Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN buka kaunter khas untuk mohon rayuan BPR mulai esok

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) akan membuka kaunter Bantuan Khas Kerajaan (BKK) mulai esok untuk permohonan rayuan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

LHDN dalam kenyataan hari ini memaklumkan kaunter itu akan dibuka dari 8 pagi hingga 12 tengah hari berdasarkan waktu bekerja bagi setiap negeri serta melalui janji temu sahaja.

“Ia juga terhad kepada pelanggan yang berisiko rendah berdasarkan aplikasi MySejahtera. Pelanggan yang hadir wajib mematuhi setiap tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan seperti mengimbas aplikasi MySejahtera, sentiasa memakai pelitup muka, pemeriksaan suhu badan dan mengamalkan penjarakan fizikal,” menurut agensi itu.

Pertanyaan berkaitan BPR boleh diajukan kepada talian BKK di 1800-88-2747 yang dibuka dari 9 pagi hingga 4 petang (Isnin hingga Jumaat).

Semalam, Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan tempoh rayuan bagi permohonan BPR yang tidak diluluskan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini.

Kenyataan LDHN turut memaklumkan urusan bagi Kaunter Duti Setem (Pejabat Setem Cawangan, Pejabat Satelit dan Pusat Khidmat Hasil) kekal dibuka kepada pelanggan dan Pembayar Duti Individu yang tidak boleh mendaftar sebagai pengguna Sistem Taksiran dan Pembayaran Duti Setem (STAMPS) seperti ditetapkan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Waktu operasi kaunter adalah berdasarkan hari bekerja di setiap negeri iaitu dari 8 pagi hingga 1 tengah hari.

Turut kekal beroperasi Kaunter Pusat Bayaran di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Pusat Bayaran Kota Kinabalu dan Pusat Bayaran Kuching pada Isnin hingga Jumaat dari 8 pagi hingga 12 tengah hari.

Talian pejabat akan berfungsi seperti biasa dengan waktu operasi terhad iaitu bagi Hasil Care Line (Pusat Panggilan dan Live Chat) waktu operasi ialah Isnin hingga Jumaat bermula 9 pagi hingga 5 petang manakala bagi ibu pejabat atau cawangan LHDN, talian adalah ditutup.

Menurut kenyataan itu, pelanggan disyorkan membuat semakan senarai pejabat dan cawangan LHDN yang ditutup sementara terlebih dahulu sebelum hadir ke mana-mana premis bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Senarai itu boleh dicapai melalui pautan http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/Notis_Penutupan_Cawangan_LHDNM_1.pdf.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Rayuan Bantuan Prihatin Rakyat dibuka mulai Selasa ini

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Tempoh rayuan bagi permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang tidak diluluskan akan dibuka mulai 15 hingga 30 Jun ini, kata Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tengku Zafrul berkata pemohon boleh mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

“Proses rayuan ini juga bagi memastikan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu, kerajaan ketika mengumumkan Program Pemerkasa Tambahan berkata sebanyak RM2.1 bilion BPR Tambahan diperuntukkan untuk membantu penerima BPR 2021 sedia ada.

Justeru, pemohon yang lulus rayuan BPR ini layak menerima bayaran BPR Tambahan berkenaan.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata permohonan rayuan boleh dibuat menerusi beberapa kaedah iaitu secara dalam talian melalui portal rasmi BPR LHDNM, https://bpr.hasil.gov.my.

Selain itu rayuan juga boleh dilakukan dengan penghantaran borang rayuan BPR 2021 secara manual di cawangan atau Pusat Khidmat Hasil (PKH) atau di Pusat Transformasi Bandar (UTC) LHDNM yang berhampiran secara janji temu sahaja (tertakluk kepada prosedur operasi standard semasa kaunter perkhidmatan kerajaan).

“Setelah pangkalan data BPR dikemas kini, pembayaran rayuan BPR kepada pemohon yang lulus akan disalurkan pada Ogos 2021 (BPR Tambahan) dan September 2021 (BPR Fasa 3).

“Pemohon rayuan BPR boleh merujuk Soalan Lazim yang telah dimuat naik di portal rasmi BPR https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata setakat ini, RM4.6 bilion bantuan BPR telah disalurkan kepada seramai 8.4 juta penerima B40 seluruh negara pada Februari, Mac dan Mei tahun ini.

Bayaran Fasa 3 sebanyak RM2.4 bilion pula akan dibuat pada September 2021.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Tarikh daftar, kemas kini BPR dilanjut hingga 25 Februari

KUALA LUMPUR, 14 FEB: Tarikh pendaftaran baharu dan kemas kini bagi Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sebelum ini dibuka dari 15 Jan-15 Feb, kini dilanjutkan sehingga 25 Feb, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata ia bagi memastikan BPR diterima oleh mereka yang layak serta mengambil kira Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan di hampir seluruh negara ketika ini.

Hanya pemohon yang tidak pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH) 2020 atau Bantuan Prihatin Nasional (BPN) B40, serta isi rumah berpendapatan RM5,000 dan ke bawah sebulan perlu membuat permohonan baharu.

“Ini termasuk golongan mudah terjejas baharu yang layak memohon akibat perubahan status pendapatan mereka ekoran impak penularan Covid-19.

“Dengan adanya proses pendaftaran baharu/kemas kini ini, sebahagian daripada mereka yang tidak lulus dan belum menerima BPR masih berpeluang untuk mengemukakan permohonan untuk diverifikasi semula,” katanya.

Penerima BSH 2020 dan BPN B40 yang lulus sebelum ini tidak perlu membuat pendaftaran baharu atau kemas kini sekiranya tiada sebarang perubahan maklumat.

Tengku Zafrul berkata pembayaran Fasa 1 BPR akan dipercepatkan kepada penghujung Februari ini seperti yang diumumkan dalam Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) pada 18 Januari lepas, manakala bayaran Fasa 2 pula dijangka dibuat awal Mei.

Setakat ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima hampir 550,000 permohonan baharu yang perlu diverifikasi dan disemak silang di dalam sistem dan proses itu turut melibatkan 25 agensi kerajaan termasuk Jabatan Pendaftaran Negara dan LHDN untuk memastikan hanya yang layak diluluskan untuk BPR.

Pemohon BPR boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang dimuat naik di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my bagi mendapatkan maklumat lanjut.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

LHDN nafi lantik pihak tertentu beri khidmat isi borang mohon BPR

KUALA LUMPUR, 8 FEB: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menerima aduan mengenai adanya pihak tertentu yang mengenakan bayaran bagi khidmat pengisian borang permohonan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menurut LHDN dalam kenyataan hari ini, permohonan BPR adalah percuma dan tiada sebarang bayaran dikenakan kepada pemohon.

LHDN menegaskan mereka tidak pernah melantik mana-mana pihak untuk memberikan khidmat pengisian borang BPR itu dan setiap permohonan yang diterima secara dalam talian mahupun borang kertas, disemak mengikut tatacara ditetapkan serta tiada keistimewaan diberikan.

Sebarang pertanyaan serta maklum balas berkaitan permohonan BPR, orang ramai boleh menghubungi talian Hotline BPR LHDN Malaysia 1-800-88-2747; HASiL Live Chat; dan mengisi Borang Maklum Balas dalam portal rasmi LHDNM https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

BPR: Isi rumah pendapatan bawah RM2,500 lebih dua anak terima RM1,800

SHAH ALAM, 6 NOV: Isi rumah berpendapatan kurang RM2,500 yang mempunyai lebih dua anak akan menerima bantuan RM1,800 melalui Bantuan Prihatin Rakyat (BPR).

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sejumlah RM6.5 bilion diperuntuk bagi manfaat 8.1 juta penerima.

Kategori penerima lain:

  • Isi rumah pendapatan kurang RM2,500, seorang anak menerima RM1,200.
  • Isi rumah pendapatan RM2,501-RM4,000, seorang anak menerima RM800
  • Isi rumah pendapatan RM2,501-Rm4,000, dua anak atau lebih menerima RM1,200
  • Isi rumah pendapatan RM4,001-RM5,000, seorang anak menerima RM500
  • Isi rumah pendapatan RM4,001-RM5,00, dua anak atau lebih menerima RM750
  • Bujang bawah 21 tahun berpendapatan kurang RM2,500 menerima RM350
Categories
NASIONAL

Kajian TI : Hanya 30% Percaya Usaha Kerajaan Perangi Rasuah

Tony Pua Wancara 01

 

SHAH ALAM 10 JULAI : Dakwaan kononnya pentadbiran Datuk Seri Najib Razak berjaya dan cemerlang dalam usaha memerangi indeks rasuah ternyata tidak benar dengan pendedahan kaji selidik terbaru Barometer Penyelewengan Global Transparency International.

Kajian badan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa itu mendapati hanya 30 peratus daripada responden percaya usaha-usaha kerajaan memerangi rasuah berkesan, berbanding 49 peratus pada tahun 2011.

Daripada hasil kajian yang didedahkan itu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua berkata ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia kini semakin celik dan sedar bahawa di sebalik omongan indah berhubung Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA), sebenarnya tidak banyak yang benar-benar berubah.

“Rakyat sedar terlalu sedikit tindakan yang dikenakan terhadap individu korup yang kaya, berkuasa dan mempunyai kepentingan politik sementara segala usaha digunakan untuk menyiasat ahli politik pembangkang dan individu yang berfikiran sivik,” tegas Tony Pua dalam satu kenyataan medianya.

Lebih mengecewakan, peruntukan tinggi yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga tidak memberikan hasil seperti diharapkan berbanding peruntukan yang pernah dibelanjakan untuk Badan Pencegah Rasuah (BPR) sedekad lalu.

Ujar Tony Pua lagi, pada tahun 2008, sebelum Tun Abdullah Badawi menyerahkan tampuk pemerintahan pada Najib, Malaysia berada di kedudukan ke-47 dunia dengan anggaran peruntukan sebanyak RM146.7 juta.

Ironinya, pada tahun 2012, setelah pembaharuan besar-besaran dilakukan terhadap SPRM dengan bajet meningkat sebanyak RM 211 juta, Malaysia kini berada di tangga ke-56 dunia.

“Ini seolah-olah menunjukkan lebih banyak peruntukan dan sumber yang diberikan kepada SPRM, lebih korup Malaysia jadinya,” ujarnya.

Sehubungan itu, Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara mendesak agar Perdana Menteri bersedia untuk mengambil tindakan terhadap mereka yang terbukti bersalah melakukan penyelewengan.

Desakan Tony Pua dilihat merujuk kepada skandal National Feedlot Center (NFC) bernilai RM250 juta yang sebelum ini diberikan kepada keluarga Ketua Wanita Umno, Datuk Seri Shahrizat Jalil sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Kabinet.

Kerajaan Pusat baru-baru ini membuat keputusan untuk melantik pihak ketiga bagi menguruskan projek yang sebelum ini dikaitkan dengan keluarga Shahrizat itu.

Walaupun berdepan tuduhan konflik kepentingan dan ketidaktelusan yang jelas, SPRM membuat kesimpulan bahawa tiada kesalahan yang boleh disabitkan terhadap Shahrizat.

Semalam, Pengarah Strategik PKR, Rafizi Ramli mendakwa perlantikan pihak ketiga itu menunjukkan wang awam bernilai RM 163 juta yang dibelanjakan dalam projek NFC boleh dianggap hilang dan tidak akan dapat dipulihkan.

Categories
NASIONAL

Anwar Tuntut Mohon Maaf Dari NST, Berita Harian

KUALA LUMPUR, 25 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menuntut permohonan maaf daripada dua akhbar pro-Umno-BN kerana menyiarkan dakwaan yang beliau memilik akaun induk yang menyimpan RM 3 bilion.

Anwar menuntut agar akhbar The New Straits Times dan Berita Harian memohon maaf dalam masa 24 jam atau hadapai tindakan saman fitnah.

Anwar telah memfailkan notis tuntutan tersebut melalui Tetuan Edwin Lim Suren & Soh, bagi menuntut permohonan maaf berhubung artikel berkenaan.

MP Subang, R. Sivarasa berkata sekiranya kedua-dua akhbar itu gagal menjawab tuntutan berkenaan dalam tempoh 24 jam, pihaknya tidak teragak-agak untuk meneruskan saman fitnah.

Tutuntan berkenaan dibuat ekoran penyiaran artikel di muka depan kedua-dua akhbar itu pada 21 Jun.

Artikel itu mendakwa Anwar, mengarahkan bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegahan Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris membuat Akuan Bersumpah (SD) agar tidak mengaitkannya dalam siasatan berhubung akaun berkenaan.

Di dalam laporan itu, bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Sebelum ini Anwar mengedarkan kepada media salinan SD Abdul Razak bertarikh 10 November 2010 yang menyatakan siasatan bagi kes berkenaan ditutup kerana tiada kes.

Anwar pada persidangan Dewan Rakyat minggu lalu menafikan dakwaan-dakwaan tersebut dan mencabar SPRM agar menyiasat semula dakwaan tersebut.