Categories
ADN SELANGOR

Dakwaan pengundi 18 tahun belum matang tidak rasional

SHAH ALAM, 30 MAC: Pandangan pihak tertentu yang mendakwa pengundi berusia 18 tahun belum matang dianggap tidak munasabah dan wajar.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama berkata perkara tersebut sepatutnya dibangkitkan sebelum parlimen meluluskan Rang Undang-Undang berkaitan dua tahun lalu.

“Tidak masuk akal kalau mahu tarik balik atau menangguhkannya dengan alasan diberi sedangkan pada usia itu ramai dalam kalangan generasi muda membuktikan kemampuan dalam bidang diceburi.

“Saya tidak faham mengapa ada pemimpin berkata begitu sedangkan ia (Undi-18) sudah disokong dan diluluskan majoriti ahli parlimen di Dewan Rakyat,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau turut menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tampil memberi penjelasan masalah teknikal dan pandemik Covid-19 sebagai faktor penangguhan pendaftaran pemilih serta kelayakan mengundi pada usia 18 tahun kerana telah memaklumkan akan menyelesaikannya selewat-lewatnya pada Julai ini.

“Selepas kelulusan dicapai, mereka (SPR) perlu memikirkan langkah untuk melaksanakannya tetapi sebaliknya berlaku dan tiada penjelasan apa kaitan isu pandemik dengan penangguhan tersebut,” katanya lagi.

Sebelum ini, SPR memaklumkan Undi 18 yang dijadual bermula Julai ini ditunda kepada 1 September tahun depan.

Pada 16 Julai 2019, Dewan Rakyat meluluskan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi menurunkan had usia mengundi, pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan usia calon bertanding pilihan raya kepada 18 tahun.

Ia disusuli kelulusan Dewan Negara pada 25 Julai 2019, dengan majoriti dua pertiga.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

ADN Bandar Utama agih hampir RM110,000 laksana program alam sekitar

PETALING JAYA, 10 FEB: Sebanyak RM109,000 diperuntukkan kepada penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama bagi menjayakan program kelestarian alam sekitar.

Ahli Dewan Negerinya berkata bantuan itu diagihkan kepada 23 persatuan penduduk termasuk Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Persatuan Penduduk (RA) dan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Inisiatif menerusi Program Geran Bandar Utama Hijau dimulakan sejak Januari lalu dan akan dipantau rapi bagi memastikan projek tersebut benar-benar dilaksanakan.

“Sehingga kini antara yang dijalankan ialah kebun komuniti, kitar semula, pengkomposan dan tenaga solar,” kata Jamaliah Jamaluddin kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian selepas meninjau lokasi tanaman semula Pokok Tembusu di Jalan SS20/10 di sini yang turut disertai Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Loyis Uding.

Sehingga kini sebanyak 40 pokok baharu ditanam dalam kawasan DUN Bandar Utama bagi menggantikan pokok rosak yang dibimbangi mendatangkan risiko kepada orang awam.

Categories
ADN SELANGOR

ADN Bandar Utama agih RM9,000 bantu tukar pili bomba

PETALING JAYA, 8 JAN: Sebanyak RM9,000 disalurkan untuk menukar dua pili bomba lama di kawasan perumahan SSD4 di sini, kata Ahli Dewan Negeri Bandar Utama.

Jamaliah Jamaluddin berkata sebahagian peruntukan diberikan pihaknya dengan kadar segera atas faktor keselamatan penduduk kerana lokasi terbabit berkepadatan tinggi.

“Pada 2017, terdapat lima rumah terbakar, walaupun pili bomba hampir dan kurang 100 meter dari tempat kejadian tetapi tidak berfungsi dan akibatnya kesemua rumah berkenaan tidak dapat diselamatkan.

“Oleh sebab itu, saya tidak mahu kejadian sama berulang dan berbesar hati membantu membaik pulih dua pili bomba ini,” katanya kepada SelangorKini ketika turun padang ke SS4D bersama Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga SSD4 (KRTSSD4), Robert Ng Hor Ker dan Ahli Majlis Zon 7, John Leong.

Turut sama, Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Damansara, Yusri Saharjo dan Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Shahir Aziz.

Jamaliah berkata kos keseluruhan membaiki kedua paip berkenaan berjumlah RM13,000 dan bakinya ditanggung KRTSSD4.

“Kami faham bomba tidak mempunyai peruntukan cukup untuk menyelengara pili bomba ini maka kerajaan perlu proaktif mengeluarkan sebahagian dana kerana ia penting berikutan melibatkan nyawa penduduk,” katanya.

Categories
ADN BERITA UTAMA SELANGOR

PKM Bandar Utama guna bahan kitar semula ganti bumbung usang

SHAH ALAM, 26 OKT: Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bandar Utama memperuntuk RM5,000 bagi projek penggantian bumbung keluarga miskin di Kampung Sungai Kayu Ara dan Kampung Cempaka.

Wakil rakyatnya berkata program dengan kerjasama Tetra Pak Malaysia menggunakan bahan kitar semula bagi membaik pulih kediaman yang rosak, baru-baru ini.

“Usaha ini membantu keluarga memerlukan untuk menjamin hak asasi mereka dengan memiliki tempat tinggal yang baik, sekurang-kurangnya bumbung rumah boleh melindungi daripada tempias hujan.

“Semoga projek ini memberi manfaat dan galakkan kepada orang ramai untuk bersama-sama menggunakan bahan kitar semula demi kelestarian alam,” kata Jamaliah Jamaluddin ketika dihubungi.

Beliau berkata bumbung tersebut dibuat melalui pengasingan komponen pek minuman meliputi 75 peratus kertas, plastik (20 peratus) dan aluminium (lima peratus).

Jamaliah berkata elemen plastik dan aluminium atau ‘Poly-Al’ kemudian ditukar menjadi genting bumbung sebelum diserahkan kepada pihaknya.

“Kami akan membantu dua buah keluarga lagi dalam masa terdekat dan berharap projek ini meyakinkan orang ramai bahan kitar semula banyak kegunaannya,” katanya lagi.

Categories
ADN AGENDA NASIONAL SELANGOR

ADN pertikai kuat kuasa PKPB di zon hijau

SHAH ALAM, 13 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama mempertikaikan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabak Bernam walaupun tidak merekodkan jangkitan Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata PKPB bermula esok termasuk di beberapa kawasan zon hijau bakal memberi kesan kepada sektor ekonomi selain petugas barisan hadapan terpaksa bekerja lebih masa.

“Pengumuman tanpa sebarang perancangan terperinci akan menyusahkan semua pihak. Setakat ini, kawasan membimbangkan hanya di Klang, Gombak, Hulu Langat dan sebahagian Petaling.

“Selepas kenyataan dibuat hingga lewat malam tadi, penduduk bertanya garis panduan PKPB malah turut mempersoalkan keperluannya dikuat kuasa seluruh Selangor. Persoalan boleh dijawab sekiranya ADN diberikan pencerahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kesal terhadap perkara itu, Jamaliah berkata kejadian ini berulang lagi selepas ia berlaku hampir sama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) diperkenalkan Mac lalu.

“Sama juga ketika PKPB mukim Klang diisytiharkan minggu lalu. Pengumuman tanpa rundingan bersama Kerajaan Selangor hingga kekeliruan berlaku,” katanya.

Semalam Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPB seluruh negeri ini serta Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula esok hingga 27 Oktober ekoran peningkatan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari akan menghantar cadangan balas kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dengan segera susulan beberapa kawasan masih dikategorikan zon hijau dan kuning seperti Sabak Bernam dan Kuala Selangor.

Categories
ADN SELANGOR

Peniaga Pasar Pagi Taman Megah belum disah positif Covid-19

SHAH ALAM, 26 APRIL: Ahli Dewan Negeri Bandar Utama menafikan dakwaan dibuat hingga tular di media sosial mengenai seorang peniaga Pasar Pagi Taman Megah disahkan positif Covid-19.

Jamaliah Jamaluddin berkata peniaga terlibat dibawa ke Hospital Sungai Buloh bagi menjalani saringan awal dan pengesahan kes hanya ditentukan selepas ujian tambahan.

“Berdasarkan maklum balas, tindakan awal diambil Majlis Bandaraya Petaling Jaya adalah menutup Pasar Pagi Taman Megah bagi memberi laluan untuk kerja pembersihan dan pembasmian kuman,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setakat ini ahli keluarga dan individu berhubung rapat dengan pesakit perlu menjalani saringan manakala peniaga berdekatan juga digalakkan berbuat demikian.

Katanya, peniaga tersebut difahamkan bukan penduduk setempat dan hanya berniaga di pasar berkenaan.

“Tempoh penutupan pasar pagi itu juga masih belum ditetapkan sementara tiada arahan kedai berhampiran perlu ditutup,” katanya.

Categories
ADN SELANGOR

Projek seni warnai Kampung Cempaka

SHAH ALAM, 11 MAC: Hampir 70 rumah tradisi di Kampung Cempaka, Petaling Jaya baru-baru ini terpilih menjayakan fasa pertama projek kampung seni bina berwarna-warni sebagai contoh tapak warisan.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin berkata kesemua rumah dicat dengan warna menarik berkonsep moden dan dipadankan bersama gaya retro.

“Saya bersama ketua kampung dan ahli majlis ingin menjadikannya kampung bandar yang menarik supaya penduduk dapat menikmati suasana lebih baik, cantik dan bersih.

“Pada masa sama, saya juga berharap terdapat pelawat yang singgah di kampung ini dan merangsang ekonomi tempatan,” katanya yang memaklumkan kampung tersebut antara tiga kampung baru terpilih di bawah Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Sementara itu, Jamaliah berkata pihaknya turut menaik taraf pasar pagi, gelanggang bola keranjang dan pembinaan tandas awam baharu dengan kerjasama MBPJ sejak tahun lalu.

Categories
ADN SELANGOR

Manfaatkan sesi ‘Malam Bertemu Penduduk’ DUN Bandar Utama

SHAH ALAM, 7 JAN: Penduduk Dewan Negeri Bandar Utama diseru untuk memanfaatkan peluang bertemu dan berurusan di pejabat Pusat Khidmatnya yang kini dibuka pada waktu malam.

Ahli Dewan Negerinya, Jamaliah Jamaluddin berkata sesi ‘Malam Bertemu Penduduk’ sudah dimulakan pada 3 Januari lalu sebagai alternatif kepada orang awam yang tidak berkesempatan membuat urusan di pejabat terbabit pada waktu siang.

“Inisiatif membuka sesi bertemu penduduk pada waktu malam bertujuan untuk memudahkan urusan orang awam, justeru semua penduduk dialu-alukan hadir pada sesi malam yang dibuka dari jam 8 hingga 10 malam pada Jumaat minggu pertama setiap bulan,” katanya ketika kepada SelangorKini.

Dalam perkembangan lain, Jamaliah turut mengalukan inisiatif berkenaan diikuti oleh wakil rakyat lain untuk dipertimbangkan pelaksanaannya di kawasan masing-masing.

“Boleh laksanakan percubaan terlebih dahulu dan buat keputusan selepas itu untuk kerapkan atau tidak berdasarkan permintaan penduduk,” katanya.

Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Utama dibuka pada waktu malam mulai 3 Januari lalu bagi memudahkan orang ramai yang tidak berkesempatan membuat urusan pada waktu siang.

Sesi ‘Malam Bertemu Penduduk’ di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat itu dibuka dari jam 8 hingga 10 malam pada Jumaat minggu pertama setiap bulan.

Categories
SELANGOR

MBPJ peruntuk RM1.7 juta baik pulih Pangsapuri Permai

OLEH IZRIN MOHAMAD SAID

PETALING JAYA, 28 MEI: Penduduk sekitar kawasan Pangsapuri Permai kini mampu menarik nafas lega apabila Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperuntukkan RM1.7 juta bagi projek membaik pulih tembok pemisah pangsapuri terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, projek pemulihan itu mengambil masa selama 24 minggu bermula 6 Jun dan dijangka siap sepenuhnya pada 29 November.

Katanya, beberapa lawatan turut dilaksanakan dan mendapati pihak insurans memerlukan beberapa dokumen, namun mereka enggan memberi kerjasama susulan pihak pemaju terdahulu tidak menyediakannya.

“Oleh itu, perkara ini dibincangkan dalam mesyuarat bersama Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan menetapkan MBPJ untuk menanggung kos insiden ini.

“Kami mengambil tanggungjawab ini supaya keselamatan penduduk setempat terjamin dan jangka hayat tembok yang diberikan MBPJ ialah 20 tahun tanpa penyelenggaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media dan taklimat bagi Projek Penstabilan Tembok Penahan di Pangsapuri Permai, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Kejuruteraan Majlis Bandaraya Petaling Jaya; Ismail Shafie dan Pengerusi Perbadanan Pengurusan Pangsapuri Permai; Syed Abdul Rahman.

Jamaliah berkata, tembok penahan yang meliputi 110 meter panjang itu akan menjejaskan penduduk kawasan setempat sekiranya berlaku kes tanah runtuh yang lebih serius.

“Saya berharap projek ini akan siap menjelang 2020 supaya penduduk menikmati satu keadaan yang baharu pada tahun akan datang,” katanya.

Terdahulu, sebanyak enam kereta dilaporkan rosak selepas dinding pemisah blok di tempat letak kenderaan runtuh dalam kejadian di Pangsapuri Permai, Jalan Tropicana Selatan dan menimbulkan kebimbangan penduduk setempat.

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Jamaliah lawat pangsapuri, pantau isu setempat

OLEH ZAIM BADRUL HISHAM

PETALING JAYA, 3 APR: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama mengadakan perjumpaan mesyuarat dan lawatan tapak secara bergilir dengan wakil penduduk di tiga pangsapuri, di Bandar Utama.

Pertemuan yang diadakan pada 30 Mac lalu itu membabitkan Pangsapuri Damai, Pangsapuri Permai dan Pangsapuri Puteri.

Jamaliah Jamaluddin berkata, hasil pertemuan bersama penduduk, pelbagai isu diajukan kepada pihaknya walaupun sebahagiannya adalah di bawah tanggungjawab Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Katanya, walaubagaimanapun pihaknya akan berusaha membantu dan menyelesaikan isu terbabit.

“Satu isu yang dikemukakan penduduk Pangsapuri Permai dan Bayu Puteri adalah berkaitan kes tanah runtuh tahun lalu yang masih belum dibaik pulih.

“Sebenarnya perkara ini diurus oleh pihak JMB, namun sebab kami bimbang keselamatan penduduk, kami setuju tanggung kos baik pulih kawasan itu.

“EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha juga setuju menyalurkan peruntukan itu,” tulisnya di Facebook.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan peruntukan daripada Perbendaharaan Negeri Selangor dan akan mengadakan taklimat penerangan kepada penduduk.

Categories
SELANGOR

Elak tanah terbiar, galak komuniti wujud ‘Kebun Kita’

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 23 MAC: Masyarakat di kawasan kejiranan masing-masing digalakkan untuk mewujudkan projek ‘Kebun Kita’ terutama di tanah terbiar yang terdapat di sekitar mereka.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, inisiatif ‘Kebun Kita’ adalah idea daripada pihaknya supaya tanah yang terbiar tidak dibiarkan begitu sahaja sehingga menjejaskan pemandangan.

Katanya, beliau percaya projek ‘Kebun Kita’ boleh dilaksanakan sekiranya wujud kerjasama antara individu terutama dalam sesebuah kawasan kejiranan.

“Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan sentiasa cuba membantu membangunkan sesuatu tempat dalam Selangor dengan memberikan cadangan, panduan serta dana.

“Namun, saya percaya projek itu tidak mungkin mampu dilaksanakan sekiranya tiada bantuan dan sokongan daripada komuniti itu sendiri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Jamaliah hadir ke projek pertama ‘Kebun Kita’ di Tapak Kebun Kita, Bandar Utama 12, di sini, semalam.

Program itu turut mendapat kerjasama bersama Pusat Wanita Berdaya (PWB) Bandar Utama dan penduduk kawasan terbabit.

Difahamkan, sepanjang program berlangsung, MBPJ serta beberapa wakil penduduk turut berkongsi ilmu serta pengalaman mereka bagi menjayakan ‘Kebun Kita’ di Bandar Utama 12.

Sementara itu, Jamaliah berkata, beliau optimis tanah terbiar di kawasan lain dapat ditransformasikan supaya lebih menarik seperti Bandar Utama 12.

“Saya berharap kawasan tanah terbiar dapat dibersihkan sekali gus dicantikkan supaya ia menjadi tempat yang lebih bersih, selamat dan sedap mata memandang.

“Oleh itu, saya berharap masyarakat dapat menjadikan ‘Kebun Kita’ di Bandar Utama 12 yang dahulunya terbiar, kini berubah menjadi bersih dan cantik itu sebagai contoh untuk anda bangunkan di kawasan kejiranan masing-masing,” katanya.

Categories
SELANGOR

Organisasi digalak laksana lebih banyak program CSR

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Semua organisasi digalak untuk melaksanakan lebih banyak program berkonsep Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) bagi membantu golongan kurang berkemampuan.

Ahli Dewan Negeri Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin berkata, pihaknya mengalu-alukan mana-mana organisasi yang mempunyai semangat untuk membantu golongan kurang bernasib baik.

“Walaupun banyak program kebajikan diberikan di bawah Kerajaan Negeri, kita sentiasa mengalu-alukan bantuan daripada organisasi atau mana-mana badan bukan kerajaan menghulurkan bantuan.

“Sekiranya ada antara organisasi berminat melaksanakan program CSR, kita membuka peluang untuk mereka berhubung secara terus dengan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) saya dan daripada situ kami akan membantu memberi maklumat mana-mana kawasan memerlukan bantuan,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 18 Februari lalu, Jamaliah mengedarkan serbuk susu Muraydale kepada 174 pelajar Tadika Pasti Little Ibnu Sina Kayu Ara dan Sekolah Kebangsaan Bandar Utama Damansara 2.

Sumbangan itu bertujuan membantu kanak-kanak kurang berkemampuan selain memastikan mereka mendapat faedah pemakanan yang mencukupi dalam kehidupan seharian.

PKM Bandar Utama itu menerima tajaan susu daripada syarikat Global GK Sdn Bhd yang sentiasa komited dalam aktiviti CSR untuk membantu keluarga miskin dan golongan anak yatim.