Categories
SELANGOR

Pemandu Grab maut dibunuh

SELAYANG 24 JUN: Pemandu Grab ditemui meninggal dunia dipercayai dibunuh, di dalam kereta miliknya di kawasan parkir Taman Selayang Makmur, Selayang, Gombak, malam tadi.

Dalam kejadian 8.20 malam itu, lelaki berusia 27 dan berasal dari berasal dari Nilai, Negeri Sembilan, dijumpai di tempat duduk belakang kereta Perodua Myvi berkenaan.

Ketika ditemui, lelaki itu dalam keadaan terlingkup dengan bahagian kepala mengenai lantai kenderaan itu, manakala kakinya di atas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Superintendan Tey Kong Seng berkata, sebelum kejadian, pihaknya dimaklumkan oleh bapa tiri lelaki terbabit untuk membuat pemeriksaan di dalam kereta mangsa.

Beliau berkata, susulan itu, anggota polis Unit Rondaan Bermotosikal (URB) ke lokasi.

“Sebaik tiba, anggota berkenaan menemui mangsa di dalam kenderaan berkenaan.

“Anggota perubatan dari Hospital Selayang yang tiba tidak lama kemudian mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tey berkata, siasatan awal mendapati tiada kesan kecederaan ketara ditemui pada badan mangsa.

“Bagaimanapun, terdapat kesan melecet pada leher mangsa. Kami tidak menemui sebarang senjata di lokasi kejadian.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) di sepanjang jalan masuk ke lokasi kejadian.

“Malah, tiada saksi yang melihat kejadian berkenaan,” katanya yang memaklumkan pemeriksaan turut dibantu oleh Unit Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

Beliau berkata, pihaknya merampas dua telefon bimbit, kasut, stokin dan baju-T yang ditemui di dalam kereta berkenaan.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

SUMBER: HARIAN METRO

Categories
NASIONAL

Grab tawar diskaun sempena PRU14

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

SHAH ALAM, 27 APR: Grab, peneraju platform e-hailing bersama fintech terkemuka Malaysia dan Asia Tenggara, menawarkan diskaun ke atau dari mana-mana pusat mengundi di seluruh negara sempena Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), pada 9 Mei ini.

Ketua Grab Malaysia, Sean Goh berkata, diskaun berkenaan sah untuk semua pusat mengundi di 25 bandar seluruh negara yang dioperasi Grab, termasuk dua kawasan baru iaitu Lahad Datu dan Sarikei, yang akan menjalankan perkhidmatannya pada 2 Mei ini.

“Kunjungi katalog GrabRewards dan hanya 250 mata, tebus RM5 diskaun untuk satu perjalanan, sah untuk mana-mana kaedah pembayaran pada 9 Mei 2018 sahaja.

“Antara perkara paling penting bagi kami di Grab adalah suara Grabbers kami. Maklum balas dan pendapat mereka penting kepada kami. Kami berusaha keras membuat semua orang rasa dihargai dan yakin suara mereka penting dalam membentuk sebuah syarikat yang boleh kami bangga untuk menjadi sebahagian daripadanya.

“Kami juga perlu mengingatkan rakyat Malaysia, suara dan undi mereka penting dalam menentukan Malaysia, negara yang kita diami,” katanya dalam kenyataan.

Maklumat lanjut mengenai “Election Day GrabRewards” dan kod promo boleh didapati di https://www.grab.com/my/blog/my-nation-my-destination/.

Categories
NASIONAL

Kaji dasar, elak monopoli

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 27 JULAI : Kajian pelaksanaan dasar sedia ada perlu dijalankan semula bagi menghalang sebarang taktik monopoli pengusaha Uber dan Grab yang menekan kebajikan pemandu teksi.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berkata, cadangan itu perlu dilaksanakan dengan mengambil kira ketetapan perundangan dilaksanakan di peringkat Persekutuan.

“Kementerian perlu mengkaji semula perundangan sedia ada yang membolehkan syarikat gergasi dikuasai investor luar negara dengan kedudukan kewangan kuat supaya tidak dibenarkan berlakunya aktiviti monopoli.

TIAN CHUA“Ia bagi memastikan syarikat pengusaha luar ini tidak mengaut keuntungan yang akhirnya menimbulkan lebih banyak masalah kepada pemandu teksi dalam negara.

“Isunya kini, kita tidak mengetahui sama ada wujudnya klausa perundangan negara untuk pastikan syarikat ini tidak mengeluarkan subsidi untuk perolehan untung pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi perbahasan pindaan Rang Undang-Undang Akta Pengangkutan Awam Darat Pindaan (2017) oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukry di Dewan Rakyat, pagi ini.

Cadangan Naib Presiden KEADILAN itu turut disokong Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Ahmad Nawawi.

Nawawi berkata, pihak kementerian sewajarnya meneliti sistem perundangan sedia ada bagi memastikan hak pengusaha teksi tidak dinafikan.

UBER GRAB“Saya rasa itu hal yang perlu diberi perhatian kerajaan, (jika gagal) keadaan ini akan merugikan pengusaha teksi yang lebih terkesan dengan pelaksanaan sedia ada,” katanya.

Untuk tempoh kini, perkhidmatan Uber dan Grab diperluas ke Lembah Klang dengan penambahbaikan di beberapa bandar seluruh negara.