Categories
SELANGOR

Pengusaha Industri Mahu Jambatan Ke-Tiga Klang Sambung ke Pusat Bandar

MB pecah tanah jambatan klang 01

SHAH ALAM, 18 FEB: Pelabur dan pengusaha industri menyambut baik cadangan Kerajaan Negeri membina jambatan ketiga Klang yang diharapkan dapat memudahkan lagi perjalanan ke Pelabuhan Klang.

Di dalam satu dialog bersama Kerajaan Negeri hari ini, mereka menyuarakan harapan agar jambatan tersebut yang akan merentasi Sungai Klang, dapat menghubungkan pelabuhan dengan pusat bandar Klang.

Walaupun mereka sedia maklum bahawa lalulintas di pekan Klang agak sesak, ia masih diperlukan kerana banyak industri dan syarikat yang menggunakan pelabuhan Klang mempunyai urusan di bandar Klang.

Harapan tersebut diutarakan oleh Presiden Dewan Industri dan Perdagangan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Tan Sri Datuk Ng Teck Pong.

Namun begitu, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika menjawab permintaan menjelaskan, perkara yang penting dalam pembinaan jambatan tersebut adalah memastikan pengaliran trafik lancar dan lebih baik.

“KLSCCCI akan dijemput dalam masa terdekat untuk melihat pelan cadangan pembinaan jambatan.

?Kita mengalu-alukan cadangan yang diberikan dan bersedia untuk bekerjasama bagi mencari penyelesaian terbaik,” katanya pada sesi dialog Business Luncheon With SMI Companies di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

Turut hadir sama, beberapa Exco Kerajaan Negeri Teresa Kok, Dr Xavier Jeyakumar dan Ronnie Liu.

Pada sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), Abdul Khalid mengumumkan pembinaan projek jambatan ketiga Klang yang sebelum ini dijanjikan Umno-BN pada tahun 2008.

Jambatan sepanjang 500 meter yang bernilai RM 300 juta itu akan dibiayai oleh Kerajaan Negeri menggunakan rizab simpanan negeri. Ia dijangka siap dalam tempoh 18 sehingga 24 bulan.

Proses memilih reka bentuk jambatan baru itu akan dimulakan mulai minggu ini sebelum tender dikeluarkan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.

Dalam perkembangan sama, Abdul Khalid menegaskan, pembinaan jambatan ini tetap diteruskan meskipun Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan diadakan dalam masa terdekat.

Jelasnya, dalam perancangan sesebuah projek, kewangan yang kukuh adalah lebih penting daripada membuat pengumuman semata-mata.

“Ini pengajaran yang diambil pada Mac 2008. Kesilapan mereka (Umno-BN) tidak memberikan jaminan kewangan hanya (majlis) pecah tanah.

“Kita punya dana dahulu kemudian baru laksanakannya. Sekarang kita boleh buat (jambatan ketiga Klang,” ujarnya dalam satu sidang media selepas menghadiri perjumpaan bulanan kakitangan Kerajaan Negeri.

Jambatan Ketiga Klang Akan Disiap Dalam Tempoh Yang Ditetapkan – INFO 12


Sinopsis

Info 12 Untuk 18022013

Saksikan secara langsung “INFO 12” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 18 FEBRUARI 2013 :

1. Kerajaan Negeri beri jamninan Jambatan Ke-3 Klang akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan berdasarkan peruntukkan dari wang rizab simpanan negeri sejumlah RM300 juta.

2. Kerajaan Negeri memperkenalkan program ‘Jom Shopping Ibu Tunggal’ sebagai satu lagi usaha memperkasa golongan wanita di negeri Selangor.

3. Konsep 1Malaysia disifatkan sebagai rektorik kerajaan pimpinan Najib Razak apabila beliau sendiri tidak serius menegur kumpulan Ketuanan Melayu (Perkasa) yang membakar semangat perkauman.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

Jambatan Ketiga Klang Akan Disiap Dalam Tempoh Yang Ditetapkan

mb tanah

KLANG, 15 FEB: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberi jaminan bahawa pembinaan jambatan ketiga Klang akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

Katanya, peruntukkan pembinaan jambatan sepanjang 500 meter itu sudah disediakan melalui wang rizab simpanan negeri sejumlah RM300 juta.

“Negeri Selangor sudah ada dana yang kita umumkan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) tahun lepas bahawa rizab RM300 juta sekurang-kurangnya akan digunakan untuk pembangunan jambatan di Klang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ke-Tiga Klang di Jalan Tepi Sungai, Klang hari ini.

Turut hadir, barisan ahli Exco Selangor, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Meru, Dr Rani Osman, Pemangku Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Ehsan Mukri serta ahli-ahli Majlis MPK.

Menurut Abdul Khalid, proses memilih reka bentuk jambatan baru itu akan dimulakan mulai minggu depan sebelum tender dikeluarkan.

“Selepas kita tender, kita juga akan mengumumkan pemenangnya,” katanya lagi.

Katanya, tempoh pembinaan jambatan itu juga akan ditetapkan iaitu diantara 18 bulan sehingga 24 bulan.

Sebelum ini, Kerajaan Umno-BN berjanji untuk membina jambatan ke-tiga ini pada tahun 2008 tetapi tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah pembinaan jambatan itu telah dilakukan.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.