Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak dunia terus susut

SINGAPURA 19 JUN: Harga minyak dunia jatuh hari ini berikutan jangkaan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutu utama Russia akan meningkatkan pengeluaran secara beransur-ansur setelah menahan bekalan sejak 2017.

Selain itu, pertikaian perdagangan di antara Amerika Syarikat (AS) dan China yang semakin meningkat, apabila kedua-dua pihak mengugut untuk mengenakan tarif pada barangan eksport utama masing-masing, turut menjejaskan pasaran dan mendorong penjualan besar-besaran saham di China.

Indeks saham Shanghai menyusut di bawah 3,000 mata untuk kali pertama dalam hampir 21 bulan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$74.90 setong pada 0241 GMT, turun 44 cents atau 0.6 peratus dari penutupan terakhirnya.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) berada pada AS$65.55 setong, turun 30 cents atau 0.5 peratus.

OPEC bersama-sama dengan sekumpulan bukan OPEC termasuk Russia mula mengurangkan bekalan minyak pada tahun lalu bagi meningkatkan harga komoditi itu.

Berikutan kenaikan mendadak harga minyak dari paras AS$30 setong pada 2016, kumpulan itu pada 22 Jun ini akan bertemu di Vienna, Austria, untuk membincangkan dasar masa depannya.

Ketua Strategi Pasaran AxiTrader, Greg McKenna, berkata kemungkinan akan berlaku turun naik harga minyak pada minggu depan menjelang pertemuan itu.

“OPEC telah goyah atau sedang goyah,” kata McKenna, susulan Iran, Venezuela dan Iraq “berusaha untuk memberikan veto ke atas peningkatan pengeluaran masing-masing”.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI GLOBAL

Harga minyak global hampiri paras tertinggi tiga tahun

SINGAPURA 21 APR: Harga minyak kekal menghampiri paras tinggi tiga tahun yang dicapai awal minggu ini, dengan pengurangan bekalan OPEC terus dilaksanakan dan permintaan kukuh secara beransur-ansur mengurangkan bekalan.

Niaga hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$73.74 setong pada 0657 GMT, susut empat cent daripada penutup terakhir.

Niaga hadapan minyak mentah Amerika Syarikat (AS), West Texas Intermediate (WTI) susut 13 cent kepada AS$68.16 setong.

Kedua-dua, Brent dan WTI mencapai paras tertinggi sejak November 2014 pada Khamis, masing-masing kepada AS$74.75 dan AS$69.56 setong.

WTI ditetapkan untuk mencapai kenaikan kedua mingguan apabila melonjak lebih satu peratus minggu ini, sementara Brent bersedia untuk mencatat peningkatan minggu kedua, menambah sekitar 1.5 peratus.

Peniaga berkata, wujudnya beberapa aktiviti pengambilan untung pada Jumaat menyusuli paras tinggi Khamis.

Terdapat sedikit kebimbangan selepas Menteri Tenaga Russia, Alexander Novak dilaporkan sebagai berkata bahawa kumpulan pengeluar dalam Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) termasuk Russia mungkin mengurangkan sekatan pengeluaran.

Kartel pengeluar OPEC dan pakatannya mengekang pengeluaran sejak 2017, sekali gus membantu menaikkan harga.

Perjanjian pengurangan bekalan dijadualkan berakhir pada hujung 2018.

Selepas permulaan positif pada 2017, sekatan bekalan tahun ini mula mengetatkan pasaran.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia turun

SINGAPURA 16 APR: Harga minyak turun hari ini dengan pasaran dibuka lebih berhati-hati susulan serangan udara Amerika Syarikat (AS) dan sekutu Eropah ke atas Syria pada hujung minggu.

Selain itu, penggerudian pengeluaran minyak baharu di AS terus meningkat.

AS, Perancis dan Britain melancarkan serangan 105 peluru berpandu Sabtu lalu, yang mana sasarannya didakwa tiga kemudahan senjata kimia di Syria sebagai tindak balas kepada dakwaan serangan gas beracun oleh rejim Assad di Douma pada 7 April.

Dagangan hadapan minyak mentah Brent berada pada AS$71.87 satu tong pada 0124 GMT, susut 71 cent, atau satu peratus berbanding penutup sebelumnya.

West Texas Intermediate (WTI) didagangkan 59 cent, atau 0.9 peratus, lebih rendah pada AS$66.80 satu tong.

Pedagang berkata, pasaran di Asia mula berhati-hati selepas serangan itu, sementara pasaran minyak juga mendapat tekanan daripada peningkatan aktiviti penggerudian di AS.

Syarikat minyak AS menambah tujuh pelantar penggerudian bagi pengeluaran baharu dalam minggu berakhir 13 April, menjadikan jumlah keseluruhan 815, tertinggi sejak Mac 2015, demikian menurut firma perkhidmatan tenaga Baker Hughes.

SUMBER: REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia meningkat 0.4%

GLOBAL 15 MAC: Harga minyak mentah naik 0.4 peratus dalam dagangan yang tidak menentu awal hari ini, selepas laporan menunjukkan simpanan minyak mentah Amerika Syarikat diimbangi oleh rekod inventori dan minyak petrol.

Saham minyak mentah AS naik sebanyak lima juta tong, peningkatan terbesar sejak akhir Januari, kata Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA), lapor REUTERS.

Jangkaannya adalah untuk dua juta tong namun terdapat gambaran yang lebih besar daripada unjuran stok minyak itu.

Niaga hadapan minyak mentah Brent naik 25 cent, atau 0.4 peratus, berada pada harga AS$64.89 setong. West Texas Intermediate (WTI) AS juga naik 25 cent, untuk berada harga AS$60.96 setong.

“Saya tidak fikir kita mempunyai arahan rasmi yang jelas, dan saya tidak fikir laporan ini memberikan banyak gambaran mengenai sama ada penyusunan semula berterusan atau tidak,” kata Pengurus penyelidikan pasaran di Tradition Energy, Gene McGillian.

Harga minyak mentah dunia ditekan selepas Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dalam laporan bulanannya berkata bahawa bekalan dari bukan anggota dijangka berkembang sebanyak 1.66 juta tong sehari (bpd) pada 2018, hampir dua kali ganda pertumbuhan yang diramalkan pada November, yang sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan bekalan AS.

OPEC juga berkata inventori minyak di seluruh negara meningkat pada Januari untuk pertama kalinya dalam lapan bulan, menandakan kesan penurunan output mungkin berkurang.

OPEC mengurangkan ramalan permintaan 2018 untuk minyak mentah sebanyak 250,000 bpd kepada 32.61 juta bpd, penurunan keempat berturut-turut.

SUMBER: REUTERS

 

Categories
EKONOMI

Harga minyak mentah dunia turun

NEW YORK 13 MAC: Harga minyak mentah jatuh apabila pelabur bergelut dengan kebimbangan berterusan terhadap peningkatan pengeluaran minyak Amerika Syarikat dan pengetatan bekalan dari Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC).

Walaupun penurunan harga minyak mentah dunia itu membimbangkan pelabur tetapi mereka tetap yakin pada hasil Perbendaharaan AS walaupun terdapat peningkatan bagi tempoh tiga dan 10 tahun.

Niaga hadapan minyak mentah Brent merosot 54 cents, atau 0.8 peratus, untuk berada pada harga AS$64.95 setong.

West Texas Intermediate (WTI) pula jatuh 68 cents, atau 1.1 peratus, pada AS$61.36 setong.

Saham AS juga ditutup bercampur-campur, dengan S&P 500 dan Dow Jones Industrial Average berakhir paras bahaya, sementara Nasdaq Composite menambah 28 mata.

Pelabur tenaga kini sedang menimbang peningkatan bekalan AS terhadap kemungkinan OPEC akan mengekalkan pemotongan bekalan yang sudah berkuat kuasa lebih daripada satu tahun.

“Pasaran terus membalikkan idea mengenai peningkatan permintaan global dan pemotongan pengeluaran yang akan menyokong harga,” katanya.

REUTERS

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia menghampiri paras tertinggi 2015

SINGAPURA 26 DIS: Harga minyak stabil hari ini dengan kontrak Brent menghampiri paras tertinggi 2015 di sebalik prospek permintaan yang kukuh.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS$58.50 setong pada 0141 GMT, naik 3 cent daripada penutup terakhir, lapor REUTERS.

Niaga hadapan Brent pada AS$65.25 setong, tidak berubah daripada sesi sebelumnya, namun menghampiri paras AS$65.83 setong yang dicatat pada 12 Disember lalu, tertinggi sejak Jun 2015.

Brent meningkat sebanyak 47 peratus sejak pertengahan tahun 2017.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Hujan lebat tak halang protes harga minyak

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA KUMPUR, 21 NOV: Peserta protes kenaikan harga minyak yang berkumpul di laluan utama ke bangunan Parlimen tidak berganjak walaupun hujan lebat mula turun sejak jam 2 petang tadi.

Mereka kekal mengangkat sepanduk dan kain rentang membantah kenaikan tertinggi harga minyak minggu ini.

Tinjauan SelangorKini sekitar jam 3.40 petang tadi juga menyaksikan beberapa pemandu kenderaan membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada inisiatif diambil Pemuda Pakatan Harapan (PH) itu.

Sebelumnya, protes yang bermula pada jam 1 pagi semalam itu diarah penganjur untuk memasang khemah mereka di Padang Merbok.

Memasuki hari kedua protes pagi ini, peserta membawa sepanduk menuntut Kerajaan Malaysia mengembalikan subsidi petrol dan menurunkan harga petrol bagi meringankan beban rakyat kurang berkemampuan.

Sebelum ini, Kerajaan Persekutuan memutuskan penetapan harga runcit bagi RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal.

Kaedah itu memaksa berlakunya ketidaktentuan harga pasaran minyak negara.

Minggu lalu, RON95 dijual pada harga RM2.38 seliter, RON97 dengan harga RM2.66 seliter dan diesel pula RM2.25 seliter.

Ia sekali gus merekodkan peningkatan nilai paling tinggi sejak mekanisme itu diperkenalkan.

Categories
GLOBAL

Harga minyak dunia melonjak tertinggi 2 tahun

NEW YORK 3 NOV: Harga minyak dunia menokok, hampir di paras tertinggi dua tahun dengan tinjauan kekal positif terhadap langkah pemotongan pengeluaran diterajui OPEC dan Russia bagi mengawal kejatuhan harga.

Brent menokok 13 cent atau 0.2 peratus, pada AS$60.62 satu tong, lapor REUTERS.

Penanda aras itu mencecah AS$61.70 Rabu, paras tertinggi harian sejak Julai 2015. Kontrak itu menokok lebih satu pertiga daripada paras terendah 2017 yang disaksikan Jun lalu.

West Texas Intermediate (WTI) pula naik 24 cent atau 0.4 peratus, pada AS$54.54, hampir 30 peratus di atas paras terendah 2017 yang dicatat pada Jun.

Harga minyak juga mendapat sokongan daripada kejatuhan inventori minyak mentah komersial Amerika Syarikat (AS) sungguhpun pengeluaran meningkat.

Inventori minyak mentah AS turun 2.4 juta tong minggu lalu sungguhpun peningkatan 46,000 tong sehari dalam pengeluaran kepada 9.55 juta tong sehari.

=EZY=

Categories
NASIONAL

Petrol dan diesel naik lagi 4 sen

SHAH ALAM, 2 NOV: Bermula jam 12.01 malam semalam, kesemua minyak petrol dan diesel naik 4 sen iaitu kenaikan ketiga berturut-turut sejak 19 Oktober lalu.

Kenaikan itu menyaksikan RON95 dijual pada harga RM2.24 seliter, RON97 (RM2.54 seliter) dan diesel (RM2.17

Harga baru itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) petang semalam.

Mekanisme penetapan harga bahan bakar mingguan mula dikuatkuasakan pada April lalu.

Ia ditetapkan berdasarkan kedudukan harga Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu terdahulu.

Dalam rancangan rasionalisasi subsidi 2014, subsidi minyak sepatutnya sudah dimansuhkan.

Bagaimanapun, Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Irwan Serigar Abdullah kelmarin mendedahkan ia sebenarnya masih berjalan, walaupun tidak sebanyak dahulu.

Categories
NASIONAL

RON95, RON 97 naik 3sen

SHAH ALAM, 26 OKT: Bermula tengah malam tadi, harga minyak menyaksikan kenaikan antara 2sen hingga 3sen seliter iaitu ketiga tertinggi sejak 31 minggu apabila mekanisme penentuan harga secara mingguan diperkenalkan, pada April lalu.

RON95 dan RON97 dijual 3sen lebih mahal dengan harga masing-masing ditetapkan pada RM2.20 dan RM2.50 seliter.

Sementara itu, Diesel naik 2sen, menjadikan harga jualannya RM2.13 seliter.

Harga baru diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), semalam.

Ia ditetapkan berdasarkan kedudukan harga Means of Platts Singapore (Mops) serta kekukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat pada minggu terdahulu.

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia merosot susulan spekulasi

SINGAPURA 4 OKT: Harga minyak merosot pagi ini berikutan kebimbangan terhadap spekulasi akan berlaku peningkatan harga selepas kenaikan pada suku ketiga.

Niaga hadapan minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) AS diniagakan pada AS$50.05 setong pada 0032 GMT, susut 37 cents atau 0.7 peratus daripada penutup sebelumnya, lapor REUTERS.

Niaga hadapan minyak mentah Brent, penanda aras antarabangsa bagi harga minyak, merosot 35 cent, atau 0.6 peratus pada AS$55.65 setong.

Peniaga berkata, kejatuhan itu disebabkan timbul kebimbangan terhadap rali pasaran suku ketiga yang telah mengangkat Brent ke paras tertinggi pada pertengahan 2015 menyebabkan lebihan pada akhir September.

“Asas mungkin belum cukup kukuh untuk menyokong rali yang berterusan, terutamanya komoditi yang bergantung kepada pertumbuhan seperti minyak,” kata Ketua Strategi Komoditi Saxo Bank, Ole Hansen.

=EZY=

Categories
EKONOMI

Harga minyak dunia meningkat

TOKYO 20 SEPT: Harga minyak meningkat lagi pada Rabu selepas Menteri Minyak Iraq berkata Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan pengeluar minyak mentah yang lain sedang mempertimbang untuk melanjutkan pengurangan bekalan bagi membendung lebihan global.

Kenyataan itu dibuat walaupun laporan menunjukkan peningkatan lebih kecil daripada jangkaan berlaku dalam inventori Amerika Syarikat (AS), lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Niaga hadapan US West Texas Intermediate (WTI) meningkat 34 sen kepada AS$49.82 setong. Semalam, kontrak berkenaan menyusut AS$0.43 kepada AS$49.48.

Niaga hadapan Brent pula meningkat 24 sen kepada AS$55.38. Ia ditutup susut 34 sen kepada AS$$55.14 setong dalam sesi terdahulu, tidak jauh daripada paras tertinggi yang dicatatkan dalam tempoh lima bulan iaitu AS$55.99.

HARGA MINYAKKetika alternatif sedang dipertimbang oleh OPEC dan pengeluar lain termasuklah lanjutan pengurangan hasil setiap bulan, ia masih awal untuk menentukan apa akan berlaku selepas bulan Mac depan selepas perjanjian itu tamat tempoh, kata Menteri Minyak Iraq, Jabar al-Luaibi pada persidangan tenaga yang berlangsung di Emiriah Arab Bersatu semalam.

OPEC dan pengeluar lain termasuk Russia bersetuju untuk mengurangkan hasil sebanyak 1.8 juta tong sehari sehingga Mac 2018 dalam usaha untuk mengurangkan inventori minyak global dan menyokong harga.

Beberapa pengeluar berpendapat perjanjian itu patut dilanjutkan bagi tiga atau empat bulan lagi, dan segelintir lagi mahukan lanjutan sehingga akhir tahun depan manakala pengeluar lain termasuk Ecuador dan Iraq menyatakan perlu ada satu pusingan pengurangan bekalan lagi, kata al-Luaibi.

=EZY=