Categories
NASIONAL

Konsert K-Pop: SPRM diminta siasat Shabery Cheek

jingga13

PUTRAJAYA 18 OKT : Jingga 13 membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menuntut siasatan terhadap bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ahmad Shabery Cheek membabitkan kementerian itu ekoran yang dibentangkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Ketua Koordinator Jingga 13, Fariz Musa, berkata laporan berkenaan membabitkan isu pembiayaan RM1.6 juta untuk Konsert K-Pop Himpunan Jutaan Belia berjumlah RM87.61 juta dan akaun Majlis Sukan Negara berjumlah RM20 juta bagi wang tajaan syarikat swasta.

Fariz berkata, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, sebelum ini mengesahkan bahawa KBS terpaksa membayar kos pembiayaan artis K-Pop berjumlah RM1.6 juta kerana banyak penaja gagal menyalurkan bantuan.

Shabeery sebagai menteri bertanggungjawab ketika itu pula mendakwa konsert terbabit dibiayai penaja melalui akaun Majlis Sukan Negara (MSN) dan beliau turut bertindak memperlecehkan Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang, sebagai ‘culas’ dalam menyediakan laporan berkenaan.

“Apa yang menimbulkan persoalan ialah percanggahan fakta antara Khairy dan Shabery berkenaan isu terbabit. Sehingga kini, kami masih menantikan jawapan siapa yang benar dan bohong?,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Kata Fariz, beliau turut mempertikaikan perbelanjaan melampau membabitkan RM67.61 juta bagi acara Hari Belia Negara 2012 yang memerlukan satu siasatan oleh SPRM.

“SPRM dan Jabatan Audit Negara harus berganding bahu menggunakan peruntukan undang-undang bagi mendakwa mereka yang terbabit ke muka pengadilan. Jingga 13 turut mendesak Perdana Menteri menggantung tugas Shabery dengan segera,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL

Respon terhadap Laporan Ketua Audit Negara mengenai Kementerian Belia dan Sukan

audit 2012

Pendedahan yang dibuat menerusi Laporan Ketua Audit Negara 2012 bukanlah perkara yang mengejutkan buat rakyat Malaysia, yang sudah tidak yakin lagi dengan kesungguhan Kerajaan UMNO-BN untuk membanteras rasuah dan mengukuhkan lagi kebertanggungjawaban pentadbiran.

Ini telah menjadi satu fenomena tahunan, yang mengundang banyak retorik dan janji-janji kosong daripada Kerajaan namun akhirnya tiada tindakan diambil dan kesilapan sama berulang.

Pendirian kami ialah meskipun diadakan begitu banyak mekanisme semak dan imbang, ataupun audit tiga kali setahun tidak akan menyelesaikan masalah ini, apa yang diperlukan ialah keazaman politik Kerajaan untuk menguatkuasakan mekanisme semak dan imbang tersebut. Malangnya, Kerajaan telah berkali-kali gagal dalam ujian kebertanggungjawaban ini.

Saya ingin mengetahui siapakah yang betul di dalam kontroversi konsert K-Pop ? Ketua Audit Negara dan Menteri Belia dan Sukan hari ini Khairy Jamaluddin yang mendakwa Kementerian terpaksa akhirnya membiayai konsert tersebut; atau Ahmad Shabery Cheek, Menteri sebelum Khairy yang mendakwa konsert tersebut dibiayai penaja menerusi akaun Majlis Sukan Negara? Shabery malah mendakwa Ketua Audit culas dalam menyediakan laporan tersebut.

Adakah Khairy bersedia menjamin rakyat Malaysia bahawa Kementeriannya tidak lagi akan terperangkap di dalam perbelanjaan yang dipertikaikan seperti ini apabila Laporan Audit 2013 akan dibentangkan pada 2014 nanti, terutamanya bagi tempoh selepas Mei 2013 apabila beliau dilantik menjadi Menteri.

Kewajaran membelanjakan RM 67.61 juta wang rakyat bagi satu acara seperti Hari Belia Negara 2012 menimbulkan persoalan, apabila kesan positif jangka panjangnya terhadap anak muda boleh dipertikaikan.

Nik Nazmi Nik Ahmad
Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor
Adun Seri Setia