Categories
NASIONAL

Pakatan Tidak Yakin Dengan Siasatan SPRM Terhadap Taib Mahmud

taibmahmud 01

SHAH ALAM 30 JUN : Pemimpin Pakatan Rakyat tidak yakin dengan pengumuman terbaru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan siasatan agensi itu terhadap Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Ini kerana dakwaan bahawa Abdul Taib dan keluarganya terlibat dengan rasuah dan salahguna kuasa telah dibuat daripada dahulu lagi dengan pelbagai pendedahan media dan laporan polis.

Terbaru adalah video yang dibuat NGO Global Witness pada Mac lalu yang memaparkan saudara Abdul Taib yang cuba menjual tanah di Sarawak kepada aktivis NGO itu yang menyamar sebagai pelabur asing.

Malangnya, Ketua Menteri itu berkata beliau tidak akan bekerjasama dengan SPRM apabila agensi itu mahu memanggilnya untuk siasatan.

Setiausaha Publisiti, Anthony Loke Siew Fook berkata sehingga kini Abdul Taib tidak dikenakan sebarang tindakan.

“Tidak ada keyakinan terhadap SPRM dalam siasatan ke atas Taib kecuali ada tindakan pendakwaan dilakukan,” katanya melalui Sistem pesanan ringkas (SMS) selepas diminta mengulas isu itu.

Akhbar TheStar hari ini melaporkan bahawa SPRM sedang meneliti 400 fail dan merakamkan kenyataan daripada lebih 20 individu berkaitan kes terhadap Abdul Taib.

SPRM di dalam satu kenyataan berkata agensi itu tidak pernah berhenti menyiasat Abdul Taib dan telah menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi siasatan itu.

Siasatan itu dipercayai merujuk kepada pendedahan yang dibuat di dalam video Global Witness itu.

Sementara itu, Angkatan Muda PKR Sarawak mendesak SPRM supaya memanggil Abdul Taib bagi membuktikan agensi itu betul-betul serius di dalam siasatannya.

“Kita mahu dia dipanggil untuk disiasat. Beliau adalah saksi utama. Kita tidak mahu hanya fail-fail yang disiasat.

Beliau turut mempersoalkan ‘kesukaran’ untuk memanggil Abdul Taib tetapi begitu mudah memanggil orang lain jika hanya rakyat biasa.

“Apakah negara ini mempunyai dua undang-undang? Kalau kita lihat apabila kes melibatkan rakyat biasa, tidak sampai seminggu SPRM sudah panggil, tetapi Taib tidak.

“Kita melihat jawapan SPRM ini sebagai satu dolak dalih dan perbuatannya sebagai sandiwara. Hingga ke hari ini, jawapan yang dberikan cuma sandiwara untuk menutup perkara sebenar dari pengetahuan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pas : SPRM Jangan Lengah-Lengahkan Tindakan Terhadap Taib Mahmud

taibmahmud 01

KUALA LUMPUR 25 MAC: Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terus didesak supaya menyegerakan tindakan terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dan keluarganya berikutan sebuah video yang mengaitkannya dengan rasuah pembalakan di Sarawak.

Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Pas, Zulkefly Mohammad Omar berkata, video yang dibuat NGO antarabangsa Global Witness mendedahkan penyalahgunaan kuasa dan manipulasi dalam kelulusan lesen penerokaan hutan dan pembalakan di Sarawak.

Menurut Zulkefly, jika proses kelulusan balak boleh dimanipulasi, aspek penguatkuasaan juga boleh dimanipulasi sehingga mendorong kepada kemusnahan hutan.

?Saya ingin menyeru tindakan segera SPRM dan pihak berkuasa yang lain terhadap pendedahan video Global Witness itu demi kepentingan seluruh rakyat di negara ini.

?Seterusnya memastikan penguatkuasaan dan pemuliharaan alam sekitar dapat dijalankan dengan telus dan tegas di Sarawak khususnya,” katanya yang merupakan AJK Pas Pusat.

Katanya, projek Empangan Bakun adalah contoh terbaik kemusnahan alam sekitar di Sarawak apabila 70 ribu hektar hutan ditebang untuk membina empangan mega tersebut.

Video sepanjang 16 minit itu yang bertajuk ‘ Inside Malaysia’s Shadow State’ mendedahkan rasuah lesen pembalakkan yang didakwa dipelopori oleh Taib dan keluarganya.