Smart Selangor di Foyer SUK, di sini hari ini.

Kerajaan Negeri sehingga kini, konsisten mewujudkan pelbagai bentuk program pembangunan sukan bagi memastikan kelancaran dan perkembangan sukan negeri pada peringkat tertinggi.

Bahkan, pada Belanjawan Selangor 2015 lalu sebanyak RM12 juta diperuntukkan bagi kemudahan infrastruktur sukan manakala sebanyak RM17 juta disalurkan bagi program pembangunan sukan termasuk pengurusan atlet.

-nR-