Categories
SELANGOR

Sony EMCS mahu kerjasama lebih erat dengan Kerajaan Selangor

OLEH NADIAH ZAMLUS

BANGI, 15 JUL: Sony EMCS (Malaysia) Sdn Bhd mahu menjalinkan hubungan lebih erat dengan Kerajaan Selangor.

Perkara tersebut dinyatakan Ketua Sektor Kawalan Operasi Perniagaannya, Takanori Yamamoto ketika sesi taklimat bersama Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari di ibu pejabatnya bertempat di Bandar Baru Bangi pagi tadi.

Takanori berkata, pihaknya berbangga kerana Kerajaan Selangor bersama Invest Selangor memilih Sony EMCS sebagai lokasi aktiviti berbasikal kali ini.

“Kami mahu hubungan ini lebih erat dan bersedia memberikan kerjasama bersama Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Amirudin,” katanya.

Sementara itu Presiden KL TEC Sony EMCS, Yasushi Tsukada dalam ucapannya memberitahu beliau berbangga apabila Amirudin dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar yang baru di Selangor.

Amirudin turut dibawa melawat ke sekitar ibu pejabat Sony EMCS serta menanam pokok sebagai simbolik lawatan.

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor – MIDA luas kerjasama tingkat pelaburan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 10 JUL: Kerajaan Selangor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) giat menjalin kerjasama dalam usaha menggalakkan kemasukan prospek pelaburan dalam negeri.

Exco Pelaburan, Perindustrian, dan Perdagangan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Dato’ Teng Chang Kim berkata, kerjasama itu diwujudkan menerusi penganjuran forum pelaburan logsitik bersama delegasi tempatan dan antarabangsa.

Katanya, hala tuju itu tertumpu kepada tawaran peluang pelaburan negeri yang mampu meningkatkan jaringan perolehan nilai kemasukan nilai pelaburan ke Selangor.

“Ini termasuklah tawaran di peringkat Kerajaan Negeri terhadap kemudahan fasiliti yang boleh disediakan Kerajaan Selangor terhadap kemudahan jaringan pelaburan negeri kepada pelabur luar.

“Kami yakin, kerjasama ini membuka peluang kepada pelabur luar untuk kekal memilih Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas hadir merasmikan Forum Pelaburan Industri Pengankutan Logistik dan pelancaran buku Malaysia Logistics Perfomance Index, di Hotel Concorde, pagi ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Esekutif MIDA, Arham Abdul Rahman dan Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hassan Azhari Idris.

Sementara itu, penganjuran forum bertemakan, ‘Memperkenalkan rantaian kemudahan pelaburan logistik di Selangor’ turut dihadiri delegasi pelabur tempatan dan antarabangsa.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Invest Selangor sertai UK Airshow, Julai ini

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 6 JUN: Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) terus komited melaksanakan Misi Menggalak Pelabur ke Luar Negara ke United Kingdom, Julai depan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari berkata, pihaknya akan ke negara itu bagi menyertai ‘UK Airshow’ yang memfokuskan industri aero angkasa.

“Misi ini akan disambung pada bulan Julai ini yang mana kita menyertai Airshow di UK yang menjurus bidang aeroangkasa.

“Selain itu, kita akan mengadakan ’round table’ bersama pemain industri halal dan industri rel tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Prapelancaran Selangor Industrial Ride 2.0 di Ibu Pejabat Invest Selangor, di sini, semalam.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali komited menjadikan Selangor sebagai hub aeroangkasa.

Subang, Sepang dan Serendah atau 3S adalah lokasi strategik yang lengkap dengan kemudahan untuk memajukan industri ini.

Sebagai road map atau lebih tepat lagi aerial map untuk mengangkat Selangor sebagai pemain utama dalam sektor aeroangkasa yang merupakan industri apex, maka Kerajaan Negeri akan memperuntukkan RM2 juta untuk pembangunan blueprint aeroangkasa.

Tahun lalu, Selangor berjaya menarik perhatian syarikat konglomerat yang berpengkalan di Boston, General Electric International melalui GE Engine Services Malaysia yang terbabit dalam bidang Maintenance, Repair & Overhaul (MRO) untuk memperluaskan pelaburan baru bernilai RM200 juta dalam meningkatkan keupayaan kemudahan untuk menyelenggara leap engine di Subang.

Pelaburan ini akan menjadikan pusat ini sebagai pusat penyelenggaraan ‘leap engine’ yang pertama di luar Cincinnati.

=EZY=

 

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Invest Selangor giat promosi SIBS 2018

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 APR: Agensi penggerak pelaburan negeri, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) giat meneruskan gerak kerja bagi mempromosikan penganjuran Selangor International Business Summit (SIBS) 2018 ke negara Asean.

Menerusinya, delegasi yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris mengadakan lawatan ke beberapa buah negara antaranya Vietnam, Laos dan Cambodia, ketika ini.

SIBS 2018 bakal diadakan, pada 6 hingga 16 September ini, di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Hasan berkata menerusi penganjurannya, SIBS mampu menjadi landasan strategik untuk pemasaran, kerjasama dan perkongsian serta maklumat berkenaan perkembangan teknologi terkini, di seluruh dunia.

“Sebagai pintu masuk ASEAN dan Hab Perdagangan Global, Selangor merupakan titik pusat penting bagi perniagaan domestik dan antarabangsa yang ingin membina atau mengukuhkan kehadiran mereka di ASEAN.

“Bagaimana kami berusaha ke arah mencapai visi ini, SIBS mewujudkan platform untuk syarikat multinasional tempatan dan asing serta perusahaan kecil dan sederhana, mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka,” katanya.

Tahun lalu, SIBS mencatatkan sebanyak 22,071 pelawat, sekali gus menjana transaksi sebanyak RM204.2 juta.

“Ini pencapaian yang besar, bukan hanya untuk negeri Selangor, tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya.

“Kami akan menggandakan usaha kami tahun ini, dan menyasar untuk mencapai 25,000 pengunjung dengan nilai transaksi sebanyak RM250 juta,” katanya.

Agensi Kerajaan Negeri itu akan memberi tumpuan kepada sektor makanan dan minuman untuk acara akan datang, termasuk produk dan perkhidmatan halal, teknologi makanan, sains makanan dan perkhidmatan makanan.

Sembilan organisasi sokongan berjanji menjadi sebahagian daripada sidang kemuncak, termasuk Persekutuan Pengilang Malaysia, Dewan Perniagaan dan Industri Antarabangsa Malaysia, dan Persatuan Rangkaian Malaysia.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Mesra pelabur, sedia prasarana kondusif

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 27 MAC: Menerusi konsep mesra pelabur, Kerajaan Negeri komited menyediakan prasarana pelaburan yang kondusif kepada pelabur untuk terus dikembangkan atau menjana pelaburan baru di Selangor.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim berkata, pelabur di negeri itu juga sentiasa disantuni melalui program lawatan kilang yang dilaksanakan oleh Invest Selangor.

Katanya, obejektif lawatan terbabit bertujuan mewujudkan hubungan erat antara Kerajaan Negeri dengan pelabur yang beroperasi di Selangor.

“Selain itu, Kerajaan Negeri juga dapat meninjau permasalahan yang dihadapi oleh pelabur dan membantu untuk menyelesaikannya.

“Kerajaan Negeri turut menyediakan kawasan perindustrian yang lebih selesa, selamat dan lebih terurus melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dengan mewujudkan Industrial Park Management Committee (IPMC) sebelum ini, bagi membincangkan dan menyelesaikan isu penyelenggaraan kawasan perindustrian yang dihadapi pelabur,” katanya menjawab pertanyaan Loh Chee Heng-Telok Datok.

Pada masa sama, Chang Khim berkata Kerajaan Negeri giat melaksanakan cadangan pembangunan kawasan perindustrian berkonsepkan ‘Managed Industrial Park’ (MIP) sebagai langkah penjenamaan semula kawasan perindustrian baru yang dibangunkan bagi meningkatkan prestasi pelaburan.

Terdahulu, Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB) diberi tanggungjawab untuk mempromosi Pulau Indah Industrial Park (PIIP) yang berkonsepkan MIP, ‘Gated dan Guarded’, berkonsepkan hijau serta lengkap dengan laluan berbasikal sepanjang 20 kilometer.

PIIP meliputi keluasan 3,500 ekar dan dijangka menjana nilai pelaburan RM15 bilion dalam tempoh 20 tahun.

Fasa 3 sedang dibangunkan meliputi 800 ekar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM1.2 bilion.

MIP diwujudkan bagi menangani masalah penyelenggaraan kawasan perindustrian, menyediakan lokasi pelaburan dengan kemudahan infra yang lebih baik, mempromosikan pembangunan kawasan perindustrian luar bandar dan mengurangkan beban dan tanggungan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Invest Selangor sasar pelaburan RM12 bilion

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 20 MAC: Agensi Penggalak Pelaburan Negeri, Invest Selangor Berhad menyasar pelaburan keseluruhan sebanyak RM12 bilion pada tahun ini, terutamanya daripada sektor perkhidmatan dan perkilangan.

Daripada jumlah itu, pelaburan bernilai RM7 bilion dijangka datang daripada sektor perkilangan merangkumi pelaburan langsung asing dan pelaburan langsung domestik, manakala RM5 bilion pula daripada sektor perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata daripada sasaran itu, sejumlah RM1.8 bilion sudah diperolehi daripada misi perdagangan Invest Selangor ke Jepun pada Januari, baru-baru ini.

Katanya, pihaknya mempunyai permulaan yang baik daripada misi lawatan pelaburan ke Jepun membabitkan syarikat dari sektor logistik, pembungkusan, jentera dan aeroangkasa.

“Kami berharap tahun ini, kita dapat meningkatkan perolehan pelaburan lebih tinggi berbanding tahun lalu. Ia bergantung kepada pelbagai strategi yang akan dilaksanakan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2018, di MiTEC, semalam.

Bagaimanapun, katanya, sasaran perolehan itu akan dikaji semula pada separuh masa kedua tahun ini.

Tahun lalu, Selangor menarik RM5.59 bilion pelaburan langsung dalam sektor perkilangan dan sektor perkhidmatan bernilai RM4 bilion, terutamanya dari peruncit perabot terbesar di dunia, IKEA, dengan penubuhan sebuah pusat rantaian bekalan di Pulau Indah, bernilai RM908 juta.

Selangor turut muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu sekaligus mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629, diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Belanda pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan Jerman tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755.

Sektor perkhidmatan dan perkilangan menyumbangkan 59.5 peratus dan 29.5 peratus kepada keluaran kasar negara Selangor pada 2017.

=EZY=

 

Categories
SELANGOR

Selangor lulus 202 projek sepanjang 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 19 MAC: Selangor muncul pada kedudukan tertinggi, di Malaysia menerusi jumlah perkilangan diluluskan iaitu 202 projek berbanding negeri lain, tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad (Invest), Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, daripada jumlah itu, Selangor mencipta lebih 10,000 peluang pekerjaan.

Katanya, pada tahun lalu, Selangor turut menerima lebih RM5.59 bilion pelaburan langsung menerusi sektor perkilangan.

“Daripada jumlah itu, 104 adalah projek baru dengan 5,483 peluang pekerjaan. Pelaburan domestik mencatatkan RM3.42 bilion dengan RM1.44 bilion disumbangkan melalui pelaburan domestik baru, manakala pelaburan domestik lama RM1.98 bilion.

“Bagi pelaburan asing pula mencatatkan RM2.16 bilion. Daripada jumlah itu, RM1.12 bilion daripada pelaburan asing baru dan RM1.03 bilion daripada pelaburan asing sedia ada,” katanya selepas Majlis Pelancaran Selangor International Business Summit 2018, di MiTEC, di sini.

Hasan berkata, Jepun adalah penyumbang pelaburan tertinggi dengan 13 projek dan nilai RM533,596,629, diikuti Singapura sebanyak 18 projek dengan nilai RM439,958,335 dan China lima projek dengan nilai RM282,179,556.

Manakala, Netherlands pula tiga projek dengan nilai RM162,401,080 dan German tiga projek dengan nilai RM147,173,824.

“Daripada jumlah keseluruhan pelaburan sektor perkilangan itu, RM878,464,035 disumbangkan melalui sektor makanan, diikuti sektor perkilangan dengan jumlah RM833,100,549 dan sektor kimia RM803,898,755,” katanya.

Selain itu, daerah Klang merupakan daerah tertinggi menyumbang lebih RM652 juta nilai pelaburan bagi sektor perkilangan.

Diikuti dengan Shah Alam sebanyak RM431 juta dan Kuala Langat sebanyak RM420 juta serta Petaling Jaya sebanyak RM381 juta.

Pada 2016, sektor pengangkutan merupakan penyumbang tertinggi dengan nilai RM2.843 bilion diikuti sektor makanan sebanyak RM1.035 bilion dan RM637 juta pula menerusi produk logam yang direka.

Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor sasar pelaburan perkilangan RM7 bilion

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 MAC: Selangor mensasarkan perolehan RM7 bilion bagi sektor perkilangan domestik dan pelaburan asing, tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, jumlah berkenaan diyakini mampu dicapai hasil kepesatan pembangunan ekonomi negeri.

“Tahun lalu, RM3 bilion berjaya diraih bagi tempoh sehingga penghujung suku.

“Sementara itu, untuk prestasi tahun ini, pelaburan sektor perkilangan domestik dan ‘foreign direct investment’ yang disasarkan adalah RM7 bilion,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini ketika ditemui pada Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina, di Dataran Petaling, baru-baru ini.

Terdahulu, Invest Selangor optimis mencapai sasaran pelaburan tahun ini walaupun berdepan krisis ekonomi dunia yang mencabar.

Hasan Azhari berkata, Invest Selangor akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Ia termasuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dewan perniagaan tempatan dan luar negeri.

Selain itu, tumpuan lain termasuk inisiatif meningkatkan rombongan perdagangan ke luar negara melalui seminar pelaburan atau mesyuarat meja bulat.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

8 syarikat Jepun intai pelaburan baru Selangor

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 28 FEB: Sebanyak lapan syarikat pelaburan terbesar dari Jepun kini sedang meninjau prospek pelaburan terbaru di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris memaklumkan, perincian nama-nama syarikat berkenaan bakal diumumkan dalam tempoh terdekat.

“Selepas delegasi Selangor mengadakan lawatan kerja pelaburan di Jepun baru-baru ini, kita sudah menerima senarai lapan syarikat dari Jepun yang akan meneruskan projek pelaburan di Selangor.

“Namun buat masa sekarang, kita tidak boleh dedahkan nama-nama syarikat kerana terdapat beberapa prosedur dan ketetapan di pihak mereka,” katanya.

Beliau bercakap kepada SelangorKini pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina peringkat negeri, di Dataran Petaling, baru-baru ini.

Terdahulu, Selangor berjaya meraih perolehan pelaburan berjumlah RM1.2 bilion daripada sebuah syarikat berteknologi tinggi dari Jepun.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali memaklumkan, kerancakan kemasukan pelaburan dari Jepun membuktikan ekonomi Selangor masih kukuh serta sebagai destinasi pilihan pelaburan jangka panjang walaupun iklim kewangan dunia dilihat tidak menentu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), Datuk Azman Mahmud berkata, pada tahun lalu, Jepun merupakan pelabur keempat terbesar negara meliputi pelbagai bidang antaranya sektor pembuatan melibatkan 53 projek dengan nilai pelaburan RM1.9 bilion.

Katanya, pelaburan itu sekali gus mewujudkan kira-kira 4,390 peluang pekerjaan kepada rakyat pada masa akan datang khususnya kepada rakyat.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Sektor perkilangan sumbang RM3.05 bilion jumlah pelaburan Jan-Sept 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Sejumlah RM3.05 bilion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di sektor perkilangan Januari hingga September tahun lalu, disumbangkan oleh lima kluster utama yang menjadi fokus Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’Hasan Azhari Idris berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 bilion adalah dari pelaburan tempatan dan sebanyak RM1.05 bilion dari pelaburan asing.

“Faktor penyumbang utama pelaburan negeri adalah dari industri pengeluaran produk Makanan ataupun ‘Food Manufacturing’ yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dengan 19 projek bernilai RM726.3 juta atau 23.8 peratus.

“Manakala, industri Barangan Kimia dengan 19 projek bernilai RM380.2 juta dan Industri Peralatan Pengangkutan dengan 20 projek bernilai RM295.7 juta atau 9.7 peratus,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasan berkata kluster Sains Hayat turut menyumbang sebanyak 17.1 peratus dengan jumlah pelaburan sebanyak RM521.5 juta.

Katanya, ia diikuti dengan kluster Elektrik dan Elektronik sebanyak 7 peratus (RM214.9 juta) dan kluster Peralatan dan Jentera menyumbang sebanyak 6.3 peratus (RM193.4 juta).

Terdahulu, Invest Selangor memfokuskan kepada lima kluster utama iaitu elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat, dan peralatan pengangkutan.

Invest Selangor juga memberi tumpuan kepada empat bidang keutamaan di dalam lima kluster teras iaitu Bioteknologi, industri Halal, industri Aeroangkasa dan E-dagang.

Ia bagi membantu mengukuhkan lagi pelaburan di lima kluster itu. Empat majlis ditubuhkan untuk memberikan perhatian terhadap empat bidang itu iaitu Majlis Aeroangkasa Negeri Selangor, Majlis Halal Antarabangsa Selangor, Majlis Bio Selangor dan Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor(SITEC).

Majlis-majlis ini terdiri daripada kakitangan jabatan Negeri Selangor, agensi dari Kerajaan Persekutuan dan pemain-pemain industri.

Ianya berperanan penting yang mana akan melihat perkembangan industri semasa dan merangka arah tuju industri di bawah lima kluster utama itu di Selangor.

=EZY=

 

Categories
EKONOMI SELANGOR

Perkukuh pelaburan negeri, Invest Selangor proaktif hadapi cabaran

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Komited memperkukuhkan pelaburan negeri, agensi promosi pelaburan, Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), optimis mencapai sasaran pelaburan tahun ini walaupun berdepan dengan krisis ekonomi dunia yang mencabar.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata Invest Selangor akan mengambil beberapa langkah proaktif dalam menghadapi situasi ekonomi tidak menentu ketika ini.

Katanya, ia termasuk meningkatkan hubungan kerjasama dengan pihak Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), dewan perniagaan tempatan dan luar negeri serta meningkatkan rombongan perdagangan ke luar negara melalui seminar pelaburan atau mesyuarat meja bulat.

“Invest Selangor juga akan mengeratkan hubungan bersama pihak pelabur yang sedia ada di Selangor untuk meneroka peluang ‘expansion’ atau perkembangan aktiviti perniagaan mereka di Selangor.

“Baru-baru ini terdapat lapan buah syarikat daripada Jepun bersetuju untuk melabur dan menambah pelaburan mereka di Selangor dengan jumlah pelaburan sebanyak RM1.8 bilion,” katanya kepada SelangorKini.

Hasan berkata kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pemaju hartanah juga akan diwujudkan bagi menyediakan kawasan perindustrian dan kemudahan infrastruktur yang sempurna melalui inisiatif ‘Industrial park guidelines’.

Katanya, dengan adanya kemudahan yang lengkap, ia akan memudahkan pelabur asing melaksanakan projek pelaburan mereka di sini.

“Kita turut mahu bekerjasama dengan pihak institusi pengajian tinggi dan kolej tempatan di Selangor untuk memajukan bidang teknologi dan kemahiran tenaga pekerja bagi penyediaan latihan kepakaran serta kecekapan mereka,” katanya.

Hasan turut tidak menolak, persaingan sengit berlaku daripada negeri lain dan luar negara dari segi teknologi, ekosistem ‘venture capital’ dan bakat di Singapura serta kos sara hidup yang lebih rendah di Thailand dan Vietnam.

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Sasar raih RM250 juta pada Selangor International Business Summit 2018

OLEH SABIRAH AZIZ

KUALA LUMPUR, 5 DIS: Sebanyak RM250 juta aliran kewangan disasarkan, hasil penganjuran Selangor International Bussiness Summit 2018, tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor Berhad, Dato’ Hasan Azhari Idris berkata, nilai itu diharap dapat meningkat berbanding penganjuran persidangan itu sebelum ini yang berjaya meraih sebanyak RM200 juta.

“Diharapkan kita dapat memperoleh sekurang-kurangnya RM250 juta nilai transaksi daripada peserta pameran dengan sasaran kira-kira 600 peserta mengambil bahagian pada kali ini.

“Kita juga yakin dapat menarik lebih ramai pengunjung terutamanya ahli perniagaan di lokasi baharu program ini iaitu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MiTEC), Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Pra Pelancaran Selangor International Business Summit 2018 di Hotel Shangri-La, di sini, hari ini.

Katanya, Invest Selangor Berhad berbangga menjadi penganjur bagi program tersebut, iaitu sebahagian daripada usaha dalam meletakkan Selangor sebagai hab perdagangan global dan gerbang penting kepada ASEAN untuk perniagaan domestik dan antarabangsa.

“Melalui edisi kedua penganjuran ini, ia akan membuka potensi dan peluang kerjasama dalam perniagaan, bukan sahaja di Selangor atau Malaysia malah kepada seluruh komuniti ASEAN,” katanya.

Persidangan sepuluh hari bermula 6 hingga 16 September 2018 akan diadakan di MiTEC, Kuala Lumpur yang turut memberi tumpuan kepada agenda keusahawanan, pembangunan teknologi pintar serta seminar membabitkan panel dari dalam dan luar negara.

=EZY=