Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: e-bazar Ramadan tidak bercanggah arahan Kerajaan Pusat

SHAH ALAM, 18 APRIL: Dua saluran e-dagang Grab Selangor dan Platform Selangor (Plats) yang diperkenal Kerajaan Negeri sempena kedatangan Ramadan tidak bercanggah dengan arahan Kerajaan Pusat, kata Dato’ Menteri Besar

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata kedua-dua saluran melalui pelaksanaan e-bazar Ramadan Selangor sama dengan amalan perniagaan e-panggilan yang dibenarkan menteri kanan (kluster keselamatan).

“Kita ambil keputusan ini kerana melihat peniagaan e-panggilan dibenarkan untuk penghantaran makanan daripada restoran serta (premis) makanan segera di seluruh Malaysia termasuk Selangor.

“Justeru, pelaksanaan e-bazar akan menggunakan konsep itu. Cumanya, kita gabungkan peniaga-peniaga di satu tempat dengan kawalan agar tidak menjadi tumpuan penyebaran Covid-19.

“Jadi, saya kira kita tidak melanggar kerana kita mengambil kira pandangan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa operasi e-panggilan masih dibenarkan,” katanya dalam wawancara dalam talian dengan TV Al-Hijrah malam ini.

Pada 8 April lalu, Selangor mengumumkan inisiatif tempahan dalam talian menggantikan bazar Ramadan secara fizikal.

Sebanyak 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat yang diseliakan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor dengan kerjasama Hijrah Selangor.

Namun, Kerajaan Pusat pada 16 April lalu tidak membenarkan bazar Ramadan secara pandu lalu mahupun tempah dan ambil dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam wawancara berkenaan, Amirudin turut menerangkan kaedah dan syarat operasi e-bazar.

– Maksimum empat peniaga untuk satu restoran

– Antara 10 hingga 15 peniaga untuk satu dewan

– Tempahan dibuat hingga jam 1 tengah hari. Penghantaran sejam kemudian.

Sebanyak 77 pusat pengumpulan dikenal pasti meliputi 10 dewan seliaan pihak berkuasa tempatan dan 67 restoran bakal menyediakan juadah berbuka puasa.

Penghantaran dibuat syarikat penghantar seperti Grab, BungkusIt, Mr Speedy, Zepto Express dan MatDespatch.

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

MB: Kaedah jual-beli e-bazar Ramadan jamin kualiti juadah

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kerajaan Negeri akan mengumumkan kaedah jual-beli sistem e-bazar selewat-lewatnya minggu depan, kata Dato’ Menteri Besar.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata mekanisme  itu bergantung kepada aspek logistik termasuk mengambil kira pusat penempatan barang atau makanan dan cara penghantaran.

“Sekarang cara penghantaran sudah ada misalnya Grab, FoodPanda dan Bungkusit, tetapi bagaimana kita mahu sediakan satu dapur berpusat (central kitchen) supaya kualiti makanan terjamin seterusnya dapat diagih kepada orang ramai.

“Jadi, apa yang perlu dilakukan ialah pihak berkuasa tempatan (PBT) akan koordinasi dengan peniaga dan kemungkinan sebahagian kecil akan dapat tempat berdasarkan kelayakan,” katanya ketika diwawancara Timbalan Ketua Pemuda Amanah Shazni Munir Mohd Ithnin melalui siaran langsung di Facebook Pemuda Amanah Nasional malam ini.

Amirudin berkata pendekatan itu dilakukan bagi membela lebih 16,000 peniaga dan penjaja yang terkesan susulan pembatalan bazar Ramadan di negeri itu tahun ini.

“Kebiasaannya, ketika Ramadan sebahagian keluarga mengambil kesempatan berniaga makanan, pakaian dan persiapan hari raya bagi menambah pendapatan, jadi keputusan membatalkan bazar Ramadan memberi kesan,” katanya.

Beliau juga menegaskan cadangan pelaksanaan e-bazar itu tidak bertentangan arahan terbaru Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkaitan larangan penggunaan syarikat pengendali e-panggilan.

“Konteks e-panggilan adalah penghantaran makanan. Jadi pada waktu ini, restoran-restoran masih boleh beroperasi dan menghantar makanan. Tidak ada bezanya dengan bazar-bazar tersebut,” katanya.

Pada 8 April lalu, Kerajaan Selangor mengumumkan  inisiatif pembelian dalam talian bagi menggantikan bazar Ramadan secara fizikal dengan bekerjasama dengan syarikat penghantaran e-panggilan, Grab Malaysia.

Categories
AGENDA NASIONAL

Grab sedia jayakan e-Bazar Ramadan

SHAH ALAM, 8 APRIL: Grab Malaysia bersedia menjayakan bazar Ramadan digital (e-Bazar Ramadan) demi keselesaan rakyat menerusi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan, kata ketuanya.

Sean Goh berkata pihaknya mahu menyokong dan menggalakkan usahawan menggunakan khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan capaian perniagaan menerusi perkhidmatan GrabPay, GrabFood dan GrabExpress.

“Setiap tahun usahawan mikro dan penjual di laman sosial mengharapkan musim ini sebagai tempoh yang paling sibuk dan mengambil bahagian dalam bazar Ramadan di kawasan kejiranan mereka, mengadakan gerai ‘pop-up’ di seluruh bandar.

“Tetapi tanpa kehadiran fizikal, mereka mungkin tidak dapat menghasilkan jualan yang sama seperti sebelumnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Grab sentiasa menggalakkan peniaga menguasai ekonomi digital bagi mengembangkan perniagaan termasuk menyokong restoran persendirian dan penjaja kecil menerusi kempen “Local Heroes” Grab.

Sean berkata pihaknya juga aktif berbincang dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain mengenai hasrat pendigitalan peniaga bazar Ramadan tempatan bagi melindungi pendapatan usahawan mikro.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan e-Bazar Ramadan Selangor GRAB dengan 15 lokasi akan dipilih menjadi dapur berpusat bagi mengumpul peniaga memasak dan menjual juadah sepanjang Ramadan ini.

Categories
NASIONAL

Rompak pemandu Grab, penganggur dipenjara lima tahun

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Seorang penganggur yang menyamun seorang pemandu Grab tahun lalu, dihukum penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ampang, di sini hari ini.

Hakim Suzanna Hussin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammed Azlan Shah Zamri, 25, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah semasa perbicaraan kesnya dan memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 1 November tahun lalu.

Mohammed Azlan didakwa bersama-sama dua orang lagi, melakukan rompakan berkumpulan terhadap Mok Jun Yue, 22, dan merampas tiga kad ATM, satu telefon bimbit dan wang tunai RM210 menggunakan sebilah pisau di Taman Bakti Ampang, di sini pada 4 pagi, 20 November 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Goh Ai Rene memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira kepentingan awam dan statistik kes jenayah ini yang tinggi dan semakin berleluasa.

Tertuduh yang diwakili peguam Muhammad Razman Sahat dan Muhammad Amin Abdullah merayu hukuman ringan atas alasan anak guam mereka insaf dan menyesal atas perbuatannya.

Muhammad Razman berkata anak guamnya perlu bekerja selepas ini untuk membantu keluarga selepas ayahnya disahkan menghidapi kanser usus dan sakit jantung serta tidak lagi mampu bekerja untuk menanggung keluarga.

Menurut fakta kes, mangsa yang sedang memandu Grab membawa tiga orang ke Taman Bakti Ampang dan apabila meminta duit tambang, lehernya telah dipaut dari belakang dan satu pisau diacukan ke arahnya oleh penumpang yang duduk di bahagian belakang.

Penumpang yang duduk di hadapan pula telah merompak barang-barang milik mangsa dan kemudiannya kesemua mereka melarikan diri.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemandu Grab perlu berhati-hati, elak penumpang mencurigakan

 

KOTA KINABALU, 1 Jun : Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman menasihatkan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing, Grab agar lebih berhati-hati ketika membawa penumpang yang menaiki kenderaan mereka.

Beliau berkata meskipun pekerjaan itu merupakan sumber pendapatan namun faktor keselamatan juga perlu diutamakan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Sekiranya penumpang itu kelihatan mencurigakan adalah lebih baik mencari penumpang lain walaupun tindakan itu akan menjejaskan pendapatan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Iftar Polis Diraja Malaysia bersama Timbalan Menteri Dalam Negeri, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah, Kepayan di sini, malam ini.

Turut hadir Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah.

Dalam pada itu, beliau memuji tindakan pantas polis Sabah dengan kerjasama pihak Grab kerana berjaya memberkas suspek yang disyaki membunuh pemandu Grab Mohd Hanafiee Jaafar pada 24 Mei lepas.

Beliau berkata salah seorang suspek adalah warga asing telah menerima pelbagai respons daripada netizen di media sosial agar isu pendatang tanpa izin di negeri ini diatasi sebaiknya.

Oleh sebab itu, beliau berkata Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing di Sabah membincangkan perkara berkenaan dalam usaha merekodkan data mereka yang tidak mempunyai dokumen.

“Itulah perlunya pangkalan data agar mereka yang tidak berdokumen ini direkodkan dan sekiranya berlaku kes jenayah, cap jari mampu mengesan pelakunya,” katanya. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Pemandu Grab didakwa bunuh Pengurus Acara

 

KUALA LUMPUR, 30 Mei: Seorang pemandu grab didakwa di Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pengurus acara yang dipercayai dijumpai dengan beberapa kesan tikaman pada dada dan perut di sebuah pangsapuri di sini.

Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Muhd Nur Adib Ahmad Noor, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A Raof kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian ke atas Ahmad Sya Raziq Mohd Razman, 33, di sebuah rumah di Residensi Bistari, Jalan Ukay Bistari, Ukay Perdana di sini antara 11 pagi hingga 12 tengah hari, 11 Mei lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 22 Julai untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan bedah siasat, forensik dan kimia.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemandu Grab cuba curi motosikal dipenjara

KUALA LUMPUR, 13 MEI: Padah cuba mencuri sebuah motosikal, seorang pemandu Grab dijatuhi hukuman setahun penjara dan didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh Mohd Fairuz Mohd Roslan, 34, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret M Saravanan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 28 Okt tahun lepas dan sebulan penjara, sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa cuba mencuri sebuah motosikal jenis Yamaha warna hitam milik T. Thanganurai, 20, di Taman Desa Pandan, Wangsa Maju di sini, kira-kira 12.30 tengah malam, pada 28 Oktober 2018.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Aiman Azahan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran, namun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan kerana merupakan penanggung tunggal keluarga.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kerajaan pinda syarat kelayakan lesen PSV untuk OKU

PETALING JAYA, 11 APRIL: Kementerian Pengangkutan akan meminda syarat kelayakan permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) bagi membenarkan golongan orang kurang upaya (OKU) untuk menjadi pemandu e-hailing.

Ketika ini, peraturan semasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melarang golongan OKU daripada mendapatkan lesen PSV, yang akan menjadi syarat wajib untuk pemandu e-hailing bermula 12 Julai ini.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ketika ini terdapat sekitar 400 pemandu OKU e-hailing dan pindaan syarat itu perlu bagi membolehkan mereka bekerja dan mendapat pendapatan sendiri.

Beliau berkata, pihaknya yang berhasrat meminda peraturan itu bagi membolehkan OKU mendaftar sebagai pemandu PSV sedang berusaha menyegerakannya dan berharap ia dapat dilaksanakan Mei ini.

“Ia membabitkan kira-kira 300 sehingga 400 pemandu OKU.

“Mereka akan diberi keutamaan, diharapkan sebaik sahaja peraturan pada 12 Julai berkuat kuasa, mereka boleh terus memandu,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan teknologi pengecaman wajah Grab Malaysia di ibu pejabat Grab Malaysia, di Bandar Utama, di sini hari ini.

PETALING JAYA, 11 April — Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berucap merasmikan pelancaran teknologi pengesahan penumpang menggunakan kaedah swafoto pada aplikasi Grab di Ibu Pejabat Grab Malaysia hari ini.
Menurut Ketua Negara Grab Malaysia, Sean Goh pelancaran aplikasi itu adalah kerjasama Grab Malaysia bersama Kementerian Pengangkutan dalam usaha untuk melindungi keselamatan penumpang dan pemandu.
— fotoBERNAMA (2019) HAK CIPTA TERPELIHARA

Loke berkata, ketika ini sebanyak 25 syarikat yang mahu melaksanakan perkhidmatan e-hailing sudah memohon lesen pengendali dengan 16 daripadanya lulus, dua permohonan ditolak manakala lebih 1,000 pemandu mendaftar setakat ini.

Ditanya berkenaan terdapat pemandu e-hailing yang menolak peraturan pendaftaran PSV, beliau meminta mereka melihat daripada perspektif berbeza dan menegaskan semua pemandu perlu mendaftar serta mematuhi peraturan ditetapkan juga memberi kerjasama menyeluruh.

“Sudah tentu ada sedikit masalah bagi anda untuk pergi kursus, lesen, dan sebagainya, tapi lihat kepada manfaat jangka panjang. Seluruh industri akan dijadikan sah oleh undang-undang dan diselaras, jadi anda ada persekitaran ‘secure’ untuk beroperasi.

“Anda hanya perlu lakukan ia sekali sahaja, bukan kita minta mereka buat setiap tahun, kemudian tahun depan hanya perbaharui sahaja. Tidak kiralah pemandu separuh masa atau sepenuh masa, mereka tetap kena mendaftar e-hailing,” katanya.

Loke turut menyeru pemandu e-hailing supaya tidak menunggu hingga saat akhir untuk mendaftar lesen PSV mereka. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kerjasama SSDU-GRAB realisasi Trafik Pintar Smart Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 9 DIS: Smart Selangor Delivery Unit (SSDU) menjalinkan kerjasama dengan syarikat e-hailing nombor satu negara, GRAB bagi mencari penyelesaian berhubung peningkatan kualiti pengangkutan, di negeri ini.

Pengarah Urusan SSDU, Dr Fahmi Ngah berkata, tumpuan kerjasama berkenaan juga untuk merealisasikan objektif Inisiatif Trafik Pintar Smart Selangor dan Mobiliti Pintar Selangor.

Katanya, ia bertujuan meningkatkan penggunaan pengangkutan awam, menaik taraf laluan pejalan kaki serta mengurangkan aliran trafik di pusat bandar utama.

“Jalinan kerjasama ini menandakan satu kejayaan penting bagi memastikan penyelesaian lebih berkesan untuk digunakan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan dan Kerajaan Negeri.

“Beberapa inisiatif baru juga akan dibangunkan bersama yang akan menambah baik lagi pengalaman orang awam berkaitan perkhidmatan bas Smart Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama GRAB yang turut dihadiri Ketua Pembangunan Perniagaan GRAB Malaysia, JJ Tan.

Sementara itu, Tan berkata, GRAB percaya setiap rakyat Malaysia harus mendapat manfaat daripada ekonomi digital, sekali gus menerima akses mudah pengangkutan selamat dan berpatutan.

“Matlamat GRAB adalah untuk mengintegrasikan perkhidmatan disediakan dengan pengangkutan awam, membolehkan pelanggan kami bergerak lancar, juga mengurangkan kesesakan semasa mendapatkan perjalanan lebih murah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Grab tawar harga istimewa sempena PRK Port Dickson

OLEH NADIAH ZAMLUS

PORT DICKSON, 12 OKT: Syarikat e-hailing nombor satu negara, Grab memberi potongan harga istimewa buat pengundi sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson, esok.

Grab menerusi kenyataan berkata, pengguna boleh mendapatkan potongan harga sehingga RM5 bagi dua kali tempahan perjalanan ke pusat mengundi.

“Orang ramai boleh menggunakan kod VOTE4PD untuk mendapatkan harga istimewa tersebut, dan ia terhad kepada 10,000 penebusan sahaja.

“Promosi itu bermula dari jam 12 pagi pada 13 Oktober sehingga jam 12 tengah malam,” kata kenyataan itu.

Setakat ini, Parlimen Port Dickson memiliki 75,770 pengundi berdaftar daripada lima Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Linggi, Bagan Pinang, Sri Tanjung, Chuah dan Lukut, merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, Cina (33 peratus), India (22 peratus) dan lain-lain kaum (2 peratus).

Categories
GLOBAL

Singapura denda Grab & Uber S$13 juta kerana gabungan jejaskan persaingan

SINGAPURA, 24 SEPT: Suruhanjaya Persaingan dan Pengguna Singapura (CCCS) telah mengenakan penalti kewangan sebanyak S$6,419,647(S$ =RM2.99) ke atas Grab dan S$6,582,055 ke atas Uber bagi menghalang penggabungan yang menjejaskan persaingan.

Dalam satu kenyataan hari ini, CCCS berkata, dalam mengenakan denda tersebut, ia telah mengambil kira jumlah dagangan kedua-dua syarikat, sifat, tempoh dan keseriusan pelanggaran, faktor-faktor lain seperti sama ada Grab dan Uber memberi kerjasama.

Ini adalah sebahagian daripada Keputusan Pelanggaran CCCS terhadap Grab dan Uber berhubung penjualan perniagaan Asia Tenggara Uber kepada Grab untuk kepentingan 27.5 peratus dalam Grab sebagai pertukaran.

Urus niaga itu selesai pada 26 Mac 2018.

CCCS mendapati transaksi berkenaan telah membawa kepada pengurangan persaingan yang ketara dalam penyediaan perkhidmatan platform e-haliling di Singapura.

Pada 27 Mac 2018, CCCS memulakan penyiasatan atas asas bahawa transaksi itu mungkin telah melanggar Akta Persaingan sebagai penggabungan anti-persaingan.

CCCS mencadangkan Arahan Langkah-Langkah Sementara pada 30 Mac 2018 dan memuktamadkannya pada 13 April 2018 untuk mengurangkan kesan transaksi tersebut kepada pemandu dan penumpang, sambil meneruskan siasatan.

Pada 5 Julai 2018, CCCS menyelesaikan siasatannya dan mengeluarkan Keputusan Pelanggaran Dicadangkan terhadap kedua-dua pihak dan mempelawa maklum balas orang ramai mengenai kemungkinan penyelesaian untuk menangani kemudaratan terhadap persaingan berikutan transaksi berkenaan.

Dalam mencapai keputusan muktamadnya, CCCS berkata, ia telah mempertimbang dengan teliti representasi bertulis dan lisan daripada Grab dan Uber, maklum balas daripada pemain industri, pihak berkepentingan dan orang ramai, serta semua maklumat dan bukti yang ada.

Dalam penemuannya, antara lain, suruhanjaya itu mendapati Grab telah menaikkankan harga selepas penyingkiran pesaing terdekatnya.

CCCS berkata, ia telah memeriksa dokumen dalaman Grab serta Uber dan mendapati Uber tidak akan meninggalkan pasaran Singapura dengan hanya menamatkan perniagaannya jika transaksi itu tidak berlaku.

Sebaliknya, Uber akan meneruskan operasinya di Singapura, sambil meneroka pilihan komersial strategik lain, seperti kerjasama dengan pemain pasaran lain atau penjualan kepada pembeli alternatif, katanya.

Urus niaga itu telah menghapus pesaing terdekat Grab dalam perkhidmatan platform e-haling, iaitu Uber.

CCCS berkata, ia menerima banyak aduan daripada penumpang dan pemandu mengenai kenaikan tambang dan komisen oleh Grab selepas urus niaga seperti penurunan dalam jumlah dan kekerapan promosi penumpang dan insentif pemandu.

Sebagai contoh, Grab mengumumkan perubahan kepada Skim GrabRewards pada Julai 2018 yang secara amnya mengurangkan bilangan mata yang diperoleh penumpang bagi setiap dolar yang dibelanjakan untuk perjalanan Grab dan meningkatkan bilangan mata yang diperlukan untuk penebusan.

CCCS juga mendapati tambang telah meningkat antara 10 peratus dan 15 peratus selepas urus niaga tersebut, katanya.

Selain mengenakan denda kewangan, CCCS telah mengeluarkan arahan kepada kedua-duanya untuk mengurangkan kesan urus niaga kepada pemandu dan penumpang,dan untuk membuka pasaran secara adil untuk pemain baru.

Ini termasuk memastikan pemandu Grab bebas menggunakan mana-mana platform e-hailing dan tidak dikehendaki menggunakan Grab semata-mata; menghapuskan perjanjian eksklusif Grab dengan mana-mana kumpulan teksi di Singapura untuk meningkatkan pilihan untuk pemandu dan penumpang; dan mengekalkan algoritma harga pra-penggabungan Grab dan kadar komisen pemandu.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Bunuh pemandu Grab: Polis tahan lelaki, wanita Myanmar

KUALA LUMPUR 26 JUN: Polis menahan sepasang warga Myanmar bagi membantu siasatan kes pemandu Grab, Aiman Nosri yang ditemui mati dengan kesan jerutan pada leher di Selayang dekat sini Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak Supritenden Tey Kong Seng berkata pihaknya menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia lingkungan 20-an dan 30-an di sekitar Selayang pada pukul 1 pagi Selasa.

“Siasatan lanjut masih dilakukan dan kedua-dua mereka ditahan untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata polis telah mengenal pasti identiti penumpang terakhir yang diambil mangsa dipercayai menggunakan perkhidmatan e-hailing GrabCar daripada pihak pengurusan perkhidmatan itu.

Sementara itu, hasil bedah siasat terhadap mayat mendapati mangsa sesak nafas sebelum mati selain terdapat kesan melecet dipercayai dijerut namun punca kematiannya disebabkan sesak nafas kerana didakwa ditekup menggunakan baju-T miliknya.

Motif pembunuhan masih disiasat dan siasatan awal polis turut mendapati dompet dan telefon bimbit milik mangsa hilang dalam kejadian itu.

Kira-kira pukul 8.20 malam Sabtu lepas, Aiman, 27, ditemui mati dalam keadaan tertungkup di tempat duduk belakang kereta dipercayai dibunuh dengan kesan jerutan pada leher di dalam kereta jenis Perodua Myvi miliknya di parkir Taman Selayang Makmur di sini.

Berdasarkan rekod, mangsa dikatakan kali terakhir membawa penumpang dari Jalan Tun Tan Cheng Lock menuju ke Selayang Baru.

SUMBER: BERNAMA