Categories
NASIONAL

Banyak perlu dilakukan untuk perangi maklumat salah, mengelirukan

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo memuji inisiatif-inisiatif yang mendokong usaha kementeriannya menangani isu maklumat yang salah dan mengelirukan tetapi beliau berasa banyak lagi perlu dilakukan dalam bidang ini.

“Usaha-usaha ini beragam, dari sumber yang direka untuk membantu manusia berfikir secara kritikal dan berkongsi tanggungjawab, di samping membantu mereka memahami dengan lebih mendalam dan mengawal dengan muah apa yang dilihat dalam media sosial, sehinggalah bekerjasama dengan pihak ketiga untuk menyemak fakta-fakta untuk mengatasi maklumat yang salah,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan sedar bahawa para pembekal media sosial telah melakukan banyak perkara mengenai ‘user-generated content (UGC)’ untuk memerangi pornografi kanak-kanak, keganasan dan ucapan kebencian.

“Cabarannya kini ialah bagaimana hendak menangani kepelbagaian UGC yang akan turut merangkumi konteks setempat bagi setiap negara yang mempunyai bidang-bidang yang menjadi kebimbangannya tersendiri,” kata beliau pada pembukaan pejabat Facebook Malaysia yang baharu di Q Sentral di sini.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad merasmikan pembukaannya.

Gobind berkata walaupun wujud kesedaran untuk segera menangani ucapan kebencian, terdapat juga pelbagai bentuk ekspresi lain yang juga mungkin boleh memberi ancaman kepada kestabilan, keharmonian dan keselamatan negara.

“Pengaliran maklumat yang mudah boleh menjadi satu perkara baik tetapi ia juga boleh disalahgunakan,” kata beliau.

Beliau berkata adalah sesuatu yang amat terpuji sekiranya maklumat digunakan untuk menyambungkan rakyat dan masyarakat untuk kebaikan lebih besar tetapi, malangnya ia juga boleh digunakan untuk menghasut dan menimbulkan kebencian, keganasan dan penyebaran berita palsu dan berita mengelirukan.

“Kementerian saya memainkan peranan utama dalam memastikan setiap orang boleh menggunakan platform media sosial dengan cara yang selamat dan bertanggungjawab, tetapi ia tidak semudah diucapkan,” kata beliau.

Gobind berkata kementerian juga amat berharap dapat bekerjasama rapat dengan Facebook, terutama dalam bidang ‘Community Standards Enforcement’.

Beliau berkata beliau berharap Facebook akan terus meneroka peluang-peluang untuk bekerjasama dengan perniagaan dan masyarakat tempatan bagi mewujudkan dunia yang lebih tersambung.

Beliau berkata kehadiran Facebook di Malaysia dan komitmen yang telah dipertingkatkan dibuktikan dengan perluasan pejabat baharunya di sini, yang merupakan langkah penting ke arah membantu meningkatkan kemahiran digital dalam kalangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, memperkasakan mereka untuk mengembangkan perniagaan dan menyambungkan mereka dengan bahagian lain dunia menerusi pendidikan, wawasan dan perkakasan untuk berjaya. -BERNAMA

 

Categories
NASIONAL

Gobind arah siasatan terhadap Projek ADAX

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 30 JUN: Kementerian Komunikasi dan Multimedia telah mengarahkan siasatan penuh dijalankan terhadap Projek Bursa Data Analitik ASEAN (ADAX) yang dilaksanakan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Menterinya, Gobind Singh Deo berkata, pihaknya menerima banyak pertanyaan dan aduan berhubung projek itu yang dikatakan bertujuan membangunkan ekosistem serta mewujudkan suatu kelompok bakat penting dalam kategori Analitik Data Raya.

“Antara perkara yang dipersoalkan berkaitan sama ada wujud ataupun tidak percanggahan kepentingan antara pengurus program berkenaan dengan penyedia latihan.

“Sehubungan itu, saya telah mengarahkan supaya siasatan penuh dilakukan ekoran kebimbangan yang disuarakan berhubung projek ini, dan MDEC sedang menjalankan siasatan berhubung perkara ini. ” katanya.

Gobind berkata, beliau juga dimaklumkan bahawa MDEC telah memohon bantuan Jabatan Audit Negara untuk melakukan audit tentang projek itu.

“Laporan lengkap tentang projek berkenaan dijangka dikemukakan kepada saya dalam tempoh terdekat.

“Buat masa sekarang tiada sangkaan dibuat bahawa sesiapa telah melakukan sebarang salah laku ataupun kesalahan didalam perkara ini.

Padam masa sama, Gobind menegaskan sekiranya siasatan menunjukkan bahawa wujud salah laku atau kekurangan, maka tindakan sewajarnya akan diambil terhadap pihak yang berkaitan.

“Saya akan memastikan wujudnya ketelusan dan integriti dalam urusan semua jabatan serta agensi di bawah bidang kuasa kementerian saya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Gobind mahu jumpa Astro minggu depan perbaiki perkhidmatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan bertemu dengan wakil Astro minggu depan bagi berbincang mengenai perkhidmatan rangkaian televisyen berbayar itu.

Gobind berkata, pertemuan itu diadakan berikutan aduan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan Astro.

“Ramai yang mengadu berkenaan perkhidmatan Astro. Saya telahpun menjemput wakil mereka ke pejabat saya untuk bincang perkara-perkara yang dibangkitkan minggu depan,” katanya menerusi laman twitter peribadinya semalam.

Beliau berkata demikian bagi membalas mesej seorang pengguna Twitter ‘@NPeriasamy5’ yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Astro yang dilanggannya.

Pengguna itu mendakwa dia tidak berpuas hati dengan cara Astro melayani aduannya walaupun selepas dia beberapa kali menghantar tweet kepada syarikat berkenaan.

“Sejak beberapa hari lalu cuba selesaikan masalah dekoder rosak tetap mereka langsung tidak peduli. Lebih menyakitkan hati lagi apabila Astro mahu mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM61!,” katanya.

Rentetan daripada twitter tersebut, lebih ramai pengguna laman sosial berkenaan mengadu isu perkhidmatan Astro yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelanggannya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Akta Antiberita Tidak Benar akan dimansuhkan

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 22 MEI: Akta Antiberita Tidak Benar yang digazetkan secara rasmi pada April lepas akan dimansuhkan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata, cadangan bagi memansuhkan akta itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar ia dapat dihapuskan secepat mungkin.

“Saya ada satu senarai yang kami perlu kaji. Saya akan adakan sidang media untuk beritahu secara khusus. Kita ada Akta Antiberita Tidak Benar. Sepertimana yang disebut dalam manifesto Pakatan Harapan, kami akan memansuhkannya.

“Kami akan tetapkan tempoh masa, 100 hari yang pertama kami harus menunaikan tetapi berapa banyak masa yang diperlukan saya akan bincangkan dengan pegawai-pegawai,” katanya.

Gobind berkata kebebasan media menjadi agenda utamanya, namun perkara itu perlu dibuat rujukan berdasarkan undang-undang sedia ada.

“Kebebasan media adalah keutamaan saya. Media membuat berita dan syarikat penerbitan terikat dengan undang-undang sedia ada jadi kami perlu melihat dari segi itu dan kami harus mencari kaedah yang kita boleh tingkatkan kebebasan akhbar di negara ini.

“Saya akan wujudkan satu kumpulan yang terdiri daripada pakar-pakar perundangan supaya mereka dapat lihat kepada impak undang-undang setakat ini, di mana ada kelemahan dan kami akan cuba perbaiki,” katanya memetik laporan Bernama.

Antara perkara lain yang akan dikaji semula termasuk beberapa undang-undang berkaitan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) yang berkaitan aduan dan siasatan terhadap beberapa kes yang dilaporkan.

Selain itu, Ahli Parlimen Puchong itu berkata beliau turut akan memberi perhatian serius terhadap keseluruhan aspek laporan berita dan mencari jalan bagaimana sistem televisyen tempatan dapat bersaing dengan saluran media antarabangsa.

Katanya, media tempatan perlu mempelajari daripada media antarabangsa untuk lebih berpengetahuan dalam penyampaian berita.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Tempat Parkir Baru Bagi Pangsapuri Sri Tanjung

Masalah Parking Di Pangsapuri Seri Tanjung 01

SUBANG JAYA 24 DIS : Selama 11 tahun, kekurangkan tempat meletak kenderaan dan jalan yang sempit di Pangsapuri Sri Tanjung di SS 16 di sini bukan sahaja menjadi rugutan penduduk tetapi mengancam keselamatan mereka.

Pada November lalu, Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Sri Tanjung Mohd Nizam Abdullah berkata berlaku sebuah kebakaran di salah satu unit pangsapuri itu.

Oleh kerana penduduk terpaksa meletak kereta mereka dalam keadaan yang bertindih atau ?double parking?, jentera bomba tidak dapat masuk ke dalam kawasan mereka.

?Namun kita bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa dalam kejadian tersebut,” jelas beliau dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Akhirnya, atas dasar keprihatinan, Kerajaan Selangor bertindak menyumbang lebih daripada RM 253,000 untuk membina tempat letak kenderaan baru bagi pangsapuri tersebut.

Jumlah itu merupakan 80 peratus daripada jumlah kos keseluruhan RM 317,000 untuk fasiliti itu.

Selain sumbangan Kerajaan Negeri, dana turut diperolehi daripada Jawatankuasa Pengurusan selain RM 5,000 diterima melalui sumbangan peribadi Exco Kanan, Teresa Kok yang juga Adun Kinrara.

Sebelum ini, pangsapuri itu hanya menyediakan 650 tempat meletak kenderaan walaupun mempunyai seribu unit kediaman selain 28 buah unit komersial.

Kini, kawasan parkir baru yang dibina atas tapak padang permainan kanak-kanak itu dijangka mampu memuatkan 216 buah kereta dan 450 buah motosikal pada satu-satu masa.

“Padang permainan pula kita terpaksa pindahkan dan pecahkan kepada dua kawasan kerana kekurangan ruang.

“Masalah memang tidak dapat diselesaikan secara sepenuhnya namun kita lega kerana sekurang-kurangnya kesesakan meletak kenderaan itu dapat dikurangkan,” jelas beliau lagi.
Turut hadir dalam sidang media tersebut ialah Exco Kanan Kerajan Negeri, Teresa Kok, MP Puchong, Gobind Singh, Pegawai Kanan Balai Bomba SS16 Subang Jaya, Azman Md Zain dan Ahli Majlis MPSJ, Cheah Sang Soon.

Teresa yang juga merupakan Adun Kinrara turut berkesempatan menyampaikan sumbangan beg sekolah kepada 30 orang kanak-kanak dari Pangsapuri Sri Tanjung.

Masalah Parking Di Pangsapuri Seri Tanjung 02