Categories
AGENDA NASIONAL

Pengguna ada alternatif bayar bil Astro tanpa caj perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Bermula 1 Sept lepas Pos Malaysia Bhd mengenakan caj 50 sen bagi pengguna yang membuat pembayaran bil Astro di kaunter mereka, dan ia merupakan persetujuan secara komersial (commercial arrangement) antara dua syarikat berkenaan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata pengguna perkhidmatan penyiaran Astro mempunyai pilihan untuk membayar bil tanpa dikenakan caj perkhidmatan, antaranya menerusi kaedah auto debit yang memerlukan pelanggan mendaftar di portal layan diri atau di pusat perkhidmatan pelanggan Astro.

Beliau berkata selain itu alternatif pembayaran bil termasuk Astro Quick Pay, saluran Astro 200, aplikasi My Astro serta platform JomPAY.

“Sejak Januari tahun ini, caj perkhidmatan 50 sen untuk Astro telah dilaksanakan oleh ejen-ejen pembayaran bil, cuma Pos Malaysia Berhad sahaja yang baharu mengenakan caj sama bagi bayaran bil Astro di kaunter bermula 1 Sept 2021,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) yang ingin tahu mengapa caj 50 sen dikenakan sebagai caj kepada pelanggan apabila membayar bil Astro sekiranya dibayar secara manual di pejabat pos.

Beliau berkata Pos Malaysia yang telah dikorporatkan pada 1992 dan disenaraikan di Bursa Malaysia pada 2001 kini adalah anak syarikat Kumpulan DRB-HICOM Berhad.

Katanya selain menyediakan perkhidmatan pos asas, Pos Malaysia telah mengembangkan aktiviti perniagaannya dan kini merupakan sebuah syarikat perkhidmatan logistik dan e-Dagang bersepadu yang terulung di Malaysia.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Caj tambahan 50 sen bil Astro tumpuan Dewan Rakyat hari ini

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Persidangan Dewan Rakyat yang memasuki hari keempat hari ini bakal membincangkan mengenai caj 50 sen dikenakan sebagai komisen oleh pejabat pos kepada pelanggan yang membayar bil Astro secara manual di premis berkenaan.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat, soalan itu akan dikemukakan Kasthuriraani Patto (PH-Batu Kawan) kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri.

Pada sesi sama juga, Mordi Bimol (PH-Mas Gading) dijadual mengajukan soalan mengenai usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bagi membina semula ekonomi pasca-Covid-19 serta strategi kementerian dalam merangsang pertumbuhan sektor ekopelancongan.

Selain itu, pada sesi soal jawab lisan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) akan mengemukakan pertanyaan mengenai jumlah laporan ajaran sesat sepanjang 2020 hingga suku ketiga tahun ini serta langkah kerajaan bagi mencegah penyebaran ajaran tersebut.

Soalan berhubung usaha Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam meningkatkan hasil sawit dan getah melalui kaedah pertanian pintar khasnya melibatkan penggunaan teknologi sistem navigasi satelit dan sistem pengairan pintar pula dijangka diajukan Datuk Seri Idris Jusoh (BN-Besut).

Turut dijangka dibincangkan adalah soalan Chan Ming Kai (PH-Alor Setar) yang meminta Menteri Alam Sekitar dan Air menyatakan tunggakan bil pembetungan Indah Water mengikut negeri dan senarai premis kerajaan yang masih mempunyai tunggakan.

Dalam pada itu, sebanyak enam rang undang-undang dijadual dibentang untuk bacaan kali kedua dalam Aturan Urusan Mesyuarat hari ini termasuk Rang Undang-Undang Perihal Dagangan (Pindaan) 2021; Rang Undang-Undang Ordinan Peguam Bela (Sabah) (Pindaan) 2021 serta Rang Undang-Undang Lembaga Angkasa Malaysia 2020.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 32 hari hingga 16 Dis.

– BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Untung bersih Astro susut kepada RM133.65 juta pada suku kedua

KUALA LUMPUR, 16 SEPT: Keuntungan bersih Astro Malaysia Holdings Bhd (Astro) susut 21 peratus kepada RM133.65 juta pada suku kedua berakhir 31 Julai, 2020 daripada RM169.34 juta sebelum ini.

Penurunan itu berikutan kemerosotan pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) serta kos pembiayaan bersih, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Margin EBITDA merosot sebanyak 1.3 peratus berbanding suku tahun yang sama tahun lepas, berikutan kos barangan yang tinggi, dikurangkan oleh kos kandungan yang rendah dan susut nilai belum terima.

Perolehan pada suku tahun semasa turut susut 11.8 peratus kepada RM1.09 bilion daripada RM1.24 bilion pada tahun lepas, berikutan penurunan perolehan langganan dan pengiklanan serta diimbangi oleh peningkatan jualan barangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Henry Tan berkata operasi hampir dengan kapasiti penuh.

“Pemasangan telah disambung semula dan kami melihat Astro Ultra Box meneruskan trajektori pertumbuhannya, dengan lebih 100,000 kotak telah dipasang, naik 60 peratus dalam tempoh tiga bulan.

“Trend pembayaran pelanggan juga menggalakkan, dan produksi tempatan, sukan siaran langsung global dan acara lapangan telah disambung semula,” katanya dalam kenyataan berasingan.

Mengenai prospek, Astro terus berhati-hati pada separuh kedua tahun kewangan 2021 berikutan ketidaktentuan akibat pandemik Covid, perubahan struktur dalam industri media dan gejala cetak rompak yang berterusan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Gobind mahu jumpa Astro minggu depan perbaiki perkhidmatan

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 23 JUN: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo akan bertemu dengan wakil Astro minggu depan bagi berbincang mengenai perkhidmatan rangkaian televisyen berbayar itu.

Gobind berkata, pertemuan itu diadakan berikutan aduan orang ramai mengenai mutu perkhidmatan Astro.

“Ramai yang mengadu berkenaan perkhidmatan Astro. Saya telahpun menjemput wakil mereka ke pejabat saya untuk bincang perkara-perkara yang dibangkitkan minggu depan,” katanya menerusi laman twitter peribadinya semalam.

Beliau berkata demikian bagi membalas mesej seorang pengguna Twitter ‘@NPeriasamy5’ yang tidak berpuas hati dengan perkhidmatan Astro yang dilanggannya.

Pengguna itu mendakwa dia tidak berpuas hati dengan cara Astro melayani aduannya walaupun selepas dia beberapa kali menghantar tweet kepada syarikat berkenaan.

“Sejak beberapa hari lalu cuba selesaikan masalah dekoder rosak tetap mereka langsung tidak peduli. Lebih menyakitkan hati lagi apabila Astro mahu mengenakan caj perkhidmatan sebanyak RM61!,” katanya.

Rentetan daripada twitter tersebut, lebih ramai pengguna laman sosial berkenaan mengadu isu perkhidmatan Astro yang menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan pelanggannya.

=EZY=

Categories
NASIONAL

FOMCA: ‘Astro Blackout’, hak pengguna perlu diberi jaminan

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 25 OGOS: Pihak kerajaan digesa untuk mengkaji semula perjanjian antara syarikat perkhidmatan dengan pengguna yang dilihat berat sebelah seperti Astro.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata terma dan syarat perjanjian sedia ada hanya memberi keuntungan dan kelebihan kepada Astro.

FOMCASedangkan, katanya, pengguna pula terpaksa menerima baik dan buruk perkhidmatan siaran yang diberikan tanpa boleh berbuat apa-apa.

“Jika pengguna lambat walau sehari membuat bayaran bil tetap bulanan, cepat sahaja perkhidmatan dipotong, malah perlu bayaran tambahan jika mahu sambung semula.

“Tetapi jika perkhidmatan Astro terganggu hingga pengguna tidak dapat nikmati siaran memuaskan, pengguna tidak pula diberikan rebet.

“Keadaan ini harap dapat dikaji bagi menjamin kepentingan pengguna,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau diminta mengulas gangguan siaran Astro yang terjejas lebih 30 minit malam tadi hingga mengundang kemarahan ramai pengguna.

astro_red-logo-bigAstro dalam kenyataanya memberi alasan gangguan disebabkan masalah teknikal dan meminta maaf kepada pengguna atas sebarang kesulitan yang dihadapi.

Mengulas lanjut, Yusof tidak menolak kemungkinan masalah berulang Astro disebabkan monopoli syarikat berkenaan dalam bidang penyiaran.

“Pengguna memang ada pilihan lain seperti Hypp TV dan ABN Access namun kedua-kedua ini tidak meluas seperti Astro.

“Jadi mungkin sebab ini Astro berasa dia bebas berbuat apa-apa kerana merasakan pengguna tiada pilihan yang banyak.

“Lagipun pelanggan Astro ada menandatangani kontrak langganan 18 bulan, jika mahu tamatkan awal dikenakan penalti,” katanya lagi.

EZY

Categories
NASIONAL

PR sokong memorandum SAMM bantah kenaikan tarif bil ASTRO

Oleh : Afeeqa Afeera

KUALA LUMPUR 5 DIS : Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) memberi sokongan penuh terhadap memorandum Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) berhubung bantahan kenaikan tarif bil stesen berbayar ASTRO yang didakwa sangat melampau.

Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata memorandum “Hentikan segera monopoli syarikat Astro” itu diserahkan SAMM untuk pertimbangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta seluruh Ahli Dewan Rakyat.

boikot-astroMemorandum itu dipetik sebagai berkata ASTRO tidak layak menaikkan bil sesuka hati atas pelbagai faktor, ditambah sikap kerajaan pusat yang didakwa tidak mempedulikan rintihan rakyat yang terpaksa mengharungi kerenah stesen berkenaan.

“Memo ini menegaskan bahawa ASTRO tidak layak menaikkan tarif kerana tayangan filem dan drama yang berulang-ulang setiap bulan hampir sepanjang tahun, kekerapan dan durasi iklan yang semakin tinggi serta siaran sering tergendala akibat hujan,” katanya.

Memorandum itu turut disokong wakil rakyat lain antaranya Ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin dan Ahli Parlimen Bakri, Er Teck Hwa.

Kandungan memorandum itu antara lain menggesa kerajaan supaya membenarkan lebih daripada satu siaran berbayar beroperasi di negara ini untuk memberi pilihan kepada pelanggan, selain menjana persaingan sihat.

“Jika dibandingkan dengan negara lain, India mempunyai enam operator televisyen berbayar sama seperti di Indonesia, manakala Australia mempunyai tiga operator.

“Harganya juga jauh lebih rendah berbanding di Malaysia. Monopoli ASTRO ternyata hanya menguntungkan kroni dan merugikan rakyat, apatah lagi perkhidmatannya sangat tidak memuaskan,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

ASTRO tidak wajar naik caj pakej sedia ada

Oleh : NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM 12 NOV  : Kenaikan caj yang dikenakan ASTRO adalah tidak wajar ekoran perkhidmatan yang ditawarkan tidak sepadan dengan harga yang perlu dibayar pelanggan.

Pengerusi Biro Kepenggunaan PKR, Yahya Sahri, berkata syarikat terbabit juga dlihat perlu menaiktaraf perkhidmatan yang ditawarkan kepada pelanggan sebelum caj dinaikkan.

Katanya, siaran berulang dan gangguan perkhidmatan ketika hujan juga perlu diberi penambahbaikan kerana harga bayaran tidak setimpal dengan apa yang ditawarkan ASTRO.

“Kita anggap tindakan itu tidak wajar kerana menindas pengguna secara terus. Kebanyakan pengguna merungut kerana tidak mendapat perkhidmatan yang berkualiti dan tidak sepadan dengan caj yang dikenakan,” katanya ketika dihubungi portal Selangor Kini, di sini, hari ini.yahya shari 01

Yahya berkata, kerajaan pusat juga perlu menamatkan monopoli ASTRO dan meluluskan lesen khidmat televisyen berbayar kepada syarikat lain.

Katanya, pelaksanaan itu bagi mewujudkan persaingan sihat di kalangan penyedia perkhidmatan seperti yang berlaku antara pembekal perkhidmatan komunikasi bagi membolehkan pengguna membuat pilihan.

“ASTRO sudah untung besar dan memonopoli pasaran. Jadi, tidak wajar caj perkhidmatan kepada pengguna dinaikkan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kementerian Komunikasi dan Multimedia mengambil tindakan tegas bagi menghalang kenaikan itu dan pengguna juga diminta untuk tidak melanggan ASTRO sebagai tanda protes kepada syarikat terbabit.

Sebelum ini, ASTRO memaklumkan bakal mengenakan tambahan caj RM2 bagi pakej keluarga dan RM6 bagi pakej sukan, bermula 24 November ini.

-NFN-

Categories
NASIONAL

DPMM Selar Astro Tapis Berita BERSIH 3.0

SHAH ALAM,3 MEI : Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati terhadap media antarabangsa seperti British Broadcasting Company (BBC) dan Al Jazeera kerana liputan berita milik mereka semasa perhimpunan BERSIH 3.0 telah ditapis oleh Astro tanpa persetujuan mereka.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS,Riduan Mohd Nor berkata alasan Astro bahawa mereka mematuhi garis panduan penyiaran kebangsaanî adalah alasan remeh dan sukar untuk diterima.

“Ini kerana dengan penapisan yang dibuat oleh Astro akan menyebabkan hilangnya babak penting yang menceritakan peristiwa sebenar dalam perhimpunan tersebut. Ia pula akan menjadikan liputan ini sangat tidak adil, berat sebelah,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Riduan berkata, DPPM merasa kecewa kerana Astro tidak merujuk dahulu media antarabangsa liputan yang mereka tapis dan paparkan kepada masyarakat.

Ini menggambarkan betapa teruknya nilai demokrasi di negara ini sehingga media disekat sedemikian rupa hatta terhadap media antarabangsa.

Beliau juga kesal kerana media di Malaysia masih terkongkong oleh pengaruh politik pemerintahan BN sedangkan media antarabangsa telah jauh mendahului dalam memberikan liputan yang adil dan bebas.

“Rakyat merasa malu jika media di Malaysia akan dibandingkan dengan media di bawah pemerintahan negara-negara rejim kuku besi.

“Bagi rakyat Malaysia pula, perkara ini tidak mengejutkan kerana ia sudah menjadi lumrah sejak dahulu lagi di mana media tidak pernah bebas dan adil dalam memberikan laporannya,” katanya.

Ujar Riduan lagi, media utama memainkan peranan penting menghentam parti politik atau pemimpin serta sesiapa sahaja yang tidak sehaluan dengan Umno-BN.

“Tidak perlu pemimpin Pakatan Rakyat keluar negara bagi menceritakan bagaimana teruknya mereka dilayan oleh media tempatan,

“Cukup hanya melihat bagaimana tapisan terhadap pemberitaan yang dibuat oleh media antarabangsa dalam peristiwa penting yang berlaku di negara ini,” tegas beliau.