Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN: Tiada timbalan, naib presiden hingga pemilihan parti

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Majlis Pimpinan Pusat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) bersetuju untuk tidak mengisi beberapa jawatan kosong tertinggi di peringkat pusat, sehingga pemilihan parti yang akan ditetapkan kemudian.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat KEADILAN pada 1 Mei lepas, berikutan terdapat beberapa jawatan tertinggi seperti timbalan presiden, naib presiden dan anggota Majlis Pimpinan Pusat (​MPP) parti yang masih kosong.

“Dengan ini, perjalanan parti di peringkat pusat akan kekal seperti keadaan sekarang tanpa kita mengisi jawatan-jawatan ini akibat ditinggalkan rakan-rakan lama kita,” katanya dalam ucapan aluan pada Kongres Nasional Tahunan PKR 2020 hari ini.

Kekosongan jawatan parti itu wujud apabila bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan bekas Naib Presiden Datuk Zuraida Kamaruddin, meninggalkan parti itu pada tahun lepas, manakala Dr A Xavier Jayakumar mengumumkan peletakan jawatan sebagai Naib Presiden dan ahli PKR pada Mac lepas.

Saifuddin turut memaklumkan Kongres Nasional Tahunan 2021, akan diadakan secara serentak bersama Kongres Nasional Tahunan 2022 pada tahun hadapan.

Beliau berkata Mesyuarat Agung Tahunan Cabang juga akan dilangsungkan pada tahun hadapan, kecuali Laporan Tahunan Cabang akan diserahkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada tahun ini.

Saifuddin berkata, Cabang Sungai Buloh dinobat sebagai Cabang Kemasukan Anggota Baharu Terbanyak iaitu 6,259 ahli dari 16 November 2020 hingga 29 April tahun ini.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, parti itu mempunyai 2,028 ranting di seluruh negara setakat ini, termasuk 259 ranting baharu yang didaftarkan pada tahun ini.

“Kita menetapkan satu ranting di satu daerah mengundi di kerusi-kersui sasaran parti,” katanya ketika menyampaikan ucapan aluan pada kongres tersebut.

Seramai kira-kira 2,000 perwakilan menyertai kongres itu secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom, bermula dari pukul 8 pagi tadi.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN: Tangguh kongres elak tindakan bawah Ordinan Darurat

KUALA LUMPUR, 6 JUN: KEADILAN akur arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya menangguhkan Kongres Nasional PKR 2020 yang dijadualkan hari ini dan akan mengumumkan tarikh baharu kongres itu kelak.

Setiausaha Agungnya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan meneruskan kongres boleh menyebabkan parti itu dikenakan tindakan di bawah Ordinan Darurat.

“Kongres ini sepatutnya diadakan pada Disember tahun lalu, tetapi pada masa itu penangguhan 18 bulan dibenarkan kerana situasi Covid-19, tempoh penangguhan berakhir hari ini.

“Namun kita tangguh lagi ke satu tarikh hingga 30 Jun ini, dan ia juga masih mengambil kira situasi pandemik negara,” katanya pada sesi ‘Amanat Presiden PKR’ secara maya hari ini.

Menurut Saifuddin Nasution, PKR akan mendapatkan nasihat MKN serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebelum menyambung semula kongres tersebut supaya perkara sama tidak berulang.

MKN semalam menjelaskan Kongres Nasional KEADILAN ke-15 yang dijadualkan hari ini boleh ditangguhkan hingga 30 Jun ini.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Rabin Basir berkata ia berdasarkan pandangan RoS berkenaan perkara itu.

Pengarah Kongres Nasional KEADILAN Nik Nazmi Nik Ahmad dalam kenyataan semalam turut memaklumkan KEADILAN telah menerima surat daripada MKN dan makluman lisan daripada RoS, masing-masing pada 6.21 petang, Jumaat lepas, yang mengarahkan kongres berkenaan ditangguhkan.

Persidangan Kongres Nasional Wanita KEADILAN berlangsung Jumaat lepas manakala Kongres Nasional Angkatan Muda Keadilan (AMK) diadakan semalam, kedua-duanya secara maya.

– BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar kumpul dana RM1 juta bantu penduduk Palestin

SHAH ALAM, 17 MEI: Pejabat Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1 juta setakat ini bagi membantu penduduk Palestin yang terkesan ekoran kekejaman rejim Zionis.

Presidennya berkata kutipan dana dikirim terus kepada Viva Palestina Malaysia dan My Aqsa Defenders untuk memelihara kebajikan rakyat di wilayah berkenaan khususnya daripada aspek pendidikan, ekonomi dan keselamatan.

Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menjunjung kasih kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V kerana bermurah hati memberi sedikit sumbangan bagi melengkapkan misi berkenaan.

“Saya minta rakan-rakan meneruskan usaha membantu langsung kepada Viva Palestina Malaysia dan My Aqsa Defenders supaya pengurusan dana lebih terkawal dan tiada kemungkinan ketirisan.

“Saya tekankan perkara ini bagi memastikan dana itu dikendali secara telus dan bertanggungjawab. Saya harap saudara dapat bantu salurkan mengikut keperluan serta keupayaan masing-masing kepada badan tersebut,” katanya menerusi siaran video dimuat naik di laman Facebooknya semalam.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, perkembangan di Gaza menyaksikan kebiadaban berterusan sehingga mengakibatkan jumlah kematian bertambah dengan anak-anak kecil menjadi mangsa.

Menurut Anwar, negara-negara Arab yang lemah dan bisu serta hipokrasi negara Barat menyebabkan Israel lebih bongkak, sombong serta berani melakukan penindasan terhadap rakyat di Gaza dan Baitulmaqdis.

“Kita mampu mengutuk, mengutip dana dan mendoa kepada Allah SWT tetapi kita harus mendesak pemerintahan masing-masing termasuk Malaysia untuk berbuat sesuatu yang lebih bermakna atas nama Islam serta kemanusiaan.

“Walaupun saya akui di Barat ada suara lebih lantang sekarang yang meminta supaya keadilan dan kemanusiaan dipelihara…tidak mempertahankan sikap biadab dan kezaliman yang terus menimpa rakyat Palestin,” katanya lagi.

Orang ramai yang mahu menyumbang boleh melayari laman sesawang https://www.vpm.org.my/ dan www.pedulipalestin.com.

Categories
AGENDA NASIONAL

Guna dana amanah bukti kerajaan PN tidak cekap urus kewangan

SHAH ALAM, 23 APRIL: Penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) membuktikan kerajaan tidak cekap menguruskan kewangan.

Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) berkata pengumuman itu amat mengecewakan sekali gus menyerlahkan kegagalan pentadbiran Perikatan Nasional (PN) dalam menangani pandemik.

“Walaupun dilengkapi dana Belanjawan 2021 yang melebihi RM300 bilion, terbesar dalam sejarah negara kerajaan masih gagal memerangi Covid-19.

“RM3 bilion yang mencukupi menurut Menteri Koordinasi PICK Khairy Jamaluddin nampaknya tidak cukup.

“Permasalahan utama bukan lagi terletak pada jumlah peruntukan tetapi kecekapan dan kebijaksanaan pemerintahan,” kata Shamsul Iskandar Md Akin dalam kenyataan hari ini.

Justeru, Shamsul yang juga ahli parlimen Hang Tuah Jaya mencadangkan bilangan jemaah menteri dikurangkan berikutan langkah itu mampu menjimatkan RM7 bilion wang negara.

Menurutnya, pemerolehan vaksin harus diperluas merentasi syarikat swasta dan kerajaan negeri selain membenarkan pembelian serta pengedarannya yang diluluskan Bahagian Regulatori Farmasi Negara.

“Sekiranya kerajaan kebuntuan dan tidak berkemampuan menguruskan krisis ini, buka parlimen dan kita bincang bersama mencari jalan penyelesaian terbaik demi rakyat serta negara,” katanya lagi.

Kelmarin, media melaporkan kerajaan meluluskan undang-undang menggunakan dana KWAN untuk tujuan itu.

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 semalam.

Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Mantan hakim syarie, bekas pemimpin PAS masuk KEADILAN

SHAH ALAM, 14 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) hari ini mengumumkan penyertaan 15 individu termasuk bekas hakim mahkamah syariah dan bekas pemimpin PAS ke dalam parti itu.

Mereka antaranya bekas Ketua Hakim Syarie Datuk Baharum Hasbullah, bekas wakil rakyat Dusun Tua Razaly Hassan dan bekas Ketua Pemuda PAS Negeri Sembilan Nor Azman Mohamad.

Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata penyertaan individu berpengalaman dalam pelbagai lapangan memberi semangat baharu kepada parti itu.

“Saya optimis dan percaya ia juga bakal mengisi dan menambah baik semangat memungkinkan islah serta membuktikan KEADILAN sebagai wadah untuk semua iaitu profesional, seniman dan agamawan.

“Saya percaya penyertaan mereka ini bukan yang terakhir dan insya-Allah akan ada lagi yang akan menyertai KEADILAN selepas ini,” tulisnya di Facebook.

Beberapa orang pendakwah, bekas guru agama, bekas imam dan pemimpin Angkatan Belia Islam Malaysia turut diumum menyertai parti itu dalam sidang media di Negeri Sembilan.

KEADILAN sebelum ini mengumumkan penyertaan dua selebriti iaitu penyanyi rap terkenal Altimet dan pelakon yang juga pengarah Datuk Afdlin Shauki.

Categories
AGENDA NASIONAL

Keluar parti, KEADILAN tuntut RM10 juta dari Xavier

KUANTAN, 5 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) akan mengemukakan surat tuntutan bagi menuntut Ahli Parlimen Kuala Langat Datuk Dr Xavier Jayakumar membayar RM10 juta setelah bertindak keluar daripada parti itu bulan lepas.

Bendahari Agung KEADILAN Lee Chean Chung berkata surat berkenaan akan diserahkan oleh peguam parti itu kepada Xavier esok dan bekas naib presiden KEADILAN tersebut diberi masa sehingga tujuh hari untuk menyelesaikannya.

“Sesiapa yang membuat keputusan untuk meninggalkan parti mereka perlu menerima akibat, mereka seharusnya membayar RM10 juta seperti dipersetujui,” katanya.

Lee yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Semambu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Indera Mahkota 2020 di sini semalam.

Pada 13 Mac lepas, Xavier mengumumkan peletakan jawatan serta-merta sebagai naib presiden dan ahli KEADILAN selain menyokong blok kerajaan Perikatan Nasional di bawah pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, Lee yang juga Ketua Cabang Indera Mahkota berkata mesyuarat semalam mengemukakan dua usul iaitu menolak sebarang kerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selain calon Pilihan Raya Umum ke-15 cabang itu harus terdiri daripada penduduk tempatan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

KEADILAN perkukuh kerusi ahli parlimen tinggalkan parti

KUALA LUMPUR, 4 APRIL: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) fokus untuk memperkukuhkan kerusi ahli parlimen yang pernah dikhianati sebelum ini.

Pengarah komunikasinya berkata parti itu sentiasa bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

“Kita juga akan beri fokus pada kerusi yang mana ahli parlimen sebelum ini khianati dan berusaha tampilkan tokoh yang layak untuk memenangi semula kerusi tersebut,” kata Fahmi Fadzil.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Mesyuarat Agung Tahunan Wanita dan Angkatan Muda Keadilan Lembah Pantai serta pelancaran jentera pilihan raya KEADILAN kawasan itu di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Lembaga Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Mengulas sejauh mana persediaan KEADILAN menghadapi PRU-15, Fahmi berkata jentera pilihan raya sudah dilancarkan dan beliau percaya ramai yang sudah bersedia.

“Selepas kes khianat Sheraton saya lihat tidak ramai KEADILAN Lembah Pantai yang keluar parti malahan semakin ramai yang masuk parti ini antaranya Altimet dan Afdlin Shauki,” katanya.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Amirudin ajak ahli KEADILAN tingkat khidmat untuk rakyat

SHAH ALAM, 4 APRIL: Dato’ Seri Amirudin Shari mengajak ahli Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) meningkatkan khidmat demi rakyat.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri itu berkata hal itu perlu setelah lebih dua dekad parti tersebut berjuang membantu rakyat di negara ini.

“Selamat Ulangtahun ke-22 buat Parti Keadilan Rakyat. Lebih dari dua dekad berjuang untuk menyemarak dan melaksana agenda reformasi buat semua rakyat Malaysia tidak mengira agama dan bangsa.

“Semoga KEADILAN terus maju dan kukuh mendepani segala cabaran. Ayuh semua anggota KEADILAN, kita gembleng kekuatan bersama dan meningkatkan khidmat cemerlang kepada rakyat. Reformasi!,” katanya menerusi Facebook.

Categories
AGENDA NASIONAL

Penyertaan Afdlin, Altimet dalam KEADILAN luahan hati anak seni

AMPANG, 2 APRIL: Penyertaan pelakon Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) menunjukkan mereka menyampaikan suara hati anak seni.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor berkata pengkarya, artis dan budayawan harus menyampaikan suara hati walau apa pun wadah yang disertai golongan berkenaan.

“Mereka juga tidak boleh berhenti berkarya kerana ia  lambang ketamadunan, kesenian adalah lambang kepada kemajuan dan perkembangan manusia. Ada dalam bentuk lagu, lukisan, drama tetapi apa yang disampaikan itu bukan terasing.

“Malam ini saya sangat gembira dalam ramai-ramai artis belum ada yang berani serta miliki kekuatan seperti saudara Afdlin dan Altimet untuk bersama kita,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini malam tadi.

Beliau juga menegaskan penyertaan Afdlin dalam KEADILAN perlu dilihat dari sudut sebaliknya dan bukan sekadar pelawak.

“Bila ada ura-ura artis tersebut mahu menyertai kita pelbagai serangan diberikan…parti KEADILAN tak habis-habis ambil pelawak tetapi mereka tidak sedar Afdlin ini bukan pelawak tetapi dia seorang penerbit, penulis skrip dan pelakon yang serius,” katanya.

Pada majlis itu juga Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan kad keahlian kepada Afdlin dan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman.

Categories
AGENDA NASIONAL

Afdlin, Altimet dedah sebab sertai KEADILAN

AMPANG, 2 APRIL: Datuk Afdlin Shauki mendedahkan beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) kerana mahu melihat Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

Katanya, sebelum ini dua perkara yang ingin dilakukannya sudah dilaksana iaitu melihat orang gembira serta membantu orang ramai dan impian ketiganya mahu Presiden KEADILAN itu menjadi pemimpin nombor satu negara.

Menjelaskan lebih lanjut, pengarah itu menyatakan beliau kecewa dengan industri hiburan kerana anak seni seperti tidak dihargai walaupun masing-masing mempunyai bakat.

Presiden Parti KEADILAN Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berucap ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Kami adalah buruh yang keluar majalah.. kami tiada Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial), KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja). Kami tidak dipandang.

“Saya beruntung kerana kini dapat bersama sebuah syarikat besar yang memberi peluang kepada anak muda. Saya dah ok kerana sudah dapat membantu tetapi timbul persoalan adakah kita jaga kita sahaja atau kita nak jaga semua. Satu cara untuk kita dapat jaga semua adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.

Afdlin berkata sudah banyak ahli politik dan parti sudah ditemuinya sebelum ini, namun tiada antara mereka yang menghormati anak seni kecuali Anwar.

Sementara itu, penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Altimet berkata sejak 7 Julai 2006 beliau sudah memikirkan kehidupan orang lain dan tidak memetingkan diri sendiri selepas menimang cahaya mata.

Altimet (dua, kiri) menerima kad keahlian KEADILAN dalam satu majlis di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Jelasnya, selepas melalui pelbagai fasa dalam kehidupan, beliau faham ada sesuatu yang lebih besar berbanding diri sendiri terutama selepas berkeluarga.

“Saya dah tak fikir untuk diri saya, saya fikir pasal anak saya. Saya berfikir tentang apa Malaysia yang saya mahukan dalam kehidupan untuk anak-anak saya.

“Sebab ayah saya tinggalkan saya satu Malaysia yang aman makmur. Apa yang saya nak berikan pada anak-anak? ini sebab kenapa saya berada di sini malam ini,” katanya.

Kedua-dua anak seni itu menerima kad keahlian KEADILAN yang disampaikan Anwar pada majlis yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari.

Categories
AGENDA NASIONAL

Afdlin mahu filemkan perjalanan hidup Anwar

AMPANG, 2 APRIL: Datuk Afdlin Shauki sedia menerbitkan filem mengenai perjalanan hidup dan karier politik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah popular itu berkata kisah Presiden Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) wajar diangkat ke layar perak kerana liku perjalanan yang dilalui Anwar sepanjang bergelar ahli politik sangat mengagumkan.

“Dengan adanya saya di sini, saya berharap apa sahaja yang Datuk Seri perlukan dalam media yang saya boleh bantu, kami akan bantu sedaya upaya.

“Ini bukannya bodek… ceritanya sangat hebat dan saya rasa filem Datuk Seri kena dibuat. Pasal ceritanya hebat sangat,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.

Pada program yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari, Afdlin juga turut menerima kad keahlian KEADILAN yang disampaikan Anwar.

Sebelum ini pada 30 Mac lalu, pengarah berkenaan mengumumkan menyertai KEADILAN.

Categories
AGENDA NASIONAL

Anwar sanjung keberanian Afdlin, Altimet sertai perjuangan KEADILAN

AMPANG, 2 APRIL: Datuk Seri Anwar Ibrahim tertarik dan menyanjung keberanian pelakon Datuk Afdlin Shauki dan penyanyi Altimet yang bersama dalam perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN).

Beliau berkata penyertaan kedua-dua anak seni itu bermakna kepada KEADILAN kerana mesej disampaikan menerusi karya mereka memberi banyak kesedaran kepada anak muda.

Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman menerima kad keahlian KEADILAN ketika program Temu Anwar di Hotel Flamingo, Ampang pada 1 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Saya tertarik dengan mereka ini dan ‘salute’ keberanian mereka bersama mengharungi perjuangan kita. KEADILAN ini bukan parti politik biasa yang berebut jawatan, kawasan atau pemerintahan.

“Mesejnya adalah reformasi.. pemerkasaan politik, ekonomi, budaya termasuk seni..muzik, perfileman dan lain-lain. Tanpa pemerkasaan ini elit yang akan menentukan. Sebab itu politik ini memerlukan suntikan semangat dan dukungan semua,” katanya dalam program Temu Anwar di Hotel Flamingo di sini, malam tadi.

Presiden KEADILAN itu juga memaklumkan sebelum ini pelakon Hans Isaac turut sama menyertai KEADILAN sejak tahun lalu.

“Nampaknya semua seniman, ahli muzik, penyanyi bersama KEADILAN sekarang ini,” katanya.

Pada program itu juga menyaksikan Afdlin dan Altimet atau nama sebenarnya Syed Ahmad Syed Abdul Rahman sah menyertai KEADILAN selepas masing-masing menerima kad keahlian.