Categories
SELANGOR

Selangor bincang cadangan perumahan Highland Tower

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 JUN: Kerajaan Negeri akan mengadakan perbincangan lanjut berhubung cadangan Putrajaya untuk membangunkan semula perumahan Highland Tower kepada golongan B40.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Exco bertanggungjawab, Haniza Talha akan mengadakan pertemuan susulan bagi mendapatkan maklum balas menyeluruh terhadap pelaksanaan cadangan itu.

“Haniza Talha akan berhubung terus dengan kementerian untuk membantu pelaksanaan cadangan ini.

“Ini kerana di peringkat pentadbiran Kerajaan Selangor, kita mengalu-alukan sebarang bentuk pembaikan daripada Kerajaan Persekutuan atau syarikat swasta untuk memakmurkan dan memajukan negeri,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Institut Darul Ehsan (IDE), petang ini.

Untuk rekod, Haniza merupakan Exco bertanggungjawab dalam isu berkaitan pembangunan perumahan di bawah portfolio Perumahan dan Kehidupan Bandar Selangor.

Sebelum ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memaklumkan akan menubuhkan jawatankuasa khas untuk melaksanakan kajian kemungkinan bagi pengambilan tanah dan pembangunan semula kawasan Highland Towers.

Menterinya, Zuraida Kamaruddin mendedahkan, wujud kemungkinan untuk dibangunkan perumahan baru di kawasan berkenaan kepada golongan B40.

Bagaimanapun, wujud pelbagai riaksi daripada masyarakat terhadap cadangan berkenaan.

Kawasan Highland Towers merupakan lokasi tanah premium yang terjejas akibat insiden 1 daripada 3 nlok Kondominium Highlang Towers di Taman Hillview, Ulu Klang runtuh akibat aliran air bawah tanah.

Tragedi malang itu mengorbankan 48 nyawa dan dianggap antara kemalangan tanah runtuh terburuk negara.

 

Categories
NASIONAL

Tubuh Jawatankuasa Bebas Siasat Runtuhan Susur Jambatan Kedua P.Pinang

SIM TZE

SHAH ALAM 12 JUN : Kerajaan Pusat didesak menubuhkan Jawatankuasa Bebas Siasatan Teknikal berhubung kejadian tragedi keruntuhan susur Jambatan Kedua Pulau Pinang bagi mencari punca kejadian ini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, jawatankuasa perlu dianggotai oleh pakar teknikal terulung negara dan luar negeri yang mempunyai kuasa seperti jawatankuasa “Highland Tower”.

“Buat masa sekarang, siasatan yang dijalankan oleh pihak berkuasa adalah sulit dan tidak akan dipaparkan kepada rakyat melainkan di mahkamah,” kata Sim dalam satu kenyataan media.

Tegas beliau, segala siasatan perlu dijalankan secara menyeluruh menyentuh beberapa aspek seperti reka-bentuk, perancangan dan pembinaan.

“Jawatankuasa ini juga perlu menjalankan siasatan secara telus dengan mengadakan pendengaran awam semasa siasatan tersebut dijalankan.

“Pendengaran ini adalah penting untuk memastikan rakyat mengetahui segala-gala secara terus untuk memulihkan kepercayaan terhadap jambatan kedua,” kata beliau.

Katanya, pendengaran ini penting kerana projek di Pulau Pinang di mana kerajaan negeri telah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat (FOI) dengan Kerajaan Persekutuan haruslah ‘masuk kampung, ikut adat’ mematuhi semangat ‘FOI’ ini.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Kerjaraya, Datuk Fadilah Yusof diseru turun ke tapak kejadian dengan serta merta.

“Mereka mesti memikul tanggungjawab terhadap projek persekutuan dan bukan mengambil sikap lepas tangan,” kata beliau.