Categories
SELANGOR

104 wanita DUN Bandar Utama jalani pemeriksaan mammogram

OLEH SHEEDA FATHIL

PETALING JAYA, 14 FEB: Seramai 104 wanita di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama sudah menjalani pemeriksaan mammogram sejak Ogos 2018 sehingga Januari lalu.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, sambutan diterima amat menggalakkan dan beliau bercadang untuk menambah bilangan peserta dari semasa ke semasa.

“Kita tidak menetapkan berapa jumlah sasaran untuk wanita sekitar DUN Bandar Utama, sebaliknya akan tetap terus melaksanakan program pemeriksaan mammogram ini.

“Jika ada yang memohon ingin membuat pemeriksaan mammogram, kita akan mula laksanakan kerana ia bertujuan membantu mereka yang kurang berkemampuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada masa sama, beliau menyarankan wanita di DUN Bandar Utama mengambil kesempatan membuat pemeriksaan mammogram percuma menerusi Skim MammoSel disediakan Kerajaan Negeri.

“Wanita perlu mengambil peluang ini kerana jika mahu membuat rawatan sendiri, sudah pasti ia akan menelan kos tinggi.

“Namun, kebanyakan wanita kini saya lihat kurang kesedaran untuk pergi membuat rawatan dan dalam tidak sedar mereka sudah menghidap kanser pada tahap merbahaya,” katanya.

Program MammoSEL dilancarkan pada 6 November 2010, di Hulu Langat sempena Sambutan Hari Wanita Desa peringkat Selangor, bertujuan memberi perkhidmatan pemeriksaan mammogram secara percuma kepada seluruh wanita, di negeri itu.

Program itu ditambahbaik bermula pada 2016 dengan penambahan rawatan susulan ultrasound bagi yang memerlukan atas nasihat doktor.

Categories
SELANGOR

Hampir RM1 juta baik pulih infrastruktur Kampung Chempaka

PETALING JAYA, 31 JAN: Sejumlah RM925,682.01 diperuntukkan untuk membaik pulih beberapa infrastruktur bagi kemudahan penduduk, di Kampung Chempaka di sini.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, ia membabitkan baik pulih pasar besar dengan kos RM678,686.01, tandas awam (RM209,196) dan gelanggang bola keranjang (RM37,800).

Katanya, peruntukan bagi pasar besar dan tandas awam dibiayai sepenuhnya Majlis Bandaraya Petaling Jaya, manakala gelanggang bola keranjang di bawah peruntukan Ahli Parlimen Damansara.

“Kerja membaik pulih pasar besar membabitkan beberapa penggantian seperti menukar lantai dan meja konkrit, kerja pendawaian, mengecat, sistem pengudaraan lebih baik juga pembersihan longkang.

“Manakala tandas awam yang lama diroboh dan kita bina yang baru berkonsep mesra pengguna dan Orang Kelainan Upaya, sementara gelanggang bola keranjang pula dicat dan digantikan lantai serta bumbung,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program naik taraf Kampung Chempaka, di Balai Raya Kampung Chempaka di sini, semalam.

Katanya, kerja pembaikan pasar yang bermula sejak 3 September tahun lalu dijangka siap sepenuhnya, pada 18 Mac ini sementara tandas awam dan gelanggang bola keranjang akan siap, pada 15 Februari ini.

Pada masa sama, beliau berharap penambahbaikan kesemua infrastruktur berkenaan bakal meningkatkan daya tarikan orang ramai untuk berkunjung ke Kampung Chempaka.

“Kampung Chempaka adalah salah satu daripada tiga kampung baharu masyarakat Cina, di kawasan Petaling Jaya dan penting bagi kita untuk memelihara tradisi serta keindahannya.

“Justeru, saya bertekad bukan hanya untuk mengekalkan kewujudan kampung ini, namun infrastruktur kemudahan awam perlu dipertingkatkan supaya masyarakat gembira dan selesa,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

ADN galak masyarakat kitar semula pek minuman

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 16 JAN: Masyarakat digalakkan untuk mengamalkan kitar semula pek minuman terpakai bagi menyelamatkan alam sekitar dan mengurangkan kesan karbon.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, beliau memuji inisiatif Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad dalam melaksanakan kempen Projek CAREton 2019 iaitu projek kitar semula pek minuman terpakai.

“Banyak manfaat akan kita peroleh apabila melaksanakan kitar semula pek minuman terpakai, selain menyelamatkan bumi ia juga dapat memberi impak positif kepada generasi akan datang.

“Saya memuji inisiatif ini malah optimis lebih banyak syarikat korporat mewujudkan program tanggungjawab sosial korporat sebegini pada masa akan datang,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Pada masa sama, katanya, walau Kerajaan Negeri sering ke hadapan dalam melaksanakan program pembangunan alam sekitar, usaha tambahan dari syarikat korporat disambut baik bagi mencapai matlamat menjadikan Selangor sebagai negeri contoh menerajui budaya hijau.

“Saya optimis mulai sekarang setiap masyarakat dapat mendidik diri sekali gus membudayakan amalan kempen kitar semula pek minuman terpakai ini,” katanya.

Baru-baru ini, Jamaliah menghadiri Majlis Pelancaran Projek CAREton 2019 anjuran Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd dengan kerjasama Nestle (Malaysia) Berhad di One Utama.

Difahamkan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) antara pihak berkuasa tempatan yang dipilih projek CAREton 2019 sebagai benefisiari baru.

Projek CAREton 2019 menyasarkan 35 juta pek minuman dikitar semula pada tahun ini.

Pengguna boleh merujuk http://recycle-easy.com.my untuk meletakkan pek minuman mereka yang digunakan di 500 pusat koleksi CAREton di seluruh Malaysia.

 

Categories
SELANGOR YB ACTIVITIES

Wiraton: Tabung Untuk Adiwira penghargaan buat anggota keselamatan

OLEH AFIX REDZUAN

PETALING JAYA, 24 OKT: Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Bandar Utama dengan kerjasama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan acara Wiraton: Tabung Untuk Adiwira.

Program itu bagi mengutip dana yang bakal disumbangkan kepada keluarga enam anggota bomba terkorban dalam operasi menyelamat di Taman Putra Perdana Puchong 4 Oktober lalu.

Inisatif ini dilakukan sebagai memperingati pengorbanan seluruh anggota keselamatan yang berkhidmat dan berkorban nyawa demi keselamatan orang awam serta keamanan negara.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, acara berjalan kaki sejauh tiga kilometer ini akan diadakan pada 24 November hadapan di Dataran Boulevard, Petaling Jaya.

“Kami mensasarkan penyertaan 1,500 peserta dengan yuran penyertaan RM50 seorang.

“Sumbangan ini didedikasikan kepada keluarga anggota terkorban dan sebagai tabung pendidikan untuk anak-anak anggota.

“Dana terkumpul akan disumbangkan terus kepada keluarga mangsa pada acara penutup Wiraton: Tabung Untuk Adiwira,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat MBPJ.

Dalam sidang media sama ADN Balakong, Wong Siew Ki berharap pelbagai lapisan masyarakat akan menyertai acara ini sebagai aktiviti riadah keluarga.

“Acara berjalan kaki ini juga sebagai tanda penghargaan kepada anggota beruniform yang lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

“Selain itu, terdapat juga persembahan daripada anggota beruniform pada hari acara untuk tontonan pengunjung,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai acara larian ini boleh membuat bayaran ke akaun Public Bank – 3185696033 (Pusat Khidnat Adun Balakong) dan menulis perkataan ‘Wiraton’ di bahagian rujukan sebelum 18 November 2018.

Categories
SELANGOR

ADN mahu selesai isu SK Damansara Jaya 1 dan 2

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 19 JULAI: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin akan cuba menyelesaikan masalah dana dihadapi Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya (1) dan (2) yang berdepan isu perkongsian kawasan, sejak sekian lama.

Katanya, selain berkongsi alamat sama, bilangan murid di kedua sekolah berkenaan semakin berkurangan, namun masih dibahagi kepada dua sistem.

“Semasa menghadiri aktiviti gotong-royong anjuran Sekolah Kebangsaan Damansara Jaya (1) pada 14 Julai lalu, saya dimaklumkan kedua sekolah sebenarnya berkongsi kawasan sama dengan jumlah murid kian berkurangan.

“Oleh itu, timbulnya isu kekurangan dana untuk pelbagai jenis pembaikan dan naik taraf yang perlu dilakukan ekoran Persatuan Ibu Bapa dan Guru di sekolah yang kecil biasanya agak lemah,” katanya.

Jamaliah berkata, beliau dijemput ke program itu selepas berjaya membantu menyelesaikan isu bekalan elektrik di salah satu blok sekolah sebelum ini.

Katanya, pertemuan itu memberi lebih ruang kepadanya memahami latar belakang sekolah, selain mencari penyelesaian terhadap masalah dihadapi.

“Saya berkesempatan merasmikan penanaman tumbuhan baru dan melawat kawasan sekolah yang turut menjalankan Program Integrasi Pendidikan Khas.

“Saya gembira dapat meluangkan masa bersama pihak sekolah selain memahami isu dihadapi dan berkenalan dengan mereka.

“Pada saya, program gotong-royong seperti ini amat digalakkan bukan sahaja bagi menbersih dan memperindahkan kawasan sekolah tetapi juga saling mengenali, mengeratkan hubungan serta memupuk semangat kerjasama,” katanya.

Categories
SELANGOR

Pengundi DUN Bandar Utama disaran fokus kebolehan calon

OLEH HAFIZAN TAIB

PETALING JAYA, 26 APR: Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama disaran memberi tumpuan kepada diri dan keupayaan calon dalam menawarkan perkhidmatan kepada mereka.

Calon Pakatan Harapan (PAKATAN) bagi DUN berkenaan, Jamaliah Jamaluddin berkata, tumpuan seharusnya tidak dijuruskan kepada latar belakang keluarga dalam membuat sebarang penilaian terhadap kriteria seseorang calon.

“Apa patut pengundi fokuskan ialah siapa saya dan apa ingin saya tawarkan demi kebaikan mereka.

“Apabila diri kita diangkat sebagai calon dalam pilihan raya umum (PRU) maka kita harus memberi tumpuan terhadapa apa program dan sumbangan boleh kita tawarkan kepada rakyat selaku pengundi,” katanya kepada media berhubung dirinya dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

Anak muda berusia 29 tahun itu berkata, beliau gembira terplih sebagai calon dan berharap dapat turut serta merubah negara ini menjadi lebih baik demi masa depan generasi akan datang.

“Saya rasa sistem pemilihan dipraktikkan adalah baik tetapi ia berkaitan institusi yang perlu diubah iaitu menjatuhkan kerajaan korup,” katanya merujuk pentadbiran di Putrajaya diterajui Barisan Nasional (BN).

Jamaliah akan berdepan calon dari BN, Chng Soon Chau dalam PRU14 yang berlangsung, pada 9 Mei depan

Jamaliah menjadi tumpuan umum apabila dirinya dikaitkan sebagai cucu kepada pejuang nasionalis kiri, Shamsiah Fakeh.