Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

3,000 guru tadika boleh mohon bantuan fasa dua mulai Ahad

SHAH ALAM, 12 OGOS: Permohonan fasa kedua bagi bantuan sekali bayar RM150 kepada guru tadika negeri ini dibuka mulai 15 Ogos hingga 6 September.

Dato’ Menteri Besar berkata inisiatif bawah Pakej Kita Selangor 2.0 bagi meringankan beban golongan pendidik sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan 3.0.

“Dari sasaran 10,197 guru yang bakal menerima manfaat ini, sebanyak 7,177 telah mengemukakan permohonan bantuan fasa pertama.

“Permohonan fasa kedua bermula 15 Ogos 2021 akan dibuka bagi memastikan peruntukan bantuan ini dimanfaatkan sepenuhnya,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari di Facebook.

Pada 23 Julai, setiausaha bahagian pengurusan sumber manusia Pejabat Setiausaha Kerajaan
Negeri berkata lebih 3,000 guru tadika belum memohon bantuan tersebut.

Mohd Hafeez Shaari menjelaskan inisiatif yang menyasarkan 10,197 guru boleh dimohon menerusi persatuan tadika berdaftar dan pejabat pendidikan daerah.

Pada 9 Jun, Amirudin mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusaha melibatkan peruntukan RM1.99 juta.

Poster bantuan khas guru tadika untuk PKP 3.0 yang dikongsi di Facebook Amirudin Shari
Categories
AGENDA NASIONAL

Lebih 10,000 guru tadika terima bantuan khas RM150

SHAH ALAM, 9 JUN: Dato’ Menteri Besar mengumumkan bantuan sekali bayar RM150 kepada 10,197 guru tadika manakala RM450 kepada 1,018 pengusahanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata bantuan dengan peruntukan RM1.99 juta bagi meringankan beban golongan itu yang mengalami kesukaran susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bantuan ini akan memberi manfaat kepada hampir 1,018 pengusaha tadika dan 10,197 guru-guru tadika di seluruh negeri dengan peruntukan RM500,000,” katanya.

Terdahulu, beliau membentangkan Pakej Kita Selangor 2.0 bernilai RM551.56 juta bagi membantu golongan yang terkesan dengan PKP.

Bertemakan Bersama Menuju Kejayaan, pelan itu bakal memanfaatkan sekurang-kurangnya 1.6 juta penduduk termasuk golongan berpendapatan rendah (B40), pelajar, usahawan kecil, petani dan penggiat pelancongan.

Selain itu, Amirudin berkata Kerajaan Negeri bersetuju memberi penangguhan pembayaran sewa kediaman Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Skim Smart Sewa untuk bulan Julai.

“Seramai 2,632 individu yang menyewa di rumah PPR dan 477 peserta Skim Smart Sewa akan menerima manfaat penangguhan bayaran sewa Julai dengan impak kewangan berjumlah RM900,000,” jelasnya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis siasat video tular guru tadika dera anak murid

SHAH ALAM, 27 MAC: Polis menerima laporan berhubung satu klip video yang tular dalam sosial media menunjukkan seorang guru tadika melakukan kekerasan ke atas anak muridnya.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Baharudin Mat Taib berkata laporan polis dibuat oleh ibu mangsa dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

“Saya mengesahkan laporan polis dibuat oleh ibu kanak-kanak tersebut,” katanya ketika dihubungi media semalam.

Beliau berkata guru tersebut dipanggil bagi memberikan keterangan dan siasatan lanjut akan dijalankan pihak polis.

Video berdurasi 10 saat itu yang mencetuskan kemarahan orang awam memaparkan seorang guru wanita mengangkat dan menghempas seorang murid lelaki sambil disaksikan oleh murid-murid tadika yang lain.

– BERNAMA

Categories
BUDAYA RENCANA

Guru terjemah cintakan negara melalui landskap Jalur Gemilang

BALIK PULAU, 15 OGOS: Benarlah kata orang, menterjemahkan cinta pada negara itu banyak caranya dan satu daripadanya adalah menzahirkan rasa itu pada sentuhan landskap rumah, dengan ribuan Jalur Gemilang.

Bagi seorang guru Normala Md Desa, 57, hatinya cukup tenang dan amat gembira tatkala melihat deretan bendera yang dipasang sendiri di laman rumahnya, berkibar ditiup angin.

“Saya rasa puas bila tengok bendera Malaysia berkibar ditiup angin, sangat cantik pemandangan pada waktu itu dan di situ lahirnya rasa semangat jati diri kepada negara Malaysia tercinta,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Perlis, hari ini.

Bercerita lanjut, ibu kepada lima cahaya mata itu berkata, saban tahun beliau dan anaknya akan bertungkus lumus untuk menghias rumah mereka, menjelang sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.

“Setiap tahun kami hias perkarangan rumah ini menjelang sambutan merdeka dan kami juga ada tema, jika sebelum ini temanya adalah perpaduan ia berbeza untuk kali ini, maka tema sambutan untuk tahun ini saya angkatkan kisah kita berjuang untuk melawan Covid-19.

“Jadi saya telah mereka cipta replika Covid-19 dengan menggunakan aloi iaitu 14 batang aloi dan kemudian membentuknya. Selain itu saya juga memaparkan poster bagi tempoh PKP yang telah kita jalankan sejak dari PKP fasa pertama hinggalah yang terkini (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan),” katanya.

Guru Tadika Perpaduan Pantai Jerejak itu berkata, simbolik replika Covid-19 itu adalah sebagai tanda rakyat Malaysia sedang kuat berjuang, melawan penyakit tersebut yang melanda dunia kini.

“Jika dahulu zaman moyang, datuk, nenek kita berjuang melawan penjajah hingga berjaya mendapatkan tanah Melayu, hari ini kita berjuang pula melawan penyakit yang membunuh secara senyap…berjuang untuk satu perkara yang kita tidak dapat lihat, (ini) lebih hebat,” katanya.

Normala yang turut dibantu anak perempuannya yang mewarisi minatnya, Nurul Nadiah Tajuddin, 24, berkata semangat kecintaan terhadap negara perlu disemai dan ada pada setiap insan.

“Pasanglah walau satu bendera di rumah dan dari sekeping bendera itu hayatilah pengorbanan, dan bukan senang untuk kita memperoleh kemerdekaan.

“Untuk anak murid saya di tabika selalu saya terapkan perkara ini, macam budak-budak tidak faham apa maksud kemerdekaan, dari sini kita mula ajar,” katanya yang turut memasang bendera dan menghias tabika bersama-sama anak-anak muridnya.

Sebelum ini, Normala turut menghias rumahnya dengan bendera dan membina replika keretapi Bukit Bendera dan beberapa replika lain, dengan kos RM3,000.

Selain replika keretapi Bukit Bendera, wanita itu turut menghasilkan replika Jambatan Pulau Pinang yang dihasilkan menggunakan paip dan papan, serta Menara Berkembar Petronas (KLCC) yang dibuat menggunakan 945 botol mineral, turut diletakkan di perkarangan rumahnya.

-BERNAMA