Categories
PBT SELANGOR

PISPA INPENS latih pelajar berdisiplin

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 19 FEB: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) melaksanakan Pasukan Institut Pertahanan Awam (PISPA) sebagai latihan mingguan memperkasa diri pelajar.

INPENS dalam kenyataan berkata, setiap pelajar berdaftar di institusi itu sama ada tahap satu atau dua wajib menyertai pasukan berkenaan bagi membentuk sahsiah terpuji.

“Penyertaan PISPA dapat memperkasakan disiplin pelajar INPENS kerana budaya disiplin tinggi adalah sangat diterapkan dalam diri setiap kadet yang menyertainya.

“Dengan menyertai PISPA, pelajar akan mempelajari cara meyelamat, memberi pertolongan cemas, memadam kebakaran juga kawad kaki,” katanya.

Pada masa sama, katanya, ilmu dipelajari dalam setiap latihan mingguan dapat mendidik pelajar untuk mengawal kemalangan daripada berlaku sama ada di bengkel mahupun tempat awam.

Terdahulu, INPENS mengadakan perhimpunan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama PISPA INPENS bagi menaikkan semangat pelajar, selain mengangkat ikrar sebagai kadet baharu, di Dewan Auditorium INPENS.

Categories
SELANGOR

Hari Kebudayaan INPENS perkukuh keharmonian kaum

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 FEB: Hari Kebudayaan Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) berlangsung meriah dengan objektif memperkenalkan adat serta budaya yang diamalkan masyarakat majmuk.

Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, beliau teruja dengan penglibatan semua pelajar tanpa mengira bangsa apabila pelajar Melayu dan Cina turut menyertai pertandingan memecah periuk tanah dan pertandingan membuat kollam.

“Hari Kebudayaan INPENS ini jelas membuktikan INPENS bersifat harmoni dengan kesepakatan pelbagai bangsa menjayakan sambutan. Pertandingan yang dianjurkan juga memberikan peluang kepada semua pelajar untuk turut serta tanpa mengira latar belakang masing-masing.

“Sempena sambutan Ponggal, warga INPENS bekerjasama memasak nasi manis di dalam periuk tanah. Ponggal diraikan sempena Hari Menuai di kalangan masyarakat India di Malaysia.

“Rata-rata pelajar yang ditemui merasa teruja kerana berpeluang mengenali lebih mendalam lagi berkaitan kebudayaan dan kesenian yang diamalkan masyarakat berbilang bangsa di negara ini,” katanya.

Dirasmikan Exco Kemiskinan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau, antara aktiviti yang dijalankan ialah pertandingan menulis khat, pertandingan menulis kaligrafi cina, pertandingan memanah, pertandingan membuat kollam ranggoli, pertandingan memecah periuk tanah, pertandingan mematah tebu dan pelbagai pertandingan berunsurkan kebudayaan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor (UPEN) yang sentiasa menyokong kepada program bersifat perpaduan.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

TPM mantapkan perkongsian ilmu INPENS-PERODUA

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 12 FEB: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) menyertai Total Productive Maintenance Workshop (TPM) anjuran bersama Perusahaan Otomobil Kedua Negara (PERODUA) selama dua hari bagi memantapkan lagi jalinan kerjasama bersama pemain industri berskala mega dalam pasaran tempatan.

Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, bengkel itudigunakan untuk memelihara dan meningkatkan kualiti produk melalui kaedah pencegahan serta penambahbaikan kelengkapan peralatan seperti mesin atau jentera.

Katanya, matlamat utama bengkel ini diadakan adalah untuk mengelakkan risiko kerugian besar kepada syarikat akibat tidak memahami prosedur pengendalian yang betul.

“INPENS terus tuntas dalam memartabatkan Pendidikan Teknikal dan Kemahiran Vokasional (TVET) di negeri ini dengan lebih banyak kerjasama dijalinkan dengan industri-industri berskala mega.

“PERODUA sememangnya terkenal sebagai pengeluar otomobil terkemuka negara telah hadir berkongsi ilmu dan pengetahuan mereka dalam bengkel yang diadakan selama dua hari pada 7 dan 8 Februari lalu.

“Dengan penyertaan lima penceramah dan fasilitator dari PERODUA, 18 peserta yang terdiri daripada kakitangan INPENS turut mengambil bahagian,” katanya.

Ahmad Zabri berkata bengkel ini akan turut diadakan khusus kepada pelajar dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan kemahiran kompeten dan berkualiti.

Dalam perkembangan sama, wakil PERODUA Ahmad Shah, berkata pihaknya sentiasa mendukung hasrat INPENS untuk menerajui pengajian kemahiran bertaraf industri dengan berkongsi ilmu serta pengetahuan diamalkan.

“Di PERODUA, kami sememangnya mengamalkan disiplin serta prosedur ketat demi menghasilkan yang terbaik. Pendedahan ilmu sebegini kepada INPENS akan memberi tambah nilai yang baik kepada peserta terlibat”, katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

KUIS dan INPENS bersatu jayakan Bengkel Pengurusan Makanan Halal

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 1 FEB: Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) bekerjasama menganjurkan Bengkel Pengurusan Halal pada 20 Januari lalu.

Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, kerjasama baik kedua-dua institut pengajian tinggi (IPT) Selangor menyaksikan penglibatan 100 pelajar bagi menjayakan bengkel selama sehari itu.

“Program dijalankan di Kampus INPENS melibatkan modul penyembelihan demi memastikan peserta terlibat memahami konsep halal sebenarnya. Pengisian lain seperti topik suci dan syubhah dalam makanan turut dibincangkan,” katanya.

Program tersebut dirasmikan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras KUIS Dr Hairol Anuar Mak Din selain disertai barisan tenaga pengajar Sektor Kulinari & Pastri INPENS yang diketuai Nur Waheeda Abdul Rahman.

Hairol Anuar berkata, masyarakat kini hanya mengetahui konsep halal dan haram dalam makanan hanya pada konsep asas sahaja sedangkan ia mempunyai pengertian luas.

“Sebenarnya istilah ‘makanan halal’ ini mempunyai pengertian cukup meluas dan mendalam. Oleh itu, KUIS memberikan penumpuan kepada pengetahuan Islamik wajar bekerjasama dengan INPENS yang mengkhususkan pendidikan kemahiran di dalam pebagai bidang termasuklah bidang kulinari dan pastri.

“Ini bagi memastikan, penerus legasi di negara ini memahami konsep halal dalam makanan dengan pengertian sebenar,” katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS cemerlang raih gangsa ACC 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 5 DIS: Pelajar jurusan Pembuatan Pastri, Nik Hasnah Mahmod, 18, mengharumkan nama Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) apabila berjaya meraih pingat gangsa di Asian Culinary Challenge 2017 (ACC).

Acara itu berlangsung pada 28 November lalu menerusi acara Apprentice Dress The Cake (Individual-Class 4).

Ketua Sektor Kulinari dan Pastri INPENS, Chef Nur Waheeda berkata, pertandingan ini merupakan platform terbaik Nik Hasnah mempamerkan potensi dan kemahiran beliau.

“Pertandingan ini juga dibarisi chef tersohor dalam dan luar negara sebagai juri. Malahan ACC 2017 turut menjemput KDYTM Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah sebagai juri Diraja.

“Antara barisan juri lain yang ternama adalah Chef Jamnong Nirungsun dari Thailand, Chef Michieletto Federico dari Itali dan dua chef selebriti tempatan iaitu Chef Sabri Hassan dan Chef Zubir Zain. ACC 2017 juga melantik Chef Jochen Kern dari Jerman sebagai Ketua Juri.

“Oleh itu, pelajar bertanding bukan sahaja mendapat pengalaman berharga malahan boleh mencedok ilmu melalui nasihat diberikan juri,” katanya.

ACC 2017 yang diadakan di Kuantan, Pahang berlangsung pada 28 hingga 30 November turut mempertandingkan 24 acara lain dengan penyertaan seramai 281 pelajar kulinari dan pastri dari seluruh Malaysia dan Asia Tenggara.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, INPENS mula memperkenalkan Kursus Pembuatan Makanan (kulinari) dan Pembuatan Pastri sejak 2016 kerana permintaan yang tinggi terhadap graduan kursus ini sama ada di industri pembuatan makanan halal, restoran dan perhotelan.

Katanya, penyertaan INPENS di dalam banyak pertandingan kemahiran membuktikan INPENS komited dalam menjayakan peranannya sebagai hab melahirkan belia berkemahiran dan seterusnya menjadi graduan idaman majikan.

‘Mereka yang mempelajari kedua-dua kursus ini juga berpotensi bergelar usahawan kemahiran jika mempunyai semangat keusahawanan tinggi. Mereka meminati bidang kulinari dan pastri boleh menyertai INPENS dengan sesi pengambilan seterusnya pada 9 Januari 2018,” katanya.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

INPENS perkenal kursus baru penyemburan cat automotif

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 22 NOV: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) memperkenalkan kursus baru penyemburan cat automotif di bawah Sektor Teknologi Automotif dengan pengambilan pertama dilakukan pada sesi Januari 2018.

Eksekutif Komunikasi Korporat, Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah berkata, tempoh kursus adalah selama enam bulan yang akan menganugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 1.

“Sebelum ini dalam Sektor Teknologi Automotif terdapat bidang servis selepas jualan. Semburan cat ini merupakan bidang baru yang akan diperkenalkan INPENS.

“Ambilan ini adalah terhad kepada kuota 25 orang pelajar sahaja,” katanya.

Menurutnya, bidang ini akan membuka peluang untuk lepasan mahasiswa membuka perniagaan sendiri selain bekerja dalam industri automitif sedia ada.

Anak-anak Negeri Selangor yang berusia 17 tahun ke atas terutamanya lepasan SPM 2016 dan 2017 adalah dialu-alukan untuk memohon.

Katanya, pelajar yang berkelayakan juga boleh memohon Program Tajaan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor yang akan membiayai kos pengajian, makan minum dan penginapan.

Dalam Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM5 juta bagi membiayai Program Tajaan Kemahiran Teknikal Negeri Selangor.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Pengajian kemahiran di INPENS Januari 2018

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 21 NOV: Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berpeluang mengikuti pengajian kemahiran di Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) bagi pengambilan Januari tahun depan.

Eksekutif Komunikasi Korporatnya, Nur ‘Adnin Syamil Halik Bassah, berkata pendaftaran bagi pengambilan itu dibuka sekarang dan boleh dibuat secara dalam talian di www.inpens.edu.my

Kursus ditawarkan di kolej milik Kerajaan Negeri bertempt di Kuala Selangor itu ialah Automotif, Elektrik, Elektronik, Motosikal, Penyamanan Udara, Sistem Komputer, Tekstil & Pakaian, Kecantikan, Penyemburan Cat, Rekaan Rambut, Kulinari dan Pastri.

Dalam Belanjawan 2018, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM5 juta untuk anak-anak Selangor meneruskan pengajian di INPENS menerusi Program Tajaan Kemahiran Selangor.

=EZY=

Categories
SELANGOR

INPENS ungguli emas WSMB 2017

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 NOV: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) berjaya menggondol pingat emas di Worldskills Malaysia Belia (WSMB 2017) dalam bidang Teknologi Fesyen yang diumumkan di Taman Pameran Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), 16 November lalu.

Pingat emas itu dirangkul Azni Syafika Alizar menyaksikan beliau turut membawa pulang RM5,000 selepas menewaskan seorang lagi wakil INPENS Kashtoori Thomas dan lapan lagi finalis di peringkat akhir.

Ketua Sektor Tekstil & Pakaian INPENS, Zalina Rahmat berkata, usaha peserta yang tidak mengenal masa dan keringat berbaloi dengan kejayaan menggondol pingat emas tersebut.

“Kita ada dua wakil di peringkat akhir yang akhirnya dimenangi Azni Syafika. Ini kejayaan yang membanggakan INPENS dan ucapan tahniah juga kita ucapkan kepada seorang lagi wakil INPENS Kashtoori yang turut berada dalam senarai 10 finalis.

“Dengan kemenangan ini INPENS juga sudah bersiap sedia melatih barisan pelapis dalam bidang jahitan untuk memasuki pertandingan sama pada tahun hadapan,” katanya.

WSMB merupakan arena pertandingan untuk pelajar kemahiran menunjukkan bakat masing-masing di dalam pelbagai bidang kemahiran yang mempertandingkan 22 kategori dan disertai ratusan pelajar institusi kemahiran milik kerajaan serta swasta di seluruh Malaysia.

Zalina juga berkata, beliau dan barisan tenaga pengajar terlibat akan terus melatih Azni sebagai persediaan untuk menyertai Worldskills ASEAN 2018 yang akan diadakan di Bangkok, Thailand pada Ogos 2018.

Sementara itu, Ketua Eksekutif INPENS, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata penyertaan dua wakilnya dalam bidang Teknologi Fesyen di WSMB 2017 membuktikan graduan INPENS berkemahiran dan mempunyai daya kompetitif yang tinggi.

“Tahun hadapan juga, WSMB bakal menyaksikan INPENS akan menghantar lebih ramai wakil untuk bidang-bidang kemahiran yang lainnya seperti elektrik, automotif dan penyaman udara.

“Kemenangan tahun ini juga sebenarnya adalah pencetus motivasi kepada pelajar INPENS yang lain untuk menyahut cabaran mengangkat prestij dunia kemahiran,” katanya.

Katanya, kejayaan ini menunjukkan INPENS komited memperkasakan Sistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Selangor dalam usaha menjayakan agenda Smart Selangor.

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

152 lagi pelajar ditaja jalani latihan TVET

OLEH LIZAWATI MADFA

KUALA SELANGOR, 31 OKT: Seramai 152 pelajar bertuah apabila menerima tajaan mengikuti program Kemahiran Teknikal Negeri Selangor bagi sesi April, Julai dan Oktober 2017, di Kolej Antarabangsa Inpens (Inpens).

Exco Kemiskinan, Kerajaan Prihatin dan Pekerja Ladang, V Ganabatirau berkata, kesemua mereka menerima pembiayaan penuh oleh Kerajaan Negeri dengan peruntukan RM927,000.

Katanya, ia merupakan sebahagian daripada RM5 juta khusus bagi menaja anak Selangor menjalani latihan intensif Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di institusi itu.

“Kita bukan sahaja menaja yuran pengajian tetapi juga merangkumi penginapan asrama, makanan dan RM150 elaun perbelanjaan setiap bulan untuk setiap pelajar.

“Ini adalah komitmen Kerajaan Negeri untuk memperkasa anak Selangor dengan ilmu dan kemahiran bagi menghadapi gelombang Revolusi Industri 4.0,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran dan Majlis Sambutan Deepavali Inpens, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Eksekutif Inpens, Ahmad Zabri Mohd Yaman dan Penolong Pengarah Seksyen Sektoral, Unit Perancang Ekonomi Selangor, Siti Sarah Abu Samah.

Terdahulu, Kerajaan Negeri turut menaja 311 pelajar bagi kemasukan sesi Januari 2017, menjadikan jumlah keseluruhan pelajar tajaan seramai 463 dengan peruntukan hampir RM5 juta.

Inpens merupakan singkatan kepada Institusi Pendidikan Negeri Selangor dan merupakan naungan Kerajaan Negeri menerusi Pemerbadanan Menteri Besar (MBI).

=EZY=

Categories
PENDIDIKAN SELANGOR

Komited tingkat inovasi pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

KUALA SELANGOR, 26 JULAI: Kolej Antarabangsa INPENS (INPENS) komited memberdaya bidang inovasi di kalangan pelajarnya dengan menyertai Anugerah Inovasi Selangor 2017 (AINS 2017) peringkat Kuala Selangor, 20 Julai lalu.

Ia adalah penyertaan tahun ketiga INPENS di mana pada tahun ini kolej terbabit memepertaruhkan empat produk iaitu MA Board, Motor KU, Smart Hammer dan Smart Car Dolly.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, penyertaan dalam pertandingan itu adalah rutin tahunan kolej terbabit selain tanda sokongan terhadapnya.

“Ia juga bertepatan dengan karakter INPENS selaku institusi pengajian kemahiran ulung Selangor.

“Tahun ini kita menyertainya dengan mempertaruhkan empat produk berkaitan dengan kursus kemahiran ditawarkan di kolej ini,” katanya.

Mengulas mengenai dua produk dihasilkan, beliau berkata, MA Board adalah hasil inovasi pelajar pembuatan pakaian di INPENS apabila produk itu bukan sahaja berfungsi sebagai meja seterika tetapi juga boleh dijadikan kerusi dan tangga.

Manakala Motor KU, katanya, ialah hasil inovasi khas untuk membantu golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) menaiki motosikal yang lebih bersesuaian dengan fizikal mereka manakala kos diperlukan adalah sangat minimum.

“INPENS sangat menggalakkan warganya untuk menceburi bidang inovasi memandangkan ia sangat sinonim dengan pendidikan kemahiran.

“Pada masa akan datang, kita akan juga menghantar penyertaan inovasi ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa bagi memberikan lebih banyak pengalaman serta pendedahan kepada pelajar.

“INPENS sentiasa mengalu-alukan kehadiran belia yang kreatif dan berinovasi untuk mendaftar di kolej ini,” katanya.

=EZY=

Categories
SELANGOR

Tiada kompromi buli

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA SELANGOR, 25 JULAI: Kolej Antarabangsa Inpens (INPENS) tidak akan berkompromi dengan budaya buli, sekali gus mahu pelatih kolej bebas dari gejala negatif itu.

Ketua Eksekutifnya, Ahmad Zabri Mohd Yaman berkata, budaya tidak sihat itu perlu dihentikan serta-merta bagi menghakis imej sinonim perbuatan terbabit dengan institusi pengajian tinggi.

“Budaya ini perlu dihentikan kerana bukan sahaja masa depan mangsa buli boleh terjejas tetapi pembuli turut berdepan masa depan gelap.

“Saya mahu pelatih INPENS bebas dan menjauhi budaya ini,” katanya pada program Bual Bicara Budaya Buli dan Tular Media Sosial, baru-baru ini.

Program terbabit diadakan sebagai komitmen INPENS yang tidak mahu berkompromi dengan budaya buli.

Pada masa sama, Ahmad Zabri berkata, pihaknya komited menyediakan peluang pendidikan kemahiran dan mendidik pelatih supaya mempunyai jati diri serta modal insan cemerlang.

“Kita mahu melahirkan belia negara yang bukan sahaja berkemahiran dan menjadi pilihan majikan,” katanya.