Categories
AGENDA NASIONAL

Tiga beranak maut dalam kebakaran

IPOH, 19 OGOS: Sepasang suami isteri bersama bayi lelaki mereka maut dalam kebakaran sebuah rumah di Kampung Alah Batu, Jalan Kuala Slim di Slim River, awal hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu, pada 3.51 pagi.

“Kami segera mengerahkan anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat Slim River dan bantuan dari Tanjung Malim serta Kuala Kubu Bharu bagi kerja menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menemui mayat suami isteri berusia lingkungan 30-an bersama bayi berusia hampir setahun berkenaan di dalam bilik pertama rumah berkeluasan 20×60 kaki persegi itu yang mengalami kebakaran sebanyak 70 peratus.

“Semua mangsa disahkan maut di tempat kejadian,” katanya.

Kesemua mayat mangsa dihantar ke Hospital Slim River untuk tindakan lanjut.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Peningkatan kadar kebakaran sangat ketara – Bomba

JOHOR BAHRU, 22 JUL: Peningkatan kadar kebakaran di negara ini sangat ketara apabila 36,043 panggilan kebakaran dicatatkan tahun lalu berbanding 28,853 panggilan pada 2017.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Soiman Jahid berkata, mengikut statistik, daripada jumlah itu, sebanyak 4,928 panggilan dicatatkan di Johor tahun lepas berbanding 3,610 tahun sebelumnya.

“Ini menunjukkan peningkatan kadar bilangan kebakaran di negara kita berlaku dengan sangat ketara yang memerlukan kita mengambil tindakan yang lebih proaktif termasuk langkah-langkah penguatkuasaan,” katanya berucap pada majlis perasmian Seminar Keselamatan Kebakaran JBPM Johor di sini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Edwin Galan Teruki dan Timbalan Pengarah JBPM Johor Pauzan Ahmad.

Soiman berkata, tafsiran kerugian akibat kebakaran pula mencecah RM3.3 bilion tahun lalu berbanding RM5.2 bilion pada 2017 manakala, harta yang berjaya diselamatkan bomba ditaksirkan bernilai RM28.3 bilion tahun lalu berbanding RM51 bilion pada 2017.

Beliau berkata sepanjang tahun lalu juga, 12,559 Notis Menghapuskan Bahaya Kebakaran (Notis A) dikeluarkan di seluruh negara termasuk 224 notis daripadanya dikeluarkan di negeri ini.

Katanya, notis yang dikeluarkan itu bukan bermaksud untuk mencari kesalahan di premis tetapi bertujuan memperbetulkan keperluan sistem pepasangan keselamatan kebakaran selain memastikan agar ianya dapat berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kebakaran.

“Suka saya nyatakan bahawa kebakaran selalunya berpunca dari kejahilan dan kelalaian manusia tentang aspek keselamatan kebakaran.

“Sehubungan itu, semestinya kita yang bertanggungjawab untuk mewujudkan situasi yang selamat dalam setiap aspek kehidupan harian kita,” katanya.

Mengenai seminar yang dihadiri 720 peserta itu, Soiman berharap ia dapat mempertingkatkan pengetahuan lebih jelas terhadap aspek bahaya kebakaran dan Akta Perkhidmatan Bomba 1988 dalam kalangan peserta sekali gus mengurangkan kejadian kebakaran di premis seperti sektor perkilangan, perhotelan serta perniagaan.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA

Agong zahir takziah kepada keluarga mangsa kebakaran

KUANTAN, 21 JULAI: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini, menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga mangsa yang maut dalam kebakaran di Kampung Sungai Isap 2 di sini, pagi tadi.

“Takziah buat keluarga mangsa. Al-Fatihah. Semoga roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang yang solihin dan muttaqin,” titah baginda melalui pesanan WhatsApp menerusi pegawai baginda.

Sultan Abdullah juga menitahkan supaya pihak berkuasa yang terbabit, untuk segera memberi bantuan termasuk membina semula tiga buah rumah yang musnah dalam kebakaran itu.

Pada kejadian 7.45 pagi tadi, mereka yang maut selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran itu ialah Sharifah Azlina Syed Kassim, 37, dan dua anaknya iaitu Muhammad Haikal Hakimi Hairol, 11, serta Muhammad Adam Daniel, 7.

Mayat Sharifah Azlina dijumpai rentung dalam bilik belakang rumah itu manakala Muhamad Haikal dan Muhamad Adam Daniel ditemukan di sebuah lagi bilik belakang rumah yang dihuni lapan individu itu.

Kejadian juga menyebabkan suami Sharifah Azlina, Hairol Khalid, 38, adik Sharifah Azlina, Syed Azman, 25, dan isterinya Norazilah Abdullah, 23, parah.

Adik Norazilah, Nor Syawalina Abdullah, 19, pula cedera ringan, manakala anak Syed Azman, Muhammad Alif Asyraf, 6, tidak mengalami kecederaan.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Sani Harul berkata siasatan awal mempercayai kebakaran bermula di bahagian tengah rumah itu, sebelum merebak ke rumah berhampiran.

Katanya, bomba dengan kekuatan dua jentera bersama 17 pegawai dan anggota mengambil masa hampir 20 minit untuk mengawal kebakaran dan semua mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, hari ini.

Selain rumah mangsa, sebuah rumah yang terbabit difahamkan adalah rumah ayah bekas pemain bola sepak Pahang, Zulhamuzan Zakaria, yang pernah membantu Pahang menjulang beberapa kemenangan sekitar awal 1990-an.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rumah dua beradik musnah terbakar

KUALA TERENGGANU, 2 JULAI: Dua keluarga beradik tinggal sehelai sepinggang selepas rumah kediaman mereka yang terletak bersebelahan musnah satu kebakaran di Kampung Losong Haji Long, malam ini.

Hakimah Aziz, 65, berkata ketika kejadian jam 7.30 malam, beliau bersama tujuh anggota keluarganya berada di dapur rumah di tingkat bawah sebelum terdengar jeritan jiran memberitahu bahagian atas rumah mereka terbakar.

“Masa kejadian memang tidak dengar apa-apa bunyi atau bau. Kami berada di dapur tingkat bawah.

“Kami terdengar jiran menjerit beritahu ada api dan terlihat api sedang marak di tingkat atas. Kami sekeluarga bergegas keluar tanpa sempat menyelamatkan sebarang dokumen penting,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kebakaran yang berlaku di rumah yang didiami Hakimah sejak 40 tahun lalu itu turut memusnahkan rumah adiknya, Khairuddin Aziz, 62.

Isteri Khairuddin, Barizah Mohd Yusof, 59, berkata semasa kejadian beliau hanya tinggal berdua dengan suaminya dan terdengar jeritan jiran bahawa api sedang marak.

“Sejurus terlihat api, suami dan anak saudara menolong saya keluar dari rumah kerana saya tidak dapat berjalan dengan baik,” katanya yang menghidap pelbagai komplikasi penyakit termasuk kencing manis, darah tinggi dan buah pinggang.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Rozizah Abni Hajar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.48 malam dan tiba di lokasi kira-kira lapan minit kemudian.

Katanya, bomba dengan kekuatan 25 anggota bersama tiga jentera pemadam dan sebuah jentera tangki dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya memadamkan api sepenuhnya kira-kira 90 minit kemudian.

Katanya, kedua-dua rumah tersebut musnah sama sekali dan tidak ada sebarang kecederaan dilaporkan.

Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan.

-BERNAMA

Categories
NASIONAL

Detik sedih 30 premis peniaga terlibat kebakaran di Bazar Masjid India

KUALA LUMPUR, 21 Mei: Jualan kami semalam paling memberangsangkan, dah lama tak dapat jualan macam tu… tapi tak sangka menjelang pagi ini semuanya musnah dijilat api,” luah seorang peniaga di Bazar Masjid India.

Linda Razali, 35, adalah antara peniaga di bazar di hadapan Wisma Yakin yang setiap tahun menjadi tumpuan orang ramai membeli-belah kelengkapan Syawal pada bulan Ramadan.

Awal hari ini, 30 gerai di Bazar Masjid India yang menjual pelbagai barang seperti pakaian, tudung, beg dan kasut terbakar pada pukul 1.35 pagi.

Linda, yang berniaga tudung, berkata ketika kejadian beliau telah berada di rumahnya di Cheras Indah dan mengetahui kejadian itu melalui kawannya yang berada di kawasan bazar itu.

“Kawan saya telefon bagi tahu kedai saya terbakar… terus saya rasa nak pitam dan lemah semangat. Saya menangis memikirkan nasib sempena bulan Ramadan ini dan nak sambut raya,” katanya ketika ditemui Bernama di tempat kejadian.

Linda, yang mempunyai dua anak, berkata beliau baru sahaja menambah bekalan jualan sempena bulan puasa ini dan kebakaran itu sudah pasti menjejaskan punca rezekinya.

Beliau bagaimanapun reda dengan keadaan yang menimpa dan berharap pihak tertentu dapat membantu nasib peniaga yang terjejas dalam kebakaran itu.

Seorang lagi peniaga, Ahmad Daud Rafieei, 52, berkata, beliau terpaksa menanggung kerugian apabila kasut dan pakaian yang dijual di gerainya hangus dijilat api.

“Saya tak sangka hasil titik peluh bersama isteri dijilat api… anggaran dekat RM100,000 kerugian terpaksa saya tanggung. Itu stok jualan serta stok untuk bulan puasa ini yang dikongsi bersama isteri.

“Punca pendapatan saya terjejas dalam masa terdekat ini, rugi itu sudah tentu dan kami rungsing di mana tempat sementara kami untuk berniaga… strategik atau tidak saya tak tahu tapi lebih baik ada tempat sementara daripada tak boleh berniaga langsung,” katanya.

Seorang saksi kejadian, Syed Yusof Abdul, 60, berkata ini adalah kali ketiga bazar yang telah beroperasi selama 16 tahun itu terbakar, selepas kebakaran kecil April tahun lepas.

“Jiran niaga saya adalah orang pertama yang bagi tahu ada kedai terbakar, masa tu saya nak bersahur. Ada antara kami cuba memadamkan api tapi alat pemadam kebakaran tak dapat berfungsi dah ‘jammed’.

“Saya sedih dengan apa yang berlaku sebab ia pernah berlaku kepada saya dulu… ditimpa musibah seperti ini sukar mereka nak mulakan balik… harapan saya agar ada jalan penyelesaian dapat dilakukan bagaimana nak bantu peniaga yang terlibat,” katanya.

Tinjauan Bernama mendapati sebahagian bumbung Bazar berkenaan turut terbakar manakala barang di premis terjejas kebanyakannya tidak dapat diselamatkan. -BERNAMA

Categories
SELANGOR

Kempen banteras pembakaran terbuka di Johan Setia dilaksana

SHAH ALAM, 8 MAC: Kempen ‘Banteras Pembakaran Terbuka – Johan Setia’ dilaksana sebagai inisiatif mencegah berlakunya kejadian kebakaran ketika cuaca panas ini.

Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, ini kerana Johan Setia adalah kawasan kerap berlaku kebakaran hutan setiap tahun ketika negara berdepan cuaca panas.

Katanya, kempen itu dijalankan Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis dengan kerjasama Pejabat Ahli Majlis, Majlis Perbandaran Klang (MPK) Zon Sungai Kandis B dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Johan Setia.

“Menerusi kempen ini penduduk bertindak sebagai agen pemberi maklumat berkenaan kegiatan pembakaran terbuka secara ‘on the spot’ menggunakan kaedah laporan ‘STS – Snap, Tag & Send’ menerusi aplikasi Whatsapp.

“Dengan tiga langkah mudah ini, penduduk hanya perlu mengambil gambar pembakaran terbuka (snap) kemudian menanda lokasi Maps (tag) dan hantar (send) kepada nombor kordinator Unit Bertindak kempen ini yang akan dimaklumkan pada bahan kempen,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, pejabat Ahli Majlis Zon Sungai Kandis juga akan dijadikan sebagai ‘One Stop Centre’ untuk kegunaan penguatkuasa MPK (Skuad Pantas) dan agensi lain yang turut terlibat dalam menjalankan operasi pemantauan, pencegahan dan pemadaman kebakaran.

– BERNAMA

Categories
NASIONAL

Pemandu lori maut dalam kebakaran di Slim River

SLIM RIVER, 23 FEB: Seorang pemandu lori maut dalam kebakaran membabitkan kemalangan antara sebuah lori membawa muatan barang runcit dengan lori tangki minyak, di Kilometer 372 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) selepas Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang, di sini pagi ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 8.51 pagi tadi dan tiga buah jentera dikejarkan ke lokasi itu.

“Setibanya jentera kami di tempat kejadian, didapati dua lori terbabit dalam kemalangan dan terbakar serta terdapat seorang mangsa maut.

“Maklumat mangsa, bangsa, agama tidak dapat dikenal pasti, kami akan kemas kini selepas mendapat info terkini,” katanya kepada BERNAMA.

Operasi pemadaman membabitkan anggota dari Balai Polis dan Penyelamat (BBP) Slim River dengan dibantu BBP Tapah dan BBP Bidor.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Muallim, Supt Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam kenyataan ringkas berkata, lori tangki terbabit dipercayai melanggar belakang lori membawa muatan barang runcit itu, di lorong kecemasan lalu terbakar serta menyebabkan seorang maut.

“Semua lorong masih ditutup sepenuhnya, bagi kerja memadamkan kebakaran,” katanya.

Terdahulu, PLUS menutup sepenuhnya laluan arah utara dari Slim River ke Sungkai kepada semua kenderaan, ekoran kebakaran sebuah lori tangki minyak.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Bomba temui 4 lagi mayat kebakaran pusat hiburan

IPOH, 20 FEB: Enam dipercayai maut dan seorang parah dalam kejadian kebakaran di sebuah pusat hiburan di Times Square Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini hari ini.

Dua daripada mangsa yang maut sudah ditemui dan dibawa keluar dari premis berkenaan, manakala seorang yang parah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan lanjut.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, mangsa yang sudah dikenal pasti adalah Tai Chee Kin, 36 dan Lau Wai Hoong, 37, ditemui mati dalam sebuah bilik tingkat empat dalam bangunan berkenaan manakala seorang lagi berusia 39 tahun parah.

Difahamkan, setakat jam 10 pagi, anggota bomba menemui empat lagi mayat iaitu dua wanita dan seorang lelaki warga asing manakala identiti seorang lagi mangsa belum dikenal pasti dalam bangunan sama.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada jam 5.49 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba anggota bomba dimaklumkan seramai 11 individu terperangkap dalam bangunan berkenaan.

“Dua lelaki warga tempatan disahkan maut oleh pegawai perubatan dan seorang lagi parah.

“Empat daripada mangsa berjaya menyelamatkan diri,” katanya lapor BHOnline.

Katanya, setakat jam 10 pagi, empat lagi mayat berjaya ditemui namun anggota bomba masih menjalankan operasi mengeluarkan mangsa.

Kredit foto: BHOnline

Categories
NASIONAL

‘Bomba’ melecur cuba padam kebakaran sendiri

MIRI, 8 JAN: Seorang pekerja warga Indonesia melecur di badan dan tangan dalam kebakaran membabitkan sebuah rumah serta kenderaan pacuan empat roda, di Jalan Beluru Lapok, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Bomba dan Penyelamat Miri, Law Poh Kiong berkata, mangsa, Bomba Dullah, 45, cedera setelah cuba memadamkan sendiri kebakaran sebelum terkena bahang api dalam kejadian jam 12.42 tengah malam itu.

“Mangsa ialah pekerja yang menghuni rumah terbabit dan kebakaran itu memusnahkan keseluruhan rumah serta kenderaan pacuan empat roda,” katanya.

Beliau berkata, rumah dan kenderaan pacuan empat roda itu dimiliki majikan mangsa Badi Bandak, 55, yang tiada di rumah ketika kejadian.

Poh Kion berkata, pihaknya mengambil masa hampir dua jam untuk memadam kebakaran terbabit.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Banglo di Bukit Tunku terbakar

KUALA LUMPUR, 7 JAN: Sebuah rumah banglo, di Bukit Tunku, di sini musnah hampir 70 peratus ekoran kebakaran, awal pagi tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kebakaran itu, pada jam 6.54 pagi.

“Seramai 28 anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail dan Sri Hartamas ke lokasi kejadian bagi kerja pemadaman api yang kemudiannya dapat dikawal kira-kira 20 minit kemudian,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih disiasat.

Bagaimanapun, dalam insiden berkenaan, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

*Sumber: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Rumah Panjang Terbakar, 470 penghuni sehelai sepinggang

BINTULU, 19 NOV: Sekurang-kurangnya 470 penghuni Rumah Panjang Uma Bakung, Sungai Asap di sini tinggal sehelai sepinggang selepas kediaman mereka musnah dalam satu kebakaran pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohd Meramit berkata, setakat ini tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran itu dan punca kebakaran masih disiasat.

Sementara itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak dalam satu kenyataan hari ini berkata, berdasarkan maklumat diterima dari polis Sungai Asap, kebakaran dipercayai berlaku pada 10.45 pagi dengan usaha pemadaman api dilakukan dahulu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS).

Menurutnya pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian selepas menerima panggilan pada kira-kira pukul 11.02 pagi.

Untuk rekod, perjalanan darat dari bandar Bintulu ke lokasi kejadian mengambil masa sekitar lebih dua jam, dan cabaran utama penduduk di sana ialah masalah telekomunikasi.

Categories
SELANGOR

Menteri: Kebakaran tanah gambut, TUDM laksana pembenihan awan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 15 OGOS: Kerajaan Persekutuan memberi jaminan kebakaran tanah gambut di Johan Setia, di sini akan diselesaikan secara segera dan bersepadu.

Menteri Tenaga, Sains, Teknologi Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin berkata, pihaknya kini mengerakkan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menerusi Kementerian Pertahanan untuk melaksanakan pembenihan awam pada petang ini.

Selain itu, katanya, pihaknya turut mengarahkan 40 anggota tambahan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Pihak Berkuasa Tempatan dengan lima pam air, ke lokasi bagi membantu operasi pemadaman.

“Ketika ini fokus kita untuk memadamkan api terlebih dahulu bagi mengelakkan berlakunya pencemaran udara bertambah buruk.

“Saya sudah menelefon Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu untuk segera menggerakkan TUDM bagi melaksanakan pembenihan awan.

“Kita jangkakan dalam tempoh tiga jam ia dapat dilaksanakan. Namun, ia bergantung kepada cuaca bagi menghasilkan hujan.

“Selain itu, sebanyak 40 lagi anggota tambahan diarahkan membantu. Sebelum ini, hanya 38 anggota dan tiga pam air digunakan bagi kerja-kerja pemadaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melawat Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB dan kawasan kebakaran tanah gambut Johan Setia, di sini.

Bee Yin berkata, kekurangan punca air semula jadi juga antara kekangan kerja-kerja pemadaman api dijalankan.

Pada masa sama, katanya, tindakan tegas akan dilakukan kepada individu atau pihak tidak bertanggungjawab memulakan pembakaran itu.

“Mereka boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM500,000 dan penjara lima tahun jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 29 A Akta Jabatan Alam Sekitar,” katanya.

Isnin lalu, kira-kira 50 hektar kawasan tanah gambut di kawasan Johan Setia terbakar menyebabkan penduduk tidak senang ekoran menghidu asap tebal.