Categories
AGENDA NASIONAL

JKJAV: Lebih 42 peratus penduduk Malaysia lengkap dua dos vaksin

KUALA LUMPUR, 26 OGOS: Sebanyak 42.4 peratus populasi keseluruhan di Malaysia atau 13,842,928 individu telah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menerusi perkongsian maklumat di laman Twitter rasmi, JKJAV memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,792,979 individu atau 57.5 peratus sudah menerima dos pertama menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini 32,635,907 dos.

Menurut perkongsian maklumat itu, peratusan populasi dewasa yang menerima kedua-dua dos meningkat kepada 59.1 peratus setakat semalam berbanding 58 peratus, pada Isnin.

Dalam pada itu, vaksinasi harian semalam pula sekali lagi mencatat peningkatan kepada 423,380 dos berbanding 420,164 dos pada Isnin, dengan 261,994 daripadanya merupakan dos kedua dan baki 161,386 adalah dos pertama.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

– BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lebih 55 peratus populasi dewasa lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 23 OGOS: Sebanyak 55.6 peratus atau 13,022,246 populasi dewasa di negara ini telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Covid-19 setakat semalam, menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Jawatankuasa itu yang berkongsi maklumat berkenaan di laman Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, 18,258,947 individu telah menerima dos pertama, menjadikan kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 31,281,193 dos.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 441,100 dos diberikan semalam dengan 303,545 merupakan dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

54.3 peratus populasi lengkap dos vaksin

KUALA LUMPUR, 22 OGOS: Sebanyak 54.3 peratus atau 12,718,701 populasi di negara ini telah melengkapkan dos suntikan setakat semalam, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Jawatankuasa itu menerusi perkongsian infografik dalam Twitter rasminya memaklumkan setakat semalam juga, seramai 18,121,392 orang atau 77.4 peratus telah menerima dos pertama, menjadikan jumlah kumulatif pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kini sebanyak 30,840,093 dos.

Bagi vaksinasi harian pula, sebanyak 469,690 dos diberikan semalam dengan 159,792 adalah dos pertama manakala 309,898 merupakan dos kedua.

PICK dilancarkan pada 24 Feb lepas bagi memberikan vaksinasi untuk membendung pandemik Covid-19 di seluruh negara.

-BERNAMA

Categories
AGENSI SELANGOR

Program vaksin bergerak mudahkan penghuni 13 rumah di Sabak Bernam

SHAH ALAM: 12 OGOS: Penghuni dewasa di 13 rumah di Sabak Bernam hari ini mula menerima suntikan vaksin Covid-19 menerusi Program Vaksinasi Outreach.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) memaklumkan kaedah dari rumah ke rumah itu sebagai salah satu usaha memastikan individu tidak berkemampuan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) turut mendapat suntikan pelalian.

“Program Vaksinasi Outreach di Sabak Bernam hari ini melibatkan kira-kira 13 rumah. Usaha tetap diteruskan bagi memastikan mereka tidak mampu ke PPV juga mendapat perlindungan,” katanya menerusi Facebook.

Pada 5 Jun, Dato’ Menteri Besar berkata Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) akan memulakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Rumah Jagaan Warga Emas dan Golongan Orang Kelainan Upaya (OKU).

Dato’Seri Amirudin Shari berkata sebanyak 16 pasukan bergerak akan memulakan program ini pada 8 Jun bagi memastikan kedua-dua golongan tersebut menerima vaksin.

“Konsep ‘outreach’ atau vaksinasi bergerak ini juga dilaksanakan bagi mengurangkan risiko kepada golongan warga emas dan OKU. Semoga dengan ikhtiar ini akan membantu meningkatkan kadar suntikan di Selangor dan mencapai matlamat ‘herd immunity’,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

21.3 peratus rakyat lengkap dua dos vaksin setakat semalam

KUALA LUMPUR, 2 OGOS: Sebanyak 21,200,473 dos vaksin COVID-19 telah diberikan menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) yang dimulakan sejak 24 Feb hingga semalam.

Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menerusi perkongsian infografik di Twitter berkata daripada jumlah itu, sebanyak 14,247,659 menerima suntikan vaksin dos pertama dan 6,952,814 adalah dos kedua.

“Mengikut peratusan, 43.6 peratus daripada populasi negara telah mendapat dos pertama, sementara 21.3 peratus sudah melengkapkan suntikan vaksin COVID-19 mereka,” menurut JKJAV.

Bagi vaksinasi harian pula sebanyak 480,122 dos diberikan semalam dengan  298,236 adalah pemberian dos pertama manakala 181,886 lagi dos kedua.

— BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

11 pusat vaksin baharu di Selangor mula operasi esok

SHAH ALAM, 25 JULAI: Sebanyak 11 pusat pemberian vaksin (PPV) baharu di Selangor akan beroperasi mulai esok, maklum Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Menurut JKJAV pengaktifan lebih banyak PPV bagi memastikan suntikan vaksin harian terus meningkat untuk mencapai imuniti berkelompok.

Berdasarkan infografik dikongsi JKJAV menerusi Facebook, PPV berkenaan terletak di:

– Le Gardens Pavilion, Gamuda Gardens, Rawang
– Dewan Banquet Persada Plus, Subang
– Dewan Meranti 2, Seksyen U20 Bandar Baru Sungai Buloh
– Dewan Kenanga, Seksyen 28, Shah Alam
– Dewan Kemuning Utama, Seksyen 32, Shah Alam.
– Dewan Persatuan Hokkien, Klang
– Dewan Persatuan Soka Gakkai
– Galaxy Mall, Ampang
– Bangi Convention Centre, Seksyen 14 Bandar Baru Bangi
– Dewan Canselor MSU, Seksyen 13, Shah Alam
– UNIKL-British Malaysia Institute (BMI) Sungai Pusu, Gombak

Selain Selangor, masing-masing satu PPV turut dibuka di Johor (Desaru Coast Conference Center), Kedah (Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah) dan Melaka (Dewan Majlis Perbandaran Jasin Sri Umbai)

Pada 16 Julai, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata semua warga Selangor yang telah mendaftar akan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang 1 Ogos.

Setakat semalam, seramai 834,000 atau 17.56 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos vaksin.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Borang pendaftaran vaksin: Orang ramai diminta berhati-hati

KUALA LUMPUR, 26 JUN: Orang ramai dinasihat supaya berhati-hati dengan penyebaran berita palsu mengenai borang pendaftaran vaksinasi Covid-19.

Kenyataan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) di laman Facebook rasminya hari ini meminta orang ramai agar tidak menghiraukan sebarang perkongsian mengenai borang pendaftaran vaksinasi di aplikasi WhatsApp atau mana-mana platform tidak rasmi.

“Lindungilah data peribadi anda daripada sebarang pencerobohan. Anda hanya perlu merujuk saluran rasmi JKJAV untuk sebarang maklumat berkaitan vaksin Covid-19,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Jawatankuasa bekalan vaksin nafi buka tempahan AstraZeneca

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Tempahan untuk vaksin AstraZeneca telah dibuka kepada semua orang di Malaysia seperti tular di laman media sosial adalah palsu, demikian menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

Jawatankuasa itu dalam kenyataan malam tadi memaklumkan pautan https://www.vaksincovid.gov.my/en/register yang ditularkan itu hanyalah untuk pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan dan bukan untuk vaksin AstraZeneca.

Justeru, jawatankuasa itu menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan mesej palsu tersebut dan hanya mendapatkan maklumat sahih menerusi laman web atau media sosial mereka di Facebook, Instagram atau akaun @JKJAVMY untuk Twitter.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Slot vaksin AstraZeneca habis ditempah

KUALA LUMPUR, 2 MEI: Slot vaksin AstraZeneca Covid-19 bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor telah ditempah sepenuhnya hanya dalam tempoh tiga jam 20 minit, selepas pendaftaran dibuka pada 12 tengah hari tadi.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin yang telah berkongsi kemas kini mengenai proses pendaftaran melalui akaun Twitternya berkata mereka yang berdaftar akan menerima butiran lanjut mengenai temu janji pada aplikasi MySejahtera atau SMS mereka tidak lama lagi.

Mereka yang tidak berjaya mendapatkan slot masih berpeluang meletakkan nama mereka dalam senarai menunggu di laman web sama di http://vaksincovid.gov.my, katanya di Twitter.

Semalam, Khairy berkata vaksin AstraZeneca dibuka kepada 268,000 individu secara ‘siapa cepat, dia dapat’ di laman web itu bagi penduduk KL dan Selangor dan temu janji pertama bagi slot vaksinasi itu akan dijalankan pada 5 Mei di PPV yang ditetapkan.

PPV itu adalah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

Khairy juga dilaporkan berkata Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan melancarkan inisiatif sama di negeri lain sementara menunggu penghantaran selanjutnya vaksin AstraZeneca.

Beliau berkata kerajaan juga dijadual menerima sejuta lagi dos vaksin AstraZeneca pada bulan ini melalui Akses Global Vaksin Covid-19 (COVAX).

“Kami akan memperluaskan pilihan ini di negeri-negeri lain, kecuali Sarawak yang telah menunjukkan penurunan dan akan memastikan mereka yang tidak mempunyai akses internet serta yang lain juga boleh mendaftar,” katanya.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Penduduk KL, Selangor boleh daftar terima vaksin AstraZeneca mulai esok

KUALA LUMPUR, 1 MEI: Penduduk Kuala Lumpur dan Selangor yang berhasrat mengambil vaksin Covid-19 AstraZeneca boleh mendapatkan tarikh dan tempat untuk menerima suntikan, dengan tempahan mula dibuka tengah hari esok (2 Mei) secara “siapa cepat, dia dapat”.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata mereka yang berminat hanya perlu mendaftar di http://vaksincovid.gov.my dan pilih tarikh serta tempat pemberian vaksin (PPV).

Beliau berkata janji temu pertama bagi slot vaksinasi akan dijalankan pada 5 Mei di PPV Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur dan Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam.

“Selepas pilih tarikh dan tempat PPV, anda akan diberikan notifikasi mengenai waktu vaksinasi anda menerusi aplikasi MySejahtera atau menerusi sistem pesanan ringkas (SMS). Ini adalah satu-satunya cara bagi memilih untuk mendapatkan vaksin AstraZeneca. Berita mengenai hospital tertentu mengambil tempahan untuk pemberian vaksin AstraZeneca adalah tidak benar.

“Pemilihan AstraZeneca ini dibuka kepada 268,000 orang, bermula secara ‘siap cepat, dia dapat’ di laman web khusus bagi penduduk Kuala Lumpur dan Selangor sahaja.

“Sekiranya berjaya JKJAV (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) akan meluaskan konsep tempahan ini ke negeri-negeri lain, sementara menunggu penghantaran seterusnya daripada AstraZeneca,” katanya menerusi hantaran Twitternya hari ini.

Pada April 28 lepas kerajaan mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 akan ditawarkan secara “siapa cepat dia dapat” kepada penduduk Kuala Lumpur dan Selangor.

Langkah itu bertujuan menangani kerisauan dan kebimbangan orang ramai mengenai vaksin berkenaan, di samping tidak mahu menganggu program imunisasi yang sedang berlangsung.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Hospital swasta sedia bantu orang awam daftar vaksin

KUALA LUMPUR, 6 APRIL: Persatuan Hospital Swasta Malaysia (APHM) berharap dapat bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) berhubung pendaftaran pesakit awam dan swasta di hospital swasta bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Presiden APHM Dr Kuljit Singh berkata ia kini sedang berhubung dengan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), untuk mendapatkan butiran lanjut dan dicadangkan dimulakan dengan segera.

“Kami berharap dapat meningkatkan pilihan untuk pesakit awam dan swasta mendaftar secara manual dengan bantuan kakitangan kami di hospital swasta dan dimasukkan ke dalam sistem.

“Ini adalah untuk vaksin percuma yang disediakan kerajaan. Hospital swasta kini dalam perbincangan untuk mengesahkan komitmen kami untuk memberi vaksin kepada orang ramai menggunakan vaksin yang disediakan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ia susulan selepas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba dilaporkan berkata KKM akan mengenal pasti punca majoriti rakyat Malaysia masih belum mendaftar untuk vaksin Covid-19.

Dilaporkan juga KKM menyasarkan 70 hingga 80 peratus rakyat Malaysia mendaftar untuk program imunisasi itu, namun setakat ini hanya 7.6 juta daripada 26.7 juta telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Dr Kuljit berkata terdapat kira-kira 210 hospital swasta di negara ini dengan 152 ahli APHM yang semuanya berada di kedudukan strategik di seluruh negara termasuk bandar utama di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata terdapat 1.1 juta kemasukan di hospital swasta dan 3.8 juta lawatan pemeriksaan pesakit luar pada 2018.

“Kami percaya dengan jumlah ini, usaha kami untuk mendapatkan lebih ramai rakyat dan penduduk lain di negara ini yang berdaftar untuk vaksin akan meningkatkan program vaksinasi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, APHM juga diharap dapat membantu pesakit di hospital swasta dengan program vaksinasi dan hospital swasta juga dapat memulakan program vaksinasi swasta selari dengan petugas barisan hadapan ekonomi sebaik sahaja ketersediaan vaksin tercapai.

– BERNAMA