Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

324 projek perkilangan di Selangor dilulus pada 2020

SHAH ALAM, 2 DIS: Sebanyak 324 projek perkilangan di Selangor diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada 2020 dengan nilai pelaburan berjumlah RM18.43 bilion.

EXCO Perdagangan dan Perindustrian Dato’ Teng Chang Khim berkata daripada jumlah keseluruhan projek yang diluluskan itu, sebanyak 93 peratus telah dilaksanakan.

“Sebanyak tujuh peratus masih dalam peringkat perancangan, pembangunan kilang dan juga pemasangan mesin dan alatan.

“Bagi memastikan projek yang diluluskan dapat direalisasikan, Kerajaan Negeri melalui Invest Selangor sentiasa mengadakan perbincangan dan tindakan susulan terhadap pelabur bagi membantu menyelesaikan isu berbangkit,” katanya, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan wakil rakyat Sungai Air Tawar, Datuk Rizam Ismail mengenai projek perkilangan yang diluluskan pada 2020 ketika penggulungan perbahasan Belanjawan #Selangor2022 pada Sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Tambah Chang Khim, tiada garis masa yang direncanakan oleh Kerajaan Negeri bagi memastikan pihak pelabur tidak menarik cadangan pelaburan mereka.

“Mana-mana syarikat yang mendapat kelulusan projek perkilangan daripada pihak Mida perlu mendapatkan surat tiada halangan (No-Objection Letter) daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Dagangan Malaysia naik 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion

KUALA LUMPUR, 28 OKT: Jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020 meningkat 5.5 peratus kepada RM155.88 bilion berbanding September 2019.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) berkata kenaikan perdagangan ini direkodkan terutamanya dengan China, Hong Kong, Amerika Syarikat (AS), Belanda dan Taiwan.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan dua digit sebanyak 13.6 peratus kepada RM88.93 bilion, iaitu nilai eksport tertinggi pernah direkodkan bagi bulan September, 2020 manakala import menyusut 3.6 peratus kepada RM66.96 bilion,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Miti berkata eksport barangan perkilangan dan keluaran pertanian mencatatkan pertumbuhan dua digit pada September 2020.

“Eksport barangan perkilangan pada September 2020 yang merangkumi 87.7 peratus daripada jumlah eksport, berkembang 16.3 peratus tahun ke tahun kepada RM77.99 bilion

“Pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E), keluaran getah, barangan perkilangan lain terutamanya peranti ‘solid-state storage’ (SSD), barangan besi dan keluli serta barangan optik dan saintifik.

Ia berkata eksport keluaran pertanian melonjak 26.6 peratus kepada RM6.55 bilion berbanding September 2019, disokong terutamanya oleh kenaikan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit.

Miti berkata produk elektrik dan elektronik turut memacu eksport ke Asean pada September 2020, dengan menyumbang RM38.79 bilion atau 24.9 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia, mencatatkan peningkatan 0.5 peratus berbanding September 2019.

“Eksport pulih dengan pertumbuhan 6.7 peratus kepada RM23.1 bilion, disokong oleh kenaikan eksport barangan E&E yang meningkat sebanyak 47.8 peratus atau RM3.2 bilion,” katanya.

Dalam pada itu, perdagangan dengan China menyumbang 19.8 peratus kepada jumlah perdagangan Malaysia pada September 2020, meningkat 21.5 peratus tahun ke tahun kepada RM30.85 bilion.

“Eksport ke China melonjak 41.9 peratus kepada RM15.56 bilion berikutan kenaikan eksport bagi barangan E&E, barangan besi dan keluli serta minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit,” katanya.

Miti menambah eksport ke AS terus meningkat dengan mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 22.1 peratus kepada RM10.32 bilion pada September 2020 berikutan kenaikan dicatatkan bagi keluaran getah, barangan E&E, barangan kayu, jentera, kelengkapan dan peralatan serta barangan perkilangan lain.

Eksport ke Eropah telah pulih kembali dengan peningkatan dua digit sebanyak 28.6 peratus kepada RM8.63 bilion, disumbangkan oleh kenaikan eksport barangan E&E, keluaran getah, minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta barangan perkilangan logam.

Sementara itu, barangan perkilangan telah mengimbangi pengurangan eksport ke Jepun sebanyak 11.3 peratus kepada RM4.76 bilion disebabkan terutamanya oleh penurunan eksport gas asli cecair (LNG).

“Penguncupan ini bagaimanapun, telah diimbangi oleh kenaikan eksport barangan perkilangan yang berkembang sebanyak 1.6 peratus kepada RM3.67 bilion,” tambahnya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA EKONOMI NASIONAL

Mida lulus 1,725 projek nilai RM64.8 bilion separuh pertama 2020

KUALA LUMPUR, 24 SEPT: Malaysia mencatatkan pelaburan bernilai RM64.8 bilion dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama untuk enam bulan pertama 2020 walaupun berdepan pelbagai cabaran ekonomi dunia.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) berkata pelaburan ini melibatkan 1,725 projek dan akan mewujudkan 37,110 peluang pekerjaan.

”Daripada jumlah pelaburan diluluskan, pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebanyak 69.8 peratus atau RM45.3 bilion, sementara pelaburan langsung asing (FDI) menyumbang sebanyak RM19.5 bilion,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ia berkata penyumbang terbesar FDI untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama dalam tempoh tersebut ialah Singapura (RM4.9 bilion), Switzerland (RM2.8 bilion), China (RM2.2 bilion), Amerika Syarikat (RM2.2 bilion) dan Thailand (RM1.8 bilion).

MIDA berkata untuk projek diluluskan mengikut negeri, lima negeri utama iaitu Sabah, Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor menyumbang RM47.1 bilion (72.6 peratus) kepada jumlah pelaburan diluluskan untuk Januari hingga Jun 2020.

Sektor perkilangan menarik sebahagian besar pelaburan diluluskan untuk separuh pertama 2020 dengan menyumbang lebih separuh (55.1 peratus) atau RM35.7 bilion, diikuti sektor perkhidmatan dengan pelaburan 44.2 peratus atau RM28.6 bilion, dan sektor utama dengan pelaburan diluluskan berjumlah 0.7 peratus atau RM0.5 bilion, menurutnya.

“Kerajaan, melalui Mida menerajui usaha untuk menarik pelaburan lestari, daripada sumber domestik dan asing, yang akan memperkuatkan lagi ekosistem perniagaan di Malaysia,” menurut Mida.

Selain itu ia berkata dari Januari hingga Jun 2020, sebanyak 1,316 projek dalam sektor perkhidmatan diluluskan dengan pelaburan bernilai RM28.6 bilion.

Pada Januari hingga Jun 2020, sektor utama menarik pelaburan bernilai RM471.0 juta.

Sektor ini merangkumi tiga subsektor utama iaitu perlombongan, pertanian serta perladangan dan komoditi.

Mida berkata sehingga Julai 2020, sejumlah 732 projek dengan cadangan pelaburan RM35.9 bilion sedang dalam perancangan untuk sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama.

— BERNAMA

 

Categories
EXCO SELANGOR

Tumpu lima sektor kilang, kekal pacu ekonomi negara

SHAH ALAM, 17 OGOS: Lima sektor perkilangan diberi tumpuan dalam memacu pertumbuhan ekonomi (KDNK) negeri dan negara, kata EXCO pelaburan.

Sektor tersebut ialah elektrik dan elektronik, mesin, aeroangkasa, makanan dan minuman serta sains hayat merangkumi faramaseutikal dan perubatan.

“Kita mahu memperkukuhkan sektor perkilangan untuk menyokong sektor perkhidmatan yang menjadi peneraju utama ekonomi negara,” kata Dato’ Teng Chang Khim mengulas prestasi KDNK negeri pada 2019.

“Matlamat ini selari hasrat Selangor yang tidak lagi melihat negeri lain sebagai pesaing, sebaliknya menjadikan negara dalam rantau Asia sebagai pesaing utama memajukan ekonomi.”

Ketika ini sektor perkilangan negeri hanya menyumbang 30 peratus kepada KDNK berbanding 60 peratus daripada perkhidmatan.

Pada 6 Ogos lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan Selangor menyumbang 24.2 peratus KDNK pada 2019, kekal tertinggi dalam tempoh beberapa tahun.

Beliau berkata angka tersebut meningkat 0.5 peratus berbanding 23.7 peratus yang dicatatkan dalam tempoh sama, dua tahun lalu.

Categories
AGENDA EKONOMI

MIDA: Pelaburan dilulus naik 1.7 peratus kepada RM208 bilion pada 2019

KUALA LUMPUR, 20 APRIL: Malaysia menarik sejumlah RM207.9 bilion bagi pelaburan yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama pada 2019, peningkatan 1.7 peratus berbanding 2018.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata pelaburan langsung domestik (DDI) menyumbang sebahagian besar daripada jumlah pelaburan yang diluluskan iaitu 60.4 peratus atau RM125.5 bilion.

Pelaburan langsung asing (FDI) hanya mencapai 39.6 peratus iaitu peningkatan 2.9 peratus kepada RM82.4 bilion, kata MIDA dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya sektor perkhidmatan menerajui jumlah pelaburan diluluskan dengan peningkatan 11.3 peratus berbanding 2018. Sebanyak 4,087 projek diluluskan dengan nilai pelaburan berjumlah RM118.1 bilion tahun lepas.

Ini diikuti sektor perkilangan yang mencatat pelaburan diluluskan sebanyak RM82.7 bilion dan RM7 bilion bagi sektor utama.

Tiga negara menyumbang 66.3 peratus kepada jumlah FDI yang diluluskan dalam sektor perkilangan, perkhidmatan dan utama iaitu Amerika Syarikat (RM26.8 bilion), China (RM15.7 bilion) dan Jepun (RM12.1 bilion).

Empat negara menyumbang lebih 60 peratus kepada jumlah pelaburan diluluskan pada 2019 iaitu Selangor (RM47.8 bilion), Pulau Pinang (RM33.7 bilion), Johor (RM24.4 bilion) dan Kuala Lumpur (RM21.6 bilion).

MIDA berkata lima penyumbang pelaburan diluluskan dalam sektor perkhidmatan adalah hartanah (RM40.9 bilion), utiliti (RM32.6 bilion), pertubuhan global (RM11.8 bilion), perdagangan pengedaran (RM11.7 bilion) dan perkhidmatan sokongan (RM5.7 bilion).

Dalam sektor perkilangan, jumlah projek yang diluluskan menokok 37 peratus kepada 988 projek berbanding 721 projek pada 2018.

FDI menyumbang 65.2 peratus (RM53.9 bilion) daripada jumlah keseluruhan pelaburan ydiluluskan dalam sektor itu, manakala selebihnya pelaburan domestik 34.8 peratus (RM28.8 bilion).

Menurut agensi itu, industri berprestasi tinggi pada 2019 terdiri daripada industri elektrik dan elektronik (RM25.7 bilion), kertas, percetakan dan penerbitan (RM10.8 bilion), teknologi pengangkutan (RM8.0 bilion), produk mineral bukan logam (RM6.9 bilion), serta bahan kimia dan produk kimia (RM4.8 bilion).

“Adalah diperhatikan pelaburan dalam tiga subsektor pemangkin iaitu elektrik dan elektronik, mesin dan peralatan serta kimia dan dua bidang pertumbuhan tinggi iaitu industri aeroangkasa dan alat perubatan, mencatat peningkatan 90.2 peratus kepada RM40.9 bilion pada tahun lepas berbanding RM21.5 bilion pada 2018,” kata MIDA.

China (RM15.3 bilion) dan AS (RM14.2 bilion) merupakan dua negara pelabur terbesar dalam sektor perkilangan di Malaysia dan menyumbang 54.7 peratus daripada jumlah pelaburan asing yang diluluskan dalam sektor ini, katanya.

MIDA berkata Selangor (RM17 bilion) merupakan penerima pelaburan terbesar dalam sektor perkilangan untuk tahun 2019, diikuti Pulau Pinang (RM16.9 bilion), Kedah (RM11.5 bilion) dan Johor (RM11.5 bilion).

Sektor utama mencatatkan pelaburan yang diluluskan sebanyak RM7 bilion pada 2019, berbanding RM10.9 bilion pada 2018, dengan subsektor perlombongan menerajui sebahagian besar pelaburan di sektor utama (94.3 peratus) daripada jumlah pelaburan.

Baki pelaburan di sektor utama terdiri daripada subsektor perladangan dan komoditi, dan subsektor pertanian, yang masing-masing mencatatkan pelaburan sebanyak RM291.4 juta dan RM135.1 juta.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EKONOMI SELANGOR

Sektor perkilangan sumbang RM3.05 bilion jumlah pelaburan Jan-Sept 2017

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 12 FEB: Sejumlah RM3.05 bilion atau 64 peratus daripada jumlah keseluruhan pelaburan di sektor perkilangan Januari hingga September tahun lalu, disumbangkan oleh lima kluster utama yang menjadi fokus Invest Selangor Berhad (Invest Selangor), sebelum ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’Hasan Azhari Idris berkata, daripada jumlah itu sebanyak RM2 bilion adalah dari pelaburan tempatan dan sebanyak RM1.05 bilion dari pelaburan asing.

“Faktor penyumbang utama pelaburan negeri adalah dari industri pengeluaran produk Makanan ataupun ‘Food Manufacturing’ yang mencatatkan nilai pelaburan tertinggi dengan 19 projek bernilai RM726.3 juta atau 23.8 peratus.

“Manakala, industri Barangan Kimia dengan 19 projek bernilai RM380.2 juta dan Industri Peralatan Pengangkutan dengan 20 projek bernilai RM295.7 juta atau 9.7 peratus,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, Hasan berkata kluster Sains Hayat turut menyumbang sebanyak 17.1 peratus dengan jumlah pelaburan sebanyak RM521.5 juta.

Katanya, ia diikuti dengan kluster Elektrik dan Elektronik sebanyak 7 peratus (RM214.9 juta) dan kluster Peralatan dan Jentera menyumbang sebanyak 6.3 peratus (RM193.4 juta).

Terdahulu, Invest Selangor memfokuskan kepada lima kluster utama iaitu elektrikal dan elektronik, makanan dan minuman, peralatan dan jentera, sains hayat, dan peralatan pengangkutan.

Invest Selangor juga memberi tumpuan kepada empat bidang keutamaan di dalam lima kluster teras iaitu Bioteknologi, industri Halal, industri Aeroangkasa dan E-dagang.

Ia bagi membantu mengukuhkan lagi pelaburan di lima kluster itu. Empat majlis ditubuhkan untuk memberikan perhatian terhadap empat bidang itu iaitu Majlis Aeroangkasa Negeri Selangor, Majlis Halal Antarabangsa Selangor, Majlis Bio Selangor dan Majlis Teknologi Informasi dan E-Dagang Selangor(SITEC).

Majlis-majlis ini terdiri daripada kakitangan jabatan Negeri Selangor, agensi dari Kerajaan Persekutuan dan pemain-pemain industri.

Ianya berperanan penting yang mana akan melihat perkembangan industri semasa dan merangka arah tuju industri di bawah lima kluster utama itu di Selangor.

=EZY=