Categories
SELANGOR

IPR masih diteruskan

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 DIS: Pensejajaran program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) hanya membabitkan beberapa agenda sahaja, manakala selebihnya masih diteruskan seperti biasa.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, pensejajaran berkenaan juga membabitkan penambahbaikan program antaranya Kasih Ibu Smart Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri melaksanakan beberapa strategi bagi memastikan ia diberdayakan dari program pemberian kepada pemerkasaan untuk memastikknya lestari dan tidak membebankan pentadbiran akan datang.

“Sebagai Dato’ Menteri Besar, saya bertanggungjawab memastikan ekonomi negeri ini terus kekal seimbang kerana tidak guna bermewah jika akan datang menanggung beban.

“Seperti dalam penggulungan Belanjawan Negeri minggu lalu, setiap golongan sentiasa diberi perhatian, namun fokusnya sedikit berbeza.

“Untuk B40, kita memberi suntikan bagi mengurangkan bebanan kewangan, manakala M40 pula kita mempertingkatkan kemampuan sama ada kemahiran, modal perniagaan mahupun pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung usul peruntukan pembangunan Belanjawan 2019, pada sidang Dewan Negeri Selangor.

Pada masa sama, Amirudin berkata, program Skim Mesra Usia Emas masih diteruskan melalui peruntukan RM19 juta, namun terdapat kajian untuk menghubungkannya dengan program baharu, iaitu pusat warga emas.

Katanya, Kerajaan Negeri kini di peringkat penyediaan kertas cadangan dan kos untuk mewujudkan program khas, di pusat itu.

“Begitu juga dengan KISS, kita tidak potong tetapi tambah baik dengan memberi tambah nilai melalui program pemberdayaan keusahawanan dan kemahiran serta memberdayakan Pusat Wanita Berdaya supaya keluar dari kelompok kemiskinan dalam tempoh tertentu.

“Manakala bagi program TAWAS pula, kita memikirkan perlunya satu sistem yang menjana pelaburan supaya kita boleh menanggung pemberian RM1,500 kepada anak Selangor yang berdaftar.

“Kerajaan Negeri sedang berbincang dengan Permodalan Nasional Berhad untuk melihat bagaimana kita dapat melaksanakan pelaburan itu,” katanya.

Categories
SELANGOR

Jelajah IPR Paya Jaras dapat sambutan hangat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUNGAI BULOH, 15 SEPT: Program Jelajah Inisiatif Peduli Rakyat ke kampung sekitar Paya Jaras yang dilancarkan Pusat Khidmat Masyarakat di DUN itu mendapat sambutan di luar jangkaan.

Ahli Dewan Negeri Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, hal itu terbukti menerusi kejayaan mendaftarkan lebih 170 peserta baru, pada program yang diadakan hari ini.

“Tujuan program ini ialah supaya mereka yang layak menyertai pelbagai skim IPR tidak tercicir kerana kadang kala maklumat berkenaannya tidak sampai ke golongan sasaran.

“Program hari ini sahaja menyaksikan lebih 170 orang mendaftar dan kita jangkakan lebih banyak borang bakal diterima,” katanya pada Program Jelajah IPR, di Dewan Mini RTC di Kampung Paya Jaras, di sini.

Turut diadakan penyerahan Kad Peduli Sihat, dialog dan pemeriksaan kesihatan percuma.

Pada masa sama, Mohd Khairuddin berkata, program Jelajah IPR itu akan diteruskan di kampung lain secara berperingkat.

Katanya, pengundi di Paya Jaras perlu mengambil peluang berkongsi kekayaan dimiliki Selangor.

“Setakat ini, dianggarkan lebih 15,000 penerima manfaat IPR direkodkan di seluruh Paya Jaras sejak ia mula dilancarkan,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Penduduk Sepang terima RM1.49 juta menerusi IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SEPANG, 14 SEPT: Sejumlah RM1.49 juta diperuntukkan Kerajaan Negeri kepada 545 penerima Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi daerah Sepang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, bantuan itu diberikan kepada rakyat tanpa membiarkan mereka bergantung sepenuhnya kepada kerajaan.

Katanya, walaupun berdepan tohmahan dan tanggapan negatif pada permulaan pelaksanaannya, namun pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri kekal kukuh.

“Dalam tempoh tiga tahun ini, Kerajaan Negeri mengadakan pelbagai jenis bantuan IPR supaya rakyat bersama membangunkan ekonomi di samping kerajaan tidak lalai melaksanakan tanggungjawab.

“Kerajaan Negeri percaya penduduk Selangor mampu membangunkan negeri dengan bantuan yang disalurkan ini,” katanya pada Majlis Penyerahan Bantuan IPR, di Dewan Kampung Hulu Chuchoh, di sini.

Bantuan itu disalurkan menerusi skim mikrokredit Hijrah, Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor, Insentif Perkahwinan Belia, Blueprint, Dana Usahawan Mikro Selangor, Bantuan Nelayan, Skim Mesra Usia Emas, Argoprenuer pertenakan, tabung bantuan segera dan bantuan perumahan nelayan.

Pada majlis sama, Amirudin turut merasmikan dewan orang ramai berkenaan yang dinaik taraf Majlis Perbandaran Sepang dengan peruntukan RM500,000.

Katanya, Kerajaan Negeri juga akan menambah penghawa dingin untuk dewan berkenaan, pada tahun hadapan.

Kampung Hulu Chuchoh yang wujud kira-kira 100 tahun lalu bermaksud berbalah yang diambil daripada bahasa orang asal.

Sehingga kini, seramai 8,000 penduduk menetap di kampung itu, termasuk 771 orang asal.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri disaran kaji, tambah baik IPR

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri disaran mengkaji dan menambak baik 42 program di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bersesuaian semangat federalisme demi manfaat rakyat dan semua pihak berkaitan.

Ahli Dewan Negeri Sementa, Dr Daroyah Alwi berkata, selaras perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan, penambahbaikan itu dianggap penting kerana ia banyak membawa manfaat kepada rakyat dan mendapat perhatian negeri lain.

“IPR dijayakan Kerajaan Negeri menjadi program contoh dan buah mulut di seluruh negara, maka melalui semangat federalisme, saya berharap ia dikaji serta ditambah baik demi kebaikan semua pihak.

“Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai rizab negeri yang tinggi tetapi ia boleh diselaraskan dan sebahagiannya dijalankan dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan serta mengurangkan penggunaan peruntukan negeri,” katanya pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyertai sesi perbahasan dan penyokong titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Istiadat Perasmian Mesyuarat Kedua (Pembukaan) Penggal Pertama Persidangan DNS Ke-14 Tahun 2018.

Beliau berkata, IPR dijalankan Kerajaan Negeri terbukti membawa banyak manfaat kepada rakyat walaupun tidak mendapat peruntukan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

Katanya, Kerajaan Negeri menerusi konsep berkongsi kekayaan negeri bersama rakyat, jelas membawa manfaat dengan beberapa program IPR seperti Skim Peduli Sihat, Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Hijrah Selangor menjadi tumpuan serta terdapat beberapa program dicontohi negeri lain.

“Tahniah kepada Kerajaan Negeri dan semua ADN yang memenangi 51 daripada 56 kerusi dalam DNS (pada PRU14) dan bukan sekadar Selangor tetapi juga di peringkat Persekutuan.

“Rakyat sememangnya menaruh harapan tinggi terhadap Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dan kepimpinan Kerajaan Negeri demi meneruskan kecemerlangan,” katanya.

Categories
SELANGOR

IPR atasi isu kemiskinan

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai program termasuk agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bagi menangani masalah kemiskinan dihadapi rakyat, di Selangor.

EXCO Pemberdayaan, Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan peduli rakyat ekoran menyedari isu kemiskinan masih membelenggu khususnya dalam kalangan kurang berkemampuan.

“Bukan sahaja bertindak selaku penyumbang utama Keluaran Dalam Negara Kasar, Selangor sentiasa ke hadapan dan menjadi peneraju dalam menyediakan inisiatif bagi memastikan rakyat mendapat pembelaan serta meningkatkan taraf hidup mereka yang masih dalam kitaran kemisikinan.

“Sebagai tanda kepedulian dan keprihatinan berterusan dalam membantu meringankan bebanan rakyat, Kerajaan Negeri sentiasa mempelbagaikan inisiatif untuk memberdayakan rakyat supaya keluar daripada kitaran kemiskinan.

“Program dijalankan bersifat menyeluruh kepada semua golongan miskin dan kurang berkemampuan di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respon kepada pertanyaan lisan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kampung Tunku, Lim Yi Wei pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) Ke-14 Tahun 2018 di sini, hari ini.

Ganabatirau berkata, antara inisiatif dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak 2008 ialah 42 program IPR bagi meningkatkan taraf sosio ekonomi golongan berpendapatan rendah dan mengurangkan bebanan kos sara hidup daripada dimensi kesihatan, pendidikan serta taraf hidup rakyat.

Katanya, antara program IPR ialah Rumah Selangorku, Kasih Ibu Smart Selangopr (KISS), Skim Peduli Sihat, Hijrah Selangor dan Skim Peduli Siswa.

“Semua program dijalankan dan agenda Kerajaan Negeri bagi menangani isu kemiskinan menunjukkan impak positif demi memastikan kelangsungan hidup rakyat lebih baik.

“Kemiskinan bandar adalah masalah sosio ekonomi utama berlaku di seluruh dunia, termasuk di negara membangun dan kita semua sedia maklum ia memerlukan semangat serta ikhtiar tinggi bagi mendepani kos sara hidup lebih tinggi berbanding di luar bandar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kerajaan Negeri tidak mempunyai rancangan untuk mengkaji kadar kemiskinan bandar secara spesifik kerana terdapat pelbagai laporan sosio ekonomi disediakan pelbagai pihak berkaitan.

“Kerajaan Negeri sedar masa depan negara terletak di tangan anak muda dan kanak-kanak, justeru kita akan meneruskan kesinambungan pendekatan peduli rakyat dengan golongan terbabit tidak terkecuali,” katanya.

Categories
SELANGOR

PRK Seri Setia: IPR lebih baik daripada BR1M

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 28 OGOS: Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) yang diperkenalkan Kerajaan Selangor lebih baik, berbanding Bantuan Rakyat 1 Malaysia dalam memberdaya wanita, pada masa kini.

Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar berkata, wanita antara yang menerima manfaat IPR menerusi beberapa program seperti Kasih Ibu Smart Selangor (KISS), Skim Peduli Sihat dan HIJRAH Selangor.

“IPR lebih baik daripada BR1M. Wanita mendapat keistimewaan menerusi KISS, pemberian baucar RM200 setiap bulan.

“Kebanyakan wanita memohon IPR seperti program KISS, HIJRAH Selangor dan Skim Peduli Sihat,” katanya dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama DUN Seri Setia.

IPR yang menampilkan lebih 40 inisiatif mula diperkenalkan Kerajaan Negeri sejak mentadbir Selangor, pada 2008 dan dilaksanakan secara menyeluruh di semua pringkat dalam meningkatkan taraf kehidupan rakyat.

Berbanding BR1M yang bersifat’one-off’, inisiatif itu tidak mensasarkan kepada golongan sepatutnya, bahkan menjadi ‘gula-gula’ politik pimpinan sebelum ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan berkata, kerajaan akan mengurangkan jumlah BR1M sedikit demi sedikit sebelum ia dimansuhkan.

Categories
SELANGOR

Penduduk DUN Seri Setia nikmati lebih RM12 juta peruntukan IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 17 OGOS: Lebih RM12.38 juta diperuntukkan kepada sejumlah 17,373 penduduk di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menerusi program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) sehingga 15 Ogos tahun ini.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, peruntukan itu adalah dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan pelbagai bentuk bantuan IPR kecuali program Air Percuma dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

“IPR ini adalah model yang menjadi contoh dan ikutan kerana keberkesanannya yang luar biasa.

“Bermula di Selangor, program ini Kerajaan Negeri rangka berasaskan prinsip ‘Fastabiqul Khairat’ ataupun berlumba lumba melakukan kebaikan.

“Inisiatif Kerajaan Negeri ini memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat termasuk pelajar, ibu tunggal, orang kelainan upaya, peniaga kecil dan golongan miskin dari segi pelbagai dimensi termasuk taraf hidup, kesihatan dan pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Menyantuni dan Menyemarak Inisiatif Peduli Rakyat, di Masjid Al- Islamiah Kampung Lindungan, di sini.

Sementara itu, dalam program terbabit, Kerajaan Negeri melalui Menteri Besar Pemerbadanan (MBI Selangor) menyerahkan sumbangan kepada tujuh masjid dan enam surau di dalam kawasan DUN berkenaan berjumlah RM200,000.

Manakala, sebanyak 10 buah KAFA akan menerima sumbangan dari MBI berjumlah RM100,000 secara keseluruhan.

Sebanyak 84 pasangan turut menerima RM500 menerusi bantuan Insentif Perkahwinan Belia.

Sebanyak tujuh ekor lembu juga diberikan kepada masjid dan surau serta persatuan penduduk sempena Sambutan Hari Raya Aidiladha.

“Sumbangan ini sememangnya sudah diperuntukkan dan sepatutnya disampaikan oleh Ahli Dewan Negeri, Allahyarham Prof Dr Shaharuddin Baharuddin.

“Oleh itu, saya tidak mahu orang ramai kata ini adalah sumbangan sempena kempen pilihanraya kecil,” katanya.

Untuk rekod, sebanyak 3,915 kad peduli sihat dikeluarkan iaitu merangkumi seramai 15,660 penerima manfaat dengan perbelanjaan berjumlah RM416,486.08 bagi DUN Seri Setia.

Manakala, Kasih Ibu Smart Selangor pula adalah seramai 561 orang dengan peruntukan RM 1,346,000.

Bagi program HIJRAH pula, sejak 2015 adalah seramai 685 penerima dengan perbelanjaan berjumlah RM7 juta dan bagi tahun ini, seramai 34 penerima dengan kos perbelanjaan berjumlah RM511,000 bagi DUN itu.

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rangka semula IPR, bentuk pembangunan lebih efisien

OLEH HAFIZAN TAIB

LANGKAWI, 15 OGOS: Kerajaan Negeri akan merangka semula program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan pembangunan lain dengan lebih efisien demi kebaikan rakyat serta negeri.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, program yang membawa banyak manfaat kepada rakyat itu akan ditambah baik melalui rumusan hasil pandangan pelbagai pihak berkaitan.

“Kita mengadakan retreat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ini setiap tahun bagi mengamati beberapa pendekatan khususnya tahun ini dan tahun depan dalam tempoh singkat serta sederhana supaya kita dapat merangka program lebih efisien yang membawa kebaikan kepada negeri.

“Antara dibincangkan bagaimana kita merangka semula program digerakkan sebelumnya dengan mendapatkan pandangan pakar seperti Institut Penyelidikan Ekonomi Negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan Jabatan Statistik Negara dengan mereka memberi gambaran jelas bagaimana polisi dapat dirangka dengan lebih terperinci terhadap program dijayakan, termasuk IPR.

“Ia dinilai semula supaya dapat dirancang semula, terutama apabila belanjawan 2019 dibentangkan, pada akhir November ini,” katanya kepada Media Selangor, di sini.

Beliau berkata, retreat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diadakan, di sini memberi kelebihan kerana mendapat pandangan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) berhubung pembangunan kawasan itu melalui sumber alam yang menjadi tarikan kepada pelancong domestik dan luar.

Katanya, sumber alam itu dipelihara dengan baik dan Langkawi diiktiraf sebagai salah satu pulau warisan dunia.

“Banyak perkara boleh kita pelajari, terutama dalam meningkatkan kualiti pelancongan negeri dan saya tiada masalah untuk menjalin kerjasama dengan Kerajaan Kedah juga negeri lain, di Malaysia.

“Saya harap jabatan dan agensi Kerajaan Negeri dapat melihat lebih jauh potensi kerjasama serta belajar bagaimana cara mereka memelihara alam semula jadi juga aset pelancongan dimiliki,” katanya.

Categories
SELANGOR

RM825,000 jaya pembangunan, IPR di DUN Sungai Kandis

OLEH HAFIZAN TAIB

KLANG, 19 JULAI: Kerajaan Negeri menyalurkan peruntukan RM825,000 kepada peserta Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dan pembangunan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis, di sini, semalam.

Sunbangan itu disampaikan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari pada Program Menyantuni dan Menyemarakkan IPR DUN Sungai Kandis bersama Dato’ Menteri Besar di kawasan berkenaan.

“Pemberian sumbangan ini bukan datang pada pilihan raya umum atau kecil tetapi kita beri hampir setiap bulan.

“Sebelum ini, mantan Dato’ Menteri Besar (Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali) dalam tempoh tiga ke empat tahun lalu, turun hampir ke semua daerah bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dan pada masa sama, rakyat memahami apa dikatakan peduli rakyat,” katanya.

Beliau berkata, ia adalah program pertamanya sebagai Dato’ Menteri Besar dan lebih banyak program turun padang lain selepas ini.

Amirudin berkata, Kerajaan Negeri melalui IPR akan memastikan hasil kekayaan negeri dinikmati rakyat tanpa meminggirkan golongan sasaran dan memerlukan.

“Kekayaan negeri ini bukan untuk dinikmati pihak tertentu, termasuk golongan pemimpin tetapi seluruh rakyat yang kurang berkemampuan dan memerlukan pembelaan.

“Tiada makna jika kekayaan negeri tidak diagihkan secara adil kepada semua rakyat tanpa mengira bangsa, agama dan peringkat usia,” katanya.

Justeri, beliau berkata, peruntukan disalurkan hari ni adalaj bagi manfaat semua peserta program antaranya Hijrah Selangor, Skim Peduli Sihat, Insentif Perkahwinan Belia dan Iktisass.

“Ia termasuk keuntungan daripada Pemerbadanan Menteri Besar yang diberikan bagi tujuan pembangunan di kawasan ini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Manifesto BN Selangor tiru IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

GOMBAK, 6 MEI: Calon KEADILAN Parlimen Ampang menyelar pimpinan Barisan Nasional (BN) Selangor yang bertindak meniru pelaksanaan Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dalam manifesto parti itu.

Zuraida Kamaruddin berkata, manifesto BN Selangor menawarkan pelaksanaan yang sudah dilaksanakan, di Selangor.

Katanya, hal itu jelas membuktikan pelaksanaan IPR oleh Kerajaan Negeri tepat dan disokong parti berkenaan secara tidak sedar.

“Saya nak ketawakan UMNO Selangor. Manifestonya nak bagi air percuma, WiFi percuma, bas percuma dan kecualikan cukai pintu.

“Kenapa 50 tahun dulu tidak mahu buat? Kenapa sekarang baru nak buat? Kenapa tidak buat dekat Johor, Kedah atau Pahang?,” soalnya.

Zuraida menyifatkan tindakan BN itu sebagai tidak munasabah dan sememangnya tidak mampu melaksanakan pemerintahan dengan baik.

“50 tahun perintah Selangor. Ada beri Kad Peduli Sihat? Ada bagi air percuma? Jadi buat apa dengan duit rakyat dulu?

“Inilah mentaliti BN. Asyik meniru sahaja. Tak sabar mahu tukar kerajaan. Kita turunkan menteri UMNO ini,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk terus komited menyemarakkan IPR dalam usaha meringankan bebas kos sara hidup rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menyedari kos sara hidup yang tinggi ketika ini, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri untuk merancakkan usaha berkenaan

Katanya, ia selaras gagasan membangun bangsa dan memakmur negeri yang dilaungkan Selangor.

Categories
SELANGOR

Pilih yang ‘original’

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 4 MEI: Agenda Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) dilaksanakan Pakatan Harapan (PAKATAN), di Selangor terbukti berjaya kerana diminati pihak lain untuk dicontohi.

Sehubungan itu, Exco Kerajaan Negeri, Amirudin Shari berkata, rakyat sewajarnya terus memberi sokongan kepada PAKATAN dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) supaya ia dapat dikekalkan demi kebaikan semua.

“Program kita laksanakan selama ini ditiru mereka dan digunakan di negeri lain.

“Kalau orang tiru dah jadi barang tiruan, maka sekarang kita tak nak kerana kita hanya mahu yang original (asli).

“Yang original datang dari PAKATAN, maka saya harap rakyat terus memberikan sokongan kepada kita,” katanya dalam program Sarapan Pagi bersama rakyat di Kampung Melayu Wira Damai, di sini, hari ini.

Turut hadir, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali yang juga Ahli Parlimen Gombak.

Amirudin yang juga calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua berkata, sokongan rakyat penting supaya kecemerlangan dicatat PAKATAN, di Selangor mampu diteruskan.

Categories
SELANGOR

Pendekatan berbeza PAKATAN realisasi 42 IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 1 MEI: Pakatan Harapan (PAKATAN) mengambil pendekatan berbeza dalam memenuhi tanggungjawab kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif tanpa mengira kaum.

Calon DUN Kota Kemuning (N50), V Ganabatirau berkata, rakyat dapat menilai tindakan itu di Selangor apabila sebanyak 42 Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) direalisasikan.

Katanya, walaupun gabungan PAKATAN itu berlainan kaum dan agama, namun IPR dapat diberikan hak sama rata kepada semua untuk dinikmati.

“Tidak seperti Barisan Nasional (BN), 60 tahun memerintah, tetapi ramai rakyat beratur mengambil beras.

“Itu bermakna mereka gagal. Gabungan mereka gagal. Lihat Selangor, kita wujudkan pelbagai program IPR untuk semua kaum menerima manfaat itu.

“Pendekatan kita jauh berbeza dengan mereka, kita mengembalikan wang rakyat, tetapi mereka mengutip wang rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ceramah perdana di Alam Megah, di sini, malam tadi.

Ganabatirau menyifatkan tindakan rakyat Selangor menghukum BN pada 2008 merupakan tindakan tepat.

Katanya, hal itu kerana sehingga kini, Kerajaan Negeri di bawah PAKATAN menjaga wang rakyat dengan amanah dan telus berbanding kerajaan sebelum ini.

“Jika dulu mereka meninggalkan kepada kita hutang. Sekarang apabila kita jaga baik-baik, tetapi rizab kita saban tahun meningkat.

“Apakah pendapatan Kerajaan Negeri? Hanya cukai tanah dan taksiran..tapi bagaimana meningkat? Kerana kita laksanakan tanggungjawab dengan baik,” katanya.

=EZY=