Categories
SELANGOR

IPR masih kekal

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 5 DIS: Penduduk di negeri ini tidak perlu bimbang dengan dakwaan kononnya program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) bakal dihapuskan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, kekeliruan berlaku apabila Kerajaan Negeri membuat penjajaran semula terhadap program yang mendapat sambutan hangat itu.

“Sememangnya Kerajaan Negeri tetap meneruskan agenda kebajikan rakyat Selangor melalui IPR, namun penjajaran semula diperlukan pada ketika ini memandangkan situasi ekonomi semasa negeri.

“Maka, penyelarasan diperlukan dalam usaha melakukan penjimatan ke atas perbelanjaan negeri, di samping terus memastikan kumpulan B40 mendapat manfaat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas komitmen Kerajaan Negeri meneruskan program IPR melalui Belanjawan Selangor 2019.

Beliau juga optimis Kerajaan Negeri akan terus melihat kebajikan rakyat sebagai keutamaan dalam memastikan kesejahteraan hidup mereka.

“Banyak lagi program IPR yang masih kekal dan tidak terbabit dengan penjajaran semula, maka bagi yang layak boleh memohon,” katanya.

 

Categories
SELANGOR

Jalan gelap bakal bercahaya kembali

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 14 NOV: Jalan di Selangor Estet River akan kembali ‘bercahaya’ melalui pemasangan lampu jalan setelah lebih 20 tahun bergelap.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ia ekoran jalan gelap sepanjang 10 kilometer itu mendatangkan kerisauan terhadap penduduk kampung berdekatan.

“Saya akan usahakan permohonan itu dalam penggal kali ini dan berharap supaya lampu jalan di Batu 6 dan Batu 7 akan dipasang sebelum akhir tahun ini,” katanya kepada SelangorKini.

Mengulas lanjut, katanya, gara-gara jalan gelap berkenaan, ada penduduk yang menjadi sasaran peragut dan tidak kurang berlaku kemalangan jalan raya lebih kerap.

Katanya, kurang dalam tempoh sebulan sahaja terdapat pelbagai aduan daripada penduduk berhubung kemalangan jalan raya, di kawasan itu.

“Buat masa ini ,saya berharap supaya pengguna jalan raya memandu kenderaan anda dengan lebih berhemah dan sentiasa berwaspada dengan keadaan sekeliling bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Mahasiswa perlu perkemas kemahiran komunikasi

OLEH ZAREEF MUZAMMIL

KUALA SELANGOR, 14 NOV: Golongan mahasiswa disaran memperkemas kemahiran komunikasi lisan dan bertulis bagi memastikan lebih banyak kompetensi penguasaan bahasa.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, pelajar juga perlu menajamkan kemahiran dalam penyelesaian masalah kompleks seperti kedalaman analisis dan keterbabitan isu unik supaya dapat berdiri megah, di arena globalisasi.

“Dalam mendepani cabaran industri 4.0, pelajar di universiti harus keluar daripada kebiasaan, malahan Forum Ekonomi Dunia menggariskan pentingnya penguasaan elemen 4C iaitu Critical Thinking and Problem Solving, Collaboration dan Creativity, pada semua peringkat pengajian.

“Masyarakat perlu mengukuhkan diri sebagai pemimpin dan ahli pasukan kerana penyelesaian masalah kompleks merentasi disiplin secara tuntas memerlukan kerjasama berpasukan cemerlang.

“Sebagai ketua dan ahli pasukan yang berkesan, selain pengetahuan teknikal, karisma dan kepemimpinan berinovasi adalah resepi kejayaan kerja berpasukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Seminar Antarabangsa Pendidikan ProSET 2018, di Auditorium Za’ba, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Bestari Jaya, di sini, baru-baru ini.

Seminar bertemakan Pengantarabangsaan Pendidikan Seiring Era Revolusi Industri 4.0 itu anjuran Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial dengan kerjasama Pembimbing Rakan Peningkatan Sekolah Selangor , Rakan Peningkatan Sekolah Selangor dan Jabatan Pendidikan Selangor.

Ia menampilkan lima pembentang utama iaitu Prof Dr William R. Barrat dan Ahmed Mohamed dari Fakulti Pendidikan Universiti Malaya; Pengetua The Alice Smith School Secondary Campus, Sarah Howling; Presiden Organisasi Guru Bahasa Inggeris Thailand (Thailand TESOL), Paneeta Nitayaphorn serta Prof Dr D. Christiana Victoria Marta dari Universiti Padjadjaran dan Langlangbuana, Bandung, Indonesia.

Pada masa sama, Juwairiya berkata, dalam ledakan industri 4.0, segala urusan harian manusia akan dikongsi bersama robot yang dicipta untuk mengoptimumkan keperluan dan keselesaan manusia.

Malah katanya, teknologi automasi dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat UNISEL, Hasril Abu Hassan berkata, ProSET membuka penyertaan kepada warga pendidik institusi pengajian tinggi dari dalam mahupun luar negara mendapatkan penarafan antarabangsa, sekali gus melonjakkan budaya kerja berasaskan kajian ilmiah.

Katanya, ia bagi meningkatkan tahap kualiti pendidikan di Selangor selaras hasrat kerajaan memperkasakan pendidikan ke peringkat antarabangsa.

Categories
SELANGOR

Wujud program khusus bantu bangun kaum India

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 6 NOV: Satu program khusus untuk membantu anak pekerja ladang terutama daripada aspek pendidikan perlu dirangka menerusi Belanjawan Selangor 2019, pada 23 November ini.

Bagaimanapun, Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli optimis Kerajaan Negeri tidak akan mengenepikan nasib kaum India, terutama di Selangor.

“Kerajaan Negeri wajar menyediakan sistem sokongan holistik bagi keperluan pembangunan masyarakat kaum ini supaya mereka dapat menikmati kehidupan lebih sejahtera,” katanya kepada SelangorKini.

Katanya, belia India juga harus diberikan peluang lebih besar dalam pendidikan tinggi, sekali gus dapat menyumbang kembali terhadap pembangunan kaum mereka.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan Kerajaan Negeri sentiasa pedulikan rakyat sejak dulu lagi dan saya optimis ia diteruskan, sekali gus banyak perkhabaran gembira buat rakyat pada pembentangan Belanjawan 2019 Selangor nanti,” katanya.

Terdahulu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari komited akan memberi tumpuan terhadap potensi pembangunan di semua peringkat, di samping menilai serta memperkasakan pelbagai program Inisiatif Peduli Rakyat, pada pembentangan Belanjawan 2019.

Categories
SELANGOR

Malaysia belum sedia guna e-voting

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 NOV: Sistem e-voting yang diguna pakai dalam Pemilihan KEADILAN 2018 dilihat masih belum sesuai dilaksanakan dalam pilihan raya umum, di negara ini.

Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati, Juwairiya Zulkifli berkata, hal itu kerana tahap keselamatan dan kerahsiaan pengundian boleh dipertikaikan menerusi pelaksanaannya.

Katanya, kaedah itu juga memudahkannya terdedah kepada ancaman siber, sekali gus boleh menggagalkan proses pengundian.

“sistem itu perlu lebih cekap dan memudahkan urusan semua pihak ketika mengendalikan tugasan, selaras tujuan ia diwujudkan, justeri ia perlu ditambah baik sebelum boleh dilaksanakan sepenuhnya,” katanya kepada Selangorkini.

Sementara itu, ketika mengulas berkenaan pemilihan parti, beliau berkata, jawatankuasa bertanggungjawab perlu meletakkan petugas yang mempunyai pengetahuan dalam multimedia supaya segala isu berbangkit dapat diatasi.

“Saya menyokong usaha penambahbaikan sistem e-voting ini dengan beberapa ciri keselamatan dan memastikan internet berjalan lancar ketika pengundian dijalankan,” katanya.

 

 

Categories
SELANGOR

Kuala Selangor jadi tumpuan burung migrasi

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 23 OKT: Daerah Kuala Selangor menjadi lokasi burung migrasi pelbagai spesies bermula Oktober ini sehingga Mac tahun hadapan.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, ribuan spesis burung berhijrah dan singgah di kawasan pantai dari Sabak Bernam hingga ke Bagan Lalang.

“Kawasan pantai berlumpur di sini kaya dengan ketam, cacing, siput dan anak ikan yang menjadi makanan burung migrasi.

“Ini kerana, pantai di Selangor antara yang produktif daripada segi kepelbagaian biologi, manakala kawasan pasang surut pantai yang berlumpur ini kaya dengan organisma bentik dan tempat persinggahan burung berkenaan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata demikian ketika Pesta Sayap Kuala Selangor 2018, di Taman Alam Kuala Selangor, di sini.

Program anjuran Majlis Daerah Kuala Selangor itu turut mendapat kerjasama Persatuan Pencinta Alam Malaysia dan sebuah organisasi pemuliharaan habitat burung yang bertapak di United Kingdom, iaitu ‘BirdLife International’ serta East Asian-Australasian Flyway Partnership.

Juwairiya berkata, acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran berkenaan burung migrasi dan memulihara hutan paya bakau serta habitat tanah basah mereka.

“Ia juga bagi memantau dan mengumpul data burung migrasi atau burung berhijrah di habitat hutan serta tanah lembap.

“Selain itu, pesta ini selaras objektif menjangkau komuniti dan orang awam khususnya belia supaya menjadi pengurus alam sekitar yang berkesan,” katanya.

Categories
SELANGOR

School Heroes bantu pelajar luar bandar kuasai Bahasa Inggeris

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 11 OKT: Program School Heroes diperkenalkan di DUN Bukit Melawati untuk membantu pelajar luar bandar menguasai Bahasa Inggeris.

Ahli Dewan Negerinya, Juwairiya Zulkifli berkata, beliau mahukan lebih ramai pelajar terutama di kawasan luar bandar untuk menguasai bahasa antarabangsa itu sejak dari peringkat awal lagi.

“Pendekatan ini perlu dimulakan sejak sekolah rendah lagi supaya dapat memberi pendedahan lebih luas berkenaan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan anak luar bandar,” katanya laporan BH Online.

Juwairiya berkata demikian selepas merasmikan Program School Heroes di Sekolah Rendah Agama Integrasi Bandar Baru, Kuala Selangor, di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, Juwairiya berkata, apabila pelajar dapat menguasai Bahasa Inggeris sejak kecil ia akan membolehkan mereka menerokai lebih banyak ilmu berkaitan sekali gus memantapkan prestasi masing-masing.

“Bengkel Bahasa Inggeris selama tiga bulan di sekolah berkenaan akan turut diadakan di sebuah Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil pada bulan ini.

“Bagaimanapun, saya optimis dengan inisiatif ini yang turut menampilkan atlet dan selebriti terkenal tanah air untuk menjadi pembakar semangat kepada pelajar memantapkan penguasaan Bahasa Inggeris mereka,” katanya.

Categories
SELANGOR

Bukit Melawati Exploride 2018 galak hidup sihat

OEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 1 OKT: Bukit Melawati Exploride 2018 menggalakan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, di samping melihat tempat menarik sekitar Kuala Selangor.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, program kayuhan santai itu akan diadakan pada 6 Oktober ini, di kawasan letak kenderaan Asrama Pusat Pekan Kuala Selangor, di sini.

“Kita sasarkan 1,000 peminat sukan berbasikal akan mengikuti program ini kerana Kuala Selangor sering menjadi tempat aktiviti penggemar sukan berkenaan untuk rekreasi.

“Malah, apabila wujudnya program ini, ia sebagai salah satu inisiatif bagi mempromosi Kuala Selangor sebagai hab pelancongan di negeri ini,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Beliau berkata, sambil mengayuh, peserta juga dapat menikmati keindahan di sekitar Kuala Selangor antaranya Kelip-Kelip Kampung Kuantan, Bukit Rotan, Pantai Remis dan Rumah Api.

“Saya komited Bukit Melawati Exploride 2018 mampu menarik peserta untuk mengenali dengan lebih dekat lagi tempat menarik yang ada di sekitar Kuala Selangor,” katanya.

Bukit Melawati Exploride 2018 membabitkan dua kategori iaitu 20 kilometer (km) dan 50 km dengan yuran penyertaan RM20.

Program itu akan disempurnakan Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari yang akan melakukan ‘flag-off’ peserta, seawal jam 7.30 pagi.

Setiap peserta yang berjaya menamatkan larian akan menerima medal dan cabutan bertuah.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Shah di talian 0172960786.

Categories
SELANGOR

ADN Bukit Melawati jadi sasaran buli siber

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 15 SEPT: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menjadi sasaran terbaru kaki buli, di media sosial.

Terbaru, akaun media sosial miliknya terpaksa dihentikan buat sementara waktu gara-gara diserang secara peribadi pihak tidak bertanggungjawab.

Juwairiya ketika dihubungi SelangorKini mengesahkan perkara terbabit dan menyatakan rasa kecewa kerana beliau turut diserang menggunakan perkataan lucah dan seksis.

“Secara tiba-tiba segerombolan ‘cybertroopers’ sebuah parti politik membuat serangan bertalu-talu di akaun facebook saya, sedangkan akaun berkenaan adalah medium yang menghubungkan saya dan rakyat.

“Perkara ini tidak patut berlaku, mereka menyerang peribadi, bukannya melalui parti. Walaubagaimanapun, ia tidak akan mematahkan semangat saya,” katanya.

Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata, buli siber di negara ini berada pada tahap serius dan masyarakat perlu bersedia menghadapi ancaman berkenaan.

Beliau berkata, jika tidak dibendung, ia akan menjadi ancaman kepada diri dan masyarakat kerana buli siber dikesan lebih bahaya berbanding buli secara fizikal ekoran ia boleh dilakukan sesiapa sahaja tanpa kawalan di internet.

Berdasarkan statistik Pusat Bantuan Cyber999, 51 kes membabitkan remaja berusia sehingga 18 tahun, 19 tahun hingga 25 tahun (246), 26 tahun hingga 40 tahun (314), 41 tahun hingga 55 tahun (69) dan 56 tahun ke atas (69 kes).

Categories
SELANGOR

Lepas 50,000 anak benih udang galah, pulihara habitat

OLEH SHEEDA FATHIL

BUKIT MELAWATI, 8 SEPT: Sebanyak 50,000 anak benih udang galah dilepaskan di Sungai Selangor, semalam bagi mengekalkan habitat di sungai terbabit.

Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, usaha itu mampu memberi manfaat kepada nelayan tempatan memperoleh pendapatan selepas hasil pendapatan mereka di kawasan terbabit terjejas ekoran aktiviti mengorek pasir.

“Hari ini (semalam), saya bersama Pegawai Jabatan Perikanan Daerah Kuala Selangor, Encik Fazlan melepaskan 50,000 anak benih udang galah di Sungai Selangor, Batu 8 Kampung Asahan yang merupakan bantuan anak benih daripada Kementerian Pertanian.

“Pendapatan nelayan di sini terganggu akibat aktiviti korek pasir di kawasan berdekatan yang menyebabkan hasil sungai terjejas dan berkurangan,” tulisnya di Facebook.

Katanya, anak benih itu mengambil masa enam hingga lapan bulan sebelum nelayan boleh memancing hasilnya, pada masa akan datang.

Categories
SELANGOR

Juwairiya optimis bela nasib pekerja

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 26 JUL: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli optimis memastikan nasib pekerja Pasar Raya Giant Kuala Selangor terbela dan tidak hilang pekerjaan.

Juwairiya berkata, beliau difahamkan seramai 80 pekerja pasar raya berkenaan terjejas dan terpaksa diberhentikan kerja buat masa ini.

“Saya sedang dalam usaha berjumpa dengan peruncit baharu yang bakal menggantikan Pasar Raya Giant berkenaan untuk berbincang sama ada mereka akan menyerap pekerja terjejas ini.

“Bagaimanapun, setakat ini, saya difahamkan 80 pekerja itu akan diberi pampasan mengikut tempoh berapa lama mereka bekerja di pasar raya itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Katanya, kesemua pekerja itu terdiri daripada penduduk tempatan yang tinggal di Sekinchan dan Kuala Selangor.

“Saya akan cuba sedaya upaya berusaha memastikan nasib pekerja terus terbela dan tidak menganggur,”katanya.

Terdahulu, kebanyakan Pasar Raya Giant terpaksa dihentikan perniagaan akibat berlakunya kelembapan jualan dalam sektor runcit Malaysia.

Difahamkan, Pasar Raya Giant Kuala Selangor mula ditutup pada 20 Julai lalu, bakal digantikan dengan pasar raya baharu antaranya Pasar Raya NSK atau Pasar Raya TF yang akan dibuka tidak lama lagi.

Categories
SELANGOR

Bina jambatan konkrit, Juwairiya tunai janji

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 20 JUL: Ahli Dewan Negeri Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli menunaikan janjinya pada Pilihan Raya ke 14 (PRU14) yang lalu bagi membaiki sebuah jambatan usang.

Juwairiya berkata, jambatan tersebut adalah satu-satunya jalan yang menghubungkan rumah penduduk di Kampung Asahan Batu 6 dengan jalan utama.

“Saya pernah berjanji kepada salah seorang penduduk di situ yang juga warga emas, saya lihat jambatan tersebut begitu usang dan paling membahayakan kerana ia hampir roboh.

“Kerja pembinaan jambatan baru ini dijangkakan bermula September depan setelah kerja pembersihan parit dibuat,” katanya kepada SelagorKini.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan tapak ke lokasi kejadian bersama penghulu, wakil Pejabat Daerah dan Tanah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Juwairiya berkata, sehingga kini Pejabat Daerah dan Tanah sedang merangka kos jambatan baru.

“Saya cadangkan supaya jambatan kayu yang sedia ada sekarang digantikan dengan jambatan konkrit bagi membolehkan kenderaan berat masuk.

“PRU14 baru sahaja berlalu, saya akan berusaha menunaikan janji yang dibuat serta berharap supaya penduduk lebih selesa,” katanya.