Categories
AGENDA NASIONAL

Jualan murah boleh diadakan bila-bila masa bermula tahun depan

BUKIT MERTAJAM, 28 DIS: Bermula 2 Januari 2020, para peniaga boleh mengadakan jualan murah pada bila-bila masa dan ia tidak lagi terhad kepada empat kali setahun, seperti sebelum ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata Peraturan-Peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 November lepas itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.

“Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.

“Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah relevan sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Tesco Seberang Jaya, di sini hari ini.

Saifuddin Nasution berkata kuota penganjuran jualan murah itu juga, dilihat menjadi satu halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini dan pindaan itu dibuat selepas kajian yang teliti, serta mengambil kira pandangan pihak industri dan pengguna.

Katanya sebanyak 10 peruntukan terlibat dalam pindaan itu dan antara yang utama ialah mengenai had bilangannya yang sebelum ini ditetapkan kepada empat kali setahun, dengan tiga daripadanya ditetapkan tempoh dan tarikh oleh pihak kerajaan melalui warta.

“Peraturan itu telah melalui pindaan lima kali, sejak ia diperkenalkan pada tahun 1997 untuk menambahbaik peruntukan peraturan, bagi mengimbangi keperluan industri dalam sektor peruncitan serta aspek perlindungan hak-hak pengguna.

“Pindaan ini juga sebagai rangsangan kepada industri peruncitan untuk berkembang, seiring dengan kemajuan ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, Saifuddin Nasution berkata aspek perlindungan hak-hak pengguna tidak diabaikan dengan mengekalkan kawalan sedia ada bagi melindungi pengguna, selain KPDNHEP akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap jualan murah, bagi mengelakkan peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan mereka.

“Kami berharap dengan penambahbaikan peraturan itu, aktiviti jualan murah akan menjadi semakin rancak dan mendorong ke arah suasana perniagaan yang mampan.

“Kami percaya jumlah penganjuran jualan murah yang tidak dihadkan juga akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga, yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KPDNHEP beri jaminan bekalan bawang mencukupi

BUKIT MERTAJAM, 28 DIS: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan bawang merah, bawang besar dan bawang putih di negara ini, mencukupi sehingga sambutan Tahun Baru Cina tahun depan.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, bagi menampung bekalan bawang merah dari India yang ketika ini mengalami kekurangan bekalan, kerajaan mengimport lebih banyak bawang dari negara lain seperti Belanda, China dan Pakistan.

“Walaupun India merupakan pengeksport terbesar kepada Malaysia, kita masih ada bawang dari tiga negara tersebut. Saya beri jaminan bekalan tiga jenis bawang itu mencukupi sehingga sambutan Tahun Baru Cina nanti,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program ‘Kembali ke Sekolah’ di Tesco Seberang Jaya, di sini hari ini.

Seramai 150 murid menerima bantuan peralatan dan keperluan sekolah pada program anjuran KPDNHEP dan Tesco itu.

Saifuddin Nasution berkata berdasarkan pemantauan, pihaknya mendapati trend kenaikan harga bawang merah ini berlaku kerana, ketika ia dibawa masuk ke Malaysia, harga bahan tersebut memang mahal dari negara asalnya.

Beliau berkata pihaknya sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan di premis serta pemborong bawang, bagi memastikan tiada pihak mengambil kesempatan menyorok, dan menjual barang runcit itu pada harga tinggi.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan pegawai KPDNHEP untuk menjalankan siasatan dan meneliti laporan sebuah akhbar yang menyiarkan mengenai ancaman penyeludupan bawang, yang didakwa berlaku di sempadan Malaysia-Thailand.

Sebuah akhbar melaporkan, bekalan bawang mudah ditemui di pekan Padang Besar di Thailand, sehingga berlaku lambakan terhadap barang runcit itu, yang menimbulkan tanda tanya, kerana ketika berlaku kekurangan bekalan di kebanyakan negeri, kawasan sempadan dan di Thailand pula mempunyai lebihan stok.

Menurut laporan media, sebelum ini harga bagi sekilogram bawang merah adalah RM4, namun bahan itu kini dijual pada harga RM12 sekilogram.

-BERNAMA

Khalid Ibrahim kekal sebagai MB Selangor – PKR

http://tv.selangorku.com

Categories
SELANGOR

PKR : MPP tidak pernah gesa Abdul Khalid undur, laporan Sin Chew salah

Oleh : NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 23 JAN: Laporan akhbar, Sin Chew Jit Poh semalam yang melaporkan kononnya Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berundur daripada kerusi Menteri Besar (MB) Selangor tidak benar.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution, berkata parti itu memandang serius kejadian salah lapor akhbar terbabit.

Saifuddin-Nasution_small“Saya rujuk akhbar Sin Chew Jit Poh edisi petang semalam (22 Januari 2014) yang bertajuk ‘MPP PKR mahu Khalid undur, Selangor akan tukar MB’.

“PKR memandang serius isi kandungan dan anggapan dalam laporan terbabit. Bagaimanapun, saya jelaskan di sini bahawa mesyuarat MPP yang dimaksudkan dalam laporan itu tidak membuat keputusan yang bersetuju untuk menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat PKR, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat yang berlangsung pada 15 Januari lalu hanya membincangkan beberapa isu termasuk fi lesen perniagaan di Selangor, penyusunan semula aset air Selangor di bawah seksyen 114 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (WSIA), status pembinaan Langat 2, penternakan burung walit dan kenaikan elaun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Exco Selangor.

pic-tan-sri-khalid-tokoh-reformasi“Disebabkan MPP tidak membuat keputusan berkenaan isu MB Selangor, maka tidak timbul isu ADUN Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai pengganti kepada Menteri Besar,” katanya.

Katanya, isu berkenaan Selangor sering dibincangkan dalam mesyuarat MPP PKR memandangkan negeri berkenaan satu-satunya yang diterjui PKR.

“Selangor satu-satunya negeri Menteri Besarnya daripada PKR. Jadi, sudah tentu MPP mengambil berat dan menunjukkan minat yang tinggi berhubung sebarang isu yang berlaku di Selangor termasuk mesyuarat tidak terkecuali, pada 15 Januari lalu,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perkasa Bantah Komponen BN Disatukan – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 29052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Datuk Saifuddin Nasution akan bertemu Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membincangkan perlantikan beliau sebagai pegawai perhubungan politik.

2. Portal The Malaysian Insider dalam satu temubual eksklusif bersama Pemangku Presiden Perkasa, melaporkan pertubuhan itu tidak menyambut baik idea pembentukan Barisan Nasional menjadi satu parti berbilang kaum.

3. Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa kerajaan menyelesaikan permasalahan Perhimpunan 505 secara baik tanpa perlu ada sebarang bentuk ugutan mahupun kekerasan.

Categories
NASIONAL

Surat Dr M Dedah Tembelang Umno BN Mengenai Israel

SHAH ALAM, 1 MAC: Pendedahan surat-surat yang dihantar oleh mantan Perdana Menteri (PM), Tun Dr Mahathir Mohamad kepada tiga PM Israel mendedahkan pendirian sebenar kerajaan pimpinan Umno BN yang sentiasa mahu mengadakan hubungan dengan negara Zionis tersebut.

Demikian menurut Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Menurut kenyataan tersebut keinginan mantan PM itu untuk mengadakan hubungan dengan negara Israel itu diluahkan dalam salah satu surat tulisan tangan kepada Yitzhak Rabin.

“Mahathir pula bertemu dan berhubungan dengan PM-PM Israel dan menegaskan berulang kali keinginannya mengadakan hubungan antara Malaysia dengan Israel.

“Malah hasrat ini dilahirkan menerusi tulisan tangan di dalam suratnya kepada Yitzhak Rabin,” menurut beliau.

Saifuddin turut menjelaskan pendirian Dr M itu turut diteruskan oleh PM Malaysia hari, Datuk Seri Najib Razak yang tunduk kepada tekanan Amerika dan Israel.

“Sikap ini diteruskan oleh Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang melantik APCO sebagai perunding mereka. Antara penasihat APCO merupakan Doron Bergerbest-Eilon, bekas Ketua Perlindungan dan Keselamatan, Agensi Keselamatan Israel.

“Kerajaan Malaysia juga selama ini mengambil sikap berat sebelah di dalam isu Palestin dengan hanya mengiktiraf Fatah, tanpa mengambilkira Hamas yang telah dipilih rakyat Palestin.

“Ini membuktikan kerajaan UMNO-BN tunduk kepada tekanan Amerika Syarikat dan Israel,” menurut kenyataan itu lagi.

Katanya lagi, pendedahan surat ini mengesahkan sikap pura-pura Barisan Nasional yang menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan memfitnahnya sebagai pro-Yahudi.

“Pendedahan surat-surat yang ditulis Tun Dr Mahathir Mohammad kepada 3 Perdana Menteri Israel  Yitzhak Rabin (21/12/1993), Benjamin Netanyahu ( 14/3/1997) dan Ehud Barak ( 8/6/1999) mengesakan kebenaran dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan membuktikan sikap kepura-puraan Dr Mahathir selama ini.

“Ketika beliau sering tampil dengan imej luaran yang mengambil sikap keras dengan Israel dan memfitnah Anwar sebagai ëpro-Yahudií, secara senyap-senyap beliau mengambil pendekatan berbeza dengan pemimpin Zionis,” beritahu Saifuddin dalam kenyataan medianya itu lagi.

Sebelum ini, Anwar dalam temubualnya dengan akhbar antarabangsa menegaskan kemahuan dan hak rakyat Palestin mesti dibela termasuk hak  hak untuk mendirikan negara sendiri, tidak dizalimi dan pengiktirafan palestin sebagai negara merdeka.

Bagaimanapun kenyataan beliau itu telah diputar belitkan oleh media-media arus perdana dengan menggambarkan bahawa Anwar adalah penyokong negara zionis itu.