Categories
SELANGOR

MB: Kompaktor Sampah Tepati Spesifikasi

SHAH ALAM 10 SEPT : Kerajaan Negeri menafikan dakwaan isu pembelian kompaktor sampah yang dikatakan tidak menepati spesifikasi sepatutnya.

Sebaliknya menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata setiap keputusan yang dibuat Kerajaan Negeri sentiasa dinilai.

“Saya difahamkan setiap aset yang dibeli oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan disemak sama ada ia baik atau tidak,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri perhimpunan bulanan penjawat awam, di SUK.

Beliau berkata penambahan 50 kompaktor itu akan melancarkan urusan kutipan sampah di 12 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Abdul Khalid turut menyelar dakwaan yang mengatakan pembelian kompaktor baru itu mencecah RM14.5 juta.

Katanya, kompaktor yang dibeli itu adalah berpatutan dan harganya kurang daripada RM240,000.

“Kita beli kompaktor baru itu kerana kompaktor lama yang ditinggalkan oleh Alam Flora sudah digunakan 15 tahun lalu. Jadi untuk menjamin pengurusan sampah cepat, kita beli baru.

“Dan saya difahamkan, KDEB sudah menandatangani kontrak pembelian itu,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut isu air percuma, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri sedia maklum bahawa pemberian percuma hanya diberikan kepada penghuni yang mempunyai meter individu.

“Oleh kerana itu, saya sudah memaklumkan bahawa penghuni supaya cepat menukarkan meter pukal kepada meter individu supaya dapat menikmati pemberian ini.

“Kadang-kadang sesetengah orang tidak faham mengenai perkara ini,” katanya.

Baru-baru ini, seramai 683 penghuni pangsapuri memfailkan saman kerana tidak dapat menikmati subsidi air percuma.

KDEB Sumbang 1700 Tong Sampah Kepada Warga Shah Alam

SHAH ALAM 8 JULAI : Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB)  menyumbangkan 1700 buah tong sampah sempena Program Zon Bersih Bulan Julai peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) hari ini.

Sumbangan bernilai RM 200, 000  itu disampaikan secara simbolik oleh Menteri Besar yang juga Pengerusi KDEB, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kepada wakil parcel penduduk Seksyen 10 dan 11 dalam satu majlis yang diadakan di Taman Permainan, Jalan Kurung 10/4 pagi tadi.

“Di harap usaha ini dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya bagi meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pengurusan sampah yang baik.

“Pengurusan sampah yang baik akan mewujudkan persekitaran bandar yang bersih, kondusif dan terurus,” ujar Abdul Khalid dalam ucapannya.

Sebanyak 1, 400 tong sampah disumbangkan kepada penduduk manakala selebihnya akan diserahkan kepada sekolah-sekolah dan surau-surau yang terdapat di Seksyen 10 dan 11.

Sementara itu, Abdul Khalid turut berkesempatan melancarkan buku sumber dan aktiviti bertajuk ‘Adam and Ruby The Recycle Bin’ terbitan MBSA yang akan diedarkan secara percuma kepada sekolah-sekolah rendah sekitar Shah Alam.

“Ini merupakan antara usaha murni dalam memberi pendidikan awal kepada anak-anak kecil tentang penjagaan kebersihan serta pengurusan sampah yang baik.

“Diharap usaha sebegini dapat dapat diteruskan bagi melahirkan rakyat yang lebih bertanggungjawab akan penjagaan kebersihan sepertimana yang diamalkan negara-negara maju seperti Jepun,” ujar beliau.

Turut hadir memeriahkan majlis ialah Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu, Datuk Bandara MBSA, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan serta Pengarah KDEB, Suhaimi Kamarulzaman.

Categories
SELANGOR

Xavier: Selangor Jamin Tiada Krisis Air Menjelang 2014

SHAH ALAM 15 FEB : Kerajaan Negeri sekali lagi memberi jaminan bahawa tidak akan berlakunya krisis air menjelang 2014 seperti mana yang dicanang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Kerajaan Pusat baru-baru ini.

Exco Selangor, Xavier Jayakumar berkata isu yang sengaja dimainkan ini jelas propaganda politik kerajaan Umno-BN dalam usaha menakut-nakutkan rakyat Selangor bagi memberi laluan kepada pemimpin-pemimpin BN Pusat merampas kembali negeri Selangor dalam Pilihanraya Umum akan datang.

“Kerajaan Selangor menggunakan teknologi rawatan air terkini telah mengenalpasti beberapa punca air yang boleh digunapakai bagi menampung keperluan rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,”katanya bagi membidas segala dakwaan jahat Kerajaan Pusat dan SYABAS.

Xavier berkata antara kaedah terkini yang akan digunapakai bagi merawat air ialah proses pengambilan air mentah dari bekas lombong, punca air bawah tanah, rawatan dan penapisan air sungai dan air mentah dari takungan air hujan.

“Kerajaan Negeri sedang mempercepatkan langkah bagi merawat air sungai untuk kegunaan sektor perindustrian di Selangor.

“Bagi tujuan ini Kerajaan Negeri telah meluluskan lesen permindahan air mentah kepada anak syarikat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), Konsortium Air Sdn Bhd yang mempunyai trek rekod dan kepakaran tweknologi terkini dalam menguruskan dan merawat air,”

Xavier berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di sini hari ini.

Dalam perkembangan yang sama, Xavier berkata kerajaan Negeri juga bersetuju dengan cadangan Persatuan Pengguna bagi memaksimumkan penggunaan sumber-sumber air bagi menambung keperluan harian rakyat.

“Ini merupakan alternatif yang lebih bermanfaat dan menjimatkan berbanding projek membangunkan insfratruktur pemindahan air dari Pahang yang menelan belanja berbillion ringgit wang pembayar cukai,”katanya.

Tindakan Kerajaan Selangor menguasai industri air negeri bertujuan bagi meringankan bebanan rakyat selain mengekalkan pemberian air percuma 20 meter padu kepadaa rakyat.

Manakala Syabas merancang untuk menaikkan tarif bil air sebanyak 37 peratus namun dibantah oleh kerajaan negeri.